Artikel Popular

Tuesday, April 26, 2011

Runtuhan Wall Street Menghempap McCain

RABU, 27  April 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH

“Memang sukar untuk rakyat Amerika keturunan Afrika untuk dipilih sebagai Presiden Amerika,” kata Cornell Belcher, yang bertugas untuk kempen Obama.  “Tetapi, memang tidak sukar untuk individu yang luar biasa yang kebetulan rakyat Amerika keturunan Afrika untuk dipilih sebagai Presiden.

Seandainya Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2008 diadakan  selepas  berakhirnya Konvensyen Nasional Parti Republikan yang berlangsung dari 1 hingga 4 September, pastinya John McCain   meraih kemenangan.    Semasa konvensyen itu, Sarah Palin, calon Naib Presiden daripada Parti Republikan  menonjolkan ketokohan beliau yang dikagumi hingga menyebabkan calon Presiden Barack Obama daripada Parti Demokrat dan rakannya, Joseph Biden tersentak.   Dalam konvensyen yang penuh sesak, Gabenor Alaska, berumur 44 tahun mendapat sorakan bergemuruh sebaik-baik beliau melangkah ke atas pentas, beratus-ratus kilasan  kamera memantul cermin mata beliau.  Meskipun tokoh lain daripada Republikan, seperti Huckabee, Romney, dan Giulani mengambil bahagian untuk memperkuatkan  McCain dan menyerang Obama, tetapi Sarah Palin yang mencuri perhatian, lulus ujian pertamanya yang besar dengan memperoleh gred A+.        Bintang beliau bersinar memperkukuhkan kedudukan  McCain untuk  memenangi pilihan raya ini.
Namun, dalam politik, satu minggu, seperti yang sering dikatakan, satu tempoh yang lama, dan apa-apa sahaja boleh berlaku.   Sejarah tidak berakhir di situ, sebaliknya terus beredar hingga 4 November untuk  membuka ruang kepada  Obama dan  McCain dalam persaingan ke Rumah Putih untuk tempoh 2008 hingga 2012.  Sarah yang diberi jolokan “anjing serangan” McCain yang  diharap menyerang   Obama, beransur-ansur berubah menjadi beban.  Maka, timbul persoalan sama ada beliau membantu ataupun menjejaskan calon Presiden daripada Republikan itu.  McCain yang cuba menjauhkan  dirinya daripada George W. Bush, Presiden Amerika Syarikat yang tidak popular,  kian menghadapi laluan sukar.  Beliau diibaratkan pemandu tua yang memandu kereta buruk di jalan yang becak, manakala pembantunya pula, Sarah  yang jelita itu gagal menghulurkan bantuan – sekadar menjadi diva!
Sebelum krisis kewangan global, kedua-dua calon  kurang memberikan perhatian terhadap ekonomi.  Walaupun tinjauan awal  menunjukkan bahawa ekonomi Amerika Syarikat yang lembap merupakan isu paling utama 49 hari sebelum Pilihan Raya Presiden berlangsung, tetapi Obama dan McCain belum lagi dapat meyakinkan majoriti pengundi bahawa mereka tahu untuk menyelesaikannya.  “Tidak seorang calon pun mampu menggubah mesej yang boleh sampai kepada rakyat Amerika,” kata Andrew Dowdle, Pembantu Profesor Sains Politik University of Arkansas.
Segala-galanya berubah sejak  minggu ketiga September apabila berlaku gelombang kejutan, Lehman Brothers yang dibebani hutang bernilai AS$60 bilion mengemukakan petisyen kebankrapan di Mahkamah Kebankrapan Amerika Syarikat  selepas usaha untuk menyelamatkan firma yang berusia 158 tahun gagal.  Bank of America Corp. pula mengambil alih Merrill Lynch & Co. Inc. dalam urus niaga semua saham bernilai AS$50 bilion. Di Wall Street, Purata Industri Dow Jones (Dow) jatuh sebanyak 504.48 mata (4.4 peratus) dengan lapan bilion saham bertukar tangan.    Meskipun Presiden George W. Bush dan Setiausaha Perbendaharaan Henry  Paulson  muncul di Rumah Putih secara berasingan untuk memberi jaminan pasaran bahawa masalah yang mendalam di Wall Street tidak melemahkan lagi ekonomi yang telah pun anemia, namun semuanya gagal membendung  krisis kewangan daripada terus merebak.
“Ketika itu,” tulis Adam Nagourney, Jim Rutenberg dan Jeff Zeleny dalam The New York Times  5 November, “McCain berucap di pusat konvensyen yang hampir kosong di Jacksonville, Florida.  Pada hari itu juga Lehman Brothers runtuh, petunjuk yang mengganggu  bahawa krisis kewangan akan berlaku dan mengingatkan bahawa kempen Presiden berubah kepada pungutan suara siapakah calon yang dapat menangani dengan paling baik terhadap cabaran ekonomi negara.” Dikatakan krisis dunia sebenar yang merentap perlumbaan Rumah Putih daripada gincu dan babi apabila runtuhan Wall Street menawarkan peluang tiba-tiba detik tegang untuk Obama atau McCain.
Di atas pentas, senator dari Arizona itu cuba memperlihatkan rasa prihatin terhadap kemungkinan kesusahan yang akan menimpa, tetapi juga menunjukkan optimisme tentang daya tahan negara. McCain yang mendahului pencabarnya   beberapa mata dalam tinjauan awal  nasional mendedahkan dirinya untuk serangan pihak lawan apabila beliau  mengatakan  “fundamental ekonomi adalah kukuh”.  Kata-kata ini  dipetik oleh para pembantu Obama yang bertugas di beribu-ribu  batu, iaitu di ibu pejabat kempen Senator  Barack Obama di Chicago yang ditugaskan untuk memantau setiap ucapan McCain.  Mereka sedar bahawa apa yang mereka dengar daripada ucapan McCain itu merupakan titik tolak dalam persaingan yang kelihatan menjadi tegang. 

