Artikel Popular

Monday, April 18, 2011

Tiada Kebijakan, Tiada Keberanian

ISNIN,  18  April 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Makalah ini ditulis pada awal tahun 2010, iaitu selepas tercetus kontroversi penggunaan kalimah Allah dan berikutan penulisan makalah oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dalam Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akhbar The Wall Street Journal. Maka, pandangan atau analisis makalah ini banyak tertumpu pada makalah yang ditulis oleh setiap pemimpin itu, tanpa apa-apa pindaan.  Makalah ini juga tidak pernah diterbitkan di mana-mana.

Pada  April 1946, majalah Horizon menerbitkan “Politics and the English Language” yang masih menjadi sumber rujukan hingga sekarang.  Penulisnya, George Orwell, antaranya berkata  bahawa banyak perkataan disalahgunakan. Perkataan, seperti demokrasi, sosialisme, kebebasan, patriotik, realistik, dan keadilan, bagi Orwell, mempunyai beberapa makna yang berbeza yang tidak boleh  diselaraskan antara satu sama lain.

“Pada masa kita,” tulis Orwell, “ucapan dan penulisan politik merupakan  pada amnya pertahanan yang tidak dapat diipertahankan.”  Bagi beliau, intelektual politik merupakan tuan eufemisme, menggunakan bahasa yang mengaburkan makna politik reaksionis.   Tegas beliau lagi,  “pada zaman kita, tidak ada perkara yang terpisah daripada politik. Semua isu ialah isu politik, dan politik itu sendirinya merupakan bongkah pembohongan (mass of lies), dalih, kebodohan, kebencian,  dan skizofrenia.”

Meskipun sudah lama berlalu, namun “pesanan” Orwell merupakan  sesuatu yang   boleh dimanfaatkan daripada “petua” Orwell untuk meneliti ucapan dan khususnya penulisan yang dihasilkan oleh para pemimpin politik di negara ini.  Maka, sekalung penghargaan kepada The Wall Street Journal  kerana pada  25 Januari lalu   menerbitkan artikel “Finding Unity in Malaysia's Diversity”  yang ditulis oleh  Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dan  “Muslims Have No Monopoly over 'Allah'” oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penerbitan artikel berkenaan, sesungguhnya membuka peluang kepada para pembaca khususnya dan rakyat Malaysia amnya, menilai kedua-dua pemimpin yang sedang bertarung sengit sekarang ini.

 Ada cerdik pandai politik berpendapat bahawa artikel yang diterbitkan dalam akhbar itu “menunjukkan pendekatan dan gaya politik yang berbeza antara Najib dengan Anwar.”  Namun, jika dibaca dan dihayati, kedua-duanya mempunyai banyak persamaan, meskipun mereka berbeza dari segi fahaman politik.  Seandainya artikel berkenaan boleh bersuara, para pembaca pastinya dapat mendengar suara yang keletihan  kedua-dua penulisnya: seorang sebagai Perdana Menteri, manakala seorang lagi masih memasang cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. 

Melalui artikel tersebut Najib dan Anwar   mencuba menunjukkan diri masing-masing berpandangan dunia dan berfikiran global. Seakan-akan kedua-duanya berfikir bahawa mereka sedang bercakap di New York atau Davos, dan bukannya di Kuala Lumpur.  Akibatnya,    Najib dan Anwar kelihatan  seperti   tidak  memahami dan menjiwai  isu dan masalah  sebenar yang mendasari pelbagai kemelut yang melanda negara  yang berlaku  sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan yang terbaru,  penggunaan kalimah Allah dan serangan terhadap tempat ibadat.  Semua ini memperlihatkan bahawa negara   berhadapan dengan semacam    “pertembungan dalaman”  yang semakin sengit. 

Kalau sekadar berbicara tentang penggunaan kalimah Allah, kita rakyat Malaysia tidak perlu membaca artikel Najib dan Anwar.  Ini kerana  Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin seperti yang diterbitkan dalam Sinar Harian  memberikan penjelasan yang amat menarik bukan sahaja dari sudut undang-undang dan kepercayaan, tetapi juga dari sudut  sosiologi. Beliau  menjelaskan dalam kehidupan beragama orang Melayu, kalimah Allah adalah segala-galanya daripada tiang iman hinggalah pegangan, norma dan nilai.   kehidupan seharian mereka.  Tambah beliau lagi,  “Melayu-Muslim menganggap Allah adalah kepunyaan mereka dan hanya mereka yang tahu dan berhak membincangkan mengenai-Nya.” 

