Artikel Popular

Monday, December 3, 2012

Perang Budaya dalam Pilihan Raya Presiden

ISNIN, 3 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Presiden tahun 2012 pastinya menyaksikan pertandingan antara Presiden Barack Obama daripada Demokrat  dengan Mitt Romney daripada Republikan. Meskipun Republikan masih mengadakan pemilihan awal, Romney terus mendahului pesaingnya.  Kedudukan Romney semakin selesa apabila pencabar terdekatnya, Rick Santorum mengumumkan bahawa beliau keluar lebih awal daripada persaingan.
            Sebagaimana Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat sebelum ini, ekonomi  dan dasar luar negara itu dijangkakan mencorakkan kempen. Walaupun kempen kini lebih tertumpu terhadap perdebatan antara calon Presiden daripada Republikan, Barack Obama yang mempertahankan Rumah Putih kadangkala turut terbabit.  Selain ekonomi dan dasar luar, pilihan raya ini dikatakan menyaksikan dua peperangan, iaitu perang kelas dan perang budaya. Berikutan kemunculan gerakan Menduduki Wall Street yang mengetengahkan ketidaksamaan pendapatan antara golongan 99 peratus dengan golongan satu peratus, di samping keterhakisan golongan menengah di negara itu, maka dijangkakan bahawa untuk pertama kali, kelas menguasai persaingan.
            Dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2008, Barack Obama   menggunakan slogan “Yes, We Can” untuk menggembleng sokongan terhadap beliau.  Obama dikatakan berjaya menggunakan budaya popular secara berkesan, meskipun pencabarnya, Hillary Clinton dan seterusnya John McCain berusaha memperlekehkan usaha beliau itu.  Empat tahun kemudian, Mitt Romney dalam pemilihan awal Republikan, diperhatikan tenggelam dalam budaya pop kerana beliau lebih dikenali sebagai tokoh korporat yang menjadi kesayangan Wall Street.
            Selain perang kelas, perang budaya dapat dikesan sejak pada peringkat pemilihan awal Republikan, baik antara calon yang bertanding, mahupun antara mereka dengan Presiden Obama.  Salah seorang calon, iaitu Rick Santorum, pada bulan Mac lalu mencetuskan perang budaya baru apabila beliau semasa kempen awal di Puerto Rico, menyokong kempen untuk menjadikan bahasa Inggeris bahasa rasmi di pulau yang gerakan bahasa Inggeris Rasmi belum berkubur. Santorum menegaskan bahawa untuk memperoleh taraf negara, penduduk Puerto Rico perlu bertutur dalam bahasa Inggeris. Komen beliau itu mencetukan kekecohan di Puerto Rico yang menggunakan kedua-dua bahasa, iaitu Inggeris dan Sepanyol merupakan bahasa rasmi pulau tersebut, tetapi di tanah besar, pejuang bahasa Inggeris Rasmi berasa teruja: “Santorum mempertahankan bahasa Inggeris sebagi bahasa bersama!”
            Gabrielle Gurley yang menulis dalam guardian.co.uk menegaskan bahawa meskipun suatu kemungkinan untuk hidup dalam permukiman atau enklaf linguistik di Amerika Syarikat yang meminimumkan keperluan fasih  bahasa Inggeris, tidak ada seorang pun benar-benar mempertikaikan hakikat bahawa individu yang ingin mencapai kejayaan di sekolah dan di tempat kerja mesti cekap dalam bahasa Inggeris.  “Apa yang mesej Santorum secara bijak lakukan,” hujah Gurley, “menetapkan satu lagi barisan hadapan dalam perang budaya dengan mendasari hakikat bahawa bahasa Inggeris tidak mempunyai mana-mana status dalam undang-undang Persekutuan sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat.”  Di negara dengan 303 bahasa lain, jelas Gurley, peningkatan yang besar dalam  penutur bahasa lain di negara itu adalah dalam kalangan penutur bahasa Sepanyol.  Pada tahun 2007, wujud 23 juta orang yang berumur lima tahun yang bertutur bahasa Sepanyol di rumah, meningkat 211 peratus daripada bilangan pada tahun 1980.
