SABTU, 9 April 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pelajaran, bahawa tempoh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dilanjutkan untuk memastikan “mendarat lembut” (mungkin tidak dibatalkan sama sekali), benar-benar menghantui saya dan para pejuang atau pencinta bahasa Melayu. Saya telah menulis sebuah makalah semalam yang tidak perlu lagi diulangi di sini. Selain itu, saya juga menulis dalam blog ini tentang bahasa, baik bahasa Melayu mahupun bahasa di peringkat global; yang terbaharu “Yang Menghilang Yang Menjelma.”
Dalam memikirkan masa depan bahasa Melayu yang hari demi hari terhakis kedaulatan, kewibawaan, dan kesahannya, lebih-lebih lagi dengan kenyataan terbaharu Timbalan Perdana Menteri itu, teringat saya majalah Newsweek, “Special Double Issue: Perspectives 2010” keluaran 27 Disember 2010/3 Januari 2011. Dalam keluaran ini, banyak dimuatkan wawancara, antaranya dengan Aung Sam Suu Kyi, Elizabeth Warren, Feisal Abdul Rauf, Saad Hariri, Salam Fayad, dan Richard Branson. Dalam senarai tokoh yang diwawancara itu, yang paling atas dan yang menarik perhatian saya ialah wawancara dengan David Axelrod. Beliau ialah ahli strategi Presiden Barack Obama yang bersama-sama David Plouffe, pengurus kempen, yang bertungkus-lumus yang akhirnya membolehkan Obama mara ke Rumah Putih.
Wawancara dengan Axelrod itu merangkumi topik yang luas, tetapi yang menarik perhatian saya ialah apa yang Presiden Obama lakukan ketika masa yang sukar untuk negara Amerika. “Dan beliau membuat beberapa keputusan yang sangat keras,” jelas Axelrod. “Satu daripada keputusan yang penting berasaskan industri auto.” Saya memberitahu Presiden, kata Axelrod, “sebelum tuan membuat keputusan, tuan perlu tahu ini keputusan yang sangat tidak popular.” Sebagaimana banyak perkara lain, Presiden Obama memberitahu Axelrod, “Ya, dari segi yang lain, saya tidak akan membenarkan industri auto Amerika lenyap di tengah-tengah kemelesetan yang teruk selepas Kemelesetan Besar.”
Falsafah dan pengajaran moral tentang keputusan yang dibuat oleh Presiden Obama ialah beliau tidak mahu sesuatu yang menjadi kebanggaan Amerika, iaitu industri auto lenyap pada zaman beliau. Inilah sesuatu yang perlu dipelajari dan dijadikan iktibar oleh pemimpin negara kita. Jangan biarkan anda dikenang sebagai pemimpin yang melenyapkan segala-galanya: Raja-Raja Melayu hilang kekebalan, badan kehakiman hilang kebebasan, bahasa Melayu terhakis kedaulatan, dan Malaysia sebagai negara pengeluar utama getah asli hilang kedudukan – sekadar menyebut beberapa contoh.
Dan sebagai pemimpin, anda melakukannya tanpa memikirkannya masak-masak, jauh sekali untuk dihantui oleh rasa bersalah. Sebaliknya, anda melakukannya dengan penuh kemegahan dan kebanggaan bahawa hanya anda seorang mampu melakukanya. Anda melakukan pemusnahan kreatif – meminjam istilah ahli ekonomi, Joseph Schumpeter – hingga anda mewariskan sebuah negara haru-biru, kacau-bilau dari segi politik, ekonomi, bahasa, dan budaya.
Tentang bahasa, saya telah pun mengetengahkan kepupusan sesuatu bahasa dalam “Yang Menghilang Yang Menjelma,” dan bagaimana orang bertungkus-lumus menyelamatkan bahasa yang diancam kepupusan. Sebaliknya, di Malaysia, bahasa Melayu, bahasa kebangsaan yang pernah mencapai zaman keemasannya, terpaksa bergelut dengan usaha terancang, licik, untuk mematikannya – paling tidak, untuk jangka panjang. Tangan kotor berkeliaran memperlihatkan kerakusan untuk memupuskan bahasa Melayu dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal sama sekali, termasuk “mendarat lembut” untuk PPSMI.
Sememangnya, amat malang bagi kita rakyat Malaysia kerana kita mempunyai pemimpin yang begitu ghairah melakukan pemupusan, antara yang paling jelik dan jengkel, pemupusan terhadap bahasa Melayu. Bagi orang Melayu, seperti saya, lebih malang lagi kerana pemimpin Melayu – tidak kira mana-mana parti politik – hanya berani menyergah dan menggertak orang Melayu sendiri, berani mengatakan “tidak untuk kepentingan Melayu.”
Sebagai pemimpin, anda bebas melakukan apa-apa sahaja terhadap bahasa Melayu, tetapi anda perlu memikul risiko dan menanggung akibatnya: dikenang sebagai pemimpin yang memupuskan. Sesungguhnya, rakyat Amerika bernasib baik kerana Presiden mereka – Barack Obama tidak mahu dikenang sebagai pemimpin yang memupuskan industri auto yang menjadi kebanggaan mereka, sebagaimana bahasa Melayu menjadi kebanggaan kebanyakan orang Melayu di Malaysia.
No comments:
Post a Comment