Artikel Popular

Thursday, October 6, 2011

Senarai Panjang Negara yang Gagal

JUMAAT,   7 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Belgium menghadapi krisis perlembagaan.  Raja Albert II terpaksa menamatkan percutian musim panas untuk tergesa-gesa pulang ke negaranya, membangkitkan ketakutan bahawa negara itu  akan berkecai.  Ian Traynor yang menulis dalam The Guardian pertengahan September lalu menjelaskan bahawa krisis itu agak serius. Telah 459 hari  Belgium tidak mempunyai kerajaan yang sah, memecah rekod dunia kerana para pemimpin pada kedua-dua belah pihak negara yang berpecah dari segi bahasa tidak bersetuju siapa sepatutnya dan bagaimana untuk memerintah negara itu. Perpecahan dari segi bahasa, iaitu antara penutur bahasa Perancis dengan penutur bahasa Belanda di negara itu, seperti yang dijelaskan oleh Traynor, telah lama berlaku.  


Kegagalan pembentukan kerajaan di negara itu selepas pilihan raya tahun lalu, yang berpunca daripada pertengkaran bahasa, boleh dikatakan tidak mendapat liputan di negara kita.  Bagi akhbar Inggeris di negara ini yang memperjuangkan dwibahasa, bahkan bahasa Inggeris diutamakan berbanding dengan bahasa Melayu, kegagalan dasar dwibahasa di Belgium itu mesti diperapkan sebaik mungkin. 

Dalam "Special Edition:  Issues 2011," Newsweek, memuatkan "The New Freedom: 'Borrowed Trouble' isn't Just an Expression" ditulis oleh Daniel Gross yang antaranya  membahaskan bahawa istilah "negara yang gagal"  bukan hanya digunakan untuk maksud negara, seperti Somalia yang tidak mampu memerintah wilayah mereka sendiri.  Kini, istilah itu merangkumi negara yang hilang kawalan terhadap hal ehwal kewangan mereka sendiri, seperti Greece.  Tambah beliau, "Ancaman terhadap kedaulatan kini bukannya datang daripada pemberontakan dalam negara, tetapi daripada  para pelabur antarabangsa."

Apa yang dimaksudkan oleh Daniel Gross tentang istilah "negara yang gagal" itu mempunyai pengertian yang luas: daripada kegagalan memerintah wilayah sendiri kepada kegagalan menguruskan kewangan sendiri.  Juga boleh ditambah di sini, seperti dalam kes Belgium, percakaran bahasa boleh menyebabkan sesebuah negara itu gagal apabila tidak wujud sebuah kerajaan yang sah untuk suatu tempoh yang sangat lama. 


Negara yang gagal kerana krisis hutang, selain Greece, beberapa negara lain di zon euro turut tersenarai:  Ireland, Portugal, Sepanyol, dan Italy. Krisis hutang euro, bahas Tom Strohschneider, "mesti memaksa penilaian semula kapitalisme" untuk menunjukkan bagaimana teruknya atau seriusnya krisis tersebut itu, meskipun Bernard-Henri Levy dengan penuh yakin menegaskan bahawa Eropah tidak berkecai.


Di sebelah Atlantik, iaitu Amerika Syarikat juga  bergelut dengan krisis hutang apabila penarafan kredit kedaulatan jangka panjangnya diturunkan oleh Standard's & Poor's  (S&P), daripada AAA kepada AA+.   Kedua-duanya, iaitu Amerika Syarikat dan Eropah, memetik Michael Garson, mengalami "politik yang hancur."


Apakah demokrasi dan ketidakpuasannya, seperti yang dibahaskan oleh  Geoffrey Wheatcroft  dalam The New York Times baru-baru ini, boleh membawa banyak negara lagi dalam senarai negara yang gagal?  Satu jawapan yang jelas ialah negara yang gagal bukan lagi merupakan fenomena negara Dunia Ketiga semata-mata, bahkan negara Dunia Pertama turut terlibat.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...