Artikel Popular

Friday, September 30, 2011

Masa Depan Euro di Tangan Jerman?

JUMAAT,   30  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH 


Adakah zon euro dapat diselamatkan?  Biarkan zon euro berkecai!  Biarkan Greece muflis dan meninggalkan zon yang menggunakan mata wang bersama itu. Ada yang mencadangkan supaya Greece mengikut jejak Argentina, iaitu mungkir demi menyelamatkan negara itu.  Namun begitu,  Greece dikatakan tidak akan meninggal zon euro, tetapi negara tidak boleh dibiarkan bertindak sendirian untuk menyelesaikan krisis yang dihadapinya.


Adakah zon euro terus wujud berikutan krisis hutang euro?" Tanya John Lanchester yang nampaknya pesimistik.  Jika Greece mungkir terhadap hutangnya, akibatnya akan merebak ke seluruh Eropah, dan nyata malapetaka untuk euro. Bagi beliau, krisis ekonomi di Greece merupakan perkara yang paling penting berlaku di Eropah sejak perang Balkan.  Hal ini demikian bukan kerana Greece dari segi ekonomi penting kepada orde Eropah.  Pada kadar pertumbuhan jarang-jarang melebihi tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) zon euro, ekonomi Greece boleh lenyap tanpa dikesan dan hampir tidak dirasai oleh negara lain.  Bahaya yang dihadapi oleh kemungkiran Greece yang di ambang maut adalah semua ada kena mengena dengan bagaimana krisis itu berlaku.


Lanchester meragui tindak-tanduk Jerman dalam menangani krisis euro, menulis:   "Ketika abad ke-20,  bahaya yang paling besar terhadap kestabilan Eropah ialah makna Jerman tentang takdir istimewanya.  Ketika abad ke-21, bahaya yang paling besar terhadap kestabilan Eropah ialah keberatan Jerman untuk menerima takdir istimewanya."


Lebih setahun  zon euro menghantui dunia tentang krisis hutang yang  mustahil dibendung dan  ancamannya terhadap ekonomi global. Setiap kali  pasaran saham global sejak akhir-akhir ini, puncanya ialah dari zon euro.   Oleh sebab jumlah tahap hutang swasta dan kedaulatan di zon euro lebih rendah daripada United Kingdom dan Amerika Syarikat, dan jauh lebih rendah daripada Jepun,  sebenarnya ini merupakan krisis euro dan bukannya  krisis hutang.


Setiap kali berita ekonomi global suram, maka jawapan yang lazim ialah krisis zon euro.  Sementara bagi Kesatuan Eropah, seperti yang ditegaskan oleh Simon Jenkins, tanpa rancangan pertumbuhan, pastinya akan  terheret ke dalam kancah Waterloo kewangan.


Sejak sekian kali,  bahawa krisis zon euro menuntut kepimpinan, daripada Gordon Brown kepada  yang terbaharu,  daripada William Keegan bahawa ke mana-mana sahaja beliau pergi, apabila membincangkan  zon euro, rintihan adalah sama, iaitu kepimpinan.  Tumpuannya, tidak dapat tidak, adalah terhadap ahli politik dan "kepimpinan" Eropah secara umum, dan Canselor Jerman, Angela Merkel secara khusus.  Bahkan, pemimpin  Greece dalam usaha untuk merungkaikan  krisis hutang yang berpanjangan, terpaksa mengharapkan belas ihsan  Jerman. 



Namun begitu, Angela bukan sahaja kelihatan terhegeh-hegeh, tetapi kedudukannya sebagai canselor  kini menjadi pertaruhan jika beliau beria-ria ingin menyelamatkan zon euro. Jerman  didapati  berperang sesama sendiri berhubung dengan pelan penyelamat euro. Persengketaan seperti ini, pastinya menyukarkan Jerman untuk menjadi peneraju usaha  menyelamatkan zon euro itu.  

Kerajaan di zon euro, menurut pemerhatian George Soros, mengambil beberapa langkah yang betul untuk menyelesaikan krisis euro, tetapi mereka tidak pergi terlalu jauh untuk meyakinkan semula pasaran.  Jerman dan anggota lain di zon euro dengan penarafan AAA, bahas Soros, perlu memutuskan, sama ada bersedia untuk merisikokan kredit mereka sendiri untuk membenarkan Sepanyol dan Italy untuk membiayai semula bon mereka pada kadar faedah yang munasabah.  Secara alternatif, Sepanyol dan Italy akan didorong tanpa dapat disekat untuk menyertai program pelan penyelamat.  "Ringkas, Jerman dan negara lain dengan penarafan bon AAA mesti bersetuju dengan rejim bon euro daripada satu jenis atau lain-lain."  Kalau tidak, Soros mengingatkan euro akan musnah.


Dalam wawancara dengan Spiegel lebih sebulan lalu, George Soros mengkritik Jerman kerana kurang kepimpinan di zon euro.  Beliau menegaskan bahawa Berlin mesti menetapkan  Eropah tentang penyelesaian terhadap krisis mata wang. Beliau memihak kepada usaha pewujudan bon euro sebagai jalan keluar daripada pergolakan ini.  Beliau mengingatkan bahawa masa depan euro bergantung pada Jerman.  Jerman mempunyai kemampuan kerana Jerman ialah negara terbesar di Eropah dengan penarafan kredit terbaik dan lebihan yang kronik.


Apabila ditanya mengapa Jerman menerima idea itu,  Soros menjelaskan memang tiada alternatif.  Jika euro musnah, nescaya ini akan menyebabkan krisis perbankan yang di luar kawalan pihak berkuasa kewangan sama sekali.  Justeru,  ini akan mengasak bukan hanya terhadap Jerman, bukan hanya Eropah, tetapi juga seluruh dunia ke dalam keadaan yang sangat mengingatkan tentang Kemelesetan Besar tahun 1930-an, yang juga berpunca daripada krisis perbankan yang di luar kawalan.


Soros yang menulis keluaran terbaharu The New York Review of Books, membangkitkan adakah euro mempunyai masa depan, dan melihat wujud kesamaan antara krisis euro dengan krisis subprima pada tahun 2008 yang menyebabkan keruntuhan pada tahun 2008. Malangnya, krisis euro yang  lebih sukar dikawal, mendedahkan dan dicetuskan oleh kelemahan tersembunyi dalam pembinaan euro, iaitu tiada perbendaharaan bersama.  Krisis ini dengan sendirinya tercetus lebih setahun lalu, iaitu pada tahun 2010.  


Untuk menyelesaikan krisis, yang mustahil menjadi mungkin, Soros mencadangkan adalah penting untuk memikirkan sesuatu yang tidak boleh difikirkan.  Untuk memulakannya, adalah mustahak untuk bersedia kemungkinan mungkir dan pembelotan daripada zon euro dalam kes Greece, Portugas, dan mungkin Ireland.  Untuk mencegah kegawatan kewangan, beliau mencadangkan empat langkah perlu dilaksanakan.  Pertama, deposit bank perlu dilindungi.  Kedua, sesetengah bank di negara yang mungkir perlu terus berfungsi demi memastikan ekonomi tidak musnah.  Ketiga, sistem perbankan Eropah perlu dimodalkan semula dan diletakkan di bawah penyeliaan Eropah, berbeza daripada penyeliaan negara.  Keempat, bon kerajaan negara defisit lain perlu dilindungi daripada jangkitan.  Dua syarat terakhir ini diterapkan, bahkan jika tiada negara yang mungkir.


