AHAD, 17 April 2011
Oleh: Zulkifli Salleh
Dalam politik, kata salah seorang Perdana Menteri British, yang sering dipetik, satu minggu satu tempoh yang panjang dan apa-apa sahaja boleh berlaku. Dalam Pilihan Raya Umum ke-12, tempoh yang panjang ini dirasai sejak hari penamaan calon hinggalah hari pembuangan undi, iaitu selama 13 hari. Ada calon yang bertanding merasakan penat dan stres yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
Namun, suatu tempoh yang cukup panjang ialah malam ketika menunggu keputusan pilihan raya apabila Barisan Nasional hanya mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah kira-kira pukul 12.30 pagi. Barisan bukan sahaja gagal menawan Kelantan, tetapi parti ini kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Selangor. Seawal pukul lapan malam, tersebar berita bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Samy Vellu tewas, dan Barisan kalah di Pulau Pinang dan Kelantan. Beberapa calon lain Barisan dilaporkan kalah, tetapi nyata berita ini tidak benar.
Dalam menghadapi suatu malam yang panjang ini, malam tsunami politik, malam detik-detik kebenaran, timbul persoalan di manakah silapnya hingga Barisan Nasional kalah teruk. Lalu teringat perbualan ringkas dengan bekas Menteri daripada UMNO pada bulan April tahun lalu. Walaupun bekas menteri dan bukan lagi wakil rakyat, beliau selalu pulang ke kawasannya sebagai persiapan pilihan raya. Beliau menyatakan kerisauannya kemungkinan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya akan datang berdasarkan alasan bahawa parti ini telah memerintah lebih 50 tahun – satu rekod yang panjang. Berdasarkan pengalaman di peringkat dunia, kata beliau, mungkin rakyat Malaysia juga akan menolak parti yang sudah lama memerintah.
Pada akhir tahun lalu, Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan mengingatkan pucuk pimpinan Barisan Nasional supaya memberikan perhatian kepada negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor kerana timbul ketidakpuasan di kalangan rakyat, khususnya masyarakat bandar. Dan, nyata peringatan beliau itu akhirnya menjadi igauan ngeri terhadap Barisan Nasional. Beberapa hari sebelum penamaan calon, seorang ahli akademik yang berasal dari Kedah menyatakan jangan terperanjat jika negeri itu jatuh ke tangan PAS kerana UMNO tidak lagi memperjuangkan kepentingan Melayu.
Apa yang terjadi kepada Barisan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 diibaratkan “yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran.” Sukar untuk ditafsirkan mengapa Barisan Nasional banyak menumpukan kekuatan dan tenaganya di Kelantan; malah pucuk pimpinannya mula berulang-alik ke negeri sejak sebelum penamaan calon lagi. Sedangkan tafsiran mudah daripada peringkat akar umbi, Kelantan mustahil dirampas selagi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat aktif berpolitik.
Tumpuan yang berlebih-lebihan terhadap Kelantan telah mengorbankan negeri-negeri lain yang sejak mula lagi berkedudukan kritikal. Serangan Barisan Nasional terhadap Kelantan tidak ubah seperti serangan tentera Jerman terhadap Moscow semasa Perang Dunia Kedua yang berakhir dengan malapetaka terhadap Jerman.
Apabila serangan ini tidak membuahkan hasil, malah telah membawa padah kepada Barisan Nasional, timbul persoalan tentang kebijaksanaan dan kerasionalannya. Carl Von Clausewitz pernah mengingatkan: “Keputusan melancarkan serangan sepatutnya rasional dalam erti kata berasaskan kos yang dianggarkan dan keuntungan yang diperoleh daripada peperangan itu.” Jika demikian, nyata bahawa Barisan Nasional tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada strategi “tinggal padang” itu, sebaliknya kos yang ditanggung sangat tinggi.
Malam yang panjang belum berakhir, meskipun keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi. Selain pembentukan kerajaan yang disusuli dengan pemerintahan, timbul tanda tanya bagaimana “pakatan longgar” ini memerintah di negeri pantai barat, seperti Perak dan Selangor yang sesetengah penduduknya bersifat kosmopolitan. Sukar dibayangkan bagaimana penduduk di Lembah Kelang dan Lembah Kinta akan menyesuaikan gaya hidup mereka di bawah pemerintahan salah parti yang menganggotai pakatan itu terkenal dengan konservatifnya. Sukar dibayangkan bagaimana penduduk di kedua-dua lembah ini boleh merelakan diri mereka diperintah oleh sebuah parti yang konservatif yang tidak sanggup lagi diterima oleh rakyat Terengganu. Dalam konteks politik Malaysia, hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat boleh menentukan apakah parti yang layak memerintah.
