Artikel Popular

Sunday, October 16, 2011

Berakhirnya Dolar

AHAD,  16  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika bersiap-siap untuk     menghadiri sidang kemuncak G-20  pada November  2008, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy  mempunyai  “model baru” yang lebih menarik  untuk ditampilkan.    Di   Washington nanti, beliau akan  menjelaskan bahawa dolar Amerika, mata wang penting sistem ekonomi global sejak tahun 1944, sepatutnya tidak lagi mempunyai kuasa dominan yang pernah dimilikinya.  Dolar yang selepas Perang Dunia Kedua merupakan satu mata wang sahaja di dunia, tidak  boleh lagi terus  menuntut kedudukan itu.  Apa yang benar dahulu  tidak lagi benar sekarang.  Beliau  mengharapkan sidang   itu sebagai peluang untuk menyusun semula fundamental kuasa kewangan global.
Bagi Amerika Syarikat,    krisis kewangan global bukannya persoalan ekonomi semata-mata, tetapi yang lebih serius   mengancam dan menggugat hegemoninya.  Sebagaimana dua buah empayar,  iaitu Wilayah Bersatu Belanda dan British, kini Empayar Amerika mengalami nasib yang sama:  kebangkitan dan kejatuhan.  “Empayar British merosot,” tulis ahli ekonomi, Nouriel Roubini dalam The New York Times,  “dan paun hilang statusnya sebagai mata wang rizab utama dunia apabila Britain menjadi penghutang bersih dan peminjam bersih ketika Perang Dunia Kedua.  Kini, Amerika dalam kedudukan yang sama.”  Empayar yang memegang mata wang rizab dunia juga merupakan pemiutang  asing bersih dan pemberi pinjaman bersih.     Negara yang mengeluarkan mata wang rizab memiliki satu kelebihan berbanding dengan negara lain.  Hanya negara itu boleh secara sah mencetak mata wang, bila-bila masa jika negara itu berminat melakukannya.
Seawal tahun 2007,  melihat dolar semakin lemah dalam menghadapi pesaing utamanya, euro, Steven C. Johnson menulis dalam  The New York Times bahawa  Amerika Syarikat mungkin tidak ada pesaing dari segi ketenteraan, tetapi cabaran terhadap kuasa kewangannya adalah mustahil dipandang ringan.  “Kesan jangka panjang kemerosotan dolar ini,” tulis beliau,  “mungkin mempunyai keertian yang mendalam untuk rakyat  Amerika dan untuk kedudukan negara itu sebagai kuasa global yang tidak menghadapi mana-mana saingan.”   Johnson menegaskan bahawa dalam jangka panjang, kuasa di sebalik kemerosotan itu mampu meminggirkan Amerika Syarikat di pentas dunia, merendahkan taraf hidup rakyatnya, dan mengikat tangan Amerika daripada bertindak balas terhadap isu keselamatan yang penting atau krisis kewangan: “Kita tidak boleh lagi melihat diri kita sebagai raja bukit, banyak lagi bakal raja yang kini ingin menguasai tempat kita.”
             Tiga tahun lalu, Henry Paulson, Setiausaha Perbendaharaan Amerika ketika itu, menggunakan peluang berbincang dengan pihak berkuasa China untuk mendesak Beijing membiarkan mata wang China, yuan meningkatkan nilainya berbanding dengan dolar supaya China dapat membeli barang keluaran Amerika dengan lebih murah.  Kini, giliran China pula  “menyerang”   dolar. Dalam usaha yang berani ini  China tidak keseorangan;  Rusia juga  merestui  gesaannya  agar diwujudkan  mata wang rizab alternatif berasaskan hak pengeluaran khas (SDR)  yang diwujudkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa  (IMF) yang berasaskan bakul mata wang (dolar, euro, paun, dan yen).  Jika gesaan itu  dilaksanakan, China akan menyaksikan mata wangnya tergolong dalam bakul SDR  dan renminbi juga digunakan sebagai alat bayaran dalam perdagangan dua hala.  