Dalam makalah itu, sekali lagi beliau menaruh harapan pada Jerman untuk menyelamatkan euro. "Angela Merkel mungkin tidak dapat memujuk kerajaan pakatannya, tetapi beliau boleh bergantung pada pembangkang.  Selepas krisis euro diselesaikan, beliau akan kurang takut daripada pilihan raya akan datang.


Barangkali berita gembira ialah   Angela Merkel berjaya mengharungi ujian politik itu apabila parlimen Jerman meluluskan usul untuk menyusun semula dana pelan penyelamat euro.  Berikutan keputusan itu, dilaporkan merangsang pasaran saham Eropah dan New York sebaik-baik sahaja loceng pembukaan dibunyikan. Namun, tulis Heather Stewart, kemenangan euro Angela Merkel itu tidak menamatkan perang hutang.

Bagi mereka yang membaca rencana utamaTime keluaran 3 Oktober,  "Why Germany Can't Save Europe, Much Less the World," pastinya tidak meletakkan harapan yang tinggi pada Jerman.  Makalah yang ditulis oleh Michael Schuman menegaskan bahawa "dengan krisis hutang zon euro semakin teruk dan lebih banyak pengundi yang marah di negaranya, Angela Merkel diserang dari segenap penjuru.  


Schuman mengemukakan alasan sejarah bahawa usaha para pemimpin Jerman untuk mengawal  negara jirannya tidak berkesudahan dengan baik, dan Jerman berwaspada daripada dilihat cuba menguasai Eropah dari segi diplomasi atau ekonomi, bahkan pada hari ini.  Itu merupakan satu alasan mereka merangkul impian integrasi Eropah dan menyokong euro, berkongsi mata wang, untuk memulakannya.  


Tambah beliau, "sama ada setiap suka ataupun tidak, Jerman menguasai Eropah.  Tatkala ekonomi utama lain di benua itu, iaitu Perancis, Italy, Sepanyol, dan United Kingdom terpaks berhempas pulas untuk keluar daripada kemelesetan ini, ekonomi Jerman berkemungkinan lebih kuat sejak penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat pasca-Perang Dingin pada tahun 1990."  


Schuman mengingatkan bahawa jika Jerman ingin menyelamatkan euro dan ekonomi dunia, maka Angela Merkel perlu merangkul sepenuhnya impian di sebalik kesatuan monetari, iaitu impian yang menyatukan dan membingkas Eropah. Jika tidak, euro hanya benar-benar terhenti di atas mejanya. 


Yang jelas, masa depan euro terletak dalam tangan Jerman. Namun, adakah Jerman benar-benar nekad untuk menyelamatkannya? Banyak orang yang meraguinya dengan pelbagai alasan. 

Thursday, September 29, 2011

Hukum Pasaran Bebas

KHAMIS,  29  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hari ini beberapa akhbar tempatan, seperti The Star dan Utusan Malaysia membuat liputan tentang tawaran Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk mengambil alih SP Setia.  PNB yang memiliki 33.16 kepentingan dalam syarikat tersenarai awam itu, mengemukakan tawaran pada RM3.90 sesaham.

Sejak PNB muncul sebagai pemegang saham majoriti dalam SP Setia timbul pertanyaan dan juga kegelisahan pihak tertentu kemungkinan PNB mengeluarkan syarikat harta tanah itu daripada penyenaraian.  Seolah-olahnya keluar masuk penyeneraian itu sesuatu yang aneh di negara ini.  Seperti yang diketahui, beberapa syarikat juga telah pun keluar dari Bursa Saham, dan bahkan ada  yang masuk semula.

Walau apa-apa pun tindakan PNB, sepatutnya dilihat dalam konteks dalam hukum pasaran bebas, iaitu "siapa kuat dia menang."  Sebenarnya, PNB sekadar mematuhi tuntutan  pasaran bebas dan liberalisasi yang sering diperjuangkan oleh pihak tertentu.  Hanya yang berbeza, yang mungkin menimbulkan rasa kurang senang mereka, lalu memperlihatkan sikap dwistandard golongan berkenaan, ialah PNB itu syarikat pemegangan yang mewakili kepentingan bumiputera.  

Sebagai tawaran dan bukannya paksaan, pastinya   SP Setia  boleh menerima atau menolak atau menolak tawaran tersebut, atau mengemukakan tawaran balas.  Pendek kata, tidak ada apa-apa yang hendak dihairankan. Ambil alih sesebuah syarikat itu bukan sesuatu yang luar biasa hingga hendak dihebohkan satu Malaya.  Sebelum ini Hong Leong mengambil alih EON Bank, sebagai contoh yang terbaharu.  Bagi PNB pula, ini bukan pertama kali PNB mengambil alih syarikat hartanah yang tersenarai, sebelum ini, antaranya Pelangi telah diambil alih olehnya.


Kalau tidak mahu diambil alih, jangan disenaraikan di Bursa Saham; jadilah syarikat sendirian berhad.    Apabila disenaraikan, maka saham bebas dijual beli, dan akhirnya mungkin muncul pemegang saham majoriti.  Apabila berlaku ambil alih, pastinya pasukan pengurusan lama terpaksa berundur, pasukan pengurusan baru akan masuk. Sesuatu yang mudah untuk difahami: Inilah hukum pasaran bebas!  

Demikian juga dengan rancangan PNB untuk membina Menara Warisan  di tapak Stadium Merdeka dan Stadium Negara kerana tanah berkenaan miliknya, dengan itu, tidak perlu pihak lain yang "lebih sudu dari kuah."  Hanya berlaku "kesilapan teknikal,"  apabila Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan rancangan itu dalam Belanjawan 2011.  Kalau sudah pasti bukan projek kerajaan, mengapa beliau  mengumumkannya dalam belanjawan - satu  kegelojohan Najib yang tidak sepatutnya berlaku.    Akibatnya, mudahlah pihak tertentu mengkritik rancangan pembinaan Menara Warisan itu, kononnya suatu pembaziran, dan PNB pula terpaksa bertindak defensif. 


Kalau tidak berani melabur dan menanggung risiko, di manakah PNB akan mendapatkan hasil untuk membayar dividen kepada para pemegang unit amanahnya?  Adakah PNB perlu menunggu wang yang turun dari langit?

Yang menjadi pelik atau aneh ialah apabila ada golongan tertentu ingin hidup di bawah  kapitalisme, tetapi tidak mahu dicabar di bawah sistem yang sama. Sesungguhnya, PNB sekadar ingin memperlihatkan kemampuannya bermain dalam  sepak terajang yang ditentukan oleh pendukung pasaran bebas dan liberalisasi di negara ini. 

Wednesday, September 28, 2011

Tadbir Urus Cleopatra

RABU,  28  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebut sahaja Cleopatra, akan terbayang kejelitaannya yang kononnya tidak ada tolok bandingnya.  Pastinya juga godaannya apabila dua orang pahlawan Rom, iaitu Julius Caesar dan Mark  Antony.  Selepas Elizabeth Taylor, pelakon terkenal,  meninggal dunia pada Mac yang lalu TV2 menayangkan filem Cleopatra lakonannya. Bagi sesetengah orang, bagaimana jelita Liz begitulah juga dengan Cleopatra.  Selain kejelitaan, godaan, dan kekuasaan, pastinya tidak ada lagi cerita yang menarik.

Namun, Stacy Schife, yang pernah menulis biografi Cleopatra, mendedahkan sesuatu yang tidak kurang pentingnya tentang puteri Mesir ini.  Dalam makalahnya yang aman menarik, yang diterbitkan dalam The New York Times,  Stacy  menulis:  "Dari  beliau Cleopatra bangkit dari tidur, beliau  bertengkar dengan keputusan ketenteraan dan pengurusan."  Stacy menyenaraikan rahsia kepimpinan Cleopatra,  primer papirus untuk Washington zaman moden. 

