ISNIN, 2 Mei 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Hari Pekerja pada tahun ini disambut dalam keadaan ekonomi dunia masih suram. Meskipun bayang-bayang pemulihan jelas kelihatan sejak tahun lalu, tetapi pemulihan ini, seperti yang saya katakan dalam Dewan Masyarakat keluaran Januari tahun ini, tidak disertai dengan pekerjaan. Walaupun banyak negara mencatatkan pertumbuhan pada tahun 2010, tetapi banyak orang yang merasakan tidak ubah hidup dalam kemelesetan.
Krisis ekonomi dengan rakus melanda dunia, dengan lebih 500,000 pekerja hilang pekerjaan setiap bulan. Di mana-mana sahaja syarikat mengalami kegagalan, dan rangkaian berita kabel Bloomberg pada awal Februari melaporkan bahawa “Australia menghadapi keruntuhan 100,000 perniagaan.” Apabila krisis ekonomi global menuntut mangsanya yang pertama pada akhir Januari, iaitu peletakan jawatan Perdana Menteri Iceland, Geir Haarde akibat protes ganas rakyat, persoalan yang muncul: Siapakah selepas Iceland?
Tatkala dunia hanya pada permulaan kemelesetan yang akan berakhir agak lama juga, dijangkakan keadaan akan menjadi semakin teruk berbanding dengan yang berlaku ketika itu. Isu segera bagi kerajaan bukannya bagaimana memulihkan kemelesetan, tetapi bagaimana untuk selamat (survive) daripada kemarahan rakyat yang kian membara yang kerajaan hadapi sekarang. Orang ramai diperhatikan berasa resah dan gelisah. Pada bulan lalu sahaja, kita dapat melihat orang ramai mengadakan protes jalanan akibat kesukaran ekonomi di negara kian bertambah - Greece, Rusia, Latvia, Great Britain, Perancis, Iceland, China, Korea Selatan, Guadeloupe, Reunion, Madagascar, Mexico.
Krisis ekonomi dengan rakus melanda dunia, dengan lebih 500,000 pekerja hilang pekerjaan setiap bulan. Di mana-mana sahaja syarikat mengalami kegagalan, dan rangkaian berita kabel Bloomberg pada awal Februari melaporkan bahawa “Australia menghadapi keruntuhan 100,000 perniagaan.” Apabila krisis ekonomi global menuntut mangsanya yang pertama pada akhir Januari, iaitu peletakan jawatan Perdana Menteri Iceland, Geir Haarde akibat protes ganas rakyat, persoalan yang muncul: Siapakah selepas Iceland?
Tatkala dunia hanya pada permulaan kemelesetan yang akan berakhir agak lama juga, dijangkakan keadaan akan menjadi semakin teruk berbanding dengan yang berlaku ketika itu. Isu segera bagi kerajaan bukannya bagaimana memulihkan kemelesetan, tetapi bagaimana untuk selamat (survive) daripada kemarahan rakyat yang kian membara yang kerajaan hadapi sekarang. Orang ramai diperhatikan berasa resah dan gelisah. Pada bulan lalu sahaja, kita dapat melihat orang ramai mengadakan protes jalanan akibat kesukaran ekonomi di negara kian bertambah - Greece, Rusia, Latvia, Great Britain, Perancis, Iceland, China, Korea Selatan, Guadeloupe, Reunion, Madagascar, Mexico.
Richard Gott yang menulis dalam The Guardian pernah menegaskan bahawa “krisis hari ini jangkauannya lebih luas berbanding dengan kebanyakan ahli politik dan para pengulas bersedia untuk mengakuinya, yang berakhir sekurang-kurangnya 10 atau 20 tahun. Krisis ini bukannya krisis tahun 1929 atau 1917, tetapi boleh dibandingkan dengan deram-derum permulaan yang berlaku pada tahun 1789 hingga meruntuhkan rejim kuno dan bermulanya tempoh revolusi yang panjang yang sarat dengan uji kaji yang tidak dicuba dan ketidakpastian.”
