Artikel Popular

Wednesday, April 27, 2011

Masa dan Minda

KHAMIS,  28  April  2011
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH

Dalam Dewan Masyarakat keluaran Februari tahun ini, saya  menulis “Dunia Permajalahan Sentiasa Segar?”  dengan mukadimah bahawa majalah datang dan pergi, muncul dan menghilang.  Tidak kurang pula yang mampu bertahan berdekad-dekad, bahkan menjangkau abad. Dalam tulisan itu,  saya antaranya menarik perhatian terhadap keluaran  akhir tahun beberapa majalah berita, seperti Time dengan “Person of the Year”  dengan kulit depan terpampang gambar Mark Zuckerberg, dan sebelum ini dengan liputan “Special Timeframes Issue: What Really Happened 2000-2010, dan  Newsweek dengan “Special Edition-Issues 2011:  The Key to Power,” sesungguhnya, mengundang persoalan bagaimana jika masyarakat hidup tanpa majalah. Sesuatu yang dapat dipelajari daripada  keluaran berkenaan   ialah  majalah mengajak masyarakat merenung masa lalu, melihat masa kini,  dan meninjau masa hadapan. Majalah terus memainkan salah satu peranan utamanya, iaitu merangsangkan minda pembaca.
Dalam tulisan  itu juga saya merujuk kepada “Special Issue”  Fortune pada  setiap akhir tahun yang sentiasa dinanti-nantikan oleh para pelabur, iaitu bimbingan pelabur.  Majalah ini muncul dengan “Investor’s Guide 2011”  yang memberikan tumpuan pada 10 saham terbaik untuk 2011, sesi strategi, demam emas, minda mega Miami, bahaya bon, dan saham untuk planet yang bersih. 
Bagi warga Asia, penutupan Asia Week pada awal 2000-an, sesungguhnya suatu kehilangan besar, iaitu  lenyapnya suara Asia,  meskipun kekosongan itu cuba diisi oleh majalah lain, seperti Time, Newsweek, dan The Economist. Memang tidak dinafikan bahawa  Asia tidak terlepas daripada radar majalah berkenaan, misalnya The Economist mempunyai ruang Asia yang sekali-sekala muncul Malaysia, seperti yang dapat dilihat dalam keluaran 9 – 15 April, “Lights, Camera...Anwar?”
Tulisan ini bertujuan merujuk kepada Time keluaran 2 Mei yang muncul dengan “Special Double Issue” dengan rencana utamanya, “The Time 100:  The World’s Most Influential People.” Dengan keluaran terbaharu itu,  majalah tersebut sekali lagi melakukan sesuatu yang menakjubkan yang pasti dapat menarik minat para pembaca. “Time 100” tahun ini, seperti yang dijelaskan oleh Richard Stengel, Editor Urusan majalah ini, menyenaraikan sesuatu tentang cerita, sama ada dari Timur Tengah atau Asia atau media sosial.  Siapakah yang bertanggungjawab mencetuskan gerakan luar biasa ini, soal Stengel dalam “The Democratization of Influence,” yang antaranya menyebut Wael Ghonim, Fathi Terbil, Katsunobu Sakurai, dan Ai Weiwei.
Memang bukan suatu perkara yang mudah untuk menyenaraikan 100 orang yang paling berpengaruh di dunia.  Dan  juga bukan suatu perkara yang mudah untuk mengenal pasti dan memilih  100 orang penulis untuk menulis hal individu berkenaan, meskipun tulisan tersebut agak pendek.  Hal ini demikian kerana penulis itu terdiri daripada tokoh tertentu, seperti Presiden Barack Obama, Gordon Brown, Christine Lagarde, Arnold Schwarzenegger, Bill Gates, Ted Turner, Rahm Emanuel, Mohamed ElBaradei, Bob Dole, Robert Gates,  Nancy Pelosi, Oprah Winfrey, Michael Bloomberg, Rupert Murdoch,  dan banyak lagi. 
Mereka “dipadankan” dengan individu berkenaan yang boleh menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pembaca,  mengapa Gordon, bekas Perdana Menteri Britain menulis Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah  Nobel Ekonomi?  Mengapa Nancy Pelosi menulis Cecile Richards? Mengapa Jamie Oliver menulis Michelle Obama? Para pembaca boleh faham mengapa Joseph Nye Jr. menulis Hillary Clinton, Rupert Murdoch menulis Saad  Mohseni,  Jackie Collins menulis bakal pengantin diraja British,  Ted Turner menulis Oprah  Winfrey, Arnold Schwarzenegger menulis David Cameron, Robert Gates Jeneral David Petraeus, Rev. Willliam M. Tully menulis Feisal Abdul Rauf, Fareed Zakaria menulis Xi Jinping, Bill Gates menulis Azim Premji, Bob Dole  menulis John Boehner, Richard Haass menulis Benjamin Netanyahu, dan paling tidak, David M.  Kennedy menulis Barack Obama.
Bahagian pengenalan “Time 100” mengalu-alukan para pembaca dengan menulis, “temui orang yang paling berpengaruh di dunia.  Mereka terdiri daripada artis dan aktivis,  pembaharu (reformers) dan penyelidik, ketua negara dan kapten industri.  Idea mereka mencetuskan dialog dan pertentangan pendapat dan ada kalanya bahkan mencetuskan revolusi.
Antara yang tersenarai sebagai orang yang paling bepengaruh di dunia, selain empat individu yang dinyatakan di atas,  ialah Joseph Stiglitz, Geoffrey Canada, Angela Merkel, Amy Chua, Joe Biden, Gabriel Giffords,   Aung San Suu Kyi, Michelle Obama, Nicolas Sarkozy, Jean-Claude Trichet, Putera William dan Kate Middleton, Hillary Clinton, David Cameron, Maria Bashir, David dan Charles Koch, Marine Le Pen, Feisal Abdul Rauf, El General, Arianna Huffington, Azim Premji, John Boehner, dan Benjamin Netanyahu.  Sementara Presiden Barack Obama yang menulis  Gabriel Giffords turut tersenarai; begitu juga dengan Oprah Winfrey yang tersenarai serta  menulis Cory Booker.  Pengasas Facebook,  Mark Zuckerberg dan pengasas WikiLeaks,Julian Assange yang tersenarai dalam “The 2010 Person of the Year” juga termasuk dalam senarai tersebut.  Boleh dikatakan, semua individu yang dianggap sebagai manusia paling berpengaruh di dunia, memang tidak asing pada pandangan umum.  Ada yang  sudah terkenal, ada yang baru terkenal, iaitu muncul kerana peristiwa tertentu, seperti Pemberontakan Arab kedua.
Joel Stein melalui kolumnya dalam Time, “Down with People,” membahaskan bahawa era manusia telah berakhir, “saya bawa anda 100 perkara paling berpengaruh di dunia.” Bahas beliau lagi, Time terlalu memikirkan manusia:  ‘Person of the Year,’ ‘the 100 Most Influential People in the World,’ dengan makalah demi makalah tentang apa yang perkara yang dilakukan oleh manusia, dipenuhi dengan apakah orang kata.”  
Turut tergolong dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia ialah lima orang yang menurut Time, menggunakan pengaruh mereka bukan untuk tujuan kebaikan:  Muqtada al-Sadr, Anwar al-Awlaki, Kim Jong Un, Saif al-Islam Gaddafi, dan Hassan Nasrallah.  Memeranjatkan tidak ada individu dari Amerika Latin yang turut tergolong bersama-sama mereka ini.

