Artikel Popular

Monday, October 24, 2011

Ekonomi Menentukan Kemenangan Cristina Fernandez

ISNIN, 24 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Argentina, Cristina Fernandez  dipilih semula semalam dengan mencapai kemenangan besar dalam sejarah negara itu selepas kerajaan mengagihkan kekayaan daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat.  Balu berusia 58 tahun itu memperoleh 53 peratus undi selepas tiga perempat pusat pengundian melaporkan keputusan di seluruh negara.  Pencabar terdekatnya hanya meraih 17 peratus. Presiden wanita pertama di Amerika Latin ini menjadi jaguh pendekatan Argentina untuk krisis kewangan global, iaitu dengan memiliknegarakan pencen swasta dan menggunakan rizab bank pusat untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan bukannya melaksanakan langkah jimat-cermat, dan memaksa para pelabur dalam hutang asing menanggung beban dahulu berbanding dengan rakyat jelata.  

Cristina Fernandez de Kirchner dilaporkan  berikrar untuk mengekalkan dasar yang mengurangkan kemiskinan, meskipun dipersalahkan oleh para pelabur kerana mencetuskan inflasi lebih 20 peratus selepas mencapai kemenangan besar itu. 

"Anda boleh mengharapkan saya memperluas projek politik yang meningkatkan taraf hidup 40 juta rakyat Argentina," beliau memberitahu para penyokong selepas meraikan kemenangannya untuk penggal kedua.

Kemenangan itu, menurut tafsiran The Washington Post, "merupakan mandat untuk Cristina Fernandez untuk meneruskan dasar ekonomi bukan ortodoks yang berpunca daripada perbelanjaan negara yang besar, tetapi kurang mengendahkan pemegang bon mencuba memungut berbilion-bilion dolar hutang tidak dibayar."  

Beliau diperhatikan menggunakan model nasionalistik yang dibangunkan oleh orang kuat Argentina pada tahun 1950-an, iaitu Juan Peron.   Model berkenaan berasaskan peranan negara yang kuat dalam ekonomi, dasar direka untuk memacu sektor pembuatan dalam negara, dan langkah proburuh, seperti subsidi dan peningkatan upah yang tinggi.

Ahli ekonomi, menurut The Economist, telah lama mengingatkan bahawa ekonomi Argentina adalah  terlampau panas.  Beliau tidak mempedulikan desakan supaya mengurangkan kepanasan itu, sebaliknya meningkatkan subsidi tenaga dan pengangkutan dan perbelanjaan sosial.  Dan banker pusat beliau mencetak peso secara bebas. Setakat ini beliau mempunyai kewajaran:  ketika pemerintahannya, ekonomi tumbuh 6.1 peratus setahun.  Inflasi tinggi, meskipun tidak ada seorang pun tahu berapa tinggi, dianggarkan lebih sedikit daripada 20 peratus.  Akan tetapi, kerajaan memastikan harga meningkat secara stabil dan bukannya membenarkan inflasi pergi, dan melindungi kuasa beli isi rumah dengan memperluas faedah pencen dan kebajikan.

Tatkala ekonomi dunia masih suram dan banyak negara mengalami pertumbuhan yang lembap,  pilihan raya sesungguhnya, sesuatu yang menakutkan elit pemerintah.  Walau bagaimanapun, Cristina Fernandez, melalu dasar ekonomi yang tidak ortodoks berjaya mengharungi cabaran ini.  Seandainya beliau melaksanakan jimat-cermat, seperti yang diamalkan oleh banyak negara Eropah, nescaya tempohnya sebagai Presiden Argentina hanya setakat sepenggal.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...