Artikel Popular

Saturday, October 8, 2011

Belanjawan 2012: Kilanan, Kejahilan, dan Tafsiran

SABTU,  8 Oktober  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






"Cheers All Round,"  "Bajet Sejahtera," masing-masing tajuk hadapan akhbar The Star dan Utusan Malaysia hari ini.


Setiap kali belanjawan negara dibentangkan, ada golongan yang berasa gembira, dan golongan yang sebaliknya.  Demikian juga dengan Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak di Dewan Rakyat semalam. Bagi penjawat awam, pastinya mereka berasa riang yang tidak terhingga kerana "memperoleh habuan melebihi daripada yang mereka tuntut," seperti yang dinyatakan oleh Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman dalam  The Star hari ini. 

Sejak malam tadi, dalam Facebook, sudah kelihatan keluhan kerana pekerja swasta yang  tidak menikmati apa-apa selain kenaikan caruman KWSP majikan mereka daripada 12 peratus kepada 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5000 ke bawah. Memang memeranjatkan dalam Belanjawan 2012 tidak dinyatakan dasar upah minimum yang diperjuangkan oleh pekerja sejak sekian lama, dan tentang pelanjutan usia persaraan pekerja sektor swasta. 


Belanjawan 2012 juga menyatakan bahawa kenaikan pencen tahunan secara tetap, dua peratus,  berkuat kuasa mulai tahun 2013, melibatkan peruntukan RM600 juta.  Namun, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Persatuan Pesara Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pa Wan Teh, meskipun diberikan kenaikan tahunan, pesara berpendapatan rendah masih merasakan kesepitan.  Beliau, seperti yang dipetik dalam The Star, menyatakan bahawa "banyak pesara hanya menerima pencen bulanan antara RM720 hingga RM1000, dan dua peratus hanya RM20 atau kurang."  


Melihat matematik mudah ini, timbul keraguan tentang kepekaan Najib terhadap apa yang beliau janjikan kepada pesara. Bayangkan jika pencen bulanan ialah RM500, maka pesara berkenaan akan menerima kenaikan RM10 sebulan.  Jangan terperanjat jika ada yang mengatakan bahawa "pengemis pun tak sanggup terima."  Di manakah kebijakan Perdana Menteri?  Inikah  "Dasar Transformasi Nasional:  Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara" yang beliau megah-megahkan.  Harap tidak ada yang mengubah menjadi "membelit rakyat, menyahkan negara."


Tidak kurang menarik, tetapi mendedahkan kejahilan apabila ada ahli politik, seperti yang diposkan dalam Facebook dan dimuatkan dalam akhbar hari ini, menanyakan di mana datangnya sumber perbelanjaan?  Seperti yang diketahui, selain dinyatakan dalam belanjawan, kerajaan juga menerbitkan Laporan Ekonomi yang boleh dijadikan rujukan yang penting.  Tidak dapat dipastikan, sama ahli politik berkenaan tahu akan hal ini.  Untuk Belanjawan 2012, Laporan Ekonomi 2011/2012 menyatakan sumber untuk menampung perbelanjaan bernilai RM230.8 bilion, iaitu cukai pendapatan 41.9 peratus, hasil bukan cukai dan cukai lain 24.5 peratus, cukai tidak langsung lain 12.8 peratus, duti import dan eskport masing-masing 0.9 peratus, dan pinjaman dan penggunaan aset kerajaan 19.0 peratus. 


Perlu juga dirujuk di sini bahawa  emolumen yang dimasukkan dalam  kategori belanja mengurus  adalah yang tertinggi, iaitu 22.5 peratus mengatasi perbelanjaan pembangunan untuk sektor ekonomi 12.9 peratus dan sektor sosial 5.9 peratus.  


Daripada RM230.8 bilion itu, 14.4 peratus adalah untuk subsidi, satu jumlah yang besar untuk perbelanjaan mengurus.  Diharapkan pada tahun hadapan, tidak ada pemimpin negara yang mengungkitkan pemberian subsidi kepada rakyat kerana perkara ini telah dijanjikan secara tersurat dalam Belanjawan 2012.  Diharapkan juga Najib tidak lagi mengulangi kesilapannya dengan mengibaratkan subsidi itu  "ketagih candu."


Dalam Belanjawan 2012 dinyatakan bahawa jumlah hasil kerajaan Persekutuan dijangkakan meningkat sebanyak 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion pada tahun 2012 berbanding dengan RM183.4 bilion pada tahun 2011.  Dengan mengambil kira hasil dan perbelanjaan yang dianggarkan, defisit kerajaan Persekutuan pada tahun 2012 dijangkakan 4.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan 5.4 peratus pada 2011. 


Untuk mengurangkan defisit, lazimnya adalah dengan mengurangkan perbelanjaan dan menaikkan cukai.  Namun, langkah seperti ini tidak popular dari segi politik.  Bernie Sanders (senator bebas dari Vermont, Amerika Syarikat) pernah menulis kira-kira empat bulan lalu,  bahawa pengurangan defisit memerlukan pengorbanan banyak pihak, dan pucuk pimpinan negara perlu mempunyai keberanian.  


Justeru, cadangan untuk menaikkan elaun wakil rakyat, dari banyak segi, tidak memperlihatkan kewajarannya.  Ketika pertumbuhan ekonomi dunia dalam keadaan lemah, dan Malaysia tidak terkecuali,  maka sebarang cadangan untuk memberikan faedah kepada ahli-ahli politik kita sepatutnya ditolak sama sekali mereka, sebelum rakyat jelata mempersendakan mereka. 


Melihat kemuraman ekonomi global, yang lebih ingin diperhatikan ialah kemampuan Belanjawan 2012 memacu pertumbuhan dan seterusnya mengelakkan negara daripada terjebak semula ke dalam kemelesetan;  atau mengelakkan daripada  terjebak ke dalam kebekuan yang dijangkakan melanda ekonomi dunia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...