Pertama, membinasakan musuh anda.  Mengko-opt persaingan adalah baik.  Menghapuskannya adalah lebih baik.  Cleopatra melakukan kerja pantas untuk adik beradiknya, yang kedengaran kasar.

Kedua, jangan campur-adukkan perniagaan dengan keseronokan, seperti yang dilakukan oleh John Edwards, Mark Hurd, Mark Stanford, dan Eliot Spitzer.  Perniagaan dan keseronokan mempunyai kecenderungan yang kronik untuk menceroboh wilayah satu sama lain.  Jika anda ingin menggoda seseorang, harap pandang jauh-jauh.  Cleopatra bertembung dengan komander tentera yang terkenal pada zamannya, secara berjujukan bersekutu dirinya dan melahirkan anak dengan kesatria kulit putih, iaitu Julius Caesar dan Mark Antony.  Seperti yang beliau tunjukkan, ideanya adalah untuk mencium perjalanan anda mendaki kejayaan.

Ketiga, penjelmaan dikira.  Seperti yang Presiden Barack Obama pelajari dan tidak pelajari, karya teater menakjubkan.  Anda mungkin berkempen dalam puisi, tetapi anda adalah bijak untuk memerintah dalam gilang-gemilang.  

Keempat, lakukan  yang besar atau balik ke rumah.  Cleopatra muncul di hadapan Antony pada usia apabila, menurut Plutarch, "wanita mempunyai kecantikan yang paling bijak dan pada mercu kuasa intelektual," detik setiap wanita tahu beberapa tahun di belakang beliau.  Akan tetapi, tidak penting.  Cleopatra mengambil bersama-samanya hadiah yang mewah, peti wang, tekstil yang mahal.


Kelima, jangan sekali-sekali terlibat dalam perang darat di Asia.  Beralaf-alafs sebelum Wallace Shawn menyerahkan bahawa mutiara kebijakan dalam The Princess Bride, Cleopatra kelihatan dapat menekanya dengan banyak.

Keenam, kurang berjanji dan menghasilkan berlebih-lebihan.  Cleopatra pandai membawa diri  secara ranggi dan mnyempaikannya secara drama.  

Ketujuh, jika anda tidak dapat melangsaikan hutang anda, turunkan niai mata wang anda.  Hal-ehwal ekonomi Mesir adalah muram ketika Cleopatra menaikai takhta.  Beliau menurunkan nilai mata wang sebanyak satu pertiga.  Beliau tidak mengeluarkan emas dan secara kritikal menurunkan nilai perak kerajaannya.

Kelapan, kawan atas kawan mungkin menjadi musuh ketat.  Daya tarikan Cleopatra dikatakan tidak dapat ditahan, kehadirannya mempesonakan. Akan tetapi, seorang yang Cleopatra gagal menggunakan kesaktiannya ialah Herod.

Kesembilan,  jiran yang baik menjadi pagar yang baik.  Tidak lama selepas perang antara Herod dengan Nabatean, anak angkat Julius Caesar, Octavian dengan mudah mengalahkan Cleopatra dalam peperangan Actium.

Kesepuluh, kawal naratif.  Cleopatra amat memahami bahawa bercerita penting, sebagaimana dengan pembuatan keputusan, dan bahawa naratif terbaik ialah naratif yang mudah diikuti.  

Sebenarnya, karya klasik, termasuk karya klasik Melayu, banyak memberikan pengajaran, bukan sahaja pada zaman karya tersebut dihasilkan, tetapi juga untuk masa kini.  Berbanding dengan kisah Cleopatra yang cuba difahami dalam realiti masa kini, karya klasik Melayu diterbitkan seadanya, iaitu sekadar dipersembahkan sebagai karya sastera.






  





    

Monday, September 26, 2011

Zon Bahaya

SELASA, 27  September 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLLEH




Lebih setahun zon euro bergelut dengan krisis hutang.  Bermula dengan Ireland dan Greece yang hingga kini belum pulih, kesan domino terus menjalar.  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan tempoh enam minggu kepada Kesatuan Eropah untuk melindungi dirinya daripada kemungkiran Greece yang nampaknya tidak dapat dielakkan lagi.   Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah   (EFSF) memerlukan 1.7 trilion paun, hampir lima kali ganda saiz semasa, untuk meyakinkan pasaran bahawa EFSF dapat mengekang impak nyahstabil kemungkiran Greece.  Negara itu yang mengalami krisis hutang yang berpanjangan, dicadangkan mungkir terhadap hutangnya dan meninggalkan zon euro.  Greece dikatakan pokai dan pecah.  Defisit belanjawannya melambung hampir 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Berita buruk tentang zon euro, dikesan,  kini datang dari segenap penjuru.  Namun, Menteri-menteri Kewangan Eropah yang bermesyuarat di Wroclaw, Poland, yang sepatutnya membuat keputusan menentang krisis hutang, berkesudahan dengan idea yang tidak relevan, iaitu cukai terhadap urus niaga kewangan.  Agensi penarafan Standard & Poor's (S&P)  t menurunkan gred penarafan kredit Italy.  Sementara di Athens, kerajaan Greece dan troika institusi antarabangsa menyelia program jimat cermatnya, memberitahu apakah yang Greece perlu lakukan untuk mendapatkan tranche dana pelan penyelamat bernilai AS$11 bilion.

Khusus untuk Eropah, bahas Mohamed A.  el-Erian,  para penggubal dasar mempunyai masa yang sangat suntuk untuk bertindak bersama-sama.  Rasa serba tak kena mereka dan pertengkaran sesama mereka telah menyebabkan krisis di Greece merebak begitu jauh ke banyak negara di zon euro. 

"Para pemimpin," Robert Kuttner mengingatkan, "sepatutnya membandingkan dasar ini dengan alternatif, iaitu kemungkiran Greece merebak kepada kemungkiran bon kerajaan Eropah yang lain, tidak mampu bayar beberapa buah bank besar Eropah, kemelesetan yang dalam untuk ekonomi sebenar, dan beberapa jenis penyelamat kecemasan yang lebih melampau bahkan dalam keadaan lebih terdesak."

Zon euro makin hari makin terbenam dalam krisis yang serius, seperti yang diungkapkan oleh Paul Krugman melalui kolumnya, "perjalanan maut zon euro." Situasi Eropah benar-benar menakutkan: dengan negara yang mewakili satu pertiga ekonomi zon euro kini diserang oleh spekulatif, kewujudan mata wang tunggal betul-betul diancam, dan keruntuhan euro boleh mengakibatkan kerosakan yang besar terhadap dunia.  

Krugman menyusuri pengenalan euro pada tahun 1999 yang membawa ledakan besar dalam pemberian pinjaman kepada ekonomi pinggir euro, kerana para pelabur percaya (secara silap) bahawa mata wang yang dikongsi menjadikan hutang Greece dan Sepanyol selamat sebagaimana hutang Jerman. Beliau menjelaskan bahawa bercanggah dengan apa anda selalu dengar, ledakan pinjaman ini kebanyakannya tidak membiayai perbelanjaan kerajaan yang membazir, misalnya Sepanyol dan Ireland biasa mempunyai lebihan belanjawan menjelang krisis, dan tahap hutang yang rendah.  Sebaliknya, aliran masuk wang, terutamanya merangsang ledakan yang besar dalam perbelanjaan swasta, khususnya terhadap perumahan.