Perdana Menteri China, Wen Jiabao, pada Mac lalu, melahirkan “rasa sedikit bimbang” beliau tentang keadaan dolar Amerika sebagai meluahkan perasaan negara, perusahaan, dan individu di seluruh dunia.  Beliau meminta Amerika agar mengekalkan kreditnya yang baik, berpegang pada janjinya, dan menjamin keselamatan aset China.  “Lima tahun lalu, permintaan itu dianggap terlalu berani.  Kini, permintaan itu  dianggap ‘boleh difahami,’ meskipun ada yang menganggap cadangan China tentang mata wang rizab dunia sebagai jauh daripada alternatif yang praktikal,”  ulas Immanuel Wallerstein dalam laman webnya. 
Hujah Wallerstein seterusnya, kekuatan mata wang rizab tidak hanya berpunca  daripada penguasaan terhadap kekayaan dunia, tetapi juga daripada kuasa politik yang ditawarkannya dalam sistem-dunia.  Inilah sebabnya mata wang rizab dunia cenderung menjadi mata wang kuasa hegemoni dunia, meskipun jika kuasa hegomoni itu merosot.  Inilah sebabnya dolar Amerika ialah mata wang rizab dunia. Perdana Menteri Wen “rasa sedikit bimbang” kerana sejak beberapa dekad, kadar pertukaran dolar Amerika  sentiasa naik turun dengan agak besar, tetapi secara keseluruhannya, merosot secara perlahan-lahan.
Selepas Perdana Menteri Wen Jiabao menyatakan kebimbangannya terhadap dolar yang lemah boleh menjejaskan nilai aset negara Amerika Syarikat,  Gabenor People's Bank of China (PBOC), Zhou Xiaochuan pula menggesa agar diwujudkan mata wang “kedaulatan mega” (super-sovereign currency). Walau bagaimanapun, melalui kolumnya dalam The New York Times,  Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi menganggap gesaan itu   sebagai   mengakui kelemahan bahawa China terjebak dalam perangkap dolar.   Cadangan Zhou, tulis  Krugman  dalam “China’s Dollar Trap” sebenarnya bermaksud meminta seseorang menyelamatkan China daripada menerima akibat kesilapan pelaburan yang dilakukannya sendiri.  Tetapi, ini tidak akan berlaku. “Dengan memiliki bil Perbendaraan berjumlah AS$2 trilion,” tegas  beliau sambil berkias, “mengubah Republik Rakyat kepada Republik bil Perbendaharaan – sama dengan cara Britain memiliki empayar negara itu.”
Dalam laporan kestabilan kewangan tahun 2009 yang dikeluarkan pada akhir Jun, PBOC memaklumkan bahawa China mendesak agar dilakukan pembaharuan dalam sistem kewangan antarabangsa supaya lebih dipelbagaikan dan munasabah, dan mengurangkan pergantungan yang berlebihan pada rizab mata wang semasa.  Bank pusat ini mengulangi gesaannya supaya diwujudkan mata wang rizab antarabangsa yang baru berasaskan SDR.  Gesaan PBOC itu  meningkatkan lagi tekanan terhadap dolar dan  melemahkan mata wang Amerika itu. 
            Berdasarkan beberapa kenyataan  Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner,  dalam hal ini Amerika nampaknya  tidak mempunyai pendirian yang jelas.    Beliau pernah berkata bahawa kerajaan Amerika “agak terbuka” terhadap cadangan China untuk meningkatkan penggunaan SDR.  Akibat kenyataan itu dolar merudum dengan serta-merta dalam pasaran mata wang,   lalu Geithner menjelaskan apakah yang beliau kata itu.  Dolar kekal sebagai “mata wang rizab dunia yang dominan” dan keadaan ini “kemungkinan berterusan untuk tempoh masa yang lama.” Semasa mengadakan pertemuan dengan para pemimpin perniagaan Arab Saudi di Riyadh pada pertengahan Julai, Setiausaha Perbendaharaan itu  berusaha memberikan jaminan tentang pemegangan mereka terhadap bil Perbendaharaan dengan memberitahu bahawa Amerika “mempunyai tanggungjawab yang istimewa untuk dipikul dalam mempertahankan nilai dolar.”


