ISNIN, 4 April 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada hari Isnin 15 September, sebilangan rakyat Malaysia sedang menghitung detik perarakan ke Putrajaya pada keesokan hari sempena pembentukan kerajaan baru, seperti yang dicanangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada waktu petang, Datuk Zahid Ibrahim mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi pengumuman tersebut bukan sesuatu yang memeranjatkan jika dibandingkan dengan pelantikan beliau sebagai Menteri.
Pada hari yang sama, berlaku gelombang kejutan apabila Lehman Brothers, yang dibebani hutang bernilai AS$60 bilion mengemukakan petisyen kebankrapan di Mahkamah Kebankrapan Amerika Syarikat selepas usaha untuk menyelamatkan firma yang berusia 158 tahun gagal. Bank of America Corp. pula mengambil alih Merrill Lynch & Co. Inc. dalam urus niaga semua saham bernilai AS$50 bilion. Di Wall Street New York, Purata Industri Dow Jones (Dow) jatuh sebanyak 504.48 mata (4.4 peratus) dengan lapan bilion saham bertukar tangan, yang terburuk sejak 17 September 2001 apabila indeks dibuka semula akibat serangan 11 September – Dow jatuh sebanyak 684.81 mata (tujuh peratus). Meskipun Presiden George W. Bush dan Setiausaha Perbendaharaan Henry M. Paulson Jr. muncul di Rumah Putih secara berasingan untuk memberi jaminan pasaran bahawa masalah yang mendalam di Wall Street tidak melemahkan lagi ekonomi yang telah pun anemia, namun semuanya gagal membendung krisis kewangan daripada terus merebak.
Berita malam Ahad bahawa Wall Street kalah teruk menyebabkan pasaran saham dunia menjuman. Saham lintang-pukang di Asia dan jatuh lebih empat peratus di Eropah. Persoalannya bukan sama ada Dow akan jatuh, tetapi “setakat mana” dan apakah kesan yang akan berlaku terhadap institusi kewangan yang semakin lemah. Pasaran Asia dan Eropah merudum pada hari Isnin di tengah-tengah kekhuatiran yang meningkat terhadap sistem kewangan dunia selepas gelombang melanda Wall Street. Di Eropah, Indeks FTSE turun 2.72 peratus di London, Paris CAC-40 turun 3.52 peratus, dan Indeks Bursa Emas (Blue Chips) DAX 30 Jerman merosot 2.99 peratus. Pasaran saham Asia, kecuali Jepun, China, dan Korea Selatan ditutup kerana cuti umum, mengalami penurunan. Di Singapura, Indeks Straits Times merosot 3.27 peratus, di Jakarta, Indeks Komposit jatuh sebanyak 4.7 peratus, di Taipei, Indeks Berwajaran jatuh sebanyak 4.09 peratus, Sensex India jatuh 5.4 peratus, dan Indeks Utama Australia jatuh 2 peratus. Sementara di Kuala Lumpur, pukulan gelombang itu dan diruncingkan lagi oleh pergolakan politik, Indeks Komposit Kuala Lumpur jatuh sebanyak 12.4 mata (1.2 peratus), iaitu kepada 1,031.63, yang terendah dalam tempoh 22 bulan.
Apakah peristiwa yang berlaku pada 19 Oktober 1987 yang kini dikenali Isnin Hitam berulang lagi? Pada hari itu, Bursa Saham New York mengalami keruntuhan yang paling teruk dalam sejarah dan meletup seluruh dunia. Dalam satu hari Dow menjunam sebanyak 507 mata (22.6 peratus), melenyapkan kira-kira AS$500 bilion kekayaan pemegang saham dalam beberapa jam sahaja. Dari segi mutlak dan peratusan, kejatuhan paling besar sejak tahun 1929. “Dari Toronto ke Tokyo, dari London ke Sydney, dari Buenos Aires ke Brasilia, pasaran saham menangis, berkabung kematian Dow Jones. Wall Street dan para pelabur di seluruh dunia membayangkan penderitaan tehadap masa depan yang suram,” tulis Ravi Batra dalam Greenspan’s Fraud: How Two Decades of His Policies Have Undermined the Global Economy. Sebaik sahaja selepas Isnin Hitam itu, setiap orang mula menanyakan dua soalan: “siapa pihak yang bersalah?” dan “adalah harga benar-benar menunjukkan nilai fundamental?”
