Artikel Popular

Friday, December 14, 2012

Rasuah: Adakah Kedudukan China pada Tangga ke-80 Wajar?

JUMAAT, 14 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Transparency International baru sahaja menerbitkan Corruption Perception Index.  Indeks yang mengkaji orang perniagaan dan pakar negara untuk mengukur tahap yang ditanggapi tentang rasuah kerajaan di negara dan wilayah di seluruh dunia, menyaksikan Denmark menduduki tangga teratas sebagai negara  kurang rasuah, diikuti oleh Finland, New Zealand, Sweden, dan Singapura.  

Negara lain yang tersenarai dalam 10 teratas kurang rasuah ialah Switzerland, Australia, Norway, Kanada, dan Belanda.  Sementara Malaysia menduduki tangga ke-54, di belakang Brunei yang menduduki tangga ke-46, manakala Thailand ke-88, Filipina ke-105, dan  Indonesia ke-118.  

Kedudukan China pada tangga ke-80 daripada 176 buah negara, seperti yang dibahaskan oleh David Caragliano, mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakyat di negara itu. Sesetengahnya menganggap bahawa Transparency International terlalu berlembut dengan China, sedangkan rasuah di China adalah teruk.  Sesetengah ulasan, menurut Caragliano, melahirkan campuran kebanggaan dan nasionalisme bahawa sekurang-kurangnya China  mengatasi  negara "demokratik," seperti India, Rusia, Mexico, Argentina, Greece, dan lebih baik daripada negara pasca-Pemberontakan Arab, iaitu Mesir dan Libya.

Dalam konteks yang lain,  Caragliano melihat indeks tanggapan rasuah itu mengemukakan satu lagi contoh bagaimana maklumat dalam talian dan rangkaian sosial menyediakan saluran untuk warganegara membangunkan  maksud yang lebih bebas tentang bagaimana kerajaan mereka beroperasi. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...