ISNIN, 25 April 2011
Oleh: Zulkifli Salleh
Para cerdik pandai politik membuat tafsiran yang tepat dengan mengibaratkan arus perubahan yang dibawa oleh para pengundi sebagai tsunami politik apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-12, Barisan Nasional kalah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor, gagal menawan Kelantan, dan hanya berjaya membentuk kerajaan tanpa dua pertiga majoriti. Para cerdik pandai politik juga mengenal pasti faktor kekalahan BN, iaitu rakyat tidak berpuas hati terhadap parti itu. Akibatnya, mereka menjatuhkan hukuman yang tidak pernah dilakukan sejak demokrasi diamalkan di Malaysia.
Sesetengah faktor, seperti kenaikan harga barang, rasuah, dan ketelusan merentasi sempadan kaum. Sebagaimana di India, faktor yang menjejaskan kehidupan golongan pendapatan rendah, seperti petani boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan, demikian juga faktor kenaikan harga barang di Malaysia. Meskipun kenaikan harga ini menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat, tetapi tidak ada langkah yang konkrit untuk mengatasinya oleh menteri yang berkenaan, malahan kenyataan dan penjelasannya tidak meyakinkan rakyat.
Namun, wujud faktor yang berhubung kait dengan ketidakpuasan orang Melayu terhadap UMNO dan pucuk pimpinan kerajaan BN dalam menangani isu agama, budaya, bahasa, dan ekonomi, dan hak istimewa. Mereka masih peka dalam hal-hal yang berkait dengan kepentingan bangsa mereka. Mereka berasa kurang senang, misalnya apabila kerajaan memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan, tetapi menganaktirikan sekolah agama rakyat. Demikian juga cara kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap perusuh di Batu Buruk, Kuala Terengganu, tetapi menggugurkan tuduhan terhadap perusuh India di Kuala Lumpur.
Maka, mereka rela bertindak “marahkan nyamuk kelambu dibakar.” Dalam sejarah kesultanan Melayu, berlaku peristiwa orang Melayu bersekongkol dengan musuh untuk menjatuhkan raja-raja mereka. Kini, mereka menghidupkan semula “budaya politik” zaman lampau apabila ketidakpuasan dan kemarahan mereka tidak lagi dapat dibendung lalu mereka membuat keputusan yang di luar jangkaan sama sekali.
Dalam mencari di manakah silapnya dan apakah yang perlu dilakukan apabila berlaku tsunami politik, seperti yang pernah dikatakan oleh De Montesquieu, “Kemerosotan setiap kerajaan bermula dengan kemerosotan atau keusangan prinsip yang kerajaan itu diasaskan.” Dalam konteks UMNO, seorang penganalisis politik pernah berkata bahawa perjuangan parti ini tidak lagi berpaksikan agama, bangsa, dan tanah air. Malah, UMNO bertanggungjawab terhadap pencairan ideologi Melayu kerana taasub terhadap idealisme ke-Malaysiaan.
UMNO dan BN leka dengan kemenangan besar yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan memandang remeh terhadap kegelisahan rakyat. Saranan atau gagasan pemimpin yang ingin membawa perubahan kepada ahli-ahlinya dan keluar dari zon selesa tidak diendahkan. Semasa merasmikan Perhimpunan Pemuda, Wanita, dan Puteri UMNO pada bulan November 2006, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri merujuk dan memperkatakan buku Blue Ocean Strategy.
Walaupun buku yang ditulis oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborgne lebih tertumpu kepada dunia perniagaan, Timbalan Presiden UMNO itu cuba membuka minda para perwakilan supaya memahami dan menghayati strategi lautan biru. Beliau berusaha mengajak perwakilan khususnya dan ahli UMNO amnya supaya tidak lagi leka belayar di lautan merah dengan merangka perancangan strategi untuk mengatasi dan seterusnya menyingkirkan pesaingnya: “Sentiasa menjadi penting untuk berjaya berenang di lautan merah dengan mengatasi persaingan musuh.”
Berbanding dengan strategi lautan merah, strategi lautan biru mencipta ruang pasaran yang tidak ditandingi, menjadikan persaingan tidak relevan, mencipta dan menguasai permintaan baru, memutuskan atau memecahkan keseimbangan nilai-kos, dan menjajarkan seluruh sistem aktiviti untuk mewujudkan perbezaan dan kos rendah.
Sesebuah organisasi pula merupakan milik setiap warganya dan bukannya milik golongan tertentu. Seperti yang dinyatakan dalam Blue Ocean Strategy, sesebuah organisasi bukan hanya pengurusan tertinggi, bukan juga hanya pengurusan pertengahan. Organisasi merupakan setiap orang, dari atas ke barisan depan.
“Sikap dan kelakuan warganya berakar umbi dalam organisasi. Anda mesti mewujudkan budaya kepercayaan dan komitmen yang mendorong warganya melaksanakan strategi yang dipersetujui, bukannya untuk surat, tetapi untuk semangat. Minda dan hati warga mesti sejajar dengan strategi baru.”