Walau bagaimanapun, Krugman tidak menjangkakan sesuatu yang buruk berlaku di Eropah pada abad ke-21.  Hanya wujud jurang yang luas antara apa yang euro perlukan dengan apa yang pemimpin Eropah ingin lakukan, atau bahkan berbincang untuk melakukannya.  Dan, melihat jurang itu, memang sukar untuk mencari alasan untuk optimisme.


Zon bahaya Eropah jelas kelihatan. "Kita terjebak semula dalam zon bahaya," kata ahli ekonomi atasan di IMF.  Banyak perhatian tertumpu pada Eropah yang kebanyakan negara utama menanggung hutang yang berat.  Pertumbuhan ekonomi, seperti yang diramalkan oleh IMF, untuk tahun hapadan adalah kira-kira satu peratus.  Demikian menurut pemerhatian Robert Samuelson, "bank-bank diancam oleh pendedahan mereka terhadap bon kerajaan yang turun nilai. Apa yang muncul ialah kitaran ganas: pertumbuhan yang perlahan menyukarkan untuk memotong defisit; ini menyebabkan para pelabur mencampakkan bon kerajaan Eropah; kadar bunga meningkat; bank-bank menjadi lemah; dan ekonomi semakin teruk."

Tambah beliau lagi, ekonomi yang lumpuh bertemu dengan ekonomi yang melayang-layang. Kita bermain-main dengan kemelesetan global yang diperbaharui, dipacu oleh kemerosotan di Eropah dan Amerika Syarikat.  Dengan 44 juta orang telah pun menganggur di negara maju, implikasi sosial dan politik memang menakutkan. Yang teruk, kemelesetan yang baru mungkin menjadi kemerosotan yang bahkan lebih dalam dan lebih lama.

Zon euro berubah menjadi zon bahaya, tetapi keadaan bahaya ini tidak hanya terbatas di sana. Pastinya, zon bahaya ini merebak ke seluruh dunia, dan pastinya, banyak negara yang turut  terjebak. Memandangkan wujud kekosongan, iaitu tiada negara yang sanggup memikul tanggungjawab sebagai pemimpin ekonomi, memetik Robert Samuelson, kita kemungkinannya mengulangi kesilapan 1930-an: pisang berbuah dua kali. 




Negara Kebajikan, Kebajikan Negara

ISNIN,  26  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Gambaran umum ialah bahawa semua masyarakat maju dikatakan membantu orang  yang benar-benar tidak mampu menolong diri mereka sendiri sebagai sesuai, berperikemanusiaan, dan perlu. Namun,  wujud isu serius yang lain berkait dengan falsafah negara kebajikan bahawa banyak orang mampu menjaga diri mereka tidak mempunyai motivasi untuk menambahbaikkan kehidupan mereka apabila mereka boleh bergantung pada kerajaan untuk menyediakan barang dan perhidmatan untuk mereka.  Keadaan ini membangkitkan rasa geram dalam kalangan mereka yang bekerja apabila mereka dipaksa untuk membayar untuk orang yang   kononnya tidak mampu menjaga diri mereka sendiri, dengan terpaksa membayar cukai yang semakin meningkat.  Justeru, negara kebajikan dikatakan mencetuskan perang kelas dan mencegah kesamaan dan bukannya mencapai kesamaan.  Konsep negara kebajikan dianggap mungkin elok pada kertas, sedangkan untuk mewujudkan negara yang benar-benar saksama, diibaratkan “jauh panggang dari api.” 

Sebenarnya, wujud beberapa persoalan berhubung dengan  negara  kebajikan, yang lebih tertumpu pada penyalahgunaan kemudahan yang disediakan berbanding dengan tujuan atau matlamat negara kebajikan itu sendiri.    Yang lazim dibangkitkan ialah golongan   penganggur yang menikmati kemudahan ini, dan   diakui bahawa  dalam satu-satu keluarga, tidak seorang pun yang bekerja,  dan mereka memang mencari pekerjaan, tetapi gagal. Sedangkan,  ada pula yang tidak pernah mencuba mencari pekerjaan, dan bahkan ada yang tidak pernah terfikir pun untuk berbuat demikian.  Meskipun terdapat beberapa alasan seseorang tidak bekerja, misalnya kehilangan upaya dan sakit mental, hanya sedikit yang tidak bekerja kerana bodoh.  Sebaliknya, mereka cerdik kerana tanpa  pekerjaan, maka orang lain, melalui negara kebajikan,    terpaksa menanggung keperluan asas mereka sekeluarga. Golongan ini juga  berusaha melahirkan anak yang banyak kerana dengan itu, mereka mendapat lebih banyak   jumlah bantuan.  Keadaan seperti inilah mendorong  pembayar cukai  mendakwa bahawa  mereka seolah-olah “memikul biawak hidup.”  
Negara kebajikan,  seperti dinyatakan dalam laman web TalkTalk, ialah sistem politik yang negara mempunyai tanggungjawab (bukannya individu atau sektor swasta), untuk   kebajikan warganegaranya, menyediakan taraf  hidup minimum yang dijamin, dan insurans terhadap bahaya kemiskinan, sakit, dan pelucutan sosial.  Perkhidmatan kebajikan termasuk keselamatan sosial, yang menyediakan peruntukan terhadap ganggungan perolehan pendapatan akibat sakit, kecederaan, umur tua, atau pengangguran. Perkhidmatan sosial itu mengambil bentuk pengangguran dan faedah sakit, elaun keluarga, tambahan pendapatan, disediakan dan lazimnya dibiayai menerusi skim insurans negara. Perkhidmatan itu juga termasuk kesihaan dan pendidikan, lazimnya dibiayai  pencukaian, dan peruntukan “perumahan sosial” yang disubsidikan.  Pengangkutan awam yang disubsidikan, kemudahan rekreasi, perpustakaan awam, dengan diskaun khas untuk orang tua, penganggur, dan orang hilang upaya,  merupakan unsur bukan teras negara kebajikan.
            Di Britain, negara kebajikan yang lahir pada tahun 1945, dijelaskan oleh arkitek intelektual, Lord Beveridge, sebagai struktur yang dibina untuk melindungi individu “dari buaian hingga ke liang lahad.” Nilai yang mendirikan negara kebajikan Beveridge adalah untuk menyediakan sokongan dan menaikkan harga diri individu dan autonomi, dan bukannya mewujudkan pergantungan pada negara. Model ini dikatakan menguasai setiap negara Eropah Barat, dengan tradisi dan politik tempatan menentukan kepelbagaian penerapannya.  Pada tahun 1960-an, semua Eropah demokratik ialah demokratik sosial, menggabungkan pasaran bebas dan perlindungan sosial massa.
Namun, berikutan krisis kewangan tahun 2008, seperti yang diperhatikan oleh Guy Sorman dalam guardian.co.uk pada Oktober tahun lalu, dengan makalah “The Welfare State, RIP,” maka negara Eropah tidak ada pilihan, kecuali mengurangkan perbelanjaan mereka, dan menyasarkan faedah kebajikan yang mewakili, secara purata, separuh perbelanjaan awam Eropah adalah cara yang paling mudah untuk membawa kelegaan fiskal  dengan segera.  Walau bagaimanapun, Sorman yang kurang bersetuju dengan sistem ini  mengakui: “Negara kebajikan tidak lenyap dari Eropah, tetapi akan diukur balik dan memberikan tumpuan terhadap mereka yang sebenarnya memerlukan pertolongan.” 

