Artikel Popular

Tuesday, October 11, 2011

Liberalisasi: Konsensus Washington yang Sudah Basi

SELASA,  11 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebaik-baik sahaja selepas mukadimah dengan nada retorik dan bahasa yang berbunga-bunga,  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lalu, beralih kepada Fokus Pertama:  Meligat Pelaburan. Beliau dengan bangga berkata, "Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan menyasarkan sektor ini mencapai 60 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2015."   

Seterusnya, beliau memaklumkan,  "Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian; perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan; serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih."


Sejak pelaksanaan liberalisasi pertama, Najib beberapa kali membayangkan, dan bahkan menjelang pembentangan Belanjawan 2012, bahawa kerajaan akan melaksanakan liberalisasi yang seterusnya.  Kali ini, liberalisasi melibatkan 17 lagi subsektor perkhidmatan yang akan dilaksanakan secara berfasa. 



Sebagaimana liberalisasi sebelum ini, liberalisasi yang dinyatakan dalam Belanjawan juga mendapat sambutan beberapa pihak tertentu, termasuk  ahli politik pembangkang.    Sokongan ini, sememangnya  mudah untuk difahami:  "merampas" hak bumiputera yang selama ini pemilikan  tersebut tidak disenangi oleh kebanyakan ahli politik bukan Melayu terutamanya, baik dalam kalangan pembangkang mahupun dalam kerajaan sendiri.  



Dengan pelaksanaan liberalisasi itu, Najib sekali lagi memperlihatkan dirinya masih terpasung dalam keortodoksan ekonomi.  Beliau seolah-olahnya di belakang keluk bahawa kapitalisme   muflis - memetik Eric Hobsbawm, dan globalisasi kecundang akibat krisis kewangan 2008-2009.  Berikutan Menduduki  Wall Street sejak beberapa minggu lalu, kubu kapitalisme, seperti  yang dibahaskan oleh Rupert Cornwell, diduduki,  tindak balas yang hebat terhadap golongan kaya, dan menurut Paul Krugman, melalui kolumnya dalam The New York Times, rasa panik golongan plutokrat. 


Seperti yang dibahaskan dalam "Liberalisasi Jalan Tranformasi Ekonomi?" bahawa idea fundamentalis pasaran, bermula awal tahun 1980-an, didukung oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, dan Perbendaharaan Amerika dirujuk sebagai neoliberalisme atau kerana pemain utama yang merancangnya adalah semuanya di Washington, maka disebut Konsensus Washington.  Idea ini melibatkan peminumuman peranan kerajaan menerusi penswastaan perusahaan milik kerajaan dan menghapuskan kawal selia dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.  Jimat cermat fiskal, penswastaan, dan liberalisasi pasaran merupan tiga tonggak nasihat Konsensus Washington sepanjang tahun 1980-an dan 1990-an.  Liberalisasi adalah merangkumi penyingkiran campur tangan kerajaan dalam pasaran kewangan, pasaran modal, dan penyingkiran sekatan terhadap perdagangan.


Bagi Washington Konsensus, pertumbuhan berlaku liberalisasi, iaitu membebaskan pasaran.  Penswastaan, liberalisasi, dan kestabilan makro sepatutnya mewujudkan iklim untuk menarik pelaburan, termasuk pelaburan dari luar negara.  Dasar liberalisasi pasaran modal yang digesa oleh IMF, dan Perbendaharaan Amerika terus gesa, menyebabkan berlakunya ketidakstabilan di negara membangun, malahan IMF sendiri terpaksa akui akhirnya.


Neoliberalisme menggunakan Amerika Latin sebagai medan eksperimen yang pertama, dan  Amerika Latin juga merupakan rantau pertama yang menolak neoliberalisme.  Yang menarik ialah penolakan itu membolehkan Amerika Latin mengharungi kemelesetan global dan menikmati ekonomi yang lebih baik.   


Pemberontakan Arab yang tercetus pada awal tahun ini,  sering dikaitkan dengan tuntutan demokrasi dan kebebasan, dan sasaran utama ialah rejim Arab yang korup, Amerika Syarikat, dan Israel.  Namun  hakikatnya,  sekurang-kurangnya untuk Tunisia dan Mesir, adalah penentangan penduduk Arab  terhadap neoliberalisme yang dilaksanakan di kedua negara itu.  


Akibat krisis kewangan semasa, penolakan Konsensus Washington berlaku secara terang-terangan.  Bahkan, berikutan kebangkitan China, maka dikatakan Konsensus Washington lawan Konsensus Beijing.
   


Liberalisasi yang diperjuangkan oleh Konsensus Washington yang sudah basi: berakhirnya era Margaret Thatcher dan Ronald Reagan.   Amerika Syarikat tempat bertapaknya Washington Konsensus dan neoliberalisme,   seperti yang diperhatikan oleh Mark Weisbrot, bertarung dengan kebekuan ekonomi dan kelumpuhan politik.  Bahkan, yang terbaharu, jawatankuasa Hadiah Nobel tahun ini  dijangkakan membelakangi pendukung pasaran bebas sekolah Chicago: liberalisasi, penswastaan, dan pembatalan kawal selia. 


Malangnya, meskipun satu demi satu kecelakaan yang dibawakan oleh Konsensus Washington Konsensus dibongkar, dan ditolak secara terbuka oleh dunia,  Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2012,  tanpa segan silu mendendangkan idea lapuk Konsensus Washington, iaitu liberalisasi. Memang kelihatan daif untuk mengatakan bahawa beliau tidak menyedari bahawa para pemimpin dunia mula mendakap mesra fahaman perlindungan.  Meskipun  langkah itu dijangkakan menjejaskan pemulihan ekonomi global, mereka berlumba-lumba melakukannya demi menyelamatkan ekonomi negara masing-masing. 





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...