Artikel Popular

Thursday, October 27, 2011

Pertumbuhan Suku Ketiga Bawa Berita Gembira?

KHAMIS, 27  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada suku ketiga 2011 agak pesat kerana para pengguna dan perniagaan mengetepikan ketakutan tentang pemulihan  dan meningkatkan perbelanjaan, mewujudkan rentak yang boleh memacu pertumbuhan  untuk tiga bulan terakhir tahun ini.  

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat dilaporkan berkembang pada kadar 2.5 peratus secara tahunan, demikian menurut Jabatan Perdagangan dalam anggaran pertama pada hari ini.  Kadar ini merupakan kepesatan yang besar jika dibandingkan dengan 1.3 peratus pada suku kedua dan mencapai jangkaan ahli ekonomi. Kadar ini jauh lebih baik daripada suku pertama yang hanya berkembang pada 0.9 peratus, boleh dikatakan agak stabil jika pun tidak menakjubkan kerana di tengah-tengah ketakutan keruntuhan ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri mengalami penurunan gred hutangnya. Dengan itu, sekali gus memadamkan kebimbangan terhadap berlakunya kemelesetan curam berganda.

Namun, KDNK, iaitu ukuran yang lebih tentang aktiviti ekonomi, menurut  The Washington Post tidak cukup kuat untuk mengurangkan kadar pengangguran secara besar-besaran sepanjang masa: tidak cukup untuk membolehkan sebanyak 14 juta orang Amerika yang menganggur bekerja semula. 

Sebelum ini, China  mencatatkan pertumbuhan KDNK suku ketiga tahun ini 9.1 peratus.  Kadar ini jatuh sedikit jika dibandingkan dengan pertumbuhan  9.5 peratus suku kedua dan 9.7 pertumbuhan suku pertama.  Namun, pertumbuhan suku ketiga ini jauh lebih baik daripada pertumbuhan Amerika Syarikat dalam tempoh yang sama dan pertumbuhan hanya 0.2 peratus di zon euro yang terdiri daripada 17 buah negara ketika suku kedua (suku ketiga belum lagi dikeluarkan).


Dengan dua ekonomi terbesar di dunia, iaitu Amerika Syarikat dan China mencatatkan pertumbuhan yang  agak memberangsangkan, apakah banyak negara lain juga mengikut rentak yang sama?  Dan yang paling penting, adakah Malaysia mampu mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih baik demi memastikan sasaran pertumbuhan lima peratus untuk 2011 dapat dicapai?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...