Artikel Popular

Monday, April 25, 2011

Kemerosotan Kapitalisme

SELASA,  26  April 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Abad ke-20 telah berlalu, tetapi kita belum lagi belajar untuk hidup pada abad ke-21, atau sekurang-kurangnya berfikir dalam cara yang secocok dengan abad ini.  Sepatutnya hal ini tidak sukar, seperti yang dilihat kerana idea asas yang menguasai ekonomi dan politik pada abad lalu secara jelas tenggelam punah begitu sahaja dalam sejarah.  Ini merupakan cara berfikir tentang ekonomi perindustrian moden, atau kerana perkara itu mana-mana ekonomi, dari segi dua pihak yang berbeza sama sekali:  kapitalisme atau sosialisme.  Tulis Eric Hobsbawm dalam “Socialism has Failed. Now Capitalism is Bankrupt. So What Comes Next?” tatkala dunia dilanda jatuh bebas.
Krisis kewangan 2008-2009 menyaksikan ribuan makalah, puluhan, dan mungkin ratusan buku, dan  ratusan penulis yang membincangkan krisis kapitalisme. Tatkala dunia bergelut dengan krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua, John Maynard Keynes, Hyman Minsky, dan bahkan Karl Marx “pulang”  untuk menyelamatkan dunia, dalam erti kata idea dan pemikiran mereka ditelaah dan dikaji semula.  Dalam mencari model terbaik untuk mengeluarkan dunia daripada terus terbenam dalam krisis kewangan dan krisis  ekonomi, tugas yang berat ini bukan sahaja melibatkan ahli ekonomi dan penggubal dasar, bahkan pemimpin negara, seperti Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang terkenal dengan kebijakannya mencari “model.” Di tengah-tengah krisis kewangan melanda dunia, gambar Presiden Perancis itu dilukis sedang membaca  Das Kapital karya  Karl Marx, walaupun beliau merupakan penganut setia pasaran bebas.  Beliau juga dengan berani memperkenalkan model baru bagi menyusun semula fundamental kuasa kewangan global untuk menggantikan kuasa dominan yang dimiliki oleh dolar sejak Perang Dunia Kedua.
Bagaimana dunia dihantui oleh panik dan ketakutan  dan bagaimana mantera digunakan untuk menenangkannya, pernah diungkapkan secara sistematik oleh Immanuel  Wallerstein dalam komentarnya, The Politics of Economic Disaster” pada Februari 2009:  “Setiap hari, saya membaca ahli ekonomi lain, wartawan, atau pegawai kerajaan mengemukakan  pendapat bagaiman cara terbaik untuk mencapai pemulihan ekonomi di negara ini atau di  negara itu.  Tidak perlu dikatakan bahawa penawar semuanya bercanggah antara satu sama lain.  Akan tetapi, hampir semua cerdik pandai ini, bagi saya,  hidup di dunia fantasi.”  Pada penghujung tulisan, beliau  membangkitkan persoalan yang berbaur pesimistik, iaitu  “berapa lama gambar yang muram ini  terus wujud?  Tiada seorang pun tahun dan pasti, tetapi kemungkinan menjangkau beberapa tahun.”
Jatuh bebas juga  menyaksikan  beberapa media arus perdana dalam keluaran Oktober 2008,  seperti Washington Post, Newsweek, dan Time mula meragui  kapitalisme.  Bahkan, majalah yang menyokong kebebasan ekonomi,  The Economist  melalui rencana utamanya, “Capitalism at Bay” menyebut bahawa kini kebebasan ekonomi sedang dikritik dan kapitalisme, iaitu  sistem yang merangkumnya diserang. 
Namun, Simon Jenkins menulis dalam The Guardian pada Januari 2009, dengan nada  marah dan sinis terhadap ulasan mengatakan kapitalisme dalam krisis:  “Golongan Marxis sungguh gembira.  Eric Hobsbawm pulang dari kubur ideologi untuk mengisytiharkan ‘krisis kapitalisme yang paling teruk sejak tahun 1930-an’ dan sama dramatik dengan keruntuhan Kesatuan Soviet.” Jenkins  tidak menafikan wujudnya krisis kapitalisme, tetapi dengan harapan akan pulih:  “Sejarah mengajar kita bahawa semua kemelesetan berakhir apabila orang ramai mula berbelanja dan apabila perniagaan boleh memulakan pinjaman terhadap perbelanjaan itu.  Apabila ini berlaku, kita akan melupakan bahawa tahun 2008 menandakan berakhirnya Thatcherisme atau runtuhnya kapitalisme atau sinar sosialisme.” 
Lebih dua tahun selepas runtuhnya Lehman Brothers pada Disember 2008, luka dalam yang dialami kapitalisme belum lagi pulih, meskipun    banyak negara yang terjebak dalam kemelesetan, mula menunjukkan tanda pemulihan sejak tahun lalu.   Paling tidak, Eropah masih bergelut dengan krisis, terutamanya negara zon euro yang dilanda krisis hutang. Sepanjang tahun lalu,  Eropah  terkenal  dengan akronim yang  jijik:    PIGS (Portugal, Italy, Greece, dan Sepanyol); PIIGS  yang merujuk lima negara zon euro yang dianggap lemah dari segi ekonomi berikutan krisis kewangan (Portugal, Italy, Ireland, Greece, dan Sepanyol); dan    bagi orang yang suka melawak di Britain, muncul pula  STUPID (lima daripadanya ialah negara Eropah, iaitu Sepanyol, Turki, United Kingdom, Portugal, dan  Italy, manakala    sebuah lagi   Dubai). 

