Artikel Popular

Sunday, October 23, 2011

Menduduki Wall Street: TWSJ Dihentam

AHAD, 23  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ketika terdedahnya skandal penggodaman telefon di Britain beberapa bulan lalu, anggota penting keluarga yang mengawal   The Wall Street Journal (TWSJ) memaklumkan bahawa mereka tidak akan bersetuju menjual akhbar yang berprestij itu kepada Rupert Murdoch jika mereka sedar bahawa News International terlibat dalam skandal penggodaman telefon ketika persetujuan dicapai. 

Kejahatan yang dilakukan akhbar itu tidak terhenti setakat skandal tersebut.  Dari semasa ke semasa, terdedah cerita tentang perbuatan tidak beretika akhbar berkenaan serta pemiliknya, Murdoch.  Kira-kira seminggu lalu, The Independent melaporkan bahawa The Wall Street  Journal  edisi Eropah disiasat berhubung dengan angka pengedarannya. 

Tatkala Menduduki Wall Street ke seluruh dunia, dan boleh diikuti secara langsung, antaranya melalui The Huffington Post dan  The Nation,  di samping mendapat sokongan tokoh terkenal, antaranya bekas Presiden Bill Clinton,  Howard Buffett, anak kapitalis agung, Warrent Buffett,  beberapa ahli ekonomi terkenal, seperti Joseph Stiglitz, dan bahkan menurut tinjauan, mendapat sokongan  lebih satu pertiga orang ramai,  sebaliknya  The Wall Street Journal memperlihatkan pendiriannya yang mengundang beberapa kritikan.  

Antara kritikan itu datangnya daripada ahli ekonomi yang terkenal, Jeffrey Sachs yang menulis "mesej kepada Wall Street" yang mengkritik kejahilan The Wall Street Journal yang memperlekeh gerakan massa itu.  Bagi Sachs, akhbar itu kelihatan keliru sama sekali dalam keghairahan untuk mempertahankan ketamakan tuannya.  Tambah beliau, mungkin akhbar ini lupa menyatakan beberapa perbuatan tidak beretika beberapa ahli perniagaan dan korporat kerana akhbar ini juga terlibat dalam skandal penggodaman telefon di United Kingdom.  

"Meskipun penunjuk perasaan bukan golongan kaya," tulis Sachs, "mereka berasa mual terhadap korporat yang terus-menerus melobi yang membawa kepada pembatalan kawal selia yang semborono dalam pasaran kewangan; mereka mual terhadap Wall Street dan The Wall Street Journal yang meminta bertilion dolar pinjaman yang kadar faedah hampir sifar dan wang pelan penyelamat untuk bank-bank, tetapi kemudian menentang insurans pengangguran dan perindungan kesihatan yang terjejas akibat krisis kewangan; mereka berasa mual terhadap kadar faedah yang rendah yang tidak munasabah untuk para pengurus dana lindung nilai; mereka berasa mual terhadap Rupert Murdoch dan konconya David Koch yang mencuba menjajakan saluran paip minyak dari Kanada ke Gulf Keystone."

Akhbar itu juga menerbitkan makalah Douglas Schoen yang melaporkan beberapa tinjauannya tentang penunjuk perasaan  Menduduki Wall Street, yang membangkitkan persoalan adakah akhbar itu memberikan gambaran yang tepat?

Memang  elit Wall Street, termasuk The Wall Street Journal,  tidak berasa senang dengan Menduduki Wall Street,  lalu  mereka menggelarkan penunjuk perasaan itu tidak cangggih, tidak bijak, dan dengan beberapa gelaran yang lebih keras. Hal ini demikian kerana penunjuk perasaan bertindak balas terhadap golongan kaya, atau memperlihatkan keberangan mereka terhadap golongan elit politik tradisional

Bagi sesetengah masyarakat Malaysia yang membaca The Wall Street Journal dapat memahami kecenderungan akhbar ini, terutamanya dari segi politik jika diikuti penulisan oleh John R. Malott yang muncul sekali-sekala.  Misalnya, dalam makalahnya yang muncul Februari lalu, "The Price of Malaysia's Racism" bekas duta besar Amerika Syarikat ini   seolah-olahnya menggambarkan bahawa rasisme berleluasa di Malaysia, sedangkan hal yang sama berlaku, bahkan lebih teruk di negaranya sendiri.  Demikian juga dengan persengketaan agama yang beliau dedahkan, yang seakan-akan tidak berlaku di Amerika Syarikat, sedangkan agama kian memenuhi dataran awam.  Dalam persengketaan agama ini, beliau cenderung menyalahkan orang Islam; sedangkan jika berlaku persengketaan agama dan kaum, mana-mana pihak yang terlibat wajar dipersalahkan.  Untuk menunjukkan betapa kerap persengketaan berlaku di Malaysia, Malott membangkitkan demonstrasi kepala lembu di Shah Alam pada September  2009.  Dua bulan kemudian, tambah beliau, Datuk Seri Dr. Ahmad Zaid Hamidi, Menteri Pertahanan memberitahu Dewan Rakyat bahawa satu alasan kaum lain tidak berminat menyertai angkatan tentera kerana mereka "tidak mempunyai semangat patriotik."  

Padahal, selang masa antara kedua-dua peristiwa adalah kira-kira setahun dan bukannya dua bulan, iaitu Ahmad Zaid memberitahu Dewan Rakyat dalam sesi terakhir sidang tahun 2010 - selepas pembentangan Belanjawan 2011.  Jika seseorang itu tidak mengetahui fakta yang sebenar, dia bukan sahaja boleh dianggap tidak layak untuk berbicara sesuatu perkara, tetapi juga boleh dianggap berbohong. 





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...