Artikel Popular

Thursday, October 27, 2011

Pelaburan Swasta Tidak Merangsang Pertumbuhan

KHAMIS, 27 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ahli ekonomi terkenal, Johny Maynard Keynes pernah berpesan bahawa ketika kemelesetan, sektor swasta keberatan untuk melabur dan isi rumah  berbelanja dengan berhati-hati, dan dengan itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk projek kerja raya supaya aktiviti ekonomi menjadi rancak dan mewujukan permintaan agregat.  Di negara kita, setiap kali dalam pembentangan belanjawan, yang terbaharu Belanjawan 2012, kita diberitahu peranan sektor swasta, di samping sektor awam,  untuk memacu pertumbuhan ekonomi.  

Namun, sebagai ahli sejarah ekonomi yang mengkaji kapitalisme Amerika selama 35 tahun, James Livingston, berkata bahawa pelaburan swasta, iaitu menggunakan keuntungan perniagaan untuk meningkatkan produktiviti dan output, tidak semestinya  memacu pertumbuhan ekonomi.  Sebaliknya, hutang pengguna dan perbelanjaan kerajaan memacu pertumbuhan.  Pelaburan swasta bahkan tidak semestinya merangsang pertumbuhan. 

Livingston melalui makalahnya  dalam The New York Times, menulis, "ahli ekonomi akan memberitahu anda bahawa pelaburan perniagaan swasta menyebabkan pertumbuhan kerana pelaburan tersebut membayar untuk loji dan kelengkapan baru yang mewujudkan pekerjaan, meningkatkan produktiviti buruh dan meningkatkan pendapatan kerajaan.  Akibatnya, anda akan mendengar ahli politik menegaskan bahawa lebih banyak insentif untuk pelabur swasta, iaitu merendahkan cukai keuntungan syarikat akan mendorong pertumbuhan yang pesat dan lebih seimbang." 

Antara tahun 1900 hingga 2000,  jelas beliau, per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar (output barang dan perkhidmata untuk setiap orang) meningkat lebih 600 peratus. Sementara itu, pelaburan perniagaan bersih merosot 70 peratus sebagai bahagian KDNK.  Lebih daripada itu, pada tahun 1900 hampir semua pelaburan datangnya daripada sektor swasta, iaitu daripada syarikat dan bukannya daripada kerajaan, sebaliknya pada tahun 2000, kebanyakan pelaburan, sama ada daripada perbelanjaan kerajaan (daripada hasil cukai) ataupun "pelaburan kediaman," iaitu bermakna pengguna berbelanja untuk perumahan, berbanding dengan perbelanjaan perniagaan terhadap loji, kelengkapan, dan buruh. 

"Keuntungan syarikat," tulis Livingston, "tidak memacu pertumbuhan ekonomi, hanya jumlah modal lebihan yang resah, bersedia untuk membanjiri pasaran spekulatif di negara sendiri dan di luar negara."  Tambah beliau, "perbelanjaan pengguna bukan sahaja penting untuk pemulihan ekonomi, tetapi juga perlu untuk pertumbuhan seimbang dalam jangka panjang."

Dengan pendedahan ini, jelas bahawa banyak kerajaan di dunia, termasuk kerajaan kita, yang baru sahaja membentangkan Belanjawan 2012, melakukan perhitungan yang silap terhadap peranan sektor swasta dalam pertumbuhan ekonomi.  Sebaliknya, untuk merangsang pertumbuhan, seperti yang dibahaskan oleh Livingston, bergantung pada perbelanjaan kerajaan dan perbelanjaan pengguna.  

Nampaknya, Najib Razak jika diteliti Belanjawan 2012, menggunakan petua yang silap sebahagiannya,  untuk memacu pertumbuhan ekonomi kerana mengharapkan peranan sektor swasta.  Pelbagai insentif yang beliau curahkan untuk sektor swasta, jika kita berpegang pada pendapat Livingston, tidak signifikan dalam memacu pertumbuhan.   

Kes di negara kita lebih rumit kerana banyak berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam perbelanjaan kerajaan, angkara penjawat awam yang dimuakan, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, yang terbaharu 2010, mungkin boleh membantutkan pertumbuhan. Lebih buruk lagi, setiap tahun perbelanjaan untuk emolumen adalah jauh lebih tinggi daripada pebelanjaan untuk pembangunan yang sering berlaku ketirisan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...