Sejak hari Isnin, para pelabur dan pasaran saham di seluruh dunia menempuh malam yang panjang. Pada hari Selasa, pasaran saham terus menjunam: dari New York ke London, dari Sydney ke Wellington, dan Tokyo ke New Delhi. Meskipun Rizab Persekutuan mengumumkan pemberian pinjaman kepada American International Group Inc. (AIG) berjumlah AS$85 bilion untuk mengelakkan daripada keruntuhan kewangan paling teruk dalam sejarah, tetapi pasaran saham London, Sydney, Tokyo, Shanghai, Singapura, dan Kuala Lumpur terus jatuh.
“Dunia kewangan menjunam sekelip mata dan loceng pembuka tidak berbunyi di Bursa Saham New York,” demikian antara kiasan yang diberikan. Para pelabur, pasaran saham, dan sektor kewangan lain, khususnya perbankan dan insurans dalam keadaan kelam-kabut. Di Singapura misalnya, sejak berhari-hari, beratus-ratus orang menyerbu American International Insurance, subsidiari AIG untuk menunaikan polisi insurans mereka.
Ahli ekonomi mengemukakan ulasan yang berbaur dengan ketidakpastian dan kebimbangan; misalnya Paul Krugman: “anda lihat, Lehman Brothers, bank pelaburan utama, jatuh bankrap. Dan tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kemudian;” dan Nouriel Roubini: “semua peniaga broker bebas akan lenyap. Pada bulan Mac, terjadi kepada Bear Stearns. Malam ini terjadi kepada Lehman dan Merrill Lynch. Morgan Stanley dan Goldman Sachs sepatutnya mencari pembeli esok. Model perniagaan peniaga broker pada asasnya cacat. Mereka tidak boleh hidup.”
Pada hari Khamis, pasaran saham Sydney, Wellington, dan Asia (kecuali Jakarta) masih mengalami kejatuhan menjejaki kemerosotan Wall Street kerana para pelabur khuatir banyak lagi syarikat akan gulung tikar akibat krisis kewangan global. Mereka masih belum tenteram dengan pemberian pinjaman kepada AIG, syarikat insurans terbesar Amerika yang mengalami kerugian berbilion-bilion dolar, syarikat yang menerima nasib yang sama dengan Lehman Brothers dan Merrill Lynch dalam krisis kewangan. Keyakinan para pelabur musnah sama sekali. Pada hari itu juga, KLCI jatuh sebanyak 11.33 mata (1.1 peratus) kepada 991.66 mata, kali pertama di bawah 1000 mata sejak November 2006.
“Kerajaan mesti menyelamatkan sistem kewangan ini ‘kerana jika kita tidak melakukannya’, nescaya kesan yang sangat besar terhadap rakyat Amerika yang terdiri daripada pengguna, pemilik rumah, pembayar cukai, dan lain-lain lagi,” kata Speaker Dewan Kongres Amerika, Nancy Pelosi. Jaminan segera daripada Kongres dan Pentadbiran Bush telah menyediakan rancangan untuk menyelamatkan bank-bank daripada hutang lapuk akibat krisis yang paling teruk di Wall Street sejak Kemelesetan Besar merangsangkan pasaran saham New York menjadi rancak. Pada hari Khamis, Dow meningkat sebanyak 410 mata, pertambahan peratusan yang besar sejak kira-kira enam tahun.
Seterusnya, pada hari Jumaat, pasaran saham di New York, Sydney, Wellington, dan Asia melonjat semula. Berita kemungkinan kerajaan Amerika Syarikat merancang untuk menyelamatkan bank-bank daripada hutang gadai janji berisiko dan bank pusat G-7 dan Switzerland memberi jaminan untuk memasukkan AS$180 bilion kecairan ke dalam sistem kewangan global telah memberi harapan bahawa krisis yang paling teruk pada dekad ini akan reda. KLCI meningkat kepada 34 mata (3.4 peratus) kepada 1,025.70 mata, walaupun pergolakan politik belum reda. Namun, berbanding minggu sebelumnya, pasaran saham Asia mengalami kejatuhan pada minggu Isnin Hitam.
