Artikel Popular

Saturday, October 1, 2011

Bertaraf Dunia

SABTU, 1  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hari ini, segala-galanya bertaraf dunia:  Pendidikan bertaraf dunia;  universiti    bertaraf dunia; modal insan bertaraf dunia; penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia.  Kalau kita memandu di sepanjang lebuh raya, atau bersiar-siar di kota raya, pastinya kita  akan bersua dengan papan iklan yang mengungkapkan bertaraf dunia. Bateri pun ada yang bertaraf dunia.  Pendek kata, bertaraf dunia, menjadi kesayangan setiap orang.  Mungkin suatu masa kelak, ada rumah urut yang bertaraf dunia!

 Pada tahun 2005, Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) menganjurkan forum tentang pendidikan universiti.  Salah seorang ahli panel forum itu ialah Dr.  Jomo K.S. yang ketika itu telah pun berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Oleh sebab forum itu dianjurkan oleh PSSM yang pernah saya anggotai serta menjadi ahli jawatankuasa, berlangsung pula  di Dewan Bahasa dan  Pustaka, dan hasrat bertemu dengan rakan lama, iaitu Dr. Jomo, maka saya turut hadir.


Antara komen atau kritikan Jomo tentang universiti bertaraf dunia ialah  ukuran dan univerisiti manakah yang boleh dijadikan perbandingan. Bagi beliau, Havard University, tempat beliau pernah menuntut ilmu tidak boleh dijadikan ukuran kerana di universiti itu, sesiapa sahaja boleh masuk, paling tidak untuk kursus jangka pendek, asalkan ada wang.  Di negara Dunia Ketiga,  tegas beliau, kalau tidak silap pendengaran, ada dua buah universiti di Asia, iaitu Jawaharlal Nehru University dan University of the Phillippines.  Juga kalau tidak silap pendengaran saya, beliau ada menyebut sebuah universiti di Mexico.  Hujah beliau ialah di mana-mana sahaja, baik di negara maju, mahupun  negara membangun, universiti sedang mengalami kemerosotan, dengan itu, tidaklah perlu bercakap tentang bertaraf dunia.


Untuk Malaysia, jelas beliau, para pelajar ekonomi ketika beliau mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia jauh lebih baik daripada pelajar ekonomi di Universiti Malaya, tempat beliau mengajar kemudian. Yang beliau cuba jelaskan tentang perbandingan itu ialah kemerosotan ilmu dalam kalangan pelajar sekarang jika dibandingkan dengan pelajar dahulu. 


Tambah beliau lagi, jika dahulu untuk mendapatkan jawatan naib canselor, perlu melobi UMNO, kini memadai dengan melobi Pemuda UMNO. Maksud beliau ialah lantikan jawatan penting di universiti berdasarkan lobi melobi dengan parti politik yang memerintah, dan bukannya berdasarkan latar belakang dan kecemerlangan akademik seseorang.   


Tentang perbandingan antara pelajar dahulu di universiti dengan pelajar sekarang, Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah, semasa berkhidmat sebagai Ketua Pengarah DBP pernah memberitahu saya, tugasan pelajar dahulu lebih baik daripada tesis sarjana atau Ph.D pelajar sekarang.


Pada hari ini, The Star menerbitkan makalah Ab Rahim Md Noor,  yang bagi saya, tidak lebih sebagai kata-kata basi, apabila beliau menulis "usaha sedang dilakukan untuk menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia."




Namun, saya perlu akui bahawa mungkin saya ketinggalan dari segi  perbincangan tentang bertaraf dunia.  Buku terakhir yang saya baca pada pertengahan tahun 1990-an tentang perkara tersebut ialah, World Class:  Thriving Locallly in the Global Economy oleh Rosabeth Moss Kanter.  "Bertaraf dunia," seperti Moss Kanter tegaskan, "merupakan permainan kata yang menunjukkan kedua-duanya, iaitu keperluan untuk memenuhi piawai yang tinggi di mana-mana sahaja untuk bersaing dan pertumbuhan kelas sosial yang ditakrifkan oleh kemampuannya untuk menguasai sumber dan beroperasi melampaui sempadan dan merentasi wilayah yang luas."  


Beliau membezakan kelas yang berpecah antara kosmopolitan dan tempatan.  Bagi kosmopolitan, beliau menjelaskan, mengandungi tiga aset tidak ketara, iaitu tiga C's: konsep (concepts) - pengetahuan dan idea terbaik dan terkini; kecekapan (competence) - keupayaan untuk beroperasi pada piawai yang tinggi di mana-mana jua; dan hubungan (connections) - hubungan yang paling baik yang menyediakan akses kepada sumber daripada orang dan organisasi lain.


Meskipun pengetahuan saya tentang bertaraf dunia amat daif, kesimpulan yang saya dapat buat ialah perbincangan tentang bertaraf dunia,  khususnya untuk universiti,  tidak ubah seperti "orang buta dengan gajah."  Tidak lebih sebagai slogan yang gah-gah atau hebat kedengaran, tetapi isinya kosong.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...