Artikel Popular

Tuesday, December 18, 2012

Sisa Pilihan Raya Tidak Kelihatan

SELASA,  18  Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Saya tiba di San Francisco belum sampai sebulan  Pilihan Raya Amerika Syarikat berlangsung.  Justeru, sejak di Malaysia lagi saya mengharapkan dan menjangkakan bahawa sisa pilihan raya, baik Presiden, mahupun anggota Dewan Perwakilan dan Senator masih dapat dilihat di sana sini.  Seperti di negara kita, poster calon dan bendera parti-parti politik masih kelihatan saki-bakinya.  

Sejak awal pagi, dari bilik Hotel Holiday Inn Civic Center, tempat saya menginap untuk satu malam, saya cuba meninjau kawasan keliling kalau-kalau masih wujud saki-baki  itu berkibaran atau bergantungan.  Namun, tidak kelihatan sama sekali.  

Demikian juga ketika  meninggalkan hotel berkenaan pada pukul 7.55 pagi, ke Puncak Kembar (Twin Peaks) dan Golden Gate, kemudian bersiar-siar seketika sebelum ke China Town, segala-galanya kelihatan bersih daripada pilihan raya.  Seolah-olahnya tidak ada pilihan raya pada 6 November lalu.  Bendera dan poster tidak kelihatan.

California, negeri terletaknya San Francisco, merupakan kubu Demokrat; di sini, dari segi politik, wujud nama semasa yang terkenal, seperti Nancy Pelosi, bekas Speaker Dewan Perwakilan, kini Pemimpin Minoriti Dewan Perwakilan, dan Kamala D.  Harris, peguam negeri.  California yang mempunyai 55 undi badan perwakilan pemilih paling banyak,  dalam Pilihan Raya baru-baru ini menjadi tumpuan kerana wang gelap turut menjalar ke negeri itu.


Dalam perjalanan ke Nevada yang kiri kanan jalan kelihatan gurun dan bukit-bukau dengan sekali-sekala kelihatan kawasan kediaman,  dan seterusnya memasuki Las Vegas, saya masih meninjau kemungkinan sisa pilihan raya kelihatan. Ringkasnya, dari California ke Nevada  dan  Arizona, balik semula ke Nevada dan California,  hasrat saya tidak kesampaian.  

Sebagaimana di California, di Nevada, wujud nama besar dalam politik, iaitu  Harry Reid, pemimpin Majoriti Senat,  yang semasa Pilihan Raya Presiden baru-baru ini, mendakwa bahawa Mitt Romney tidak membayar cukai pendapatannya selama 10 tahun.  Sementara di Arizona, pastinya Senator John McCain, calon Presiden daripada Republikan pada tahun 2008.

Hanya pada malam terakhir di Amerika Syarikat, iaitu ketika bersiar-siar di Los Angeles, dari dalam bas, saya terpandang perkataan "Obama," walaupun hari sudah gelap. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...