Artikel Popular

Thursday, October 27, 2011

Menghitung Kepala

KHAMIS,  27  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada 31 Oktober ini, orang ketujuh bilion dijangkakan dilahirkan, demikian lapor Time dalam keluaran terbaharunya.  Pertumbuhan penduduk berlaku dengan begitu pesat, iaitu daripada dua bilion pada 1927 kepada tujuh bilion tahun ini, dan dijangkakan lapan  bilion pada 2025, seterusnya sembilan bilion pada 2043.  Selain itu,  majalah itu menyatakan  pertumbuhan penduduk pada 2011 dirangsangkan oleh kadar kesuburan yang tinggi di wilayah miskin dan oleh peningkatan jangkauan hayat.  Kemudian, menarik perhatian dengan perlunya pembangunan akan menjadi lebih kritikal.  Majalah itu memetik pakar yang percaya bahawa krisis ekonomi mengasak 64 juta orang tambahan hidup dalam kemiskinan melampau.  

Daripada tujuh bilion orang penduduk dunia ini, Time menyatakan 19 peratus di China, 33 peratus Kristian, 50.4 peratus lelaki, 50.5 peratus hidup di bandar atau kota, umur median ialah 29 tahun, pendapatan per kapita AS$10,290 setahun, dan 73 peratus tidak menggunakan Internet.  Dari segi jumlah penduduk pula, 1.3 bilion di China, 1.2 bilion di India, 310 juta di Amerika Syarikat, 240 juta di Indonesia, 195 juta di Brazil, 174 juta di Pakistan, 158 juta di Nigeria, 149 juta di Bangladesh, 143 juta di Rusia, dan 127 juta di Jepun. 

Dengan beberapa buah negara yang majoriti terbesar terdiri penduduk Islam, seperti Indonesia,  Pakistan, Nigeria, dan Bangladesh, di samping sebagai penduduk minoriti terbesar di India, maka penduduk dunia yang beragama Islam merupakan satu jumlah yang agak besar.  Pada tahun 2009, menurut beberapa sumber, "penduduk Islam dianggarkan antara 1.2 hingga 1.57 bilion orang, atau kira 23 peratus daripada 6.8 bilion orang penduduk dunia."  Di banyak negara di Eropah, penduduk Islam merupakan golongan minoriti terbesar, dan yang paling menarik ialah kegagalan Islam menguasai benua itu melalui ketenteraan yang dilancarkan oleh Empayar Ottoman, kini Islam mara melalui demografi. 

Majalah Time juga menyatakan bahawa sejak Homo Sapiens moden muncul kali pertama kira-kira 50,000 S.M., dianggarkan sejumlah 108 bilion orang pernah hidup di dunia, yang bermakna kira-kira 6.5 peratus semua manusia yang dilahirkan masih hidup pada hari ini. "Banyak orang yang memerlukan makanan, pakaian, dan tempat tinggal, dan ahli ekonomi, ahli demografi, ahli sains, dan ahli politik yang selama berasa bimbang berhubung dengan kemampuan dunia untuk menampung manusia kerana jumlah mereka berlipat ganda."  





Hanya beberapa hari lagi menunggu kelahiran penduduk ketujuh bilion, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan Global Population Report  bahawa daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion adalah yang berumur antrara 10 hingga 24 tahun, dan 90 peratus daripada mereka tinggal di dunia membangun. Laporan PBB itu yang dipetik oleh The Guardian, menyatakan bahawa dunia akan terlepas faedah 1.8 bilion orang muda.  Dunia dalam  keadaan bahaya terlepas peluang keemasan untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, iaitu "dividen demografik,"  kerana kohort terbesar orang muda yang pernah diketahui melihat tahun produktif dari segi ekonomi mereka terbuang. Potensi faedah ekonomi berikutan mempunyai penduduk global yang besar yang terdiri daripada orang muda tidak akan dipenuhi, kerana generasi ini menanggung akibat kurang pendidikan, dan pelaburan dalam bidang infrastruktur dan penciptaan pekerjaan.

Apabila golongan belia terpisah daripada arus pembangunan, sesungguhnya ini bukannya petanda kepada mana-mana kerajaan, seperti yang telah pun berlaku sekarang ini: Dari Dataran Tahrir ke kota-kota Inggeris ke Menduduki Wall Street ke Menduduki di Merata-rata Tempat.  Golongan ini pastinya akan turun ke jalanan apabila mereka tidak mempunyai pekerjaan, seperti yang berlaku dari Seattle ke Sydney - memetik The Economist.   Dan  seperti yang berlaku di Britain apabila golongan belia, miskin, dan tidak berpendidikan, dan bukannya geng budaya,  yang merusuh dan menjarah, menurut  analisis baru-baru ini. (The Economist juga mengulas ketibaan penduduk ketujuh bilion, iaitu pertumbuhan penduduk yang pesat.)

PBB dijangkakan mengumumkan ketibaan orang ketujuh bilion itu pada minggu ini, seakan-akan suatu berita gembira. Namun, pastinya, kegembiraan yang berbaur dengan kemuraman apabila memikirkan banyaknya orang perlu   disediakan makanan, pakaian, kediaman, kemudahan kesihatan, dan pendidikan.  Sebuah planet yang penuh sesak.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...