Artikel Popular

Friday, April 29, 2011

Berakhirnya Era


SABTU,  30  April 201
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH


Pada 15 September lalu  Wall Street mengalami  satu hari yang paling dramatik dalam sejarah dan seterusnya mengheret dunia ke dalam kancah   krisis kewangan.   Pada 31 Oktober, rangkaian berita  kabel  CNN menyifatkan  bahawa Wall Street menamatkan salah satu bulan yang menggerunkan.    Sejak krisis itu, gambaran media cukup cemas dan menakutkan:  saham lintang-pukang, Wall Street dihentam lagi, kerugian besar dalam pasaran Asia dan Eropah, defisit belanjawan, ekonomi United Kingdom menguncup, kemelesetan di Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Singapura, dan Jepun, keuntungan jatuh, pengurangan  pekerjaan,  kemerosotan perbelanjaan, runtuhnya keyakinan.  Sementara   Ukraine, Hungary, dan Pakistan memohon bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Krisis kewangan global ini membangkitkan lagi  kehampaan sejak pertengahan tahun 1990-an terhadap kemegahan pasaran yang tidak dikawal,  menandakan kematian globalisasi neoliberal – ideologi  yang mencipta nama dalam ekonomi dunia sejak awal tahun 1980-an. 

Apabila kerajaan di beberapa buah negara, misalnya  Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis, Italy, Sepanyol, Belanda, Iceland, Belgium, Luxembourg, Latvia,  dan beberapa negara lain melaksanakan pelan penyelamat untuk firma perbankan dan institusi kewangan, langkah ini dianggap sebagai pemiliknegaraan. Dikatakan bahawa Wall Street diaibkan oleh pemiliknegaraan bank apabila kerajaan Amerika Syarikat, tempat tinggal kapitalisme pasaran bebas, menjadi pemegang saham terbesar dalam bank-bank negaranya dengan memasukkan modal  AS$250 bilion. Masalah kapitalisme, tetapi   penyelesaian sosialisme.  

Pada hari Wall Street dilanda krisis, muncul pertanyaan  “adakah ini menandakan kematian kapitalisme global?” Krisis kewangan global  ditafsirkan  sebagai krisis  kapitalisme, dan  beberapa media arus perdana  mula meragui  kapitalisme.

 “The End of American Capitalism?” menjadi tajuk berita yang merupakan petanda penting dalam Washington Post keluaran 10 Oktober.  Majalah   Newsweek 13 Oktober melalui rencana utamanya  mencari kepastian tentang masa depan kapitalisme:   “The Future of Capitalism: The End of the Age of Reagan and Thatcher, and What Will Follow” yang antaranya memuatkan makalah Fareed Zakaria, Francis Fukuyama, dan Rana Foroohar. “Krisis kewangan yang berlaku sekarang meruntuhkan   beberapa wawasan kapitalisme,  menumbangkan  America, Inc.,   dan melemahkan demokrasi,” tulis  Fukuyama.  Majalah Time 13 Oktober mengandungi komentar Michael Elliot, “The End of an Era?” yang  mengingatkan bahawa krisis kewangan    bukan sahaja melemahkan ekonomi Amerika Syarikat, malahan juga melemahkan kuasa dan pengaruh negara itu.

Yang lebih menarik, majalah yang menyokong kebebasan ekonomi,  The Economist 18 Oktober, melalui rencana utamanya, “Capitalism at Bay” menyebut bahawa kini kebebasan ekonomi sedang dikritik dan kapitalisme, iaitu  sistem yang merangkumnya diserang.  “Minggu ini, Britain tempat kelahiran penswastaan moden, memiliknegarakan industri perbankan; sementara di tengah-tengah perbualan tentang berakhirnya era Thatcher-Reagan, kerajaan Amerika berjanji untuk memasukkan AS$250 bilion ke dalam bank-bank negara itu.  Kerajaan lain mengawal selia sistem kewangan masing-masing.” 

Sejak pertengahan September, para pengulas sarat dengan gambaran   bahawa krisis kewangan  ini sebagai   berakhirnya era.     Peranan dolar Amerika sebagai mata wang rizab dunia dijangka   berakhir.  Sebaliknya, dasar perlindungan dilaksanakan semula, pengembalian  peranan negara dari segi pengambilalihan perusahaan yang gagal dan pelaksanaan langkah Keynesian, dan pengembalian lebih banyak dasar pengagihan semula.  Dalam konteks geopolitik pasca-Perang Dingin,  juga berakhirnya era hegemoni Amerika Syarikat.

