JUMAAT, 15 April 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Berakhirnya Perang Dingin bermakna kemenangan demokrasi, tetapi kini konsep dan amalan demokrasi di mana-mana jua dalam krisis, termasuk di Amerika Syarikat yang mengaku jaguh demokrasi dunia. Krisis demokrasi kini bukan hanya berkaitan dengan rasuah dan ketidakcukupan institusi dan amalan demokrasi, tetapi juga berkaitan dengan konsep demokrasi itu sendiri. Sejak tahun 1960-an, demokrasi di Amerika Syarikat dalam keadaan bahaya kerana terlalu banyak tuntutan daripada buruh tersusun dan kumpulan sosial yang baru aktif. Terlalu banyak demokrasi, tegas Samuel Huntington, menjadikan demokrasi Amerika Syarikat sakit, mengakibatkan distemper demokratik.
Seperti menjangkakan kepincangan demokrasi, Fidel Valdez Ramos, bekas Presiden Filipina secara unggul atau ideal mengingatkan: “Cabaran politik bagi manusia di seluruh dunia bukan sekadar menggantikan rejim autoritarian dengan pemerintahan demokratik. Melampaui ini, untuk menjadikan demokrasi berkesan untuk orang biasa.”
Dalam Warrior Politics: Why Leadership Demands a Pagan Ethos, Robert D. Kaplan yang realis memberikan peringatan kemungkinan demokrasi diperalatkan: “Kejahatan dan kecelakaan pada abad ke-21 juga boleh bangkit daripada gerakan populis, mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, didorong masa ini oleh kepercayaan agama dan sektarian, dan diperkasa oleh Revolusi pasca-Perindustrian, terutamanya teknologi maklumat.”
Beliau meningatkan lagi, “fenomena yang sama berlaku di banyak negara, iaitu kumpulan agama dan etnik, yang lebih banyak kelas pekerja dan diilhamkan oleh pendemokrasian, menggunakan teknologi komunikasi moden untuk mencetuskan kekacauan.”
Penjelasan Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara tentang penahanan tiga orang di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) pada 12 September lalu, “untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan bagi membendung sebarang tindakan yang boleh memecahkan perpaduan kaum dan mencetuskan persengketaan agama,” membenarkan perigatan Kaplan.
Pada April 1946, majalah Horizon menerbitkan “Politics and the English Language” yang bukan sahaja masih menjadi rujukan panduan penulisan, bahkan juga menjadi rujukan penulisan politik dan hal-ehwal semasa. Dalam makalah itu, penulisnya, George Orwell antaranya menyebut bahawa banyak perkataan disalahgunakan. Perkataan, seperti demokrasi, sosialisme, kebebasan, patriotik, realistik, dan keadilan, bagi Orwell, mempunyai beberapa makna yang berbeza yang tidak boleh diselaraskan antara satu sama lain. Perkatan lain digunakan dalam makna yang berubah-ubah, dalam kebanyakan keadaan lebih atau kurang ketidakjujuran ialah kelas, totalitarian, sains, progresif, reaksionis, borjuis, dan kesamaan. Perkataan jenis ini selalunya digunakan dengan sedar secara tidak jujur.
George Orwell menjelaskan hubungan antara penyalahgunaan bahasa dengan penyalahgunaan politik, bagaimana pemimpin yang korup menggunakan suara pasif untuk mengaburkan kebenaran yang tidak terkatakan dan menyelubungi tanggungjawab bagi tindakan mereka: “laporan sedang dikaji”, “kesilapan telah dilakukan.”
“Pada masa kita, ucapan dan penulisan politik merupakan pada amnya pertahanan yang tidak dapat diipertahankan,” tulis Orwell. Bagi beliau, intelektual politik merupakan tuan eufemisme, menggunakan bahasa yang mengaburkan makna politik reaksionis.
Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik masa kini secara rasional dan bijaksana, pastinya akan merasakan bahawa demokrasi memasuki bahagian gelap. Apa yang berlaku sekarang bertepatan dengan gambaran George Orwell: “pada zaman kita, tidak ada perkara yang terpisah daripada politik. Semua isu ialah isu politik, dan politik itu sendirinya merupakan bongkah pembohongan (mass of lies), dalih, kebodohan, kebencian, dan skizofrenia.”