Demikian juga dengan Amerika Syarikat, tempat bermulanya krisis kewangan, menyaksikan seakan-akan berakhirnya negara kebajikan, walaupun Pentadbiran  Obama, lebih setahun lalu hampir-hampir menukarkan Amerika menjadi negara kebajikan  gaya Eropah dengan melaksanakan perbelanjaan defisit 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meluluskan undang-undang  penjagaan kesihatan.
            Pada Oktober 2006,  iaitu sebelum krisis ekonomi, Jeffrey D. Sachs menulis dalam Scientific American bahawa negara kebajikan masyarakat adalah melampaui ideologi dan menegaskan satu cabaran yang sungguh besar bagi pembangunan mapan adalah untuk menggabungkan kehendak masyarakat terhadap kemakmuran ekonomi dan keselamatan sosial. Sejak berdekad-dekad ahli ekonomi dan ahli politik bagaimana untuk merukunkan kuasa pasaran yang tidak diragui dengan perlindungan insurans sosial  yang menenteramkan.  Sachs dalam usaha menolak pemikiran ahli ekonomi pasaran bebas kelahiran Austria, Friedrich von Hayek bahawa cukai yang tinggi akan menjadi “jalan ke perhambaan,” ancaman kepada kebebasan itu sendiri, membandingkan   antara  negara yang berbahasa Inggeris dengan negara Nordic dari segi percukaian, meskipun kedua-dua kumpulan negara itu  berpendapatan tinggi.
            Beliau menegaskan bahawa secara purata, negara Nordic yang mengenakan cukai yang tinggi,  mengatasi negara Anglo-Saxon dari segi kebanyakan ukuran prestasi ekonomi.  Kadar kemiskinan lebih rendah di negara Nordic, dan pendapatan negara untuk setiap penduduk dalam umur bekerja, adalah secara purata tinggi.  Kadar pengangguran secara kasar sama dalam kedua-dua kumpulan itu, hanya tinggi sedikit di negara Nordic.  Situasi belanjawan lebih kukuh di negara Nordic, dengan lebihan yang sangat besar sebagai bahagian KDNK.
        Walau bagaimanapun, tegas Sachs, negara Nordic mengekalkan dinamisme mereka, meskipun melaksanakan cukai yang tinggi, iaitu banyak menyediakan peruntukan bagi penyelidikan dan pembangunan dan pengajian tinggi. Negara Nordic juga memastikan perbelanjaan sosial secocok dengan sistem ekonomi berasaskan pasaran, iaitu terbuka dan berdaya saing.
          “Hasil untuk isi rumah di bahagian bawah agihan pendapatan sungguh mengagumkan,” tulis Sachs, dan merumuskan “von Hayek adalah silap.  Dalam demokrasi yang kuat dan bertenaga, negara kebajikan masyarakat yang pemurah bukannya jalan ke perhambaan, tetapi sebaliknya jalan ke keadilan, kesamaan ekonomi, dan daya saing antarabangsa.”
        Namun begitu, pada tahun yang sama, tetapi beberapa bulan lebih awal, Per Bylund mendedahkan kepincangan negara kebajikan yang dilaksanakan di salah sebuah negara Nordic, melalui tulisannya  dalam Mises Dailies,  “How the Welfare State Corrupted Sweden.”  Beliau memulakan penulisannya bahawa   orang tua di Sweden  berkata untuk menjadi orang Sweden bermakna menyediakan keperluan dengan sendiri, menjaga diri anda sendiri, dan jangan sekali-kali membebankan orang lain.  Berdikari dan kerja keras merupakan tanggapan bersama  kehidupan sopan, dan tanggapan bersama kemoralan.  Itu semua berlaku kurang 100 tahun dahulu.
          “Masalah adalah bahawa negara kebajikan diwujudkan dan akan mengubah kehidupan orang ramai secara dramatik  dan mempengaruhi kemoralan mereka dalam cara fundamental. Tulis Bylund, “negara kebajikan mungkin merupakan projek yang berjaya jika orang ramai mempunyai harga diri dan kemoralan untuk menyediakan keperluan mereka sendiri dan hanya meminta pertolongan jika benar-benar diperlukan.”  Dan tambah beliau, “negara kebajikan kemungkinan berfungsi di dunia ceteris paribus, iaitu apakah yang negara kebajikan benar-benar anggapkan. Akan tetapi, di dunia yang sering berubah, dan negara kebajikan, dengan  itu, memerlukan orang ramai menjadi lebih kuat dan kemoralan yang lebih tinggi kepada orang ramai dalam masyarakat yang tidak ada negara kebajikan.”
         Bagi Bylund, negara kebajikan melahirkan orang ramai yang bergantung benar-benar tidak berupaya mencari nilai dalam kehidupan; sebaliknya, mereka mendapati diri mereka tidak berupaya dari segi perasaan manusia tipikal, seperti harga diri, mulia, dan empati.  Perasaan ini, bersama-sama dengan cara untuk mewujudkan makna untuk kehidupan, telah diambil alih oleh negara kebajikan.
         Dalam makalahnya, “Beyond the Welfare State” yang diterbitkan dalam National Affairs (Issues No. 7 Spring 2011) yang kemudiannya dipetik secara meluas, Yuval Levin membahaskan secara kritis dan mendalam tentang masa depan negara kebajikan demokratik sosial. Semua dunia maju, seperti yang beliau perhatikan, negara menyedari hakikat bahawa negara kebajikan sosial akhirnya tidak dapat dipertahankan lagi.  Alasannya sebahagiannya institusi, iaitu negara pentadbiran secara menyedihkan tidak cekap dan tidak responsif.  Alasannya juga sebahagiannya budaya dan moral, iaitu percubaan untuk menyelamatkan warganegara daripada beban tanggungjawab melemahkan keluarga, sikap tidak bergantung pada orang lain, dan pemerintahan sendiri.  Akan tetapi, dari segi praktik, yang utama  ialah fiskal, iaitu negara kebajikan nyata   tidak mampu lagi dilaksanakan.