Melihat setiap keluaran khas beberapa majalah berita antarabangsa, mengingatkan saya kepada Dewan Masyarakat dengan “Edisi Khas Pilihan Raya Umum ke-12” yang berjaya diterbitkan dalam beberapa hari selepas keputusan pilihan raya itu diketahui.  Idea penerbitan edisi ini dikemukakan oleh Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah, Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, semasa  berlangsungnya bengkel penerbitan majalah di Port Dickson pada Disember 2007.  Bagi beliau, ini satu langkah persediaan kemungkinannya majalah berkenaan diterbitkan setiap minggu – itulah cita-cita beliau yang tidak kesampaian.  Namun, saya pernah berbincang dengan beliau, kalaupun tidak setiap minggu, setiap dua minggu sekali pun sudah memadai, seperti penerbitan  majalah Fortune.
Pada penghujung  makalah saya yang dipetik  pada permulaan tadi, saya membangkitkan beberapa perkara yang elok juga diperturunkan semula di sini:  Pastinya,  seseorang akan merasakan detik-detik kesunyian sekiranya tanpa majalah yang mudah dibawa ke pantai, ke kafe, atau ke   atas katil.     Sukar untuk dibayangkan bagaimana pendapat awam dibentuk, dasar nasional digubal, budaya dimekarkan, dan peradaban dibina sekiranya majalah dalam paras wajah  yang kita kenali kini  akhirnya tidak kelihatan lagi. Sekiranya  majalah akhirnya hilang,  bukan sahaja para pembaca yang merasai kehilangannya, bahkan  buku akan kehilangan “pasangannya.”  
Saya akhiri tulisan saya itu dengan menegaskan “keluaran akhir tahun beberapa majalah, sesungguhnya menyuntikkan   kesegaran terhadap  dunia permajalahan. Tentang masa hadapannya. Tentang kelangsungannya. Tentang suara yang sentiasa kedengaran.”  Demikian juga dengan keistimewaan atau kelebihan “The Time 100:  The World’s Most Influential People” yang mampu mengisi  masa dan mempersegarkan minda.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...