Artikel Popular

Wednesday, May 11, 2011

“Kita Semua Keynesian”



KHAMIS,  12 Mei 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Keruntuhan Wall Street pada pertengahan September,   krisis kewangan, dan  kemelesetan global,   kerajaan   Amerika Utara,  Eropah, dan  Asia-Pasifik,  mula  campur tangan  secara langsung dalam ekonomi masing-masing. Kerajaan di negara berkenaan melaksanakan pelan penyelamat, pelan rangsangan ekonomi, pemiliknegaraan bank-bank, dan penurunan kadar faedah. Dalam  10 hari terakhir selepas keruntuhan itu merupakan tempoh yang paling luar biasa campur tangan kerajaan Amerika Syarikat  dalam sistem kewangan sejak Kemelesetan Besar. 
Pada awal Oktober, setelah lebih seminggu menempuh jalan buntu, negara itu meluluskan  pelan penyelamat bernilai AS$700 bilion untuk menyelamatkan  sistem kewangan.      Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung pada 25 September,  memaklumkan rakyat Amerika bahawa pilihan agak terbatas, kecuali perlu melaksanakan pelan penyelamat besar-besaran yang perlu ditanggung oleh setiap lelaki, wanita, dan kanak-kanak di Amerika sebanyak AS$2300 seorang.   “Pasaran tidak berfungsi dengan teratur.  Hilang keyakinan berlaku dengan meluas, dan sektor utama dalam sistem kewangan Amerika menghadapi risiko penutupan,” jelas beliau. 
Kerajaan Eropah pula berebut-rebut untuk menyelamatkan bank-bank di negara  masing-masing daripada tumbang. Pada awal Oktober, kerajaan Eropah bekerja keras untuk mencegah krisis kewangan daripada meledak kepada krisis politik yang boleh menjejaskan keutuhan Kesatuan Eropah.  Perdana Menteri British, Gordon Brown dan Chancellor of Exchequer, Alistair Darling   mengumumkan secara rasmi peruntukan 500 bilion paun modal baru untuk menopang bank-bank Britain yang uzur.  Canselor Jerman, Angela Merkel dalam usaha untuk menghindarkan ketakutan warganegara Jerman tentang keselamatan pelaburan mereka, mengumumkan  pakej penyelamat yang baru bernilai AS$69 bilion untuk Hypo Real Estate.  Kerajaan Jerman juga mengumumkan  jaminan tanpa had yang melindungi kira-kira AS$785 bilion dalam simpanan dan akaun semasa, di samping deposit tetap.    
Pada awal November, kabinet China mengumumkan AS$586 bilion pakej rangsangan untuk menangani krisis kewangan global, iaitu  rancangan untuk melabur wang dalam infrastruktur dan kebajikan sosial hingga akhir tahun 2010.  Sementara kerajaan Malaysia  meluluskan pelan rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion.
Selain itu, Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd mengumumkan pada 30 November bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju menyediakan pakej perbelanjaan 15.1 bilion dolar Australia  yang akan mewujudkan pekerjaan ketika negara itu menghadapi krisis kewangan global.  Pakej ini yang memberikan tumpuan utama kepada kesihatan dan pendidikan akan mewujudkan 133,000 pekerjaan dan merangsangkan ekonomi.  Sebelum ini,  pada pertengahan Oktober, kerajaan Australia mengumumkan geran 10.4 bilion dolar Australia untuk pesara, keluarga, dan pembeli rumah pertama.  Yang terbaru, pada 8 Disember lalu, kerajaan Australia menyediakan bonus dalam bentuk bayaran kebajikan bernilai 8.7 bilion dolar Australia untuk pesara dan keluarga berpendapatan rendah bagi perbelanjaan Krismas.
Pada awal bulan Disember sahaja, tiga buah kerajaan memperuntukkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing: Jerman bernilai AS$41 bilion, Perancis bernilai 20 bilion euro, dan  India  bernilai AS$4 bilion.  Untuk mengelakkan kemelesetan, bank-bank pusat merentas benua, termasuk Malaysia, memotong kadar faedah.  Pada awal Disember,  Bank Pusat Eropah (ECB) dan kerajaan India turut mengumumkan pemotongan kadar faedah. 
Di tengah-tengah pelbagai langkah kerajaan ini, para pengulas dan cerdik pandai ekonomi mula memberikan perhatian terhadap idea John Maynard Keynes.  Rangkaian berita kabel,  BBC dalam program  “Global Financial Crisis” pada 19 Oktober lalu melaporkan bahawa pihak berkuasa British mengakui penemuan semula Keynesian apabila ekonomi  menggalakkan kerajaan  campur tangan.
“What Would Keynes Have Done?”  tajuk makalah yang ditulis oleh Gregory Mankiw yang diterbitkan dalam  The New York Times 1 Disember lalu mempersegarkan semula memori terhadap ahli ekonomi British yang paling berpengaruh pada abad ke-20. Mankiw, profesor ekonomi di Harvard dan pernah berkhidmat sebagai penasihat Presiden George W. Bush, menulis jika anda merujuk kepada seorang sahaja ahli ekonomi untuk memahami masalah yang berhadapan dengan ekonomi, pastinya  ahli ekonomi berkenaan ialah John Maynard Keynes.  Meskipun Keynes meninggal dunia lebih setengah abad lalu, diagnosis beliau terhadap kemelesetan kekal sebagai asas makroekonomi  moden.  Wawasan jauh beliau menjelaskan cabaran yang kita hadapi sekarang.
Sehari sebelum ini, kolumnis akhbar berkenaan, Paul Krugman melalui blognya “The Greatness of Keynes” menyebut bahawa kunci kepada sumbangan Keynes ialah kesedaran beliau bahawa keutamaan kecairan, iaitu keinginan individu untuk memegang aset monetari cair boleh mendorong kepada situasi yang permintaan berkesan tidak cukup untuk menggunakan semua sumber ekonomi. Melalui  makalahnya yang diterbitkan dalam The New York Review of Books  18 Disember, Krugman, Penerima Hadiah Nobel (Ekonomi) 2008, ketika berbicara tentang kuasa idea menyebut, “saya percaya bahawa kita bukan sahaja hidup pada era ekonomi yang meleset, tetapi juga bahawa John Maynard Keynes, ahli ekonomi yang membuat pertimbangan yang waras tentang Kemelesetan Besar, kini lebih relevan daripada sebelumnya.
Dalam Persidangan Monetari dan Kewangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bretton Woods, New Hampshire, pada Julai 1944, John Maynard Keynes dan rakan sejawatannya dari Perbendaharaan Amerika Syarikat merangkakan pelan induk yang ingin membina semula Eropah selepas Perang Dunia Kedua dan untuk mengelakkan kesilapan dasar yang menyebabkan berlakunya Kemelesetan Besar tahun 1930-an.  Perwakilan dari 44 buah negara menghadiri pembukaan persidangan 1 Julai 1944 itu, dan China prakomunis dan India prakemerdekaan turut hadir.  Di sinilah   lahirnya Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan sistem kadar pertukaran tetap yang menguatkan pengembangan yang pest selepas Perang Dunia Kedua.
Keynes  mengemukakan idea bahawa dalam tempoh kemelesetan, kerajaan sepatutnya meningkatkan perbelanjaan, memotong cukai, atau melakukan kedua-duanya untuk merangsangkan ekonomi.  Kerajaan sepatutnya menggunakan dasar fiskal, iaitu cukai dan program perbelanjaan untuk menstabilkan ekonomi.  “Walaupun langkah ini akan menyebabkan belanjawan kerajaan mengalami defisit,”  namun tegas  Keynes, “ini boleh mendorong  meningkatkan tahap pelaburan dan perbelanjaan bukan kerajaan dan   mendorong guna tenaga penuh.” 
Dengan penjelasan mudah, beliau mengemukakan pendapat bahawa kekurangan permintaan agregat menjelaskan  kemerosotan ekonomi, dan dasar kerajaan dapat merangsangkan permintaan agregat.  Jika dasar monetari tidak berkesan, kerajaan boleh bergantung pada dasar fiskal, sama ada melalui peningkatan perbelanjaan ataupun pemotongan cukai.  Keynes mengemukakan penyelesaian yang bijaksana secara matematik mengapa ekonomi dunia lembap dan bagaimana perbelanjaan defisit kerajaan dapat membawa pemulihan yang segera.  
Karya agung beliau, The General Theory of Employment, Interest and Money mengemukakan hujah intelektual yang sangat kukuh untuk New Deal Franklin Roosevelt.  Dalam buku ini, beliau berhujah bahawa pasaran bebas jika dibiarkan, tidak selalunya menghasilkan kebaikan optimum kepada masyarakat, dan bahawa apabila guna tenaga merosot, seperti yang berlaku semasa Kemelesetan Besar, kerajaan sepatutnya campur tangan.  Keynes tidak meragui bahawa pasaran berkesan “dalam jangka panjang”.  Namun, “dalam jangka panjang,” hujah beliau secara sinis, “merupakan panduan yang mengelirukan untuk hal ehwal semasa.  Dalam jangka panjang, kita semua mati."
Rukun utama Keynesianisme ialah bahawa negara yang menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk sepatutnya membelanjakan wang untuk merangsangkan ekonomi. Jika perniagaan tidak berupaya mengembang, kata Keynes, “maka kerajaan mesti berusaha mengembangkannya. Penggunaan menyediakan tapak yang luas untuk kegiatan ekonomi.  Justeru, projek kerja raya secara langsung membantu mengekalkan kuasa beli, dan memainkan peranan utama untuk menggerakkan semula pengembangan perniagaan swasta.”
Ekonomi Keynesian menguasai Amerika Syarikat dari tahun 1940 hingga 1960-an.  Dikatakan bahawa pada zaman Kemelesetan Besar tahun 1930-an hingga mencetuskan Perang Dunia Kedua, amat sukar untuk mencari seseorang yang tidak begitu terpengaruh dengan Parti Demokrat dan John Maynard Keynes dan idea beliau tentang peranan yang sangat kuat yang kerajaan boleh dan patut mainkan dalam menguasai hal ehwal ekonomi.  Pada tahun 1965, pasaran saham melambung tinggi, dan pada akhir tahun itu, majalah Time meletakkan gambar John Maynard Keynes pada kulit depannya, mengisytiharkan “kita semua Keynesian sekarang,” walaupun Keynes telah meninggal dunia pada tahun 1946.  Perisytiharan ini juga dipetik dan disebut oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1971 sebagai mempertahankan defisit fiskal dan fahaman campur tangan ekonomi dalam  pentadbiran beliau. Antara ahli ekonomi yang terpengaruh dengan Keynesian ialah Joseph Stiglitz, Ravi Batra, dan Jeffrey Sachs, tetapi Sachs tidak menggunakan  Keynesian dalam melaksanakan dasar; manakala Naomi Klein adalah antara penulis bebas yang mengagumi Keynes. 
Tempoh antara 1973 – 1979 merupakan tempoh kegagalan Keynesianisme, dan hingga tahun 1980, dikatakan bahawa sukar untuk menemui ahli ekonomi Amerika yang berumur 40 tahun ke bawah yang mengakui diri mereka Keynesian. Orientasi Keynesian dalam IMF yang menekankan kegagalan pasaran dan peranan kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan digantikan dengan mantera pasaran bebas pada tahun 1980-an, bahagian baru “Konsensus Washington”, konsensus antara IMF, Bank Dunia, dan Perbendaraan Amerika Syarikat.  Dalam tempoh itu juga, Ronald Reagan dan Margaret Thatcher mengajar ideologi pasaran bebas di Amerika Syarikat dan United Kingdom.  Akibatnya, berlaku penolakan terhadap Keynesian dan digantikan oleh ideologi neoliberal: fundamentalisme pasaran.
Tatkala krisis kapitalisme yang tidak terhalang meletus semula, orang mula bertanya: “mampukah idea ahli ekonomi agung ini benar-benar menyelamatkan dunia?”   Dalam “Bring Back Keynes” yang diterbitkan dalam The Guardian 30 September, Ann Pettifor mengingatkan  bahawa cara terbaik untuk menyelesaikan krisis ekonomi ialah dengan memotong kadar faedah, mewujudkan pekerjaan, dan meningkatkan pendapatan. 
Pelbagai campur tangan kerajaan dalam ekonomi ditafsirkan sebagai penerimaan terhadap Keynesian.  Pembinaan infrastukur atau projek kerja raya,  seperti yang diumumkan antaranya oleh bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kerajaan Malaysia, dan kerajaan Sepanyol adalah selari dengan gagasan Keynes.  Demikian juga langkah  peningkatan perbelanjaan kerajaan, pewujudan peluang pekerjaan, dan pemotongan kadar faedah yang dilaksanakan sekarang  pernah dicadangkan oleh beliau. Dikatakan bahawa Gordon Brown jelas sekali memakukan pegangannya pada tiang Keynesian dan bersedia untuk memperkenalkan pakej potongan cukai yang besar dan meningkatkan perbelanjaan, walau apa pun kos yang perlu ditanggung oleh kewangan kerajaan. 
Huraian Keynes yang panjang lebar dan terkenal tentang kepentingan idea ekonomi, seperti yang dinyatakan dalam The General Theory of Employment, Interest and Money, bahawa “lambat-laun, idea dan bukannya kepentingan diri, yang berbahaya terhadap kebaikan atau kejahatan,” kini dipetik semula.  Seperti yang dikatakan oleh Gregory Mankiw, pada tahun 2008, tidak ada ahli ekonomi yang tidak wujud lagi adalah lebih penting daripada Keynes sendiri.  Apakah perisytiharan  “kita semua Keynesian sekarang” akan bergema semula?
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Februari 2009.)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...