Dunia politik kita sudah semakin buruk. Wajah siasah dicomotkan sebegitu rupa, sehingga masyarakat sukar menilai sesuatu kejadian atau isu kerana semua ditafsirkan secara politik permusuhan yang menyimpan kesumat dan dendam antara satu sama lain. Demikian tulis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam kolumnya Pena Mufti, “Permatang Pauh, Islam Makin Jauh” dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini. Beliau juga mengkritik kepuraan golongan yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan berbicara: “ramai yang berbicara demikian memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah yang bukan-bukan kepada sesiapa yang berbicara tidak senada dengan politik mereka.”
Hukum alam rimba yang semakin berleluasa hingga sukar bagi rakyat menentukan siapa yang betul dan siapa pula yang salah. Mereka menghadapi detik yang mengelirukan. Kebenaran dan kesalahan diputarbelitkan dengan pelbagai cara, misalnya melalui agama, kaedah undang-undang, khabar angin, dan retorik, secocok dengan apa yang disebut oleh George Orwell: “Bahasa politik dan dengan kelainan adalah memang benar semua parti politik, daripada Konservatif kepada Anarkis dirancang untuk menjadikan dusta nampaknya jujur dan pembunuhan baik reputasinya.”
Keterhakisan wibawa bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemimpin, badan kehakiman, polis, institusi agama, dan beberapa agensi kerajaan, bahkan juga dalam kalangan ulama dan intelektual jelas menandakan bahawa demokrasi memasuki bahagian gelap. Para ulama yang sepatutnya membimbing umat Islam ke jalan kebenaran turut mengalami keterhakisan wibawa kerana taksub terhadap politik kepartian. Dalam kes sumpah laknat, misalnya, para ulama mengeluarkan tafsiran berdasarkan kepentingan politik masing-masing seolah-olahnya politik mengatasi hukum agama.
Golongan intelektual turut terhakis wibawa kerana minda terpasung dan mereka asyik menampilkan diri di koridor kuasa. Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam laman blognya mengkiritik golongan intelektual di negara ini yang hanya membiarkan diri mereka dipimpin secara membabi buta. Beliau menyeru “mereka yang bergelar intelektual supaya sedar bahawa mereka sudah diperdayakan.” Namun, kerakusan politik kepartian mustahil dapat mewujudkan persekitaran yang mendorong kemekaran intelektual, seperti yang dikatakan oleh Mohd Asri Zainul Abidin, “ternyata, kebebasan intelektual dirampas dengan cara yang rakus.”
Apabila berlaku keterhakisan wibawa yang semakin parah, maka muncul individu yang diperkasakan: penulis blog, penyiasat persendirian, pembantu peribadi, imam, dan doktor. Ada masanya, individu yang diperkasakan itu lebih berpengaruh daripada menteri, pemimpin politik, pihak berkuasa, ulama, dan intelektual dalam mencorakkan pendapat awam.
Tatkala wibawa kian terhakis, akuan bersumpah, saman, laporan polis, khabar angin, sumpah laknat, fitnah, liwat, seks, pembunuhan, dan merujuk kepada halaman depan akhbar Straits Times di Singapura pada 4 Julai lalu, tuduhan dan penapian berhubung dengan pertikaian antara Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim – mewarnai wajah politik dan membentuk bahagian gelap demokrasi. Pelbagai berita dan maklumat, baik benar mahupun palsu tersebar di ruang cetak dan ruang siber yang kadangkala boleh mencetuskan kekacauan.
Dalam pertarungan politik yang akan menentukan “siapa kuat dia menang”, kejernihan moral dijadikan senjata politik yang cukup tajam, walaupun individu yang bercakap mengenainya memaki hamun, mengutuk, bahkan memfitnah. Sebenarnya, persoalan moral amat penting dalam demokrasi jika dilihat dalam konteks kuasa dan kerajaan. “Dalam hal-ehwal manusia,” tulis Robert Kaplan, “persoalan moral sering dikaitkan dengan persoalan kuasa.” Bagi Jean-Jacques Rousseau, ahli falsafah Perancis pula “setiap bentuk kerajaan akhirnya akan mengalami kemerosotan. Kemerosotan itu boleh disekat hanya melalui kawalan piawai moral dan penghapusan kumpulan berkepentingan khusus.”
