Artikel Popular

Tuesday, October 4, 2011

Sesumpah, Rubah, dan Singa

SELASA,  4  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-58 minggu lalu, Najib Razak mengibaratkan Anwar Ibrahim sesumpah, iaitu manusia yang tidak boleh dipegang segala janji dan kata-katanya. Najib mengingatkan, rakyat, terutama komuniti Cina diingatkan supaya tidak terpedaya dengan muslihat  Anwar Ibrahim yang sentiasa memberi kenyataan berbeza apabila bertemu kelompok masyarakat berlainan demi kepentingan politik sempit pembangkang.  Hal ini  terbukti apabila Anwar sering menabur janji bagi memuaskan hati sekelompok masyarakat tanpa mengambil serius kata-katanya sendiri.  Seorang "sesumpah politik," tegas Najib, yang mempunyai warna berlainan ketika itu. Hari ini warnanya lain dan seterusnya kerap bertukar warna.


Jika tidak silap, ini bukan kali pertama Najib menuduh Anwar sesumpah.  Dalam ucapan perasamian itu, Najib dilaporkan mendedahkan satu demi satu sesumpah Anwar itu.  


Kali pertama mendengar perkataan, yang saya tidak ingat lagi bila, tetapi pastinya dikaitkan dengan politik, saya tertanya-tanya apa bendanya sesumpah itu.  Menurut istilah (pertanian) yang dicipta oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, rupa-rupanya sesumpah itu green crested lizard (Calotes cristatellus), sejenis binatang.


Sebenarnya, mengaitkan ahli politik atau pemimpin dengan binatang atau haiwan  bukan sesuatu yang baru.  Nicollo Machiavelli melalui karyanya yang sering dipetik dan dirujuk hingga kini, The Prince - falsafah politik, pernah mengaitkan bahawa seseorang pemimpin itu ada kalanya bertindak seperti rubah, dan ada kalanya bertindak seperti singa.  Dengan kata lain, seseorang pemimpin itu tidak boleh mengharapkan dirinya sentiasa disayangi rakyat, sebaliknya, ada kalanya dia ditakuti oleh rakyat.  




Rubah atau singa, disayangi atau ditakuti, sesungguhnya menjadi ukuran penting jika kita ingin mengukur dan menilai kewibawaan seseorang pemimpin.  Dari segi ini, Najib dan Anwar mempunyai beberapa persamaan, iaitu masing-masing lebih gemar berlagak rubah atau disayangi: politik populis yang  boleh menghancurkan negara. Kedua-duanya berusaha sedaya upaya untuk memuaskan hati setiap orang, setiap kumpulan, yang pastinya berkesudahan dengan kegagalan.  


Mengapa Najib dan Anwar lebih berlagak rubah?  Jawapan yang mudah ialah situasi politik masa kini, terutamanya pasca-Pilihan Raya 2008 menuntut supaya seseorang pemimpin itu, tidak kira kerajaan atau pembangkang, perlu mendakap mesra politik populis.  Jawapan yang lain, mungkin kerana keduanya pernah belayar sekapal, meskipun kini saling bercakaran. Najib dan Anwar pernah membesar di bawah ketiak Mahathir, dan kedua-duanya pernah bersekongkol dengan bekas Perdana Menteri itu dalam menjahanamkan bahasa Melayu yang berlaku sejak tahun 1993.  (Anwar Timbalan Perdana Menteri, Najib Menteri Pendidikan.)


Justeru, dalam keghairahan Najib menuduh Anwar sesumpah, beliau sepatutnya mencerminkan dirinya juga: dua kali lima.  Kedua-duanya sesumpah politik.  Kedua-duanya juga  rubah, dan bukannya  singa: "tiada bola."  Kiblat Najib dan Anwar lebih tertumpu ke Washington, dan kedua-duanya  sentiasa tunduk pada modal.   Bahkan, Najib dan Anwar tidak mempunyai keberanian untuk menentang kejahatan politik -  memetik Michael Ignatieff. 


Bagi orang Melayu, tidak banyak harapan yang boleh diletakkan pada Najib dan Anwar, meskipun kedua-duanya bertempik gegak-gempita.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...