Artikel Popular

Thursday, October 27, 2011

Hutang Greece: Setuju "Bergunting Rambut"

KHAMIS, 27 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Para pemimpin  zon euro mencapai persetujuan berhubung dengan pelan penting untuk mengurangkan hutang Greece dan menyediakan negara itu dengan lebih banyak pinjaman pelan penyelamat supaya Greece akhirnya keluar daripada kancah beban hutang yang teruk.  Persetujuan ini bermakna membantu mencegah kerajaan Greece daripada mungkir terhadap hutangnya dan bahkan mengelak kejutan yang lebih teruk terhadap sistem kewangan Eropah.

Mereka dilaporkan akhirnya bersetuju urus janji dengan pemiutang swasta tentang menurunkan nilai 50 peratus atau "bergunting rambut" terhadap pemegangan mereka pada hutang Greece, menyediakan rancangan urus janji yang lebih tuntas untuk menyelesaikan krisis hutang kedaulatan itu.  Kerugian akibat penurunan nilai hutang ini dikatakan lebih besar daripada pelabur swasta telah terima di bawah urus janji pada musim panas ini.  Namun, oleh sebab ekonomi Greece terjejas secara berterusan, maka ini menyukarkan kerajaan untuk membayar balik bonnya.

Mereka juga bersetuju menyediakan dana bernilai satu trilion euro (AS$1.4 trilion) sebagai respons terhadap desakan global supaya mempercepat usaha menentang krisis kewangan, dan  seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg, persetujuan itu  membawa berita baik untuk euro dan pasaran Asia.


Selepas sidang kemuncak tergempar yang berlangsung di Brussels itu, Presiden Kesatuan Eropah, Herman Van Rompuy memaklumkan bahawa  urus janji itu akan mengurangkan hutang Greece kepada 120 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.  Di bawah keadaan sekarang, hutang negara itu akan meningkat kepada 180 peratus KDNK.

Meskipun jika krisis zon euro diselesaikan, bahas Larry Elliott sehari sebelum ini, "cabaran yang paling besar ialah bagaimana memastikan ekonomi 17 buah negara mata wang bersama itu bergerak semula." Dengan kata lain, memastikan ekonomi zon euro berkembanga semula dan bukannya terpasung dalam kemelesetan atau kebekuan.  Elliot mengingatkan bahawa krisis hutang Eropah yang sebenarnya ialah krisis pertumbuhan dan guna tenaga.

Yang jelas, banyak usaha dicurahkan untuk menyelesaikan krisis hutang, sedangkan aspek ekonomi sebenar, iaitu pertumbuhan dan guna tenaga yang semakin runcing lagi genting.  Dalam kes Greece misalnya, meskipun pelan penyelamat yang pertama bernilai 110 bilion euro diberikan, wang tersebut digunakan hutang menebus bon yang matang.  Justeru, yang mendapat habuan segera ialah bank dan pelabur dan bukannya rakyat negara itu.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...