Bahkan, politik semasa Malaysia mempunyai persamaan dengan gambaran Profesor Levan Alexidze, bekas penasihat Zviad Gamsakhurdia, Presiden Georgia pasca-Soviet: “Masyarakat kami teruk, mafiosi kuat, dan manakala Barat memuja undang-undang, kami memuja kuasa. Kami melompat daripada kegelapan pada akhir tahun 1980-an.” Akibat kemaruk kuasa, kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui lunas demokrasi ingin dijatuhkan melalui komplot “politik pintu belakang” atau “politik beli-belah”. Tidak memadai mengadakan tawar-menawar di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak, Taiwan pula menjadi pilihan, yang digambarkan secara sinis dalam ruang “Take Two” akhbar The Star: “lawatan pertanian”, “lawatan perburuan”. Berpunca daripada pemujaan kuasa, dengan bertopengkan demokrasi, kebebasan, keadilan, dan kesamaan, ada pihak yang kadangkala bersifat “talam dua muka”, sanggup mengorbankan ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
Politik bukannya mengenai kerasionalan seperti yang diamalkan di Barat, tetapi adalah mengenai memanipulasikan perkara yang tidak rasional, iaitu kebodohan, kebencian, dendam, dan ketaksuban. Janji kosong, harapan palsu, dan pendekatan populis adalah antara permainan politik sesetengah pemimpin pelbagai parti semata-mata untuk mengambil kesempatan daripada ketidakrasionalan.
Jelas bahawa demokrasi memasuki bahagian gelap apabila Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September menyatakan bahawa hubungan kaum di negara ini “tidak menunjukan tanda yang baik”, iaitu boleh mencetuskan ketegangan. Apabila Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia menegaskan bahawa “jika perlu, Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) akan digunakan untuk mengawal ketegangan kaum” - seolah-olahnya bayangan Operasi Lalang tahun 1987 akan muncul semula.
Walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan juga Menteri Keselamatan dalam Negeri ketika itu menerima pelbagai kecaman dan kritikan kerana melancarkan Operasi Lalang, namun dalam konteks politik semasa, banyak iktibar dapat dipelajari. Seandainya Tun Dr. Mahathir Mohamad meneruskan dasar liberal beliau sejak menerajui negara pada tahun 1981, cuba melayani pelbagai tuntutan, dan tunduk terhadap bermacam-macam desakan dari dalam dan luar negara, nescaya demokrasi dalam bahaya; dan pastinya, beliau tidak dapat bertahan hingga tahun 2003 untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri. Beliau mempunyai keazaman dan keberanian untuk memperlihatkan dan memperkukuhkan wibawanya dengan melancarkan Operasi Lalang, meskipun kepopularan ketika itu beliau sedang merosot.
Dalam konteks pemikiran politik, tindakan beliau melancarkan Operasi Lalang dengan menahan lebih 100 orang di bawah ISA dan mengarahkan penutupan beberapa akhbar, antaranya The Star dan Watan, boleh ditafsirkan sebagai: “negara yang berjaya memerlukan darjah huru-hara sederhana untuk memelihara dinamisme politik yang sihat” atau “keadaan huru-hara sederhana adalah baik”; “hanya senjata yang bagus membuat undang-undang yang bagus;” “tindakan tanpa penjelmaan bukannya tindakan politik;” dan “politik bukannya ‘sains’, tetapi perjuangan berasaskan intuisi dan perhitungan rasional tentang kemungkinan.”
Kegembiraan berlebih-lebihan selepas Pilihan Raya Umum 2008 menyebabkan sesetengah pihak tidak menyedari bahawa demokrasi di Malaysia memasuki bahagian gelap, meskipun belum lagi seburuk yang berlaku di beberapa buah negara, seperti yang digambarkan oleh Michael Mann: “genosid dan pembersihan etnik.” Juga tidak seburuk daripada yang digambarkan oleh Martha Nussbaum: “krisis demokrasi dan keganasan agama di India, seperti yang berlaku di Gujarat pada awal tahun 2002.”
Ketika tersebar berita bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan perbuatan liwat yang baru, akhbar The Australian dalam editorial pada 1 Julai 2008, antaranya menulis, “menjejaskan harapan bahawa Malaysia akan menjadi model bagi perubahan demokratik secara aman di dunia Islam.” Petikan editorial akhbar itu mencerminkan apa yang dikatakan oleh George Orwell, “ucapan dan penulisan politik merupakan pada amnya pertahanan yang tidak dapat diipertahankan.”
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat November 2008.)
No comments:
Post a Comment