Artikel Popular

Sunday, October 2, 2011

Mulut Menyuap, Mata Memerhati, Minda Melayang

ISNIN,  3 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada hari Rabu minggu lalu, saya ke Bank Standard Chartered di Lot 10, Jalan Bukit Bintang.  Oleh sebab saya ingin ke sana, seperti biasa,  saya bercadang bersarapan di kawasan sekitar itu.  Ketika memandu,  saya memikirkan tempat sarapan atau makan yang sesuai kerana waktu itu kira-kira  10.00 pagi. 

Oleh sebab saya  meletakkan kereta di Sungai Wang, tempat makan yang pertama saya temui ialah Delifrance dan di hadapan sedikit,  McDonald's.  Akan tetapi, tidak mungkin saya bersarapan di McDonald's  kerana saya boleh menemuinya di mana-mana, termasuk yang berhampiran dengan kediaman saya, iaitu di Pandan Mewah.  Terbayang juga beriani tarbus di Jalan Bukit Bintang, tetapi saya yakin restoran itu belum dibuka lagi kerana masih  pagi.  Terbayang Food Republic di Pavilion yang menyediakan pelbagai jenis makanan, Barat dan Timur, tempatan dan global, tetapi jauh sangat. Kalau saya ke sana,  bak kata orang Terengganu, "perecong."  Akhirnya, saya bersarapan di Delifrance sebelum menyeberang ke bank.

Sambil menunggu pesanan, ketika bersarapan, dan berehat sekejap selepas itu, saya memerhatikan para pekedai dan pekerja di pusat beli-belah itu   memulakan perniagaan mereka.  Petugas promosi komestik yang terpapar seniwati Hong Kong yang terkenal,  di kawasan lapang di hadapan Delifrance mula sibuk.  Demikian juga dengan "penjaja kecil" yang kebanyakannya wanita, menjual alat perhiasan wanita dan makanan mula bersiap sedia untuk berniaga.  Hanya tidak  dapat dipastikan, sama ada mereka anak tempatan ataupun  warga asing. Para pengunjung  mula berlegar-legar pusat beli-belah itu, dan ada yang masuk ke Delifrance.  



Untuk melilhat kerancakan ekonomi negara, saya sering meninjau pusat beli-belah: tentang kebanjiran orang ramai; kalau tengah hari, tentang ruang letak kereta, penuh atau sebaliknya;  tentang meja makan di restoran yang dipenuhi pelanggan. Melihat aktiviti peniaga dan kebanjiran manusia, termasuk pelancong asing ketika saya bersarapan itu, saya dapat merasakan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa. 

Saya masih ingat  krisis kewangan Asia 1997/1998,  ketika itu saya bertugas di Dewan Bahasa dadn Pustaka Cawangan Sabah, yang lazimnya ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya sekali sebulan.  Oleh sebab saya menginap di hotel Jalan Bukit Bintang, pada sebelah petang saya akan bersiar-siar di beberapa buah pusat beli-belah yang terletak di situ.  Kedai-kedai mengadakan jualan penghabisan stok, pusat beli-belah ditutup lebih awal dan dibuka lewat.  Semasa di lobi hotel, saya perhatikan arus kenderaan tidak sesak.  Semua ini menandakan ekonomi lembap. 

Setiap kali saya ke pusat beli-belah atau ke pasar raya, saya berasa kagum bagaimana tempat berkenaan menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan, dan ribuan pekerja, meskipun sesetengahnya warga asing.  Di situ juga wujud "penyewa sauh" yang menjadi daya tarikan para pengunjung yang membolehkan "peniaga kecil" dapat mencari makan juga.  Semasa melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Kebangsaa Malaysia (UKM),  saya mengambil kursus peruncitan yang membolehkan saya  memahami pentingnya "sauh"  bukan sahaja kepada mereka sendiri, tetapi juga  kepada "peniaga kecil": kalau tanpa mereka, semua peniaga kecil terpaksa gulung tikar kerana tiada lagi daya tarikan kepada para pengunjung. 