            David Remnick yang menulis dalam The New Yorker pada awal Februari, mengiystiharkan “di sini datang perang budaya!” Di dalam Rumah Putih Obama, dengan kejayaan dasar luar, daripada penghapusan Osama bin Laden kepada pengunduran dari Iraq dan (tidak lama lagi) Afghanistan, dasar itu akan tidak penting sama sekali pada bulan November ini.  Pilihan raya ini, yang Presiden dan para pembantunya akui, akan tertumpu secara keseluruhannya terhadap ekonomi, iaitu angka pengangguran, penutupan gadai janji, debat tentang pelan penyelamat, bank, defisit, cukai, ketidaksamaan pendapatan, dan ya, “perang kelas.”
            Namun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, hujah Remnick, calon-calon Presiden, orang yang bijak pandai (cognoscenti), dan pemimpin Kongres daripada Republikan, jelas memperlihatkan bahawa perang budaya tidak  diperturunkan kepada Reverend Falwell dan Roberston.  Jelas beliau lagi, “Mitt Romney, Newt Gingrich, dan Rick Santorum asyik terhadap mengapi-apikan kebimbangan budaya, ketakutan, atau rasa geram yang dapat ditemui.  Lebih banyak ekonomi menunjukkan isyarat yang baik, meskipun sedikit, meskipun mengelirukan dalam banyak cara, nescaya lebih banyak anggota Republikan dan jaguh media mereka, berkemungkinan mengambil jalan keluar jenis pertarungan yang digariskan dalam buku Bill O’Reilly pada tahun 2006, iaitu Culture Warrior yang menganjurkan negara dibahagikan antara orang yang berpegang pada kepercayaan, sopan, dan kerja kuat dengan puak sekular yang merosakkan, golongan yang kecil, tetapi minoriti yang berkuasa dibiayai oleh Soros yang tahu bahawa hanya rasa benci terhadap ‘nilai tradisional Amerika’ dan mahu membentuk negara ke dalam imej Eropah Barat’.”
            Bagi Barack Obama, selain dilemparkan tuduhan “sosialis Kenya,” beliau ditanggapi sebagai orang Islam.  Satu tinjauan pendapat menunjukkan bahawa anggota Republikan di Alabama dan Mississippi mempercayai beliau ialah Islam berbanding dengan memikirkan beliau Kristian.  Sementara tinjauan pendapat yang melibatkan anggota Republikan di Illinois mendapati lebih 39 peratus percaya Obama ialah Islam berbanding dengan Kristian (24 peratus). Peratusan yang sama anggota Republikan Illinois mengatakan bahawa Obama tidak lahir di Amerika Syarikat (36 peratus) sama dengan yang mengatakan bahawa beliau lahir di negara itu (36 peratus), meskipun beliau berkhidmat sebagai Senator negeri di Illinois dari tahun 1997 hingga 2004, Senator Amerika Syarikat dari tahun 2005 hingga 2008, dan kini mengekalkan kediaman di negeri itu.  Obama juga memenangi hampir tidak pernah didengar 40 peratus undi Republikan Illinois.  
            “Kepercayaan bahawa Obama adalah sesuatu selain Kristian dan lahir di Amerika Syarikat,” hujah Harry J. Enten dalam guardian.co.uk, segala-galanya berkait dengana ideologi.” Tambah beliau, “kebanyakan anggota Republikan mungkin tidak percaya Obama ialah islam.  Mereka hanya benar-benar tidak menyukai beliau.”