Salah satu faktor kekalahan Barisan Nasional ialah kegagalan atau ketidakupayaan parti ini menangani tuntutan yang bercanggah, baik tuntutan sosial mahupun tuntutan demokratik daripada pelbagai pihak dan kumpulan. Lebih-lebih lagi jika tuntutan satu-satu kaum itu menjejaskan kepentingan satu kaum lain. Dari satu segi, dalam menghadapi tuntutan yang bercanggah ini, kerajaan Barisan Nasional tidak mengambil pendekatan yang memenuhi ciri-ciri populisme. Dari satu segi yang lain, dalam memenuhi tuntutan yang bercanggah ini kerajaan Barisan Nasional cuba memuaskan hati pelbagai pihak. Apabila pendekatan seperti ini diambil, maka yang pasti ialah kegagalan.
Sebagaimana Barisan Nasional, “pakatan longgar” ini juga akan berhadapan dengan tuntutan yang bercanggah, dan kemungkinan tuntutan ini lebih rumit dan serius. Ini kerana lazimnya rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap parti yang baru memerintah kerana itulah pilihan mereka. Tuntutan ini bukannya sekadar permintaan terhadap kemudahan asas, seperti bekalan air, bekalan elektrik, dan kemudahan kesihatan, tetapi tuntutan untuk mengubah sesuatu yang telah disepakati oleh semua kaum sebelum ini yang berbau perkauman dan berkait dengan keagamaan.
Jika situasi ini tidak berubah untuk seketika, maka dengan meminjam kata-kata Ernesto Laclau, “nescaya berlaku pengumpulan tuntutan yang tidak dipenuhi dan meningkatkan ketidakupayaan sistem institusi untuk menyerapnya dalam cara yang berbeza.”
Malam yang panjang ini juga akan diwarnai oleh pelbagai tuntutan yang bercanggah; dan sesetengah tuntutan itu merupakan respons terhadap segala janji yang ditabur semasa kempen pilihan raya. Sebagaimana tuntutan yang bercanggah ini membawa igauan ngeri kepada Barisan Nasional, maka hal yang serupa akan dialami oleh “pakatan longgar” dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Oleh sebab rakyat menghukum kerajaan Barisan Nasional kerana kegagalan memenuhi pelbagai tuntutan yang bercanggah ini, maka tidak menghairankan jika hukuman yang sama dikenakan terhadap “pakatan longgar”.
Jika diandaikan bahawa keputusan pilihan raya di Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor adalah sebagai “keazaman kolektif” rakyat di negeri berkenaan, apakah keazaman ini terus mekar dan segar? Atau keazaman kolektif yang bermusim sifatnya, dan akan layu apabila orang mula rasional dan menilai apa yang telah mereka lakukan.
Sebenarnya, Pilihan Raya Umum ke-12 boleh dianggap suatu malam yang panjang yang bukan sahaja dihadapi oleh Barisan Nasional, tetapi juga oleh rakyat di negara ini. Rakyat di negeri-negeri yang diperintah oleh “pakatan longgar” juga tidak terkecuali daripada menempuh malam yang panjang. Malam yang dibuai mimpi indah atau berubah dengan igauan ngeri. Walaupun demam pilihan raya mula reda, namun banyak ketidakpastian yang akan dihadapi – kekalutan politik dan kemuraman ekonomi. Oleh sebab rakyat telah membuat keputusan yang wajar dihormati, maka mereka perlu memikul setiap kemungkinan risiko yang akan dihadapi. Sesungguhnya, malam yang panjang belum berakhir.
Seperti kata Antonio Negri, “unsur aktif dalam perjuangan adalah selalunya daya yang mengubah dunia, sama ada perjuangan itu mencapai kejayaan ataupun menemui kegagalan.” Dalam konteks Malaysia, pilihan raya baru-baru ini merupakan sebuah medan perjuangan parti-parti yang bertanding. Dan perjuangan itu pula, baik yang mencapai kejayaan mahupun menemui kegagalan adalah untuk mengubah landskap ekonomi politik Malaysia. Pastinya, dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang, perjuangan semakin sengit kerana setiap pihak yang berjuang yang belum lagi mencapai kemenangan mutlak.
Ada kata-kata bahawa orang yang menang tidak akan meninggalkan politik dan orang yang meninggalkan politik tidak akan menang.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Edisi Khas Pilihan Raya ke-12, Dewan Masyarakat 2008.)
No comments:
Post a Comment