Artikel Popular

Sunday, December 16, 2012

Pencapaian Matematik dan Sains: Bahasa Pertama Penting

AHAD, 16 Disember 2012
Oleh: ZULKIFLI SALLEH


Laporan terbaharu tentang pencapaian matematik, sains, dan pembacaan bukan sahaja mendapat perhatian di Amerika Syarikat, seperti yang dibahaskan oleh Kevin Drum,  bahkan juga di Malaysia.  Sama ada mempunyai hubungan sebab-musabab yang kukuh ataupun tidak,  kemerosotan murid di negara ini dalam matematik dan sains gred kelapan berlaku ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di pelbagai peringkat, daripada sekolah rendah kepada menengah sejak  tahun 2003.

Pada tahun ini, TIMSS menerbitkan penilaian antarabangsa matematik dan sains pada gred keempat dan kelapan tahun 2011, yang dijalankan setiap empat tahun sejak tahun 1995.  Penilaian terbaharu itu dari segi nasional, mewakili sampel pelajar di 63 buah negara dan 14 entiti tanda aras (bidang kuasa wilayah sesebuah negara, seperti negeri, yang menyertai TIMSS. 

Secara keseluruhan, lebih 600,000 orang pelajar menyertai TIMSS pada tahun 2011.  TIMSS tahun 2011 meneruskan siri penilaian antarabangsa dalam matematik dan sains yang dijalankan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA).  

Bagi matematik gred keempat dan kelapan, TIMSS tahun 2011 dalam ringkasan eksekutifnya mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada pencapaian pelajar dalam mata pelajaran berkenaan, iaitu: permulaan yang awal adalah penting, sumber di rumah - berkait dengan status sosioekonomi penjaga, sekolah yang berjaya cenderung mempunyai sumber yang lebih baik, sekolah yang berjaya menekankan kejayaan akademik dan mempunyai persekitaran yang selamat dan teratur, persediaan guru dan kepuasa kerjaya, sikap positif pelajar terhadap matematik, tetapi sikap ini kurang positif untuk gred kelapan, pembabitan pelajar dalam pembelajaran, dan arahan atau pembelajaran terjejas oleh pelajar yang kurang pemakanan asas dan tidur.

Faktor yang hampir sama juga didapati menyumbang kepada pencapaian pelajar dalam sains gred keempat dan kelapan, kecuali faktor permulaan awal tidak termasuk, dan ditambah faktor banyak masa diperuntukkan bagi arahan atau pengajaran sains, guru sains menekan penyelidikan sains, seperti yang dinyatakan dalam ringkasan eksekutifnya.

Dari segi faktor sekolah yang berjaya cenderung mempunyai sumber yang lebih baik, ringkasan eksekutif matematik dan sains,  antaranya menyatakan bahawa pelajar mempunyai ciri secara relatif, latar belakang sosioekonomi  mewah dan  bertutur bahasa penilaian TIMSS sebagai bahasa pertama mereka.  TIMSS secara rutin meminta pengetua sekolah melaporkan latar belakang ekonomi di rumah dan bahasa di rumah pelajar.

Satu lagi penilaian dikenali sebagai PIRLS, yang merupakan penilaian antarabangsa pembacaan karangan pada gred keempat yang dijalankan setiap lima tahun sejak tahun 2001.  Malaysia tidak menyertai penilaian ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...