Buku Blue Ocean Strategy menegaskan bahawa komitmen, kepercayaan, dan kerjasama secara sukarela bukan sekadar sikap dan kelakuan, tetapi juga merupakan modal tak ketara. “Apabila orang mempunyai kepercayaan, mereka menyerlahkan keyakinan terhadap hasrat dan tindakan orang lain. Apabila mereka mempunyai komitmen, mereka akan mengetepikan kepentingan peribadi demi kepentingan syarikat.”
Namun, seperti kelaziman Perhimpunan Agung UMNO, para perwakilan tidak cuba memahami dan menggarapkan amanat Presiden dan Timbalan Presiden Parti secara serius, sebaliknya mereka tenggelam dalam sorak-sorai, lawak jenaka, dan gelak ketawa. Para perwakilan tidak berusaha untuk memahami, apatah lagi untuk menterjemahkannya dalam bentuk tindakan strategi lautan biru yang cuba diketengahkan oleh Datuk Seri Mohd. Najib. Sebaliknya, UMNO dan BN terus belayar di lautan merah yang nyaris-nyaris menenggelamkan parti yang menguasai tampuk pemerintahan lebih 50 tahun.
Di sebalik pelbagai faktor yang mencetuskan tsunami politik, hakikatnya, abad ke-20 adalah yang terakhir dari segi sejarah apabila manusia kebanyakannya luar bandar. Kejahatan pada abad ke-21 juga tercetus daripada gerakan populis, yang mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, didorong oleh agama dan kepercayaan sektarian, dan diperkasa oleh teknologi maklumat, khusus Internet dan sistem pesanan ringkas (sms). Semua faktor ini, sedikit sebanyak, mempengaruhi keputusan pilihan raya baru-baru ini.
Kini, tirai pilihan raya sudah berlabuh, yang menang telah dan akan membentuk kerajaan masing-masing, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan. Dalam muhasabah diri yang berbaur dengan kemarahan dan kekecewaan, tidak dapat dipastikan, sama ada UMNO khususnya dan BN amnya akan beralih haluan ke lautan biru ataupun terus hanyut di lautan merah.
Dipercayai bahawa bahagian pertama abad ke-21 akan lebih sukar, lebih tidak tenteram, dan tetapi lebih terbuka jika dibandingkan dengan apa yang kita ketahui pada abad ke-20. Keputusan pilihan raya baru-baru ini menimbulkan ketidakpastian yang mungkin mencetuskan kekalutan politik, kemuraman ekonomi, dan kegelisahan sosial. Bibit-bibit bahawa dekad pertama abad ke-21 diwarnai dengan pancaroba mula kelihatan.
Pelbagai ketidakpastian yang sedang menunggu, baik terhadap parti-parti politik mahupun terhadap rakyat dan negara. Walaupun banyak pihak mentafsirkan bahawa keputusan pilihan raya yang lalu mencerminkan kemenangan demokrasi, namun demokrasi tidak semuanya indah. Greece tempat mula lahirnya demokrasi juga tempat lahirnya anarki.
Robert D. Kaplan dalam The Coming Anarchy mengingatkan: “Hitler dan Mussolini berkuasa melalui demokrasi. Demokrasi tidak selalunya menyebabkan masyarakat lebih sivil, tetapi demokrasi tanpa belas kasihan mendedahkan kesejahteraan masyarakat tempat demokrasi itu beroperasi…. Demokrasi selalu melemahkan kerajaan dengan menuntut kata sepakat yang tidak berkesan dan kerajaan campuran yang rapuh.”
Tatkala keyakinan terhakis dan kepercayaan tercalar, pucuk pimpinan BN tidak boleh lagi menyanyi lagu lama: “Saya sentiasa mendengar suara rakyat.” Seperti dikatakan oleh Gramsci juga Machiavelli, “Persoalan perpaduan, bagaimana membina keazaman kolektif, keupayaan memimpin masyarakat adalah sangat penting.”
Cerdik pandai politik pernah berkata bahawa tindakan tanpa penjelmaan bukannya tindakan politik. Manusia secara amnya, dalam membuat pertimbangan atau penilaian lebih bergantung pada mata jika dibandingkan dengan tangan; kerana setiap orang boleh melihat dan hanya segelintir yang dapat merasa. Politik bukannya “sains”, tetapi perjuangan yang berasaskan gerak hati atau intuisi dan perhitungan rasional tentang kemungkinan.
Bagi para pemimpin parti-parti yang baru memerintah di beberapa buah negeri pula mereka mungkin perlu belajar sesuatu daripada Genghis Khan yang menjangkakan masalah yang dihadapi apabila menakluki China: “Menakluki sesebuah negara dengan berkuda memang mudah, turun dari kuda dan membina negara itu amat sukar.” Kira-kira 800 tahun kemudian, peringatan Genghis Khan ini dialami oleh PAS apabila parti itu menguasai Terengganu pada tahun 1999.
Para pengundi khususnya dan rakyat amnya dengan segala kesukaran serta kejerihan, tetapi berbekalkan keazaman kolektik telah membina sebuah menara harapan. Malangnya, menara harapan ini dibina di atas tapak yang rapuh. Sebaik-baik sahaja tirai sejarah berlabuh mereka dapat melihat detik-detik kebenaran dengan jelas, iaitu belayar di lautan merah dengan pelbagai ketidakpastian dan pancaroba. Mungkin sudah terlewat untuk belajar daripada pengalaman sejarah ini.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat April 2008.)
No comments:
Post a Comment