Artikel Popular

Tuesday, October 25, 2011

Robinson Crusoe dan Rahsia Pengumpulan Primitif

SELASA,  25  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Saya masih ingat, semasa menuntut di universiti saya pernah mengambil kursus mikroekonomi, dan mengadakan kumpulan perbincangan dengan kawan-kawan yang mengambil kursus berkenaan, dengan setiap orang dikehendaki membentangkan topik tertentu.  Saya diminta membincangkan aspek buruh, salah satu faktor pengeluaran.  Untuk itu, saya membaca sebuah buku teks mikroekonomi yang dalam  membincangkan aspek buruh menyentuh hubungan antara Robinson Crusoe dengan Man Friday.  

Oleh sebab tertarik dengan cerita itu, saya menyentuhnya dalam perbicangan tersebut bahawa Crusoe yang meskipun terdampar di pulau yang kaya dengan hasil mahsul tidak melakukan apa-apa sehingga datangnya Man Friday. (Kalau dalam sastera Melayu Klasik, Man Friday setaraf dengan Bujang Selamat.)  Salah seorang kawan berasa kurang senang kerana saya memetik cerita tersebut untuk membicangkan faktor pengeluaran, iaitu buruh, asyik menyindir saya.  Mungkin bagi dia, cerita Robinson Crusoe dan Man Friday itu tidak ada kena mengena dengan buruh yang dibincangkan dalam mikroekonomi.  

Kemudian, kalau tidak silap ingatan saya, dalam novel Anak Semua Bangsa Pramoedya Ananta Toer, turut menyentuh cerita Robinson Crusoe dengan Man Friday untuk memperlihatkan betapa pentingnya buruh.  Tanpa mereka, sumber asli dan para pemodal tidak dapat mengaut keuntungan, atau menurut istilah Marxis,  melakukan pengumpulan modal melalui penindasan  terhadap buruh.  

Yang menarik, dalam keluaran September lalu, Monthly Review menerbitkan semula tulisan mendiang Stephen Hymer, profesor ekonomi  yang memperincikan kisah Crusoe, iaitu bagaimana bermula sebagai peniaga hamba abadi, dia menggunakan lebihan orang lain untuk memperoleh kekayaan.  Hymer melakukan sedemikian untuk menjelaskan analisis Karl Marx tentang ekonomi kapitalis, terutamanya pada zaman pengumpulan primitif yang menjadi titik tolaknya.

Untuk pengumpulan kapitalis berfungsi, dua jenis manusia mesti bertemu dalam pasaran (dan kemudian dalam proses pengeluaran), jelas Hymer.  Dari satu pihak, pemilik wang yang begitu ghairah meningkatkan modal mereka dengan membeli kuasa buruh orang lain.  Dari satu pihak yang lain pula, buruh bebas yang tidak boleh dihalang oleh obligasi prakapitalis atau harta peribadi.  Sebaik-baik kapitalisme bertapak, kapitalisme mengekalkan pengasingan ini dan mengeluarkannya semula pada skala yang berkembang secara berterusan.

Sebenarnya, banyak pengajaran yang diberikan dalam sastera klasik, termasuk sastera klasik Melayu untuk memahami, khususnya aspek ekonomi dan politik masa kini.  Malangnya, pengalaman saya ketika membaca dan meneliti kajian sastera klasik Melayu, saya dapati kebanyakannya (bukan semuanya) lemah  dari segi analisis, lebih bersifat "potong dan tampal."  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...