Penjelasan Shamsul  Amri bahawa “mereka dilahirkan sebagai orang Islam, hidup sebagai orang Islam dan mati sebagai  orang Islam ... inilah realiti historis-sosial di Malaysia,”  tetapi realiti ini diabaikan oleh Najib dan  Anwar.  Bahkan,   kedua-duanya  tidak mencuba memahami  perasaan dan emosi orang yang hak eksklusif mereka diambil oleh orang lain. Misalnya, Anwar  mengatakan “tidak salah menggunakan kalimah Allah,” tetapi persoalannya, adakah salah atau berdosa jika orang Melayu-Islam di negara ini mempertahankan hak eskslusif daripada diambil oleh pihak lain?  Sesungguhnya, mana-mana pemimpin yang  mengetepikan  realiti historis-sosial Malaysia, adalah sukar untuk menerajui negara ini ke arah masa depan yang lebih cerah.

Membaca artikel Anwar, pastinya mempersegarkan ingatan  sesetengah orang  terhadap Rustam A. Sani yang pernah mengemukakan komen sinis terhadap beliau berikutan penerbitan bukunya  Gelombang Kebangkitan Asia (1997).  “Dalam membicarakan karya seorang pengarang yang begitu penting dan terkenal seperti Anwar Ibrahim,” tulis Rustam dalam bukunya Menjelang Reformasi, “pandangan kita dengan mudah boleh disilaukan oleh kekaguman kita terhadap ketokohannya, pemilihan kata-katanya (yang memerlukan glosari), kecekapan istimewanya mengurus ekonomi negara dan sebagainya – tetapi tidak ada relevannya dengan gagasan tersebut.”  

George Bernard Shaw pernah berkata, “wartawan, nampaknya  tidak dapat membezakan antara kemalangan basikal dengan keruntuhan  tamadun.”  Jika dipanjangkan kata-kata beliau  itu terhadap  Najib dan Anwar, maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa “kedua-duanya  tidak dapat membezakan antara kemalangan basikal dengan keruntuhan tamadun,” biarpun tamadun yang sedang runtuh itu merupakan tamadun mereka sendiri.  Atau dengan kata lain, kedua-duanya tidak dapat membezakan antara masalah yang remeh dengan kemelut yang semakin genting dan runcing. 

Dalam artikel tersebut  jelas bahawa  Najib dan Anwar hanyut dalam arus psikologi penafian. Hal ini memang tidak memeranjatkan kerana kedua-duanya mencuba untuk memperlihatkan diri  mereka sebagai  “orang yang disayangi.”  Sukar untuk difikirkan mengapa kedua-duanya tidak dapat melihat bayang-bayang yang mengerikan sedang menghantui negara ini. Jika diibaratkan sebagai jeneral, Najib dan Anwar  tidak dapat  mengenali musuh yang memakai pelbagai topeng kejahatan dan kecelakaan atau mengenali “raksasa yang kepalanya berubah-ubah” yang semakin besar dan semakin ganas.

Najib dengan idealisme  1Malaysia  seolah-olahnya enggan berpisah dengan gagasan itu,  beranggapan bahawa segala-galanya  dapat diselesaikan oleh 1Malaysia. Pendek  kata,  bagi beliau, 1Malaysia ialah ubat mujarab untuk segala penyakit.  Setelah menegaskan bahawa “negara mesti mengekalkan masyarakat yang terbuka dan adil, dengan peluang untuk semua akan terus subur,” beliau  seperti pakar pengurusan yang menyampaikan ceramah  di hadapan khalayak yang kejemuan kerana mereka asyik diperdengarkan perkara yang sama, berkata: “Perubahan telah dibuat seperti meliberalkan keperluan pemilikan dalam sektor utama ekonomi, menggalakkan pelaburan langsung asing dalam era globalisasi,  mewujudkan klinik-klinik 1Malaysia untuk memberi perkhidmatan kesihatan,  di samping memperluaskan peluang pelajaran kepada semua rakyat Malaysia.”

Sementara Anwar,  seperti lazim,     menuding jari kepada pihak lain.  Beliau menyalahkan UMNO, media arus perdana, khususnya Utusan Malaysia  dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).  Kalau tuduhan  itu benar, sesungguhnya ini bukan petanda baik buat Anwar dan partinya kerana  menandakan bahawa UMNO dan akhbar berkenaan amat berpengaruh.