Robert Wade, dalam makalah  “Financial Regime Change?” (New Left Review, September – Oktober 2008) menulis,  sejak tahun 1930-an, dunia bukan komunis mengalami dua peralihan besar dari segi norma dan peraturan yang cukup penting untuk disebut “pertukaran rejim.”   Rejim pertama dicirikan oleh Keynesianisme dan dikawal oleh penyusunan Bretton Woods untuk tempoh dari 1945 hingga 1975.  Rejim kedua bermula selepas runtuhnya Bretton Woods, dan bertahan hingga krisis hutang Dunia Pertama antara tahun 2007 – 2008.  Rejim terbaru ini dikenali dengan beberapa nama, seperti neoliberalisme, Konsensus Washington atau konsensus globalisasi yang menitikberatkan anggapan bahawa semua kerajaan sepatutnya melaksanakan liberalisasi, penswastaan, dan pembatalan kawal selia.  Kedua-dua rejim ini berbeza dari segi peranan yang diberikan kepada negara, baik negara maju mahupun negara membangun.  Rejim Bretton Woods mengutamakan “liberalisme tertanam” yang mengawal pasaran melalui proses politik.  Sebaliknya, rejim neoliberal, khususnya berkait dengan Reagan dan Thatcher yang menghidupkan semula norma laissez-faire yang mengetepikan “campur tangan” negara dan memperluas  peruntukan pasaran dalam kehidupan ekonomi. 

Sebagaimana para pengulas lain, Robert Wade juga menyebut berakhirnya era, iaitu  kematian konsensus globalisasi:  “krisis semasa mungkin cukup memadai untuk menyedarkan  ahli ekonomi daripada ‘tidur nyenyak dengan pendapat yang diputuskan’, dan menyebabkan mereka lebih terbuka kepada bukti  bahawa konsensus globalisasi pasca-Perang Dingin mempunyai asas empirikal yang ketara lemah.” 

Keyakinan bahawa era pasaran bebas  berakhir diperkukuhkan lagi dengan pengakuan Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan semasa memberikan keterangan bersumpah (testimoni) di hadapan Jawatankuasa  Kongres pada 23 Oktober bahawa beliau salah tentang ekonomi dan mengakui melakukan kesilapan terhadap kawal selia. Beliau mengakui bahawa krisis kewangan global mendedahkan “kesilapan” dalam ideologi pasaran bebas yang membimbing pengawasan beliau selama 18 tahun dalam dasar kewangan Amerika Syarikat.

“Saya menemui kecacatan,” jelas Greenspan yang merujuk kepada falsafah ekonomi beliau, iaitu pembatalan kawal selia.  “Saya melakukan kesilapan dalam menganggap bahawa kepentingan diri organisasi, terutamanya bank dan lain-lain mempunyai kemampuan terbaik dalam melindungi pemegang saham mereka dan ekuiti mereka dalam firma.”  Pengakuan ini ditafsirkan sebagai masa-masa akhir ideologi pasaran bebas.  Sesungguhnya, bukan kenyataan sembarangan apabila Greenspan berkata beliau “meletakkan kepercayaan yang terlalu tinggi terhadap kuasa pembetulan sendiri pasaran bebas,” sambil mengetepikan peranan kerajaan. Akhirnya, ternyata kepercayaan itu  bukan sahaja silap, bahkan mencetuskan krisis kewangan global dan kemelesetan merentas benua.

Namun, Presiden Amerika George W. Bush  beberapa kali menegaskan bahawa  yang dilakukan oleh kerajaan Amerika adalah demi kepentingan pasaran bebas dan kapitalisme.  Ketika berucap di Dewan Perdagangan Amerika Syarikat pada 16 Oktober beliau menjelaskan campur tangan kerajaan adalah untuk menyelamatkan pasara bebas.  Seterusnya, pada akhir Oktober beliau sekali lagi  mengingatkan meskipun pasaran saham menjunam dan kekhuatiran terhadap kemelesetan dunia, kini bukan masanya  setiap negara meninggalkan dasar pasaran terbuka atau meluluskan perubahan yang mengancam perusahaan bebas.  Beliau tetap mempertahankan pasaran bebas, perusahaan bebas, dan perdagangan bebas.  Menjelang Persidangan Kemuncak Mengenai Krisis Kewangan Global yang dihadiri oleh para pemimpin Kumpulan 20 (G20) dari negara maju dan negara membangun yang berlangsung di Washington pada 15 November, Bush sekali lagi mempertahankan pendiriannya:  “krisis ini bukannya kegagalan sistem pasaran bebas.  Ancaman utama terhadap kemakmuran bukannya terlalu sedikit penglibatan kerajaan, tetapi terlalu banyak penglibatan kerajaan dalam pasaran.”