Sebuah demi sebuah negara di rantau itu dikenali sebagai orang sakit Eropah.   Sebuah demi sebuah negara  terpaksa  bergelut dengan krisis ekonomi.  Krisis hutang yang bermula dengan pelan penyelamat Greece dan Ireland pada tahun lalu, dikatakan menjadi semakin buruk, dan  negara terbaharu   yang meminta diselamatkan, ialah Portugal.  Bergelut  dengan situasi kewangan yang semakin teruk, maka pada pertengahan April lalu, Portugal mula berunding untuk memohon pakej pelan penyelamat dengan Kesatuan Eropah dan IMF.  Negara itu mengikuti langkah Greece dan Ireland, dua negara yang dikatakan pelan penyelamat terbukti tidak berkesan. 
Dan, Amerika Syarikat tidak terkecuali, meskipun ekonomi negara itu mengalami pertumbuhan sejak tahun lalu, tetapi kadar pengangguran masih tinggi, iaitu 8.8  peratus. The Bureau of Labor Statistics menganggarkan 6.1 juta rakyat Amerika tidak bekerja untuk tempoh 26 minggu atau lebih.  Sebagaimana dengan beberapa negara Eropah, Amerika juga terpaksa menanggung hutang yang besar sehingga mendorong Standard & Poor’s (S&P) pada Isnin, 18 April lalu menurunkan tinjauan kreditnya untuk hutang kedaulatan kerajaan Amerika, daripada stabil kepada negatif.  “Keseriusan masalah hutang Persekutuan dan disfungsi proses politik kita sepatutnya jelas untuk setiap orang, tulis Charlie Cook.  “Mengenal pasti kerapuhan pemulihan, maka ahli ekonomi dalam minggu-minggu kebelakangan ini, menyemak semula unjuran ke bawah untuk pertumbuhan pada tahun ini, iaitu daripada 3.3 peratus kepada 3.2 peratus.”  Meskipun semakan ini adalah kecil,  namun beliau mengingatkan, “beberapa orang ahli ekonomi percaya bahawa ekonomi Amerika akan terhumban ke dalam  kemelesetan curam berganda.  Pesimisme ini pasti menandakan lemahnya pemulihan.”

Sememangnya, kebijaksanaan konvensional kini adalah bahawa Amerika Syarikat menghadapi bencana fiskal yang genting, isytihar Fareed Zakaria.  “Masalah Amerika adalah teruk:  defisit adalah lebih 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jumlah hutang lebih 70 peratus KDNK.”  Bagi beliau, berita baik jangka pendek ekonomi Amerika sebenarnya, berita buruk.  Kini, menurut pemerhatian Will Hutton, baru-baru ini, Amerika berhadapan dengan krisis yang tidak pernah dilihat sejak Kemelesetan Besar 1930-an.

Minggu lalu, Janine R. Wedel menulis, meluahkan perasaan selepas beliau  menghadiri persidangan ekonomi  bahawa dogma ekonomi menyimpang daripada realiti ekonomi, yang memperlihatkan bahawa sebagaimana komunisme, kapitalisme juga merupakan sistem yang reput dari dalam.  Menulis Capitalism's Crisis Within, and How Larry Summers Still Doesn't Get It,” beliau  mengingatkan bahawa jika kapitalisme ingin terus berkembang maju, sistem ini perlu diselamatkan dari dalam dan  daripada kebanyakan pengamal yang terlalu keras dari segi ideologi.

Yang lebih memeranjatkan laporan The Economist dua minggu bahawa kepopularan kapitalisme merosot.  Tinjauan pendapat global baru menunjukkan mungkin bentuk kerosakan yang paling serius, iaitu kejatuhan sokongan awam terhadap kapitalisme.  Menggunakan sumber penyelidikan GlobeScan, majalah itu menunjukkan bahawa pada 2002, 80 peratus rakyat Amerika bersetuju pertaruhan terbaik dunia ialah sistem pasaran bebas, tetapi pada 2010, sokongan jatuh kepada 59 peratus, hanya tinggi sedikit daripada purata 54 peratus untuk 25 buah negara yang dikaji.
Kapitalisme masih terumbang-ambing, manakala rentak pemulihan beberapa negara kapitalis utama dunia, seperti Amerika masih lemah. Mungkinkah China menjadi penyelamat  memandangkan negara itu merupakan salah sebuah  penyokong utama kapitalisme, iaitu meningkat daripada 66 peratus pada 2002 kepada 68 peratus 2010, standing dengan Brazil, dan  hanya satu peratus kurang daripada Jerman yang menduduki tempat tertinggi, iaitu 69 peratus.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...