  
Walau bagaimanapun, Levin mengakui “pada hakikatnya, kita tidak berhadapan pilihan antara negara kebajikan liberal dari satu pihak dengan jimat pada satu pihak yang lain.  Pilihan itu merupakan dua sisi duit syiling yang sama.  Jimat cermat dan kemerosotan apa yang akan kita hadapi jika kita tidak melakukan pembaharuan terhadap negara kebajikan.”  Beliau mencadangkan bahawa pilihan yang Amerika hadapi adalah antara kombinasi itu dengan pendekatan yang berbeza untuk mengimbangkan aspirasi masyarakat mereka yang semakin dalam. Menolak penyelesaian daripada puak Kiri, Levin meletakkan keyakinan pada puak Kanan:  “Puak konservatif  mesti menyediakan bukan sahaja hujah terhadap negara kebajikan liberal, tetapi juga terhadap wawasan yang berbeza, jawapan berbeza untuk soalan bagaimana kita mungkin mengimbangkan aspirasi kita.   Hujah itu mesti menjadi wawasan yang menitikberatkan usaha pertumbuhan ekonomi, kebaikan republik, dan mobiliti sosial terhadap keselamatan ekonomi, kebajikan nilai semula jadi, dan kesamaan kebendaan; yang mentakrifkan semula jaringan keselamatan sebagai cara menjadikan golongan miskin lebih  berdikari dan bukannya menjadikan golongan kelas menengah kurang berdikari; dan yang menterjemahkan keunggulan ini menjadi bentuk institusi yang sesuai dengan zaman moden kita, iaitu masyarakat dinamik.”  Bagi Levin, zaman negara kebajikan  mesti  berlalu:  “Wawasan yang berbeza kini mula mengambil bentuk.  Dengan perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, kita mula melihat apakah yang mesti menggantikan negara kebajikan.” 
          Jaguh negara kebajikan kita, bahas Levin,  melihat kapitalisme demokratik sebagai realiti yang kukuh yang patut diatasi dan demokrasi sosial sebagai keunggulan tinggi yang patut dicapai.  Akan tetapi, pandangan ini ada kemundurannya.  Wawasan demokrasi sosial yang mewarnai kehidupan politik kita untuk berdekad-dekad, tetapi mengecewakan kita.  Kapitalisme demokratik sebenar, iaitu masyarakat bebas dengan ekonomi bebas dan komitmen untuk membantu setiap warganegara menikmati faedah kedua-duanya merupakan keunggulan yang mesti membimbing dasar domestik Amerika dalam tahun mendatang. 
              Beliau menyedari banyak akibat yang tidak diingini, meskipun bukannya tujuan negara kebajikan, lalu beliau    memetik kata-kata  Irving Kristol pada tahun 1997, pengasas neokonservatif:  “Sekular, pengasas demokratik sosial negara kebajikan moden benar-benar memikirkan bahawa dalam jenis negara kebajikan yang kita miliki hari ini orang ramai lebih bersemangat awam, berfikiran lebih tinggi, lebih ‘berpuas hati’ dari segi insaniah.”
            Tulisan Yuval Levin itu membangkitkan komen  serta  polemik,  dan di sini dipetik,  antaranya oleh William McGurn yang menulis dalam The Wall Street Journal pada awal April lalu, “After the Welfare State.”  Kedengarannya negara kebajikan sedang runtuh.  Dari Albany ke Athens,  semua kecuali pemerhati yang sangat kabur, kini mengakui bahawa model yang kita ikuti terkandas dari segi moral, sosial, dan fiskal.  Yang kurang jelas apakah yang menggantikannya.  Sementara Ezra Klein yang menulis “Beyond the Welfare State” dalam akhbar The Washington Post pada Jun lalu mendakwa Levin menetapkan untuk menulis esei yang membayangkan semula negara kebajikan secara radikal dan dengan jelas menggariskan kelesuan intelektual golongan liberal  moden. 
          Dalam laman webnya,  FrumForum  David  Frum menulis tujuh makalah ringkas sebagai reaksi terhadap gagasan Levin itu,  “adakah kita bergerak melampaui negara kebajikan.”  Dalam satu makalah, Frum menegaskan:  “Apa yang terfikir-fikirkan di sinia bukannya berakhirnya ‘negara kebajikan,’ seperti yang kebanyakan orang Amerika gunakan istilah, iaitu negara yang membantu orang miskin.  Apa yang kita terfikir-fikirkan ialah berakhirnya insurans sosial, sekurang-kurangnya, seperti yang diterapkan kepada penjanggaan kesihatan untuk pesara. 
        Sementara itu, dalam makalah terakhir, Frum seolah-olah mengingatkan Yuval Levin bahawa beliau (Levin)  ialah bintang meningkat terang dalam tradisi Irving Kristol yang terkenal memperjuangkan negara kebajikan konservatif, dan terutamanya program insurans sosial untuk orang tua.  Sebagai ingatan terhadap golongan konservatif, seperti Levin, maka Frum memetik pesanan  Kristol bahawa “idea negara kebajikan secara sempurna tekal dengan falsafah politik konsevatif, seperti yang Bismarck ketahui, 100 tahun dahulu.  Dalam masyarakat kita yang dipembandarkan, diperindustriankan, dan terlalu bergerak, orang ramai memerlukan tindakan kerajaan untuk beberapa jenis... mereka memerlukan bantuan sedemikian; mereka menuntutnya; mereka akan mendapatnya.”  Dan, Frum mengingatkan bahawa tugas konservatisme adalah untuk membentuk negara insurans sosial,   bukannya menghapuskannya.
           Di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, seperti yang diperhatikan oleh Dennis Prager, “The Welfare State and the Selfish Society” dalam National Review Online negara kebajikan menyebabkan anak muda masih bergantung pada ibu bapa mereka , meskipun  usia mereka menjangkau akhir 20-an, bahkan 30-an tahun. Mengapa berlaku demikian kerana di negara kebajikan, mereka tidak berasa malu untuk berkelakuan sedemikian.  “Negara kebajikan,” tulis Prager, “membolehkan, dan dengan itu, melahirkan orang yang leka yang menjadi lebih dan lebih mementingkan  diri apabila masa beredar:  Berapa banyak faedah yang akan saya terima daripada negara?  Berapa banyak akan negara bayar untuk pendidikan saya?  Berapa banyak akan negara bayar untuk penjagaan kesihatan dan apabila saya bersara?  Berapakah  umur muda yang saya boleh bersara?  Berapa banyakkah masa bercuti yang boleh saya dapat setiap tahun?  Berapa hari saya boleh saya kata sakit dan mendapat upah? Berapa bulan boleh saya tuntut wang penjagaan bapa atau menjadi ibu (maternity)?” 
           Memetik Prager, “kapitalisme mengajar orang ramai supaya kerja lebih keras, tetapi negara kebajikan mengajar orang ramai supaya mahu lebih keras.  Mana satu yang lebih baik?”  Tepuk dada tanya selera?  Sesungguhnya, pelaksanaan negara kebajikan banyak menimbulkan masalah kepada kerajaan yang terpaksa menanggung beban kewangan yang besar yang berkemungkinan meletakkan negara sebagai pertaruhan, dan juga kepada masyarakat yang boleh menyebabkan ingin terus berada dalam zon selesa dengan bergantung pada negara kebajikan.  Namun, apakah alternatifnya jika negara kebajikan berkubur yang nampaknya sukar dijawab oleh Yuval Levin sendiri.

Saturday, September 24, 2011

Mahmoud Abbas "Tonggeng Jubur" terhadap Amerika Syarikat

SABTU,  24 September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Akhirnya, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, muncul di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malam tadi (waktu Malaysia) memohon taraf negara untuk Palestin.  Abbas dalam ucapan yang penuh semangat, yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen dan diikuti penuh khusyuk oleh penduduk Palestin di Ramallah, Tebing Barat, membangkitkan satu demi satu kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin, termasuk penempatan mereka di wilayah Palestin.

Bagi penduduk Palestin  di sana, keputusan Presiden Mahmoud Abbas untuk memperjuangkan taraf negara di PBB merupakan "usaha yang bagus.  Inilah kali pertama beliau melakukannya dengan betul."  Beribu-ribu penduduk Palestin di Ramallah dilaporkan memberi hormat kepada tuntutan presiden mereka untuk pengiktirafan rasmi negara merdeka untuk mereka, menyambutnya sebagai detik bersejarah mereka dalam perjuangan berdekad-dekad  lamanya untuk penentuan nasib sendiri dan pembebasan daripada pendudukan Israel. 


Populariti Abbas meningkat di Tebing Barat.  Akan tetapi,  bahas Evelyn Leopold, meskipun wujud keterujaan, wujud suasana yang sungguh memilukan dalam perjalanan Perhimpunan Agung itu.  Ucapan daripada Abbas dan Benjamin Netanyahu menggambarkan jurang antara penduduk Israel dengan penduduk Palestin, iaitu ketakutan kewujudan mereka menjadi pertaruhan dan kisah terdesak secara meluas tentang perkongsian yang menyakitkan.


Bagi mereka yang mengikuti siaran langsung itu, pastinya merasakan bahawa Abbas yang berdiri di PBB itu  mungkin bukan  Abbas yang mereka kenali selama ini: sentiasa diperlekeh oleh rejim Tel Aviv dan terpaksa mengikut telunjuk Washigton. Dalam ucapan yang bersejarah itu, beliau sempat beretorik bahawa pada masa Pemberontakan Arab, kini tiba Pemberontakan Palestin.   

