Artikel Popular

Tuesday, August 13, 2019

Pengumpulan Modal dan Kemiskinan Orang Melayu

SELASA, 13 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Ekonomi Melayu menjadi tumpuan Ungku Aziz apabila pada tahun  1957 beliau menulis “Zahir dan Batin Ekonomi Melayu” dalam Utusan Melayu, Singapura, pada 22, 23, 25, dan 26 Februari  (Ungku A. Aziz, 1975: 77 - 100). Sebelum ini, rencana berkenaan bersama-sama beberapa rencana lain diterbitkan dalam Renchana2 Ekonomi dan Kemiskinan [sic]. “Rencana itu beliau tulis dengan harapan ia akan menjadi satu asas untuk memikirkan dengan lebih jelas tentang hal keadaan dan masalah-masalah yang sebenarnya berkenaan ekonomi orang Melayu”  (Ungku A. Aziz, 1975: 77).  Dalam rencana itu juga, beliau membahaskan penindasan dan  “perampasan”  modal Melayu dan bukan Melayu terhadap “lebihan” yang dihasilkan oleh petani dan nelayan Melayu. Justeru, bagi beliau, “menggantikan pemodal-pemodal dan lain-lain yang seumpamanya itu dengan sebilangan orang Melayu tidak akan menyelesaikan masalah-masalah ekonomi orang Melayu.”   Hujah beliau, “gerak-geri kaum pemodal Melayu tidak akan berbeza dengan gerak-geri kaum pemodal bukan Melayu.  Bahkan, pemodal-pemodal Melayu boleh jadi lebih keras  menindas orang-orang kampung dalam perniagaan daripada pemodal-pemodal bukan Melayu tadi, kerana pengalaman mereka dalam lapangan ini masih kurang” (Ungku A. Aziz, 1975: 79; huruf condong oleh beliau sendiri.)  Di sini, beliau membahaskan eksploitasi atau penindasan kaum tani dan nelayan Melayu oleh pemodal dan bagaimana lebihan yang dihasilkan oleh mereka dirampas oleh modal.
            Rosa Luxemburg menegaskan bahawa pengumpulan modal mempunyai dua ciri; yang pertama, yang melibatkan pasaran komoditi dan tempat yang nilai lebihan dihasilkan, iaitu kilang, lombong, dan estet pertanian.  Di sini, hak pemilikan berubah dalam cara pengumpulan menjadi pengambilan (appropriation) harta orang lain, bagaimana pertukaran komoditi menjadi eksploitasi, dan kesamaan menjadi peraturan kelas (class rule).  Satu lagi aspek pengumpulan modal melibatkan hubungan antara kapitalisme dengan  ragam pengeluaran (modes of production) bukan kapitalis yang mula menjelma di pentas antarabangsa (Harvey, 2005: 137).
Kemiskinan orang Melayu benar-benar menjiwai diri  Ungku Aziz.  “Kecintaan beliau kepada masalah kemiskinan bermula sejak beliau masih kecil lagi... suasana sekeliling masyarakat Melayu yang tidak jauh dari dunia kemiskinan itu cukup mempengaruhi keperibadian beliau”  (Aziz Zariza, 1982: 21- 22).   Meskipun dekad 1970-an 1980-an terutamanya, menyaksikan “ledakan kajian” tentang kemiskinan luar bandar khususnya,  dan ketidaksamaan di negara ini yang dijalankan oleh para pengkaji atau ahli sains sosial tempatan dan asing, Ungku Aziz yang paling menonjol dan dianggap mempunyai wibawa atau autoriti, seperti yang diakui oleh  Faaland, Parkinson, dan Rais.     “Keprihatinan terhadap kemiskinan orang Melayu, terutama kemiskinan dan ketaksamarataan di luar bandar digambarkan dalam tulisan Profesor Diraja Ungku Aziz. Pengaruh beliau terhadap ahli ekonomi dan ahli politik Melayu yang muda adalah besar, yakni sejak zaman mereka menuntut di universiti di Singapura dan Malaysia, malahan juga mereka yang menuntut di luar  negeri.  Mereka ini ‘diserahkan’ dengan tugas untuk membaiki nasib bangsa dan negara mereka, telah berjaya mengetengahkan sesetengah buah fikiran Ungku Aziz ke dalam dasar dan program tertentu apabila memegang jawatan-jawatan penting dalam bidang pentadbiran dan perancangan negara” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 234).   