Setiap kali saya menemani isteri ke Tesco Extra Cheras, saya perhatikan ada  pengusaha restoran dan banyak "peniaga kecil" yang menjalankan perniagaan masing-masing.  Di Tesco sendiri, banyak pekerja yang mencari nafkah mereka dengan pasar raya ini.   Tidak kurang juga sayur-sayuran, ikan, dan pelbagai barang lagi yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan yang dijualkan di situ.  Bayangkan sekiranya Tesco terpaksa ditutup, pastinya banyak orang yang hilang atau terjejas mata pencarian mereka.  

Tengah hari Sabtu lalu, saya bersama-sama keluarga   menikmati beriani kambing dan hidangan lain di sebuah restoran di Jalan Ampang yang ketika itu dikunjungi juga oleh beberapa pengunjung lain.  Pada sebelah malam, saya dan isteri serta anak lelaki saya  makan  di PapaRich di Cheras yang sejak dibuka sentiasa dibanjiri pengunjung. Isteri saya memberitahu bahawa saya dan dia sahaja orang tua, yang lain kebanyakan remaja.  Saya gemar ke situ  kerana selain terletak tidak jauh dari rumah saya, adalah kerana mudah letak kereta dan perkhidmatannya sangat memuaskan: belum dipanggi sudah datang, belum disuruh sudah pergi.


Setiap kali  mengunjungi tempat seperti ini, saya terbayangkan bahawa kedai kopi hanya untuk generasi tua, manakala  kopitiam untuk generasi muda. Melihat banyaknya orang di PapaRich yang ruangnya amat luas  itu, saya memberitahu anak saya yang bekerja untuk hutang lapuk di sebuah bank, ini menandakan ekonomi adalah baik. Kalau restoran lengang, ini menandakan ekonomi kurang baik. 


Apabila  mengunjungi restoran atau  kopitiam secara tetap,  saya gemar memerhatikan kualiti dan kuantiti sesuatu masakan berubah atau tidak: ada yang pada mulanya bagus, kemudian menjadi teruk. Saya tidak lupa memerhatikan pekerjanya, bukan sahaja dari kecekapan mereka, tetapi juga dari segi pusing ganti pekerja.  Kalau setiap kali berkunjung, pekerjanya orang yang berlainan, ada sesuatu yang tidak kena, mungkin upah murah, tetapi kerja teruk, lalu mereka terpaksa berhenti.  Kalau dalam menu ada makanan atau minuman tertentu, tetapi jika dipesan selalu tiada, maka saya merumuskan bahawa perniagaan tidak berapa stabil. 

Pada hari Jumaat 7 Oktober ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang juga merupakan Menteri Kewangan Pertama akan membentangkan Belanjawan 2012.  Meskipun saya bukan ahli ekonomi, satu harapan saya ialah pastikan bahawa sektor isi rumah, kerajaan, dan sektor swasta, mampu memacu pertumbuhan ekonomi.  Tatkala kelembapan ekonomi global kian dirasai, bahkan dikatakan bahawa dunia akan terbenam dalam "kebekuan besar,"   maka ketiga-tiga sektor tersebut tidak boleh dibiarkan pincang. Alasannya mudah, jika isi rumah kurang berbelanja, kerajaan tidak menyediakan peruntukan yang cukup, dan sektor swasta melabur  ala kadar, nescaya ekonomi negara terjebak semula dalam kemelesetan.


Banyak orang banyak ragam.  Bagi sesetengah orang, semasa makan, mungkin lain pula ceritanya.  Makan seorang diri berbeza dengan makan bersama-sama keluarga atau kawan-kawan.  Ketika masih berkhidmat dalam kerajaan, saya gemar mencari tempat sarapan dan makan yang selesa kerana untuk menenangkan minda yang selalu kepenatan akibat beban kerja. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...