Artikel Popular

Thursday, June 30, 2011

Laut China Selatan Bergelora


KHAMIS,  30  Jun 2011

Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Akhbar The Independent semalam melaporkan kumpulan pemikir dasar luar Australia yang utama,  Lowy Institute for International Policy  menyatakan kebimbangan tercetusnya peperangan yang berpunca daripada persengketaan di Laut China Selatan.  Pergeseran semakin memuncak dalam kalangan negara yang bersempadan di Laut China Selatan, diperburukkan lagi oleh sifat pendesak yang kian menjadi-jadi tentera China, boleh mencetuskan persengketaan  senjata dan bahkan mencetuskan peperangan.  Laporan kumpulan pemikir itu berkebetulan dengan Senat Amerika Syarikat yang meluluskan resolusi mengesali penggunaan kekerasan oleh  China terhadap kapal Vietnam dan Filipina, menyatakan bahawa Asia menjadi "zon bahaya untuk kemalangan di laut."

Berlaku ketegangan yang memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan antara China yang menuntut kedaulatan di Laut China Selatan dengan beberapa negara lain yang turut menuntut wilayah yang berkaitan.   Sesetengah pertikaian tertumpu pada dua kepulauan, iaitu Spratly dan Paracel yang dari segi potensi kaya dengan minyak dan gas asli.  Laporan Lowy Institute tentang keselamatan maritim melahirkan kebimbangan tertentu tentang  perselisihan antara China dengan Amerika Syarikat,  Jepun dengan India, yang dikatakan berkemungkinan berterusan dan menjadi-jadi.

Sebelum ini, Senator John McCain  menggesa Amerika Syarikat menyokong Asean  dari segi ketenteraan  dan politik untuk menghadapi China di  Laut China Selatan yang semakin bergolak.  Bekas calon Presiden  tahun 2008 berkata, Amerika Syarikat sepatutnya juga beralih kepada diplomasi untuk membantu negara Asean menyelesaikan pertikaian mereka dan "mewujudkan barisan yang lebih bersatu,"  dengan mengalu-alukan perjanjian terbaharu antara Malaysia dengan Brunei sebagai contoh. Beliau memberitahu persidangan di Center for Strategic and International Studies, sebuah kumpulan pemikir di Washington, "China cuba mengeksploitasikan perpecahan dalam anggota Asean untuk bersengketa antara satu sama lain untuk mendesak agendanya sendiri."  McCain mengalu-alukan hubungan kerjasama dengan China dan tidak berusaha mencari persengketaan, tetapi meletakkan kesalahan mentah-mentah terhadap China kerana  "sikap agresif" dan  "tuntutan wilayah yang tidak berasas." 

Kehadiran  China di  Asean, boleh dianggap  sebagai "duri dalam daging," dan setakat ini, dua negara di rantau ini, iaitu Filipina dan Vietnam, tanpa berselindung menggasak negara itu yang menggugat kestabilan Asean.  Pastinya, pendirian kedua-dua buah negara  terhadap China berbeza dengan