 Walau apa-apa pun halangan yang dihadapi,   China    enggan  berganjak dan tidak bertindak sendirian.    Ketika para pemimpin G-8 mengadakan sidang kemuncak tahunan di L’Aquilla, Itali  Julai lalu,  lima pemimpin negara membangun yang dikenali G-5, yang mempunyai hampir separuh penduduk dunia, iaitu China, India, Brazil, Mexico, dan Afrika Selatan juga mengadakan pertemuan di sana, antaranya bertujuan untuk mencabar hegemoni dolar Amerika. Tumpuan utama pertikaian adalah terhadap status dolar, peranan mata wang ini sebagai mata rizab utama dunia sedang terancam akibat AS$2.3 trilion dalam bentuk hutang yang ditanggung oleh Amerika sejak permulaan tahun 2008 untuk membendung krisis kewangan;  G-5, terutamanya China  memegang kira-kira AS$1 trilion dalam hutang pada bulan April.  China melalui kaunsilor negara, Dai Bingguo melancarkan kritikan profil tingginya terhadap peranan dominan dolar Amerika sebagai mata wang rizab dunia.
Namun,  Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, dilaporkan berkata: “Ketika para pegawai dari China, Rusia, India, dan Brazil merungut di luar bilik persidangan tentang hegemoni dolar, ‘tidak  ada perbincangan serius’ tentang mata wang itu di dalam bilik persidangan.”
Apabila  China Construction Bank mengumumkan bahawa bank itu mungkin mula menawarkan pembiayaan perdagangan dalam renminbi, pengumuman ini bukan sahaja menghangatkan lagi desas-desus tentang mata wang rizab, bahkan juga dianggap sebagai lagi satu tindakan yang melemahkan dolar.  China yang sejak akhir-akhir ini bimbang terhadap kestabilan dolar,  telah pun melakukan tukar-menukar mata wang dengan Amerika Latin, Afrika, dan negara pasaran yang sedang muncul yang lain, tidak menggunakan dolar dalam urus niaga.  Sebaliknya, negara itu  mahu mengetengahkan yuan sebagai lebih banyak mata wang antarabangsa.
“Yang sebenarnya ‘kebimbangan’ China,” tulis Rana Foroohar, bloger Newsweek,  “sebahagiannya benar, dan sebahagiannya sikap politik – China kini berada di pentas dunia yang mampu memberikan nasihat, di samping mengambil kedudukan itu dari negara kaya.”  China dikatakan mahu renminbi menjadi lebih antarabangsa, sebahagian untuk memperkukuhkan kedudukan eksportnya yang lemah.  Namun, Foroohar mengingatkan bahawa meskipun jelas bahawa kedudukan dolar akan menjadi lemah dalam beberapa tahun mendatang, tetapi tidak ada mata wang lain yang akan menggantikan dolar sebagai mata wang rizab dalam tempoh terdekat.  Dolar, menurut angka terbaru IMF, masih menguasai 64 peratus rizab dunia.  “Menggunakan renminbi untuk memotong urus janji  perdagangan tidak sama dengan usaha menghapuskan dolar sebagai rizab,” demikian tegas Foroohar  dalam “Chinese Trade Deals Won’t Tank the Dollar.”
Dalam  “The Beginning of the End of the Dollar?”    Rana Foroohar mengulas bahawa  ekoran gesaan China itu,  maka   IMF kini  bersiap sedia untuk mengambil langkah yang jauh ke arah sistem baru ini, dengan cadangan untuk meningkatkan penawaran SDR.   Jika diluluskan, ini kali pertama IMF menambah bilangan SDR sejak tahun 1981.  Namun, tegas Foroohar, “bukan bermakna dolar akan pergi, mata wang ini masih mengandungi 44 peratus komposit SDR.  Tetapi, ini tidak bermakna bahawa dunia mengambil langkah berani meninggalkan dolar sebagai mata wang rizab dunia de-facto.” 
Setakat ini, cadangan atau gesaan untuk menurunkan status dolar  sebagai wang rizab utama  lebih menyerlahkan polemik, sedangkan aspek pelaksanaannya masih kabur.  Hakikatnya, bukan mudah untuk meminggirkan dolar sebagai mata wang rizab dunia, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick  yang berusaha  meredakan kemungkinan tersebut:  “Saya fikir dolar akan kekal sebagai mata wang rizab utama.  Persoalannya adalah sama ada mempunyai langkah pelengkap.”    Ada yang beranggapan bahawa    dolar merupakan isu jangka panjang, dan bukannya dalam tahun semasa.  Meskipun wujud   kebimbangan terhadap dolar, tetapi tidak ada strategi yang bersepadu untuk  dilaksanakan. Ada pula yang melihat krisis kewangan memberikan perhatian terhadap kelemahan struktur dolar, namun bukannya sesuatu yang akan diubah.  Pentingnya dolar akan dikurangkan dari semasa ke semasa, tetapi ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata.
Nouriel Roubini, ahli ekonomi di New York University, meskipun terlalu bimbang terhadap masa depan dolar juga berpendirian bahawa status dolar itu  tidak akan lenyap dalam sekelip mata.  Dalam pada itu,  beliau mengingatkan bahawa ancaman terhadap dolar tidak boleh dipandang ringan:  “Tidak lama lagi, dolar akan dicabar oleh mata wang lain, kemungkinan besar renminbi China, dan ini memberikan kesan yang cukup serius terhadap Amerika dari segi keupayaan membiayai belanjawan dan defisit perdagangan.” Beliau mengakui bahawa  ketika ini,  renminbi masih jauh daripada persediaan untuk mencapai status mata wang rizab.
Di tengah-tengah ketabahan  China mengasak dolar, Zhang Xiaoming, Pengurus Besar Bank of Communication Co., bank kelima terbesar di negara itu dari segi aset, dilaporkan berkata bahawa yuan tidak menggantikan dolar Amerika sebagai mata wang perdagangan antarabangsa utama China sekurang-kurangnya untuk satu dekad kerana keterbatasan aliran pelaburan. Dolar Amerika akan kekal sebagai rizab utama dunia dan mata wang perdagangan untuk suatu masa yang lama,” kata Zhang.
Krisis kewangan global meletakkan Amerika dalam keadaan “telur di hujung tanduk.”  Sistem ekonominya  diadili, kawal selianya dipersoal, dan mata wangnya diasak.   Seandainya Francis Fukuyama merenung jauh sedikit  ke hadapan, pastinya beliau akan teragak-agak untuk  menobatkan “manusia terakhir” yang muncul  sebagai pemenang dalam  pertembungan ideologi semasa Perang Dingin ialah Amerika Syarikat. 
Mampukah  “manusia terakhir” ini menyelamatkan  dolar? 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Oktober 2009.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...