Artikel Popular

Thursday, April 21, 2011

Ali Baba Belum Pergi

KHAMIS, 21 April 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Selepas  Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan  pada Januari lalu, The Economist muncul dengan “Ali Baba Gone, But What about the 40 Thieves? - membangkitkan persoalan bahawa walaupun Presiden yang memerintah Tunisia selama 23 tahun telah  meninggalkan negara itu, tetapi elit rejim purba masih berkeliaran yang sukar dihapuskan.  Makalah itu juga mendedahkan kepentingan perniagaan keluarga Ben Ali, termasuk kaum kerabat isteri keduanya, yang dikahwininya pada tahun 1992, iaitu Lady Macbeth,  Leila Trabelsi, bekas pendandan rambut.  

Bagi rakyat Malaysia, kebanyakannya mengenali Ali Baba kerana antaranya, adanya beberapa filem P.  Ramlee yang sentiasa ditayangkan oleh stesen televisyen.  Selain itu, dalam dunia perniagaan, terutamanya sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB),   iaitu keistimewaan yang diberikan kepada kaum bumiputera dimanfaatkan oleh ahli perniagaan Cina dengan menubuhkan syarikat  yang bersifat Ali Baba. Individu tertentu, lazimnya mempunyai hubungan dengan parti pemerintah, iaitu UMNO dilantik sebagai pengerusi sesebuah syarikat atau sebagai teman tidur,  tetapi pemilikan dan kawalannya dikuasai oleh orang Cina. Antaranya kritikan yang sering dilemparkan terhadap pelaksanaan DEB antara tahun 1971 hingga 1990 ialah kewujudan perniagaan Ali Baba yang menunjukkan kaum bumiputera demi mendapatkan keuntungan jangka pendek merelakan diri mereka diperalatkan ahli perniagaan Cina.

Pada tanggapan umum,  dari segi politik, Ali Baba selalu  dikaitkan dengan UMNO kerana memang itulah hakikat yang sukar dinafikan.  Justeru, apabila DEB dikritik, maka UMNO dijadikan sasaran, dan pembolotan kekayaan dan kewujudan perniagaan Ali Baba antara alasannya.

Namun, dalam prosiding  Suruhanjaya Diraja Penyiasatan berhubung dengan kematian Teoh Beng Hock yang berlangsung semalam, mendedahkan penggunaan kaedah  Ali Baba untuk memperoleh projek.  Untuk memperoleh projek kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan dan Kampung Tunku, maka seorang kontraktor Cina menggunakan nama-nama syarikat bumiputera. Syarikat bumiputera yang diperalatkan itu, dikatakan menerima bayaran  antara lima hingga 10 peratus daripada nilai kontrak berkenaan.  Alasannya,  syarikat bumiputera diperlukan untuk projek Kelas F, seperti yang dikehendaki oleh Pejabat Tanah:  “Teoh Equally Guilty in Ali Baba Business.”

Meskipun sama ada DEB perlu diteruskan ataupun tidak, yang sering mencetuskan perdebatan dan polemic dalam kalangan ahli politik, ahli ekonomi, dan cerdik pandai lain, tetapi yang jelas Ali Baba terus berleluasa.  Sesungguhnya, Ali Baba tidak mengenali sempadan dasar dan sempadan politik.  Jika ada peluang dan kesempatan, maka wujudlah manusia yang menggunakan kaedah yang kononnya dianggap tidak popular ini.  Semuanya ini tidaklah aneh kerana di Malaysia, pihak yang bertelagah saling menuding jari: penyangak menuduh orang lain penyangak; perasuah menuduh orang lain perasuah;  perompak menuduh orang lain perompak.  Demikian juga dengan video lucah: “anda memiliki video saya, saya juga mempunyai video anda.”  “Anda menuduh saya ‘main perempuan,’ saya juga boleh menuduh anda melakukan perkara yang serupa.”
Semasa menghadiri kursus bina insan pada akhir tahun 1980-an, seorang penceramah, kalau tidak silap seorang imam dari masjid di Kuala Kangsar pernah mengatakan, “ada dua jenis manusia yang  baik.  Pertama, yang betul-betul baik, iaitu mereka tidak melakukan kejahatan, meskipun mereka berpeluang melakukannya.  Golongan ini sukar dicari.  Kedua, mereka yang baik kerana tidak berpeluang untuk melakukan kejahatan.  Golongan ini memang mudah kedapatan dan banyak bilangan mereka.”
Dengan kata lain,  manusia baik yang kedua ini jika berkesempatan,  berkeliaran di mana-mana sahaja untuk melakukan kejahatan dan kecelakaan. Jenis manusia baik seperti ini memang mudah dikesan dalam kalangan ahli politik, baik yang memerintah mahupun yang menjadi pembangkang. 
Malangnya, kerana sikap partisan yang menebal, maka orang ramai tidak dapat mengesani atau pura-pura tidak mengesaninya. Justeru, kejahatan dan kecelakaan dilihat siapa yang melakukannya: “orang lain,” tetapi bukannya “orang kita.”  Justeru, meskipun cuba dihalau, tetapi memang tidak memeranjatkan jika Ali Baba belum pergi!
  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...