Menjelang debat Presiden pertama, satu tinjauan awal  memberi McCain lima mata di hadapan, satu margin yang beliau tidak akan  peroleh lagi selepas itu.  Krisis tiba-tiba yang melanda pasaran kewangan menjejaskan kempen Republikan dengan teruk. Sebaliknya, krisis ini memperkukuhkan hujah Obama selama setahun bahawa keputusan Pentadbiran Bush dan Clinton untuk mengetepikan kawal selia dari Wall Street menyebabkan secara langsung krisis gadai janji subprima.   McCain menerima tamparan apabila beliau   mengatakan bahawa ekonomi Amerika Syarikat “kukuh dari segi fundamental”  menjadikan beliau bahan ketawa. 

Perkara yang lebih buruk, dengan ekonomi mengalami kelembapan, maka para pengundi yang terdiri daripada kelas pekerja kulit putih yang berjumlah 45 peratus, mula menilai semula penolakan mereka terhadap Obama  dan menengok semula prasangka mereka. Oleh sebab rakyat Amerika semakin risau akan masa depan mereka, mesej Obama adalah untuk membantu kelas menengah dan menjanjikan kepimpinan yang teguh didengar oleh para pengundi daripada kelas pekerja kulit putih yang beliau cuba menangi kira-kira selama dua tahun.        Bagi para pembantu Obama,  “fundamental ekonomi adalah kukuh” menggambarkan   McCain  tidak mengikuti perkembangan dan sekadar mewarisi ekonomi Pentadbiran Bush.  “Ungkapan yang tidak licik daripada McCain tentang ekonomi hari itu,” tegas ketiga-tiga penulis dalam The New York Times itu,  “pada asasnya mengubah dinamik persaingan.”  Kempen Obama menggunakan kenyataan McCain itu yang  membayangi beliau sepanjang kempen.
Dengan hari pengundian kurang dari sebulan, Obama dan McCain bersemuka dalam debat Presiden kedua pada 7 Oktober, dengan para pengundi memerhatikan siapakah yang lebih memahami situasi ekonomi global yang semakin teruk.  Debat  di Belmont University di Nashville, Tennessee berlangsung sehari selepas pasaran saham global menjunam, meskipun Kongres meluluskan pelan penyelamat bernilai AS$700 bilion merupakan pentas terbaik untuk membuktikan siapakah calon terbaik dari segi ekonomi. 
Apabila berita ekonomi yang buruk terus menguasai perlumbaan Presiden, Obama dikatakan meningkat dalam tinjauan awal.  Para pengundi mengatakan bahawa mereka lebih mempercayai calon  Demokrat daripada McCain untuk menangani krisis kewangan, dan mereka mengaitkan calon Republikan itu dengan Pentadbiran Bush yang tidak popular.  Tinjauan awal  menunjukkan bahawa ekonomi merupakan isu terpenting dalam minda para pengundi, dan pasaran saham yang berderai, pengangguran, dan pasaran kredit yang masih beku semuanya  menjadi isu yang menonjol dalam Pilihan Raya Presiden kali ini hingga menenggelamkan isu keselamatan negara. 
Para pembantu McCain cuba mengalih perbincangan daripada isu ekonomi dan mengemukakan persoalan peribadi.    Namun, para pengundi menganggap bahawa usaha ini sebagai mengalih perhatian kerana angka tinjauan  Obama meningkat dan ekonomi berkeadaan lemah. Beliau  menggunakan hujah bahawa keadaan negara adalah teruk selepas lapan tahun Republikan menguasai Ruma Putih, dan bahawa McCain hanya akan meneruskan dasar potongan cukai yang gagal untuk golongan kaya dan perbadanan.  Kempen McCain akhirnya menyedari bahawa semasa krisis, kaum atau keturunan menjadi tidak relevan.  Pernah dikatakan bahawa jika rumah terbakar, orang tidak mempedulikan siapakah anggota bomba yang memadamkan kebakaran itu.

