Artikel Popular

Wednesday, December 12, 2012

Murid Asia Kuasai Matematik, Sains, dan Pembacaan

RABU, 12  Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebagaimana beberapa kajian sebelum ini, murid di beberapa buah negara Asia menguasai mata pelajaran matematik, mata pelajaran sains, dan pembacaan.  

Lapan buah negara atau wilayah, menurut Bloomberg, termasuk Korea Selatan, Singapura, dan Hong Kong mengatasi Amerika Syarikat dalam matematik gred kelapan, manakala sembilan negara atau wilayah dalam sains, memetik Trends in International Mathematics and Science Study yang terbaharu.  Dari segi peperiksaan pembacaan, Amerika Syarikat di belakang lima buah negara atau wilayah. 

Menurut TIMSS 2011 International Results in Mathematics, negara Asia Timur terus mendahului dunia dari segi pencapaian matematik.  Singapura, Korea Selatan, dan Hong Kong, diikuti oleh Taiwan dan Jepun, merupakan negara  teratas dalam matematik gred keempat.  Demikian juga dalam gred kelapan,  Korea Selatan, Singapura, dan Taiwan mengatasi semua negara  lain, dikuti oleh Hong Kong dan Jepun.

Di samping lima negara teratas untuk gred keempat itu, Ireland Utara, Belgium (Flemish), Finland, England, dan Persekutuan Rusia, turut tersenarai dalam 10 buah negara teratas.  Dalam gred kelapan, Persekutuan Rusia, Israel, Finland, Amerika Syarikat, dan England, turut tergolong  dalam senarai 10 buah negara teratas. 

Dari segi trend antara tahun 1995/1999 dengan 2011, untuk gred kelapan, Malaysia tergolong dalam negara yang merosot bersama-sama beberapa buah negara lain, antaranya Finland (gred ketujuh), Hungary, Jepun, Norway, Sweden,  dan Thailand.

Korea Selatan dan Singapura juga merupakan negara teratas dalam sains untuk gred keempat, menurut TIMSS 2011 International Results in Science, disusuli oleh Finland, Jepun, Persekutuan Rusia, dan Taiwan.  Untuk gred kelapan, Singapura mempunyai pencapaian purata paling tinggi, diikuti oleh Korea Selatan, Taiwan, dan Jepun. 

Dari segi pencapaian dalam pembacaan tahun 2011,  Hong Kong, Persekutuan Rusia, Finland, dan Singapura merupakan negara teratas. Diikuti oleh Ireland Utara, Amerika Syarikat, Denmark, Crotia, Taiwan, dan Ireland, untuk 10 buah negara teratas.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...