Artikel Popular

Friday, October 28, 2011

Zon Euro: Sarkozy Terus Naik Berang

JUMAAT, 28  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Persetujuan yang dicapai oleh para pemimpin Kesatuan Eropah semalam untuk "bergunting rambut" dalam menyelesaikan krisis hutang Greece, disambut  oleh pasaran dengan kegembiraan dari Asia ke Eropah ke Amerika Syarikat.  Di Tokyo, Nikkei naik 132.96 mata kepada 9059.50 mata, di London, FTSE 100, meningkat 160.59 mata kepada 5713.82 mata, manakala di New York, Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) diltutup pada 12,208.55 mata, iaitu meningkat sebanyak 339.51 mata.  Namun, United Kingdom dijangkakan mempunyai peluang yang besar untuk terbenam dalam kemelesetan curam berganda.

Yang jelas persetujuan yang dicapai itu tidak meredakan keadaan.  Presiden Perancis Nicolas Sarkozy yang sebelum ini  memberikan kata dua kepada Perdana Menteri David Cameron, terus menunjukkan keberangannya.  Kali ini giliran Greece pula yang menurut beliau, tidak bersedia untuk menyertai zon euro.  Sarkozy nampaknya tidak menyambut keriangan terhadap urus janji yang dicapai di Brussels itu, berkata memang suatu "kesilapan" yang besar membenarkan Greece menyertai euro satu dekad lalu. Meskipun beliau tidak bertujuan mencadangkan Greece keluar daripada zon mata wang bersama itu, beliau mendakwa negara menyertai dengan angka ekonomi yang palsu.


Sejak Greece bergelut dengan krisis hutang lebih setahun yang lalu, terdapat dua cadangan, iaitu keluar daripada zon euro atau mungkir terhadap hutangnya, seperti yang pernah dilakukan oleh Argentina yang kini mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang agak membanggakan. Namun, jika negara itu bertindak keluar, dijangkakan krisisnya semakin teruk.


Dengan keberangan Sarkozy  terhadap Greece itu, jelas bahawa zon yang dianggotai oleh 17 buah negara itu terus bergolak.  Bahkan untuk mengusutkan lagi keadaan, dalam usaha untuk menyelamatkan euro, dakwa Simon Jenkins, "Jerman mengemukakan tuntutan yang tidak dapat dipenuhi."  Selain itu, Canselor Angela Merkel dan Sarkozy meskipun mencapai persetujuan yang penting semalam, dikatakan mereka gagal membaiki keretakan yang sebenar.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...