Artikel Popular

Wednesday, January 30, 2013

Cameron, "Selamat Tinggal Kesatuan Eropah"

RABU, 30 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Eropah hari ini, menurut  Slavoj Zizek ketika membahaskan krisis Barat ialah demokrasi dan kewangan, "orang buta memimpin orang buta."  Setelah bertahun-tahun dilanda krisis kewangan, persoalan bahawa Greece akan meninggalkan euro zon sentiasa menghantui, meskipun setakat ini, negara tempat kelahiran demokrasi itu terus setia seadanya dan euro dapat bertahan pada tahun lalu.  

Krisis yang berlarutan melanda zon euro bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan zon itu, tetapi juga terhadap Kesatuan Eropah yang dikhuatiri akan runtuh. Pada mulanya, Greece dan pada takat tertentu,  negara lain yang turut dilanda krisis, iaitu Sepanyol dan Portugas dijangkakan menjadi punca angkara.  

Namun, sejak akhir-akhir ini angin kencang bertiup dari Britain bahawa negara itu akan meninggalkan Kesatuan Eropah.  Perdana Menteri David Cameron akhirnya menyatakan pendirian beliau bahawa Britain akan berunding semula tentang keanggotaannya dalam Kesatuan Eropah dan berjanji akan mengadakan pungutan suara pada tahun 2017.   Pendirian beliau itu yang dinyatakan ketika beliau berucap di ibu pejabat Bloomberg di London,  dipersoalkan oleh tinjauan pendapat.  Janji itu juga bergantung pada jika Parti Konservatif pimpinannya memenangi pilihan raya tahun 2015.  Walau bagaimanapun, menurut The Economist, Cameron pada pihak yang betul, memberikan kelebihan kepada Parti Konservatif, dan meletakkan Parti Buruh dalam keadaan yang sukar.

Respons segera daripada Pemimpin Parti Buruh Ed Miliband  ialah  beliau tidak menyokong pungutan suara masuk atau keluar keanggotaan Britain dalam Kesatuan Eropah dari segi terma yang dicadangkan oleh David Cameron, manakala Timbalan Perdana Menteri Nick Clegg mengkritik Cameron kerana mewujudkan "tahun ketidakpastian." Bagi bekas Perdana Menteri Tony Blair, "tindakan meninggalkan Kesatuan Eropah adalah buruk untuk Britain." Sementara Canselor Jerman Angela Merkel  dilaporkan mencadangkan agar Cameron berunding untuk "tolak ansur yang adil," tetapi kebanyakan pemimpin Eropah menolak tuntutan Cameron. 

Kritikan datangnya daripada editorial The Guardian yang menyifatkan Cameron bermain silap mata bahawa keprihatinan sebenar bukannya ekonomi, tetapi politik gelisah penyokong Tory, pemberontakan Parti Bebas United Kingdom (Ukip), dan kebanyakan akhbar Eurofobia. Beliau dilihat tidak mempunyai keberanian, sebaliknya semborono.  Namun, bagi pemimpin Ukip, seperti yang dipetik, Britain keluar daripada Kesatuan Eropah "dalam beberapa tahun" adalah pasti kerana tidak ada kerajaan yang akan mampu menolak tuntutan untuk keluar daripada penduduk yang naik berang kerana kedatangan kaum pendatang upah murah.

"Dari luar," seperti yang dibahaskan oleh Timothy Garton Ash, "memang jelas mengapa Britain mesti kekal dalam Kesatuan Eropah. Ucapan Cameron itu boleh membawa banyak keburukan dan lima tahun ketidakpastian yang cemas merupakan berita buruk untuk Eropah dan dunia."

Nyata bahawa David Cameron begitu nekad untuk menarik Britain keluar daripada Kesatuan Eropah.  Jika partinya mendapat mandat sekali lagi pada tahun 2015, pungutan suara suatu kepastian dan hasilnya dapat dijangkakan. Namun, mampukah  Parti Konservatif yang kini terbentuk dalam kerajaan pakatan bersama-sama Demokrat Liberal, menentukan kelangsungannya dalam pilihan raya itu? 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...