Semuanya berjalan elok ketika musim panas tahun 2007. Ekonomi meningkat dan harga pasaran saham meningkat dengan pantas. Kemudian berakhir ledakan perumahan di Amerika Syarikat mencetuskan krisis kewangan global. Sejak krisis gadai janji subprima, tokoh perniagaan dan ekonomi meramalkan akan berlaku krisis yang lebih dahsyat. Namun, pihak berkuasa di negara itu agak lambat untuk mencegah krisis itu daripada berlaku. Dikatakan bahawa krisis merupakan bahagian asas pembangunan kapitalis. Puncanya ialah pengeluaran berlebihan, mendorong kepada kemerosotan jualan atau kejatuhan kadar untung, dimulakan oleh kos modal yang mengatasi pertumbuhan produktiviti. Krisis kewangan ini dikaitkan dengan pembatalan kawal selia dan pasaran dibiarkan bergerak bebas.
Walau bagaimanapun, Istvān Mēszāros, Profesor Emeritus, University of Sussex, semasa Persidangan di Conway London 10 Mei 2008, mengingatkan bahawa krisis kewangan hanya simptom. Kenekatan kewangan adalah pada dasarnya, apa yang kita lihat sejak 30 atau 40 tahun lalu, meletup dari semasa ke semasa dalam bentuk krisis kewangan.
George Soros dalam temu bual yang diterbitkan dalam The New York Review of Books Mei lalu menegaskan bahawa pihak berkuasa, pengawal selia, iaitu Rizab Persekutuan dan Perbendaharaan benar-benar gagal untuk melihat apa yang telah berlaku. Seorang Gabenor Rizab Perseketuan, Edward Gramlich memberikan amaran tentang krisis yang akan berlaku dalam gadai janji subprima dalam ucapan beliau pada tahun 2004. Oleh itu, sebilangan orang dapat melihat krisis itu berlaku. Dan entah kenapa, pihak berkuasa tidak mahu melihat krisis itu berlaku.
Menjangkakan situasi yang lebih buruk akan berlaku, Soros mengingatkan: “anda tidak boleh membuat ramalan tanpa syarat kerana terlalu bergantung pada bagaimana pihak berkuasa akan bertindak balas sekarang terhadap situasi ini. Tetapi situasi pastinya lebih teruk daripada yang dikenal pasti sekarang. Tugas Rizab Persekutuan menyelamatkan J.P. Morgan dan Bear Stearns untuk mencegah malapetaka yang lebih dahsyat. Namun, tugas Rizab Persekutuan juga untuk mencegah gelembung aset daripada berkembang, dan tugas ini tidak dikenal pasti.”
Menjangkakan situasi yang lebih buruk akan berlaku, Soros mengingatkan: “anda tidak boleh membuat ramalan tanpa syarat kerana terlalu bergantung pada bagaimana pihak berkuasa akan bertindak balas sekarang terhadap situasi ini. Tetapi situasi pastinya lebih teruk daripada yang dikenal pasti sekarang. Tugas Rizab Persekutuan menyelamatkan J.P. Morgan dan Bear Stearns untuk mencegah malapetaka yang lebih dahsyat. Namun, tugas Rizab Persekutuan juga untuk mencegah gelembung aset daripada berkembang, dan tugas ini tidak dikenal pasti.”
Pada awal Ogos lalu, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan Alan Greenspan memberikan amaran dalam Financial Times bahawa lebih banyak bank dan institusi kemungkinan menghadapi ketakmampuan bayar dan perlu diselamatkan sebelum krisis kewangan global berakhir. Beliau menyebut krisis semasa yang bermula setahun lalu, “sekali atau dua kali dalam peristiwa abad, dan ketakmampuan bayar hanya akan berakhir sebaik-baik sahaja harga rumah di Amerika Syarikat menjadi stabil, menyangga sekuriti yang menyokong gadai janji.” Semasa menerajui Rizab Persekutuan, beliau mempunyai alat yang diperlukan untuk mengekang gelembung. Namun, Greenspan tidak menggunakan kedudukannya untuk memberi amaran bahaya gelembung perumahan. Beliau boleh mengenakan sekatan yang ketat terhadap gadai janji yang mendorong krisis subprima.
