Artikel Popular

Tuesday, October 25, 2011

Zon Euro Menjunam ke dalam Kemelesetan

SELASA, 25  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Selepas sebuah demi sebuah negara di zon euro bergelut dengan krisis hutang yang jalan penyelesaiannya kelihatan sukar, kini muncul masalah dalam ekonomi sebenar, iaitu zon berkenaan terbenam dalam kemelesetan.  Hal ini terbukit  apabila PMI jatuh kepada 47.2 mata bulan ini daripada 48.8 mata September, terlalu di bawah konsensus 48.5 mata daripada ahli ekonomi yang ditinjau.  

Komposit  PMI zon euro yang dipetik secara meluas, antara oleh The Guardian dan  The Telegraph, menunjukkan krisis hutang kedaulatan mengheret  zon itu ke dalam kemelesetan. Dengan data PMI ini jelas apa yang dikatakan oleh Fareed Zakaria bahawa "masalah sebenar Eropah ialah tiada pertumbuhan."  Di luar zon euro, United Kingdom dijangkakan  menuju ke arah kemelesetan curam berganda.

Data yang membimbangkan ini datang tatkala para pemimpin bertelagah sesama sendiri, misalnya Presiden Nicolas Sarkozy memberikan kata dua kepada Perdana Menteri David Cameron supaya diam kerana naik mual dengan apa yang Perdana Menteri British memberitahu apa yang zon euro perlu lakukan.  Pertelagahan antara  kedua-dua pemimpin itu, ditafsirkan oleh The Economist, "bersatu di Libya, berperang di Eropah."

Sementara di negara sendiri, David Cameron menghadapi "pemberontakan" 81 orang anggota Parlimen daripada partinya, iaitu Konservatif yang mahukan diadakan referendum atau pungutan suara berhubung dengan keanggota Britain dalam Kesatuan Eropah.  Meskipun Cameron yang menentang pungutan suara menang dengan majoriti besar, kebanyakan sokongan yang beliau peroleh datangnya daripada Parti Buruh dan parti dalam kerajaan pakatannya, iaitu Demokrat Liberal.  Akibat penentangan anggota Parlimen daripada partinya sendiri, Cameron dikatakan mengalami luka yang cukup dalam, dan beliau ialah ketua pasukan yang berseteru.



Eropah di pinggir kemusnahan, menurut pemerhatian Robert Kuttner, bahawa krisis kewangan 
Eropah yang dalam itu merupakan akibat kegagalan para pemimpin Barat menetapkan sistem perbankan ketika krisis mula tercetus pada tahun 2007.  Selain itu, di zon euro, terlalu banyak tumpuan untuk menyelesaikan krisis hutang sehingga mengabaikan langkah, seperti yang dibahaskan oleh Roger Bootle, mewujudkan permintaan agregat.

Tatkala Eropah sedang bergelut dengan krisis dan Menduduki Wall Street semakin memperoleh rentaknya, Vatican mendesak supaya dilakukan tindakan keras terhadap pasaran kewangan.  Tatkala para pemimpin Eropah bertelagah sesama sendiri, para penggubal dasar pula terhegeh-hegeh, dan ahli ekonomi terkial-kial, Vatican, seperti yang dibahaskan oleh Amy Sullivan,  mengemukakan idea radikal untuk pembaharuan kewangan.  Yang menarik, dengan cadangan itu, Vatican ditafsirkan menyokong penunjuk perasaan antikapitalis dan menyerang sistem kewangan global.


Dengan kemelesetan itu, sekali zon euro membawa igauan ngeri yang mengeruhkan lagi  kemuraman ekonomi global dan merancakkan lagi gerakan Menduduki Wall Street, yang  merebak kepada Menduduki Chicago, dan Menduduki di Merata-rata Tempat.












No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...