Akibat kemelesetan yang bermula pada tahun 2008, berjuta-juta orang di Amerika dan seluruh dunia hilang rumah dan pekerjaan mereka. Krisis yang bermula di Amerika, serta-merta merebak di peringkat global, dengan berjuta-juta orang hilang pekerjaan di seluruh dunia. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan bahawa 27 juta orang kehilangan pekerjaan di seluruh dunia pada tahun 2009. Kira-kira 12 juta orang yang baru menganggur di Amerika Utara, Jepun, dan Eropah Barat. Golongan penganggur meningkat hampir empat juta orang di Eropah Timur dan Amerika Latin, manakala kadar pengangguran adalah lebih stabil di Asia, Afrika, dan Timur Tengah. Menurut anggaran ILO, sepanjang 10 tahun akan datang, lebih daripada 440 juta pekerjaan tambahan diperlukan untuk menyerap kemasukan baru untuk tenaga buruh. ILO yang menganjurkan persidangan itu bersama-sama IMF dan kerajaan Norway, menganggarkan 34 juta orang di seluruh dunia menganggur akibat krisis.
Kadar pengangguran yang tinggi yang tidak akan pulih hingga tahun 2015, dua tahun lebih lewat daripada anggaran awal bahawa pasaran buruh akan pulih ke tahap prakrisis pada tahun 2013. Untuk tahun 2010, ILO meramalkan pengangguran global melibatkan 213 juta orang, iaitu pada kadar 6.5 peratus. Kira-kira 22 juta pekerjaan baru diperlukan, iaitu 14 juta di negara kaya dan lapan juta di negara membangun. Melihat angka yang sedemikian rupa, seseorang boleh membayangkan sesuatu yang menakutkan: pergolakan sosial. ILO yang memberikan amaran “kemelesetan pasaran buruh” yang panjang, menarik perhatian bahawa pergolakan sosial yang berkait dengan krisis telah pun dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya 25 buah negara, termasuk beberapa ekonomi sedang muncul yang sedang pulih. Pada akhir September lalu, menyaksikan mogok pekerja di Sepanyol, protes di Greece, Portugal, Ireland, Slovenia, dan Lithuania, di samping di Brussels yang melibatkan berpuluh-puluh ribu pekerja dari seluruh Eropah sebagai sebahagian hari tindakan Eropah menentang pemotongan perbelanjaan awam.
Apabila krisis kewangan melanda dan dunia diancam kemelesetan, pelan penyelamat dan rangsangan ekonomi menjadi pilihan utama. Kira-kira dua tahun berlalu, kedua-dua petua yang dianggap mujarab itu mula dilupakan. Kalaupun masih wujud hanyalah rangsangan ekonomi, itu pun di penghujung pelaksanaan. Bagi sesiapa yang menonton televisyen kabel Bloomberg pada Jun 2010 lalu tentu dapat mengesani program yang seakan-akan menandakan detik kebenaran, “Age of Austerity.”
Ada yang menulis “selamat datang Zaman Jimat Cermat.” Pastinya, jimat cermat berlawanan dengan kemakmuran. Jimat cermat buzzword yang akhir-akhir ini sentiasa di lidah setiap orang. Dikatakan bahawa “Zaman mewah telah berlalu. Selamat datang Zaman Jimat Cermat.” Sejak bertahun-tahun ahli-ahli politik membahaskan bagaimana untuk berbelanja hasil pertumbuhan.
Krisis hutang kedaulatan Greece, yang menggerunkan ahli politik, dijadikan alasan oleh mereka untuk menolak rangsangan keluar dan melaksanakan pengurangan defisit. Demikian tulis makalah “Austerity Alarm” dalam The Economist yang merujuk kepada keputusan G-20 itu. Tambah makalah itu lagi, “selamat jalan Keynes (John Maynard Keynes), helo Hoover (Presiden Amerika Herbert Hoover semasa berlakunya Kemelesetan Besar 1930-an).”