Beberapa hari sebelum berlaku krisis kewangan global, iaitu pada 11 September 2008, William K. Tabb, Profesor Emeritus, Queens College, City University of New York, ketika menyampaikan taklimat kepada Rombongan Jawatankuasa Pusat Vietnam memaklumkan bahawa situasi ekonomi Amerika Syarikat sekarang paling serius sejak Kemelesetan Besar pada tahun 1930-an, dan bukannya untuk negara itu sahaja. Setakat ini, tindakan oleh kerajaan tidak cukup, lewat, dan tidak menangani punca fundamental yang kesudahannya patut ditangani.
“Keadaan ini bermula dalam sektor kewangan, khususnya pasaran gadai janji, tetapi merebak: pengangguran meningkat, pelaburan jatuh, dan kerajaan banyak mengambil hutang lapuk sambil mengorbankan pembayar cukai untuk menyelamatkan sektor kewangan dalam usaha untuk memulihkan beberapa tahap kepercayaan dan memperbaharui pemberian pinjaman yang diperlukan oleh ekonomi,” kata beliau.
Sebaik-baik sahaja krisis kewangan berlaku, pihak berkuasa Amerika, iaitu Rizab Persekutuan dan Perbendaharaan terus menerima kritikan dan menjadi sasaran kerana mengabaikan tanggungjawab dan tidak proaktif. Dean Baker, Pengarah Bersama the Center for Economic and Policy Research (CEPR), melalui makalahnya “The Financial Meldown Continues” dalam majalah dalam talian, MRZine menulis: “mereka yang mengawal pengumpil ekonomi dan dasar kewangan mengabaikan tanggungjawab utama mereka, iaitu memastikan pasaran kewangan yang teratur dan mencegah keruntuhan seperti yang berlaku sekarang. Meskipun tidak jalan keluar yang mudah daripada krisis ini, tetapi krisis ini boleh dielakkan dengan mudah. Jika Rizab Persekutuan bertindak membendung pertumbuhan gelembung perumahan sebelum berkembang pada tahap yang bahaya, Amerika pada masa sekarang tidak menghadapi kemelesetan dan kemungkin keruntuhan kewangan.”
Demikian juga William Greider yang menulis dalam majalah The Nation: “skandal ini bukan kerajaan tidak bertindak, tetapi kerajaan tidak bertindak cukup tegas, iaitu menggunakan kuasa darurat muktamad untuk mengambil kawalan sepenuhnya sistem kewangan dan menguatkuasakan perintah terhadap bank, firma, dan pasaran. Menyelamat langkah demi langkah yang Rizab Persekutuan dan Perbendaraan laksanakan hingga kini benar-benar gagal untuk mengubah pelarian para pelabur dan bank di seluruh dunia daripada memberikan pinjaman atau membeli pada masa keraguan.”
Pentadbiran Bush meminta Kongres memberi kuasa untuk membeli AS$700 bilion aset toksid yang menyumbat sistem kewangan dan mengancam ekonomi, suatu usaha menyelamat yang terbesar sejak Kemelesetan Besar. Apabila Amerika Syarikat bersin, banyak negara di dunia akan demam: dolar hilang nilai, walaupun baru-baru ini teguh, pergantungan pada import, hutang asing yang besar, masalah imbangan bayaran, dan defisit belanjawan kerajaan persekutuan pada tahun depan yang dianggarkan lebih AS$400 bilion. Krisis kewangan global menjadi suatu mimpi ngeri yang belum pasti bila akan berakhir. Hanya yang pasti dalam situasi kewangan semasa ialah akan muncul lebih banyak masalah. Krisis kewangan tetap sangat serius dan semakin sangat serius.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi November 2008.)
No comments:
Post a Comment