Artikel Popular

Saturday, April 16, 2011

Sayang Sarawak Sungainya Sempit

SABTU,  16  April 2011 
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH
Selepas Pilihan Raya Presiden 2008, Karl Rove, bekas ahli strategi Presiden George W. Bush,  menulis dalam The Wall Street Journal,  “perlumbaan politik adalah mengenai calon dan isu.  Akan tetapi, keputusan pilihan raya, akhirnya adalah mengenai  angka.”  Perlumbaan dalam  Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak telah pun berakhir, dan antara pukul lapan hingga sebelas malam ini adalah mengenai angka: siapa menang, siapa kalah. 
Seperti yang  sering dipetik,   dalam politik,  satu minggu, sesungguhnya, satu tempoh yang cukup lama, apa-apa sahaja boleh terjadi.  Barisan Nasional merasai malam yang panjang dalam Pilihan Raya Umum 2008, manakala Presiden Barack Obama merasakannya ketika Pilihan Raya Separuh Penggal 2010. Setelah melalui malam yang panjang,  Obama muncul dalam    sidang akhbar di Rumah Putih.  Dalam keadaan muram, beliau   memberitahu  bahawa beliau mengambil “tanggungjawab langsung”  lantaran  rasa kecewa  para pengundi, terutamanya tentang ekonomi.  Beliau    bermula dengan:  “Sesetengah malam pilihan raya lebih menyeronokkan berbanding dengan yang lain.”  
Dalam biasa yang mudah, mana-mana pilihan raya boleh diibaratkan seperti perlawanan bola sepak, iaitu sebelum wisel dibunyikan, apa-apa sahaja boleh terjadi.  Berdasarkan pemerhatian  melalui blog dan facebook saya dapat mengesani bahawa dalam kalangan penyokong parti tertentu wujud keyakinan yang berlebih-lebihan, meskipun perlawanan belum berakhir.  Akibat keyakinan tersebut, timbul keghairahan untuk memperlekeh pihak lawan. 
Dalam media sosial ini juga, baik daripada penulis mahupun komen atau respons,  saya dapat mengesani bahawa seolah-olahnya   medan pertarungan di Semenanjung Malaysia dan bukannya di Sarawak yang melibatkan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 979,796 orang pengundi.  Dengan kata lain, orang di Semenanjung yang nampaknya lebih beria-ia daripada orang di Sarawak, khususnya para pengundi.  Dengan kata lain,   gembar-gembur  yang kelihatan hebat datangnya dari Semenanjung.
Dalam hubungan ini, saya amat tertarik tulisan Nobisha.blogspot.com, “Politik ‘Orang Buta Pegang Gajah’ di Sarawak” yang antaranya  menulis, “Saya menggunakan beberapa alatan pemantauan media sosial (social media monitoring tool) untuk ‘mencari’ perbahasan politik di kalangan rakyat Sarawak. Apa yang saya nampak ialah ia tidak banyak. Bukan tidak ada, cuma tidak banyak. Kebanyakannya berlegar di sekitar orang Semenanjung yang ghairah dengan politik Sarawak.”
Dengan rendah diri penulisnya menambah:  “Apabila diajukan soalan tersebut, saya seringkali memberikan analogi orang buta pegang gajah. Yang pegang belalai, akan kata gajah itu panjang. Yang pegang badan, akan kata gajah itu besar. Manakala, yang pegang ekor akan kata gajah itu halus! Begitu jugalah dengan politik di Sarawak. Bergantung kepada di manakah seseorang melihat kempen, ia mencorakkan cara beliau melihat politik Sarawak.”
Pilihan Raya DUN Sarawak ke-10 itu  turut menyaksikan tinjauan pendapat  yang dilakukan oleh organisasi tertentu untuk “meramalkan” kemenangan, dan nampaknya ramalan ini dilanggani oleh penyokong parti tertentu – mungkin kerana memihak kepada parti mereka.  Saya tidak berkesempatan melihat tinjauan pendapat itu, meskipun ada dimuatkan dalam facebook kerana kesukaran yang menuntut kesabaran untuk mengakseskannya.  Walau bagaimanapun, dalam blog ini, berdasarkan pengalaman di Amerika Syarikat dan Britain dalam pilihan raya masing-masing,  saya pernah menulis dalam ruang media, “Tinjauan Pendapat Boleh Dipercayai?”