Abbas memberitahu dunia bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat Palestin menikmati kebebasan dan memadailah dengan 63 tahun kesengsaraan. Beliau memberikan amaran bahawa tiadanya kemajuan dalam rundingan perdamaian, tambah pula dengan kehadiran berterusan penempatan Israel di wilayah yang diduduki, bloleh menghancurkan  Pihak Berkuasa Palestin (PA), merampas Israel rakan perdamaian yang berdaya maju.

Dengan mengemukakan secara rasmi agar PBB mengiktiraf negara Palestin, Abbas mengingkari tekanan Amerika Syarikat yang keras supaya meninggalkan langkah itu.  Sebaliknya, Abbas merayu penuh tenaga akan  hati nurani dunia agar mengiktiraf bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan Arab spring  mereka sendiri. Dengan berbuat demikian, Abbas, ulas  Ghada Karmi sehari sebelum ini, "mencari penyelesaian secara menghairankan terhadap satu demi satu tekanan yang menggerunkan daripada Israel, Amerika Syarikat, dan Eropah yang memaksa beliau menarik balik pendirian  beliau itu."  


Langkah Palestin itu dikatakan memecahbelahkan PBB.  Justeru,   dengan diterajui oleh Amerika Syarikat dan Eropah, kuasa antarabangsa mencuba semalam untuk melengah-lengahkan undi di badan dunia dengan mendesak kedua-duanya, iaitu Palestin dan Israel meneruskan rundingan perdamaian.

Bagi Presiden Barack Obama, seperti yang diperhatikan oleh David Ignatius, langkah berundur tentang isu Palestin mesti merupakan pil yang cukup pahit untuk ditelan. Dengan Obama  mengambil langkah bertahan,  Ignatius mengingatkan "bermain secara bertahan berfungsi jika anda mencapai kemenangan untuk dilindungi.  Akan tetapi, tidak cukup sekiranya kemenangan itu semakin terhakis."  Untuk meredakan krisis semasa dalam konflik Israel-Palestin, tegas James Kitfile, tiga pemimpin, iaitu Barack Obama, Benyamin Netanyahu, dan Mahmoud Abbas perlu kembali semula ke meja perundingan.  Namun, tiada seorang pun yang ingin bersuara tentang hal ini.


Minggu yang mengganggu dan bahaya di PBB, menurut pemerhatian James Zogby,  bahawa selepas semua drama yang membawa kepada sesi Perhimpunan  Agung, kita datang bersama-sama dengan tiga fakta yang menyusahkan yang diwujudkan dengan jelas.  Pertama, Palestin, meskipun dengan usaha yang berani, tidak berkesudahan dengan kewujudan sebuah negara.  Kedua,  Israel lebih terasing, tetapi berani daripada sebelumnya.  Ketiga, Amerika Syarikat muncul daripada yang lemah minggu dan kurang dipercayai sebagai pemimpin dunia.


Pastinya, Israel akan menentang dan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto.  Namun, dengan tindakan nekad Abbas itu, hegemoni Amerika berhubung dengan proses damai Israel-Palestin tercalar teruk.  Abbas dikatakan hilang kepercayaan dan kesabaran terhadap Amerika dalam menangani konflik Israel-Palestin.  Bagi Israel pula, negara itu dikatakan kian terasing di dunia Arab akibat kehilangan sekutu rapatnya selama ini, iaitu Turki dan Mesir yang menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak.


Sebelum tepukan gemuruh ketika Abbas berucap reda, The New York Times melaporkan bahawa kuasa antarabangsa menyediakan pelan baru untuk meneruskan semula rundingan damai Israel-Palestin yang dirancang untuk melengah-lengahkan undi yang menimbulkan perbalahan terhadap permohonan Palestin itu seberapa lama yang boleh.






Asal-usul Krisis Euro: Bukan Fiskal

SABTU,  24  September  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Paul Krugman dalam blognya memetik Kash Mansori bahawa asal-usul krisis euro bukannya berpunca daripada fiskal.  Pokok pangkal di sini ialah bahawa negara dalam zon euro tidak mempunyai alat dasar untuk mengurus imbangan bayaran mereka.  Krugman mengakui bahawa amat sukar dalam masa sebenar untuk meyakinkan orang ramai bahawa aliran masuk modal membawa ancaman, tidak kira bagaimana jelas angka kelihatan.


Mansori yang menulis dalam blognya menegaskan bahawa krisis zon euro lebih konsisten dengan pandangan punca sistemik berbanding dengan pandangan punca tempatan.  Dalam kata lain,  meskipun mereka tidak semestinya membuat keputusan yang betul setiap ketika, negara zon euro pinggir terpaksa menentang kuasa eksogen luaran, iaitu durian runtuh aliran modal dan berhenti tiba-tiba yang cenderung mengasak mereka ke kancah krisis kewangan.  Beliau mengakui bahawa sesetengah kepastiannya sepatutnya pergi ke negara yang bergelut dengan krisis itu sendiri, tetapi mesti juga diakui bahawa sebaik-baik sahaja negara berkenaan menerima pakai euro, kuasa yang paling kuat bersiap sedia untuk mencetuskan kemungkinan krisis kewangan, dan tidak dapat dielakkan sama sekali, tidak kira apakah yang kerajaan negara euro pinggir lakukan. Kelakuan tidak bertanggungjawab oleh negara pinggir tidak mencetuskan krisis zon euro; sebaliknya, tegas Mansori, mata wang bersama yang melakukannya sendiri.


Perdana Menteri British, David Cameron semasa di Ottawa dua hari lalu, dilaporkan memberikan amaran  ekonomi global staring down the barrel dan diancam oleh kegagalan para pemimpin untuk bersetuju tentang penyelesaian yang kekal untuk menstabilkan mata wang tunggal itu. 


"Pemulihan daripada kemelesetan," tegas Cameron, "untuk ekonomi maju akan menjadi sukar. Pertumbuhan di Eropah tegun, pertumbuhan di Amerika tegun."


Sejak sekian lama, amaran demi amaran tentang krisis zon euro yang berterusan boleh mengancam ekonomi global dan mengheret semula dunia ke kancah kemelesetan. Namun, yang jelas kelihatan para pemimpin zon euro, yang sepatutnya menerajui jalan keluar daripada krisis itu, seperti Angela Merkel dari Jerman dan Nicolas Sarkozy dari Perancis masih terhegeh-hegeh. Berlin dan Paris dikatakan bertungkus-lumus mencegah jangkitan, tetapi usaha Sarkozy meyakinkan Angela adalah menyembunyikan kelemahan negaranya sendiri.  Sesetengah pihak berasa prihatin bahawa Jerman terpaksa berjuang keseorangan.


Apabila keadaan semakin teruk, maka percubaan oleh para pemimpin dunia untuk mengawal kejatuhan pasaran saham global kelihatan gagal pada hari Jumaat semalam apabila saham di London dan tempat lain di Eropah diperhatikan meneruskan kejatuhan akibat ketakutan akan masalah seterusnya yang menimpa bank-bank Eropah.  Sementara indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) pada hari Jumaat semalam mengalami minggu terburuk sejak kemuncak krisisk kewangan pada tahun 2008, ditusuk oleh kebimbangan yang teruk tentang krisis hutang yang pilin dan amaran daripad Rizab Persekutuan tentang ekonomi Amerika Syarikat.  Berikutan pasaran saham global yang lintang-pukang ini, amaran sekali diberikan kepada para pemimpin Kesatuan Eropah supaya menyelesaikan krisis zon euro dengan segera, daripada Presiden Barack Obama, kepada Setiausaha Perbendaraan Amerika, Timothy Geithner kepada Canselor George Osborne.


