Artikel Popular

Wednesday, October 5, 2011

Pertumbuhan Ekonomi Amerika Syarikat Lemah

RABU,  5 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Para pemimpin Rizab Persekutuan terpaksa merendahkan jangkaan mereka untuk pertumbuhan ekonomi  Amerika Syarikat.  Demikian dimaklumkan oleh Pengerusinya, Ben S. Bernanke pada hari Selasa semalam, meminta Kongres menangani kedua-duanya, iaitu defisit belanjawan jangka panjang dan kesukaran ekonomi jangka pendek.  

Dalam testimoninya di hadapan Jawatankuasa Bersama Ekonomi, Bernanke mendesak Kongres supaya mengelakkan tindakan yang mungkin "menghalang pemulihan ekonomi yang sedang berlaku," manakala secara serentak melaksanakan rancangan untuk mengurangkan defisit masa depan dalam jangka panjang, menambah bahawa "belanjawan persekutuan jelas pada masa sekarang tidak pada laluan mapan."

Dalam testimoni yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen, seperti CNN, Bloomberg, CNBC,  malam tadi (waktu Malaysia), beliau  juga membayangkan bahawa Rizab Persekutuan akan mempertimbangkan tindakan seterusnya jika ekonomi terus menjadi teruk.  Jawatankuasa dasar Rizab Persekutuan "akan terus memantau secara teliti  terhadap perkembangan ekonomi dan bersiap sedia untuk mengambil tindakan seterusnya jika perlu untuk merangsang pemulihan ekonomi yang lebih kuat dalam kestabilan harga. 

Bernanke memberikan amaran kepada anggota Kongres bahawa sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan beliau mengakui pemulihan lemah dan menyampaikan tinjauan yang muram tentang ekonomi.

Komen tersebut membayangkan Bernanke mungkin belum selesai selepas percubaan pada Ogos dan September lalu untuk memperkukuh rekod rangsangan monetari dengan alat bukan konvensional.  Bank pusat Amerika itu dengan kadar faedah penanda aras hampir sifar dan AS$2.3 trilion pembelian perumahan dan hutang kerajaan sejak tahun 2008 gagal mewujudkan pertumbuhan mapan dengan sendirinya dalam ekonomi dan guna tenaga. 

Ekonomi Amerika berkembang pada kadar tahunan 1.3 peratus pada suku kedua tahun ini selepas kadar 0.4 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini.  Dijangkakan untuk suku tahun ketiga, pertumbuhannya ialah pada kadar 1.8 peratus.

Semalam, pasaran saham dunia dan Amerika Syarikat, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post,  terus menjunam kerana kebimbangan kemungkiran Greece yang mengancam Eropah mengalami kemelesetan semula dan lesapnya perolehan beberapa bank besar di benua itu.  Pasaran dunia menjunam kerana, menurut The Guardian kerana mesyuarat Kesatuan Eropah menemui kebuntuan. 

Pada hari Jumaat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak akan membentangkan  Belanjawan 2012 dalam suasana  ekonomi global yang masih muram, pertumbuhan yang lemah, pengangguran yang tinggi,  krisis euro yang berpanjangan, yang diperburukkan lagi oleh politik yang lumpuh di sebelah menyebelah Atlantik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...