Dalam keghairahannya menunjukkan “whodunit” Anwar  mengetepikan hakikat bahawa protes terhadap penggunaan kalimah Allah,  yang diputuskan oleh  Mahkamah Tinggi,   melibatkan  pelbagai  lapisan masyarakat Melayu-Islam dan merentas sempadan politik.    Dakwaan  Anwar  bahawa penggunaan kalimah Alllah merupakan taktik untuk memesongkan daripada isu yang lebih besar, seperti kehilangan dua enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga dibangkitkan dalam  khutbah Jumaat di salah sebuah masjid di Selangor pada 29 Januari lalu.

Dengan menyatakan “nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa terjejas sejak Najib Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri tahun lalu”  Anwar  mengemukakan contoh secara sembarangan, seperti hukuman  sebat terhadap model yang minum arak (nampaknya, beliau satu kapal dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad).  Dan malah, sesetengah contoh yang diberikan  berlaku sebelum Najib menjadi Perdana Menteri seperti isu memeluk Islam dan larangan  amalan yoga oleh orang Islam.

Ada orang berkata bahawa pemimpin lahir semasa  krisis.  Pernah dikatakan bahawa  “negara yang berjaya memerlukan darjah huru-hara sederhana untuk memelihara dinamisme politik yang sihat”  atau   “keadaan huru-hara sederhana adalah baik.”  Namun,     Najib dan Anwar melalui artikel masing-masing mensia-siakan  peluang ini. Kedua-duanya lupa bahawa  tatkala negara berhadapan dengan krisis,  rakyat lebih memerlukan “orang keras” dan bukannya “orang baik.” Kedua-duanya  tidak mencuba untuk memperlihatkan kepimpinan dan kewibawaan masing-masing dalam mengurus krisis dan seterusnya mengeluarkan negara daripada terus terjebak dalam krisis yang berpanjangan. 

Hakikatnya, rakyat ingin mengetahui “apakah yang perlu dilakukan?” dan bukannya disajikan kepada mereka dengan  ceramah  yang membosankan.

Sesungguhnya, hal ini tidak memeranjatkan kerana kedua-duanya terpasung atau terbenam dalam pemikiran masing-masing hingga gagal melihat sesuatu melalui perspektif yang lebih luas, dan oleh itu, tidak berusaha  menyelongkar akar umbi masalah. Najib selain 1Malaysia,    seakan-akan ingin  menunjukkan bahawa tidak berlaku “pertembungan dalaman,” dengan berkata,     “kebebasan agama, toleransi, kedamaian dan keadilan masih kekal sebagai tonggak negara ini.”  Beliau juga minat  untuk berbicara tentang keuniversalan, iaitu kesatuan dalam kepelbagaian – konsep yang pernah diketengahkan oleh  Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev semasa berucap  di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1988.  Tegas Najib,    “kepelbagaian penduduk negara ini merupakan kekuatan sebenarnya.”    

Anwar, demi kepentingan “dakwah politik,” berhujah bahawa   “beberapa bahasa semantik yang mempunyai pertalian dengan bahasa Arab turut menggunakan kalimah Allah ketika merujuk kepada Tuhan seperti Elaha dalam bahasa Aramaic dan Elohim dalam bahasa Ibrani;”  dan  “Muslim, Kristian dan Yahudi adalah keturunan Nabi Ibrahim dan pada dasarnya menyembah Tuhan yang sama.”  Juga ingin memperlihatkan dirinya sebagai penyokong kemanusiaan dengan berkata bahawa “layanan buruk terhadap kumpulan minoriti di negara Islam selalunya lebih teruk daripada  perbuatan serupa yang dikecam umat Islam di negara Barat.”

Setelah membaca kedua-dua artikel berkenaan – satu ditulis oleh Perdana Menteri, dan satu lagi oleh orang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri,  mungkin ramai yang berasa pesimistik tentang masa depan Malaysia.  Jika penulisan dalam The Wall Street Journal  itu diibaratkan sebagai “medan pertempuran” antara Najib dengan Anwar, maka boleh dikatakan bahawa  kedua-duanya,  kalah dalam  pertempuran itu, meskipun  kedua-duanya masih boleh menarik nafas lega kerana  pertempuran itu berlaku  di “Wall Street” dan bukannya  di “Waterloo.”

Secara keseluruhannya, kedua-dua artikel  yang dirujuk, dengan memetik Niccolo Machiavelli, tidak mengandungi  “virtue” – keberanian, kemampuan, kebijakan, keazaman, bertenaga dan kehandalan.  Seseorang pemimpin mungkin lemah dari segi intelektual, tetapi masih menunjukkan pertimbangan yang baik.  Sebaliknya, Najib dan Anwar  bukan sahaja tidak terserlah  dari segi intelektual, tetapi seperti yang dapat dilihat dalam artikel masing-masing, tidak dapat membuat pertimbangan yang baik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...