Meskipun semasa krisis kewangan global ini banyak kerajaan  memperlihatkan penglibatan atau  campur tangan masing-masing, seperti melaksanakan pelan penyelamat, melancarkan pakej rangsangan ekonomi, menurunkan kadar faedah, memberikan jaminan terhadap simpanan orang ramai dalam bank, mengetatkan kawal selia, dan mengehadkan kebebasan pasaran, namun terlalu awal untuk meraikan  (mungkin ada yang meratapi) kematian  kapitalisme.  Seperti yang pernah disebut, anggapan bahawa ideologi neoliberalisme gagal dan hari-hari kapitalisme kian berakhir merupakan satu idea yang menggelikan hati.  Agak naif untuk menganggap kapitalisme berada di ambang maut dan agak sukar untuk melihat anggapan itu menjadi kenyataan.

Menurut   intelektual  Kiri,  Emir Sader, melalui majalah dalam talian   MRZine, krisis kapitalisme yang baru ini sama seperti yang berlaku pada tahun 1929.  Teori kapitalisme kasino disahkan.  Kerajaan Amerika sendiri bercanggah lagi dan banyak campur tangan, mencerminkan bahawa keyakinan dalam pasaran tidak sehebat proganda yang ditunjukkan.  Kapitalisme neoliberal tersungkur dan teori Kiri, iaitu Keynesian atau antikapitalis yang kritis terhadap neoliberalisme saling menyokong antara satu sama lain.  Golongan Kiri berpesta kegembiraan dan tidak sabar menunggu kesan sosial dan politik daripada krisis kewangan ini.       

Namun, dengan mempersegarkan  peringatan  Lenin,  Emir Sader secara yakin menegaskan bahawa kapitalisme tidak runtuh dan juga tidak akan runtuh, kecuali mengalami kekalahan, seperti yang ditunjukkan oleh  proses revolusi yang mengakhiri kapitalisme secara sementara atau selama-lamanya.  Kapitalisme tidak runtuh angkaranya sendiri, malahan menunjukkan keupayaan untuk pemulihan.

“Siapa sangka di tanah tumpah darah Lenin, revolusi pekerja-kaum tani pertama dalam sejarah manusia menyaksikan  pengembalian kapitalisme dalam versi gangster?  Siapa sangka bahawa Amerika Syarikat yang ‘luka parah’  ketika krisis tahun 1929,  mengalami paling lama dan paling dalam kitaran pengembangan kapitalisme dalam sejarah atau disebut ‘era keemasan’ oleh Hobsbawm, iaitu selepas Perang Dunia Kedua, mengasak Kesatuan Soviet dan menewaskan negara komunis itu dari segi teknologi dan ekonomi, sebelum menggerakkan  ledakan politik?”

Menyedari bahawa para penulis akhbar  The Guardian dan ahli politik Parti Buruh bersifat kelakar sepanjang minggu dengan  apa yang mereka sebut “keruntuhan model pasaran bebas” ekonomi global moden, Simon Jenkins dengan hujah yang agak lemah cuba  mengingatkan dalam akhbar itu:   “bank-bank tidak ‘dimiliknegarakan’, tetapi sekadar dibanjiri dengan wang.  Bank kekal sebagai pemajmuk dan institusi berdaya saing dengan lembaga pengarah yang bebas.  Pekerja bank bukannya pegawai kerajaan.  Para pelabur mengekalkan saham mereka.  Budaya bonus akan dipersegarkan semula.”  Tambah Jenkins lagi, “ini bukannya sosialisme pada masa kita, tetapi hanya wang awam  dicampakkan ke muka kapitalisme.  Mereka semua silap.” Bagi Jenkins sambil berkias, “semua pasaran perlu dikawal selia.  Sememangnya, kawal selia yang gagal bulan lalu.  Apabila kereta dipandu  terlalu laju dan berlaku kemalangan, maka tidak benar untuk menyalahkan pemotoran.”

Seperti yang sering diperdebatkan oleh George Soros, krisis semasa ini mempunyai jangkauan yang sangat luas, bukannya perniagaan seperti biasa, tetapi berakhirnya era.    Sesungguhnya,  krisis kewangan global menyebabkan   pasaran bebas dan kapitalisme tidak dapat bertahan lagi, meskipun orde baru yang akan menggantikannya belum dapat diramalkan.  Lambat-laun, sistem baru akan dinobatkan, tetapi bukannya sistem kapitalis seperti kita kenali sekarang.
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Januari 2009.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...