Artikel Popular

Friday, October 21, 2011

Euro Terus Bergolak

JUMAAT,  21  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lebih setahun krisis hutang melanda zon euro dan sebuah demi sebuah negara menerima kesan jangkitannya, dari Greece ke Ireland dan seterusnya ke Portugal, Sepanyol, dan Italy.  Daripada PIGS (Portugal, Ireland, Greece, Sepanyol) kepada PIIGS (Portugal, Ireland, Italy, Greece, Sepanyol).  Pertemuan demi pertemuan diadakan yang melibatkan Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan yang terbaharu G-20 di Perancis  minggu lalu.  Tidak kurang pertemuan antara dalam Kesatuan Eropah itu, khususnya antara Canselor Angela Merkel dengan Presiden Nicolas Sarkozy.  

Namun, seperti yang diungkapkan dengan tepat oleh Damian Reece, "Eropah terus sakit,   tetapi tiada ubat yang mujarab." Bukan sahaja tindakan  gagal   membuahkan hasil, tetapi juga boleh dikatakan tidak ada  tindakan sama sekali. 

Yang terbaharu, seperti yang dilaporkan, pelan penyelamat terpaksa ditangguhkan  akibat perselisihan pendapat antara Berlin dengan Paris.  Maka, sekali lagi Eropah terhumban ke dalam kancah kacau-bilau selepas gagal menyelesaikan perbezaan yang mendalam antara Perancis dengan Jerman, memakssa penangguhan pelan baru untuk menyelamatkan mata wang tunggal itu. 

Kenyataan bersama daripada Presiden Perancis dan Canselor Jerman itu mengakui bahawa urus janji pada hujung minggu kini tidak dapat dicapai dan bahawa perbincangan di Brussels pada Ahad ini akan disusuli oleh sidang kemuncak kedua pada Rabu ini.  Namun, ada ura-ura  bahawa Angela Merkel ingin menangguhkan sidang kemuncak itu, yang ditafsirkan oleh Larry Elliot, "suatu permainan yang bahaya."

Sementara itu, parlimen Greece meluluskan pelan jimat-cermat di tengah-tengah tunjuk perasaan yang melibatkan kematian penunjuk perasaan.  Dalam demonstrasi yang terbaharu di Athens ini, 500,000 penunjuk perasaan yang terlibat, terbesar dalam sejarah.  "Greece berpecah kepada dua," menurut pemerhatian  Costas Douzinas.  Di satu belah ialah ahli politik, banker, dan penceroboh cukai dan raja media yang menyokong penyusunan semula  kebanyakan keganasan sosial yang dipacu oleh kelas dan  budaya Eropah Barat yang pernah wujud.   Greece "yang lain" termasuk golongan majoriti penduduk yang mengadakan demonstrasi terbaharu di Athens, melibatkan 500,000 penunjuk perasaan, terbesar dalam sejarah.  Akibat krisis hutang, garis pemisah di Greece semakin jelas.


Luka yang dalam semakin dalam apabila Standard & Poor's (S&P) mengeluarkan amaran bahawa kemelesetan curam berganda di Eropah akan membahayakan penarafan AAA Perancis dan bersiap sedia untuk menurunkan gred satu demi satu negara di Eropah Selatan.  Tindakan agensi penarafan itu dijangkakan melemahkan strategi krisis hutang Kesatuan Eropah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...