            Republikan, termasuk calon Presiden,  diperhatikan begitu ghairah mencanangkan  krisis moral di Amerika Syarikat: pengguguran kandungan, perkahwinan “gay,” dan pencegahan hamil. Namun,  krisis sebenar kemoralan awam di negara itu  bukannya terletak pada keputusan peribadi yang rakyat Amerika buat dalam kehidupan atau di tempat tidur mereka.  Krisis tersebut, hujah Katrina vanden Heuvel dalam akhbar The Washington Post, terletak pada tonggak ideologi dan set dasar yang puak sayap kanan gunakan untuk memusnahkan dan menakut-nakutkan rakan-rakan Amerika mereka.”  Memang sangat aneh, hujah beliau lagi,  bahawa orang yang bersyarah begitu berapi-api tentang kemorahan ialah mereka yang paling bersedia berjuang untuk dasar yang terlalu tidak bermoral.  Mereka memerhatikan Wall Street mengubah dirinya menjadi tarian bogel Las Vegas, membawa kemelesetan ekonomi, dan memusnahkan kehidupan dan mata pencarian orang ramai. Katrina menggasak calon Presiden Republikan, Rick Santorum, Mitt Romney, dan Paul Ryan, dan ahli politik parti itu di seluruh Amerika Syarikat dengan menyindir: “Anda betul, seperti betul yang anda pernah lihat.  Akan tetapi, bukan wanita atau golongan miskin atau golongan kelas menengah atau komuniti ‘gay’ atau penyokong penjagaan kesihatan atau pencinta alam sekitar yang menyebabkan berlaku krisis tersebut.  Anda yang menyebabkannya.”
Barack Obama sepatutnya berasa gembira jika perang budaya merupakan isu utama dalam Pilihan Raya Presiden, tulis William Galston dalam The New Republic.  Satu demi satu kajian menunjukkan bahawa isu sosial  terkebawah dalam senarai keprihatinan awam dalam kitaran pilihan raya yang dikuasai oleh kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, defisit, dan hutang. Semua kebimbangan itu terlalu menonjol dalam asas Parti Republikan, tetapi tidak seorang pun patut mengelirukan para pengundi itu  dengan para pengundi nasional.  “Jika penambahbaikan ekonomi berlaku agak pantas  untuk membolehkan pengguguran kandungan, perkahwinan ‘gay,’ dan kebebasan agama untuk muncul daripada bayang-bayang,” tulis Galston, “Obama akan menang.”
Bagi Barack Obama pula, beliau nampaknya bersemangat untuk bertempur di medan perang budaya yang dibuka oleh Republikan, sekurang-kurangnya beliau dapat menghindari pengangguran yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lemah yang sentiasa menghantui dirinya.  Bahkan, Obama sendiri tidak teragak-agak menyeru perang budaya apabila beliau memilih sasarannya, iaitu Paul Ryan, penggubal cadangan belanjawan Republikan yang baru, yang menyokong dan berkempen untuk Romney ketika pemilihan awal parti itu di Wisconsin. Obama menggasak bersungguh-sungguh   cadangan belanjawan Ryan itu, menggelarnya  “Kuda Trojan” yang menyembunyikan “Darwinisme sosial berselubung nipis.”  Dialektik Ryan/Obama dikatakan menunjukkan keterbalikan luar biasa pola biasa politik Amerika, iaitu anggota Demokrat mengemukakan cadangan dasar yang serius dan substantif; anggota Republikan bertindak balas dengan politik perang budaya yang tidak waras.
Tatkala pertarungan kian jelas, iaitu antara Obama dengan Romney,  dan perang budaya turut menjadikan pertarungan semakin sengit, David Maraniss menulis dalam The Washington Post tentang salasilah keluarga mereka yang mempunyai persamaan.   Leluhur kedua-dua calon Presiden ini, iaitu Obama dan Romney,  mengamalkan poligami, manakala    ibu bapa kedua-duanya lahir di luar Amerika Syarikat.  Meskipun tulisan itu bukan tentang perang budaya, sekurang-kurangnya dengan membangkitkan poligami yang diamalkan dalam kalangan nenek moyang kedua-dua calon itu, menandakan bahawa dalam politik, budaya juga tidak dilupakan.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Jun 2012.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...