Pengarah Urusan, Tabung Kewangan Antarabangsa, Christine Lagarde, memberitahu Eropah bahawa mereka  sekali lagi  mesti menyelamatkan bank-bank yang lemah. IMF menganggarkan bahawa bank-bank kehilangan 300 bilion euro pada tahun lalu akibat risiko yang semakin tinggi tentang  kemungkiran Greece dan negara zon euro lain yang mudah terdedah pada krisis. 


Senarai masalah  semakin panjang dan semakin bertambah, tulis Larry Elliot  bahawa  Eropah, Amerika Syarikat, dan China bergelut dengan masalah masing-masing yang menyebabkan dunia mengulangi tragedi tahun 2008.  




Apa yang diperhatikan oleh  Ha-Joon Chang lebih sebulan lalu bahawa "ekonomi dunia dalam keadaan huru-hara sekali lagi"  semakin jelas.  "Kita melihat dua minggu kejatuhan hampir universal dalam pasaran saham utama, dicetuskan oleh merebaknya krisis zon euro ke Sepanyol dan Italy, krisis fiskal yang dibuat-buat di Amerika Syarikat direka-reka oleh Republikan, dan kelembapan ekonomi di seluruh dunia.


Nouriel Roubini dan Nicolas Berggruen baru-baru ini mengingatkan supaya dihentikan keadaan serba tak kena. Hanya integrasi sepenuhnya mampu menyelamatkan Eropah.  Bagi mereka, krisis zon euro menjejaskan seluruh ekonomi global.  "Selepas banyak bulan kecelaruan ditempuhi," tulis Roubini dan Berggruen, "tetapi tidak menyelongkar akar umbi sistemik krisis ekonomi, fiskal, dan kewangan, Eropah kini pada titik hujung."  Tambah kedua-dua penulis ini, "Jika Eropah meneruskan sedikit lagi dengan status quo keadaan serba tak kena, dan bukannya membuat keputusan yang muktamad, nescaya zon euro akan berkecai dan ekonomi negara menjadi lemah."


Melihat krisis euro yang berlanjutan ini dan boleh mengheret ekonomi global ke kancah kemelesetan sekali lagi, maka seperti yang dicadangkan oleh  John Kornblum dalam The Washington Post pada hari ini, bahawa tanpa euro, kemungkinan kurang penggunaan lagak, dan Jerman tidak akan muncul sebagai penjana, seperti pada hari ini.  Akan tetapi, wujud kesan penting yang lain.  Eropah mungkin tidak menyumbang secara signifikan terhadap krisis kewangan tahun 2008.


Tindak-tanduk para pemimpin Eropah yang membiarkan krisis zon euro berlanjutan, seakan-akan mereka sudah mempunyai jawapan yang muktamad: Biarkan euro berkecai;  atau biarkan Greece tersingkir daripada zon mata wang bersama ini.  Apakah ini percaturan mereka, meskipun dunia terpaksa menanggung harga yang sangat tinggi, iaitu sekali lagi terjebak dalam kemelesetan?   

Friday, September 23, 2011

Erdogan Lanyak Israel, Ahmadinejad Gasak Amerika Syarikat

JUMAAT,  23  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung sekarang boleh dikatakan diwarnai oleh Pemberontakan Arab kedua,  krisis ekonomi yang masih belum reda, dan usaha Palestin untuk mendapatkan taraf negara.  Tentang usaha Palestin ini, pastinya divetokan oleh Amerika Syarikat.  Mengapa Amerika bertindak sedemikin dijelaskan dengan terperinci oleh Marc Ginsberg bahawa Presiden Amerika daripada Demokrat lebih pro-Israel jika dibandingkan dengan Republikan, dan Presiden Barack Obama sendiri, meskipun kelihatan tidak sehaluan dengan Benyamin Netanyahu, banyak menghulurkan bantuan kepada Israel dari segi ketenteraan dan keselamatan. 

Lagipun, memetik Robert Fisk, Obama memang tidak berupaya dalam menghadapi realiti Timur Tengah, meskipun Palestin, seperti yang dibahaskan oleh Jonas Gahr Store, telah pun bersedia untuk taraf negara, bahkan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengakui bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) mencapai kejayaan yang menakjubkan dalam membina institusi awam Palestin.

Yang tidak kurang menarik,  kehadiran  Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang di mana-mana kesempatan menyerang Israel, menggunakan kemunculannya  di PBB itu untuk melanyak Israel sekali lagi.  Beberapa jam sebelum beliau berucap, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyampaikan ucapan yang memperlihatkan sikap anti-Barat beliau. 

Seperti yang dilaporkan oleh The New York Times, Erdogan menyebut satu per satu senarai panjang rasa tidak puas hati  terhadap Israel, bekas sekutu serantau.  Beliau menjelaskan konflik Israel-Palestin sebagai "luka berdarah" yang komuniti antarabangsa tidak boleh terima lagi, menuduh Israel menghalang semua percubaan untuk menyelesaikan masalah.  Daripada senjata nuklear kepada mengawal wilayah yang diduduki kepada bantuan kemanusiaan, tegas Erdogan, Israel menentang harapan dan norma dunia.  Beliau menyindir, "Jika anda mahu menghantar kotak tomato kepada Palestin, ini tertakluk kepada kelulusan Israel, dan saya tidak fikir itu merupakan kemanusiaan," sambil mencadangkan semangat baru perubahan di Timur Tengah yang bermaksud Israel tidak boleh lagi terus menerus memupuk persengketaan.

Sementara Mahmoud Ahmadinejad muncul di Perhimpunan Agung untuk tahun  ketujuh, berkata bahawa kemiskinan, tiada tempat berteduh, dan penafian hak asas boleh disusurgalurkan kepada "ketamakan untuk fahaman kebendaan di Amerika Syarikat dan Eropah."  Seperti yang beliau lakukan dalam ucapannya sebelum ini, Ahmadinejad membangkitkan persoalan tentang Holokus, menyalahkan Barat kerana menggunakan alasan mereka untuk menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Israel dan untuk menindas rakyat Palestin.  "Mereka mengancam sesiapa sahaja yang mempersoalkan Holokus dan 11 September dengan sekatan dan tindakan ketenteraan?"


Berikutan dakwaan beliau bahawa  Amerika Syarikat  dan negara Eropah Barat sebagai "kuasa yang angkuh,"  diplomat dilaporkan meninggalkan Perhimpunan Agung itu dan diikuti oleh beberapa negara lain, seperti 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah.  Beliau menggasak Amerika Syarikat dan kuasa kolonial Eropah kerana menculik berpuluh-puluh juta orang Afrika dan menjadikan hamba abdi, kerana kesediaan mereka "menggugurkan beribu-ribu bom ke atas negara lain," dan kerana menguasai Majlis Keselamatan PBB.  Beliau menuduh Amerika Syarikat kerana menggunakan bom nuklear terhadap Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan menyokong kediktatoran tentera dan rejim totalitarian di Asia, Afrika, dan Amerika Latin.

Buat pertama kali, dunia menyaksikan gandingan pemimpin Turki-Parsi yang berdiri di tengah pentas tanpa berasa takut dan gementar untuk menyatakan pendirian mereka tentang ketidakadilan dan kepincangan yang berlaku di dunia ini.  Untuk Erdogan, tindakannya melanyak Israel yang beliau anggap "budak yang dimuakan," secara tersirat, menyindir Amerika Syarikat yang diketahui umum memuakan Israel sejak sekian lama.  Pastinya, gandingan  tersebut menjadi lebih sempurna sekiranya muncul pemimpin dunia Arab.  Namun, kebanyakannya terhuyung-hayang di lurah  kejatuhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...