Obama dengan segera menyalahkan lapan tahun pemerintahan Republikan yang mencetuskan krisis kewangan, dan meramalkan bahawa McCain melakukan perkara yang sama untuk empat tahun lagi jika beliau memenangi pilihan raya ini.  Walaupun  McCain berjanji melakukan reformasi kawal selia di Wall Street, dan menuduh Obama akan menaikkan cukai dan menghalang pertumbuhan ekonomi, namun  Obama  semasa kempen di Colorado pernah bertanya: “Senator McCain, apakah ekonomi yang saudara bicarakan?” Pertanyaan ini cuba menggambarkan bahawa McCain sebagai bakal Presiden  tidak mengetahui  ekonomi dengan mendalam.
Pada 5 November apabila  Obama memenangi 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (Electoral College) berbanding dengan 163 oleh McCain, The Wall Street Journal merumuskan bahawa   para pengundi mencela Republikan kerana kegagalan ekonomi.  Baru-baru ini, iaitu awal September, McCain adalah lingkungan margin ralat pemilihan di peringkat nasional dan mendahului Obama di kebanyakan negeri yang berayun  (swing states).  Kemudian, panik kewangan semakin runcing hingga terheret ke dalam kemelesetan dan rakyat Amerika mula berasa takut tentang kesejahteraan mereka.  Sokongan awam kepada Republikan merosot di seluruh negara.  Tatkala Republikan bertelagah sesama sendiri tentang pelan penyelamat yang dicadangkan, malah McCain terpaksa menangguhkan kempennya demi membantu menyelesaikan masalah ini, Obama kelihatan tenang dalam pergaduhan itu.  Editorial The New York Times pada hari sama menyebut pada hari Pilihan Raya, rakyat Amerika menunjukkan kesakitan yang mendalam tentang masa depan mereka dan kegagalan  kerajaan untuk mencegah keruntuhan ekonomi yang berpunca daripada ketamakan dan berlebih-lebihan pembatalan kawal selia.

Exit polls pada hari Selasa, iaitu hari pengundian mendedahkan penguasaan ekonomi dalam minda para pengundi.  Banyak anggota Republikan akan mahu percaya bahawa mereka menjadi mangsa serangan kewangan yang mereka tidak dapat  melakukan apa-apa.  Krisis subprima dan disusuli dengan krisis kewangan yang bertembung dengan kempen Presiden menyebabkan McCain dan Republikan menjadikan diri mereka tebusan kepada nasib malang kewangan.    Malah,  Walter Shapiro, salon.com, 5 November, menegaskan keruntuhan kewangan dan kebimbangan yang mendalam terhadap kemelesetan bermakna bahawa McCain tidak akan memenangi pilihan raya ini, meskipun beliau memilih Adam Smith sebagai regu (running mate).

Namun, Joe Klein dalam majalah Time dalam talian   mengingatkan bahawa sesiapa yang mengatakan bahawa Obama menang kerana krisis kewangan adalah hanya memberitahu separuh cerita.  Beliau menang  kerana beliau bertindak balas terhadap krisis itu dengan cara teratur dan matang.  Beliau menang debat kedua kerana beliau menjelaskan kepada seorang lelaki bernama Oliver Clark dalam istilah yang semua orang boleh faham, keruntuhan kewangan, dan perlunya pelan penyelamat daripada kerajaan Persekutuan. 

Sebelum berlaku runtuhan Wall Street, Immanuel Wallerstein dalam laman webnya,  “Obama Victory? How Big? How Far?”  pada 15 Jun 2008 dengan penuh yakin mengingatkan: “Harap jangan ada yang pandang rendah. Barack Obama telah menang besar bukan sahaja  untuk calon Presiden daripada Parti Demokrat.  Beliau akan menyapu pilihan raya ini dengan majoriti besar Badan Perwakilan Pemilih (Electoral College).”     Tambah Wallerstein lagi,  “Obama akan memperoleh kuasa melalui gelombang keghairahan untuk perubahan yang Amerika Syarikat tidak lihat sejak pemilihan Kennedy.  Para pemilih beliau akan mengharapkan beliau melancarkan padanan secara dalaman satu lagi New Deal, iaitu perlindungan penjagaan kesihatan, penyusunan semula cukai, pewujudan pekerjaan, dan penyelamatan pencen.” 

Sebagaimana dalam bidang perniagaan, dalam politik juga peluang dan ancaman saling wujud.  Jaminan McCain bahawa  “fundamental ekonomi adalah kukuh” yang hakikatnya tidak kukuh, tidak  mengukuhkan kedudukan beliau, sebaliknya melemahkannya. Krisis kewangan  pada dasarnya berakhirnya sebarang harapan McCain untuk bertindak balas. Peluang Mccain untuk ke Rumah Putih turut menjuman bersama-sama junaman Dow  sejak pertengahan September.  Runtuhan Wall Street, krisis kewangan global, dan kebimbangan terhadap kemelesetan  baik di Amerika Syarikat mahupun dunia,  menyukarkan perjalanan McCain dan sebaliknya melicinkan perjalanan Obama untuk ke Rumah Putih.
            (Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Disember 2008.)






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...