Artikel Popular

Sunday, October 9, 2011

Hutang: Malaysia Menghala ke Zon Bahaya?

ISNIN,  10 Oktober 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Selepas melihat  Belanjawan 2012, saya seterusnya meneliti sisipan Laporan Ekonomi 2011/2012 yang sebahagiannya dijadikan sisipan  dalam beberapa akhbar. Inilah yang saya lakukan hampir setiap tahun, iaitu melihat belanjawan bersama-sama dengan  Laporan Ekonomi.  Untuk Laporan Ekonomi 2011/2012 yang menjadi perhatian ialah hutang negara kerana seperti yang kita ketahui banyak negara di zon euro terjebak dalam krisis  hutang yang teruk, antaranya Greece, Ireland, Portugal, Sepanyol, dan Italy.    Krisis  euro ini merebak dan meletakkan dunia pada risiko.  Seperti yang dibahaskan dalam "Senarai Panjang Negara yang Gagal,"  bukan hanya membawa maksud sesebuah negara yang gagal memerintah wilayahnya, tetapi juga negara yang tidak dapat mengawal hal ehwal kewangannya.  


Meskipun hingga Jun 2011, hutang negara masih rendah, iaitu 28.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan tahun 2010, iaitu 29.6 peratus, hutang kerajaan Persekutuan diunjurkan tinggi sedikit, iaitu  53.8 peratus berbanding dengan 53.1 peratus pada 2010.  


Jumlah hutang kerajaan Persekutuan dijangkakan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.7 bilion pada tahun 2011 berbanding dengan RM407.1 bilion (12.3 peratus) pada tahun 2010, terutamanya kerana peminjaman yang tinggi untuk memenuhi keperluan kewangan.  Daripada jumlah itu, hutang domestik bernilai RM438.5 bilion (96.2 peratus).  Sementara hutang luar kerajaan Persekutuan yang kebanyakannya dihitung dalam dolar Amerika dan yen diunjurkan meningkat kepada RM17.3 bilion (3.2 peratus).


Fareed Zakaria, "Special Report:  Lessons from the Debt Debacle" dalam Time keluaran pertengahan  Ogos lalu, menyenaraikan beberapa buah negara yang dari segi nisbah hutang sebagai peratus KDNK  adalah  tinggi yang boleh dijadikan perbandingan, di manakah Malaysia. Beliau menyatakan bahawa   Sepanyol 74 peratus, Jerman 87 peratus, United Kingdom 89 peratus, Perancis 97 peratus, Amerika Syarikat 101 peratus, Portugal 111 peratus, Ireland 120 peratus, Italy 129 peratus, Greece 157 peratus, dan Jepun 213 peratus.


Jika dibandingkan dengan yang terendah dalam kalangan negara berkenaan,  iaitu Sepanyol yang hutangnya 74 peratus KDNK, maka secara sepintas lalu, Malaysia dengan 53.8 peratus, masih agak jauh.  Namun, perlu diingatkan bahawa Sepanyol kini turut terjebak dalam krisis hutang berbanding dengan Jerman dan Perancis.  Perlu diingatkan juga bahawa dari tahun ke tahun, hutang kerajaan Persekutuan tidak menunjukkan kecenderungan  untuk turun.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...