Saya pernah mengikuti tinjauan pendapat di kedua-dua negara itu dengan penuh minat kerana antaranya banyak tinjauan yang dilakukan, sama ada oleh pihak bebas ataupun yang ditaja oleh parti yang bertanding -  kalau di Amerika, Parti Demokrat dan Republikan.  Daripada pelbagai tinjauan pendapat ketika Pilihan Raya Presiden 2008 dan Pilihan Raya Separuh Penggal 2010, nama Nate Silver daripada FiveThirtyEight yang dapat diikuti dalam The New York Times. Berdasarkan pelbagai tinjauan pendapat itu beliau dari semasa ke semasa,  merumuskan peratusan yang dijangkakan dicapai oleh setiap pihak yang bertanding itu.
Pilhan raya  di United Kingdom pada awal Mei 2010 juga menyaksikan “kehebatan” tinjauan pendapat yang menunjukkan bahawa Parti Konservatif mendahului  pihak lawan, Parti Buruh dan Parti Demokrat Liberal. Pada hari pengundian,  iaitu  6 Mei, akhbar The Guardian menyiarkan tinjauan pendapat Guardian/ICM terkini yang menunjukkan Tories pada laluan merampas semula kuasa selepas 13 tahun.  Tinjuan pendapat berkenaan menunjukkan bahawa Konservatif mengatasi Buruh dengan lapan mata, kurang daripada yang mereka perlukan untuk majoriti keseluruhan.  Konservatif memperoleh 38 peratus, Buruh 28 peratus, dan Demokrat Liberal 26 peratus.
Yang amat  kurang menarik bagi saya, ialah pemakluman tentang persampelan bahawa  “ICM  Research menemu bual sampel rawak sebanyak 2022 orang dewasa berumur 18 tahun ke atas melalui telefon pada 3 – 4 Mei 2010.  Temu bual dilakukan di seluruh negara dan keputusan diwajarkan dengan profil semua orang dewasa.”  Pemakluman   seperti ini memang penting supaya orang ramai dapat mengetahui dengan jelas tentang persampelan, meskipun jumlah sampel adalah kecil. Pihak yang melakukan tinjauan pendapat itu  bukan sekadar memaklumkan hasilnya, tetapi juga kaedahnya Selain itu, orang ramai dimaklumkan bilakah sesuatu tinjauan itu  dilakukan. 
Sebaik-baik sahaja keputusan pilihan raya diketahui pada malam ini, lazimnya pihak yang tewas dapat menyatakan faktor kekalahan mereka dengan segera – tidak sempat bermalam.  Inilah yang terjadi dalam satu demi satu pilihan raya kecil di negara ini bahawa pihak yang tewas tidak sukar untuk mencari faktor kekalahan masing-masing.  Sebagaimana dalam nahas jalan raya yang teruk, demikian juga dalam pilihan raya – faktornya dapat dikenal pasti dengan mudah.  Hanya bagi orang bukan politik seperti saya, pertanyaan, “Kalau sudah tahu faktornya mengapa tidak cuba diatasi semasa kempen atau sebelum kempen lagi?”  Tidak kurang juga yang memberikan alasan bahawa "kekalahan sudah dijangkakan."  Kalau demikian, mengapa bertanding?  Sedangkan, semasa kempen calon dan penyokong parti  begitu yakin menang.
Juga jangan terperanjat selepas keputusan diketahui, bagi yang tewas, demi mengubat hati yang rawan, akan kedengaran, “anggur masam.”  Jika semasa kempen, para pengundi adalah segala-galanya, selepas keputusan diketahui, bermacam-macam tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.  Bak kata orang, apabila seseorang jejaka gagal memikat seorang gadis, ada-ada sahaja alasan yang bersifat “tuding jari,” dan bukannya muhasabah diri.  Tidak kurang kata-kata keji dan kesat dilemparkan terhadap jejaka lain yang berjaya menawan gadis itu.  Maksudnya, terhadap calon yang menang – guna taktik kotor, guna wang,  dan sebagainya.
“Sayang Sarawak sungainya sempit;   hendakku bawa perahu pun sempit” akan  nyaring kedengaran pada malam ini. Ada yang tidur nyenyak, ada yang penuh resah.  Memetik semula apa yang pernah dikatakan oleh Presiden Barack Obama,  “Sesetengah malam pilihan raya lebih menyeronokkan berbanding dengan yang lain.”  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...