Artikel Popular

Friday, October 21, 2011

Gaddafi Tumpas: Siapakah Pemenang?

JUMAAT, 21 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Semalam melalui stesen televisyen dan melalui Internet tersebar berita kematian Kolonel Muammar Gaddafi.  Berita yang bercanggah melaporkan bahawa Gaddafi yang ditawan di tempat kelahirannya, Sirte, dalam keadaan    berlumuran darah diarak untuk tontonan orang ramai.  Beliau dilaporkan ditawan  di dalam terowong kumbahan di kubu terakhirnya, selepas pertempuran sengit di sana, diheret tanpa belas kasihan. Laporan yang bercanggah ini, ditafsirkan sebagai ketidakstabilan Libya.  Dengan kematian itu, Gaddafi mengotakan segala katanya, iaitu berjuang ke titisan darah yang akhir.

"Gaddafi telah dibunuh.  Kita sekarang mesti melupakannya," tulis Alaa al-Almeri, yang mencadangkan inilah masa untuk membina semula Libya sehingga tidak wujud tanda bahawa Gaddafi atau keluarganya yang parasit dan rombongan pengirinya muncul semula.

Kematian Gaddafi menandakan berakhirnya era keganasan dan kekejaman, di Tripoli, seperti yang diperhatikan oleh Omar Abulqasim Alkikli, disambut dengan penuh kegembiraan dan keriangan.  Rakyat Libya, tulis Marc Ginsberg terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mencipta hari amat gembira itu sejak pemberontakan mereka bermula pada pertengahan Februari.  Namun, Richard N. Haass, melihat kematian itu sebagai bermulanya bahagian keras Libya kerana pertempuran antara tentera Majlis Peralihan Kebangsaan dengan tentera yang setia pada bekas rejim itu masih berterusan.  Tambah beliau, yang lebih penting, perjuangan untuk masa depan Libya mesti diteruskan.

Pastinya, Perdana Menteri David Cameron dan Presiden Nicolas Sarkozy meraikan kematian Gaddafi, yang menandakan usaha mereka berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil.  Bagi Presiden Barack Obama, seperti yang dibahaskan oleh David  Ignatius, beliau mengambil tindakan yang betul melalui zon larangan terbang yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditambah dengan lobi di PBB untuk mengambil "langkah yang perlu" melindungi rakyat Libya.  Obama juga mengambil pendekatan "penglibatan terhad" Amerika Syarikat dalam melaksanakan serangan terhadap Libya.  

Untuk seketika, pastinya penulisan sarat dengan Gaddafi, dari tempoh beliau berkuasa, kebangkitan rakyat, serangan Nato, kejatuhan Tripoli, hingga kepada kematian beliau.  Pastinya, banyak kutukan dan kecaman ditujukan kepada beliau.  Namun, seperti yang diperingatkan oleh Robert Fisk dalam Independent hari ini, "anda tidak boleh menyalahkan Gaddafi kerana memikirkan dirinya orang baik."  Tambah Fisk, "Kita menyanyanginya.  Kita membencinya.  Kemudian, kita menyanyangi sekali lagi."

Sesungguhnya, Pemberontakan Arab memperlihatkan kekuatan yang luar biasa dengan tiga rejim tumbang, manakala beberapa yang lain terumbang-ambing menunggu giliran masing-masing.  Pemberontakan ini, sesungguhnya, bukan sekadar mengubah  dunia Arab, tetapi juga turut mencorakkan landskap dunia.  "Jalan Arab" kelihatan di mana-mana sahaja, manakala musim bunga Arab mekar dan harum di seluruh dunia.  Jika beberapa bulan lalu, Pemberontakan Arab dikatakan menempuh jalan buntu, dan seakan-akan berkubur,  kini pemberontakan popular itu memperoleh rentaknya semula.  Siapakah yang seterusnya menjadi mangsa?







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...