Pada tahun lalu, negara maju, dari Britain ke Jepun berlumba-lumba membaiki kewangan awam mereka selepas melaksanakan langkah luar biasa pada tahun sebelumnya untuk menyelamatkan bank-bank mereka dan mencegah kemelesetan seluruh dunia. Berikutan pelaksanaan jimat cermat, jumlah pekerjaan dalam sektor awam dikurangkan, dan dengan itu, para pekerja terpaksa menanggung akibatnya: kehilangan pekerjaan Di United Kingdom, misalnya, anggaran awal menunjukkan bahawa 490,000 pekerjaan dalam sektor awam akan lenyap berikutan pemotongan, dibundarkan kepada 330,000 pekerjaan, tetapi jabatan kerajaan masih berhadapan dengan pengurangan belanjawan 19 peratus. Sementara langkah jimat jermat yang dilaksanakan oleh kerajaan Romania melibatkan potongan gaji sebanyak 25 peratus dan juga melibatkan pemotongan beberapa elaun yang pekerja terima untuk anak kurang upaya.
Dalam makalah pada Hari Pekerja, “Austerity? There is an Alternative: A New Project for Europe's Left,” Costas Douzinas et al., menyatakan pelaksanaan jimat cermat di Eropah sebagai “tiada alternatif” dan mengarahkan orang awam menanggung akibatnya. Neoliberalisme yang dianggap gagal dan diaibkan oleh dogma fundamentalis pasarannya pada musim gugur 2008, kini dalam perjalanan pulang untuk mendendangkan lagu mereka bahawa orang awam dengan pencen yang “mewah”, jaringan keselamatan sosial, dan perbelanjaan mewah yang tidak mampu yang lain kini dianggap beban terhadap ekonomi. Menurut mereka, kesukaran ekonomi yang menjadi-jadi memberikan sumbangan penting dalam mencetuskan pemberontakan popular yang kini melanda dunia Arab, yang paling terkenal di Mesir apabila gerakan kesatuan sekerja memainkan peranan utama dalam menjatuhkan presiden yang disokong oleh Barat yang berjaya melaksanakan pembaharuan neoliberal demi kepentingan golongan elit yang kecil, angkuh, dan korup. “Sementara pelbagai bahagian dunia membangun berusaha mencipta dan mewujudkan ekonomi politik baru yang melindungi keperluan asas penduduk, negara Barat pula menyaksikan pertarungan untuk mempertahankan negara kebajikan dan hak ekonomi yang dimenangi dalam era sebelum ini, dari Madison, Wisconsin, ke jalan-jalan di Athens dan London.”
Lebih lama kesuraman, maka lebih lama nasib malang yang menimpa para pekerja. Misalnya, kebimbangan masih menghantui Amerika Syarikat, seperti yang dapat dilihat dalam keluaran terbaharu, The Economist, “What's Wrong with America's Economy?” makalah itu mengingatkan bahawa bahaya yang cukup besar yang jarang-jarang disentuh oleh ahli politik negara itu ialah pasaran buruh. “Pengangguran yang sukar diselesaikan, yang melibatkan 46 peratus penganggur Amerika, iaitu kira-kira enam juta orang, tidak bekerja lebih enam bulan. Kelemahan pemulihan lazimnya dipersalahkan, tetapi tanda bahawa Amerika mungkin mengalami penyakit Eropah yang berbeza sama sekali: pengangguran struktur.” Tambah makalah itu, pengangguran dalam kalangan belia adalah tinggi.
Laporan terbaharu menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat untuk tiga bulan pertama 2011 adalah hanya 1.8 peratus berbanding dengan 3.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun keempat 2010. Sementara inflasi meningkat kepada 3.8 peratus, yang tertinggi dalam tempoh dua tahun setengah, manakala laporan lain menunjukkan bahawa tuntutan mingguan baru untuk faedah pengangguran meningkat kepada 429,000 orang pada minggu hingga 23 April, daripada 404,000 orang minggu sebelumnya.
Detik-detik sukar ekonomi tidak dapat tidak, terus mencengkam para pekerja. Beberapa dasar yang dilaksanakan kebelakangan ini, melucutkan hak para pekerja: daripada jimat cermat yang dilaksanakan oleh banyak negara kepada pemansuhan hak tawar menawar pekerja di Wisconsin baru-baru ini. Namun, sebagai golongan yang mengukir sejarah dunia, pastinya mereka tidak mudah tunduk. Dari Eropah ke dunia Arab mereka bangkit dengan penentangan yang sengit. Perjuangan buruh tidak mudah dilemahkan dengan pelbagai bentuk penindasan dan cengkaman.
No comments:
Post a Comment