Teori utama yang dikemukakan oleh Profesor Ungku Aziz ialah kemiskinan orang Melayu disebabkan “daya pengeluaran yang rendah, eksploitasi dan orang tengah, terbiar, dan dasar kerajaan yang memberikan tumpuan yang lebih terhadap bandar” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 234).   Isu ini diperkembangkan lagi dalam pelbagai kajian lain. Berbagai-bagai kategori kemiskinan telah dikenal pasti, seperti kemiskinan teras dalam kalangan pekebun kecil, penanam padi, dan lain-lain, juga kemiskinan mengikut wilayah. Bermacam-macam dasar yang terperinci untuk menangani masalah tersebut telah dicadangkan.  Beberapa institusi khusus telah ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah tersebut... Penyelesaian yang dicadangkan, termasuk penyelesaian berbentuk sosialis dan Marxis, di samping pelbagai kaedah yang dicadangkan oleh badan antarabangsa, seperti Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 234).
Bagi Ungku Aziz, kemiskinan mereka hanya boleh dipelajari melalui penyelidikan. Justeru, beliau banyak bertanggungjawab terhadap penyelidikan dalam usaha menangani kemiskinan di negara ini.  Beliau menjalankan penyelidikan tentang punca kemiskinan luar bandar, di samping mengenal pasti kaedah untuk membasmi kemiskinan. Tambahan pula, “penglibatannya  dengan  RIDA (Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau Rural and Industrial Development  Authority), iaitu sebagai penasihat  pada tahun 1952, menjadikan kemiskinan luar bandar punca kepakaran beliau.  Secara lebih dekat, membolehkan Ungku Aziz mengkaji, menulis, dan menghasilkan kertas kerja tentang kemiskinan orang Melayu”  (Ramlah, 2005: 248).
Ungku  Aziz adalah antara intelek Melayu yang banyak membincangkan kemiskinan orang Melayu melalui tulisannya yang bertajuk “Facts and Fallacies about the Malay Economy” dan “Poverty and Rural Development in Malaysia.”   Penelitian beliau menyimpulkan pada ketika itu kira-kira 76 peratus Melayu bekerja sebagai petani dan nelayan, dan 80 peratus tinggal di desa dengan memperoleh pendapatan paling rendah. Menurut Ungku Aziz, masalah kemiskinan utama ialah masalah kemiskinan Melayu dan kemiskinan desa dan menyarankan beberapa penyelesaian, antaranya melalui pembangunan desa, reformasi institusi, dan gerakan koperasi.  Ungku Aziz mengaitkan kemunduran Melayu dengan sistem eksploitasi “monopoli-monopsoni” dan juga pengabaian sektor desa (Chamhuri, 2008: 218 – 219). Beliau menekankan perlunya reformasi institusi supaya halangan fundamental terhadap pembangunan desa  dan pembasmian kemiskinan dapat diketepikan (Chamhuri dan Nik Hashim, 1991: 122).
Meskipun kemiskinan dalam kalangan orang Melayu dibincangkan oleh beberapa tokoh sebelum dan selepas  Perang Dunia Kedua, “ahli akademik yang paling penting ketika itu, khusus dalam penyelidikan empirikal, ialah Ungku Aziz, seorang ahli ekonomi”  (Shamsul Amri, 2007: 74). Pertama, Ungku Aziz menghuraikan dan membuktikan bahawa kemiskinan orang Melayu  tergolong dalam fenomena  kemiskinan luar bandar kerana kemiskinan sedemikian terikat  rapat dengan soal tanah.  Kedua, Ungku Aziz juga memperkenalkan satu ukuran atau indeks, tentang kemiskinan Melayu luar bandar, yang dipanggilnya sarong index, suatu ukuran kemiskinan luar bandar yang cukup asli dan kemudiannya menjadikan Ungku Aziz terkenal di seluruh dunia.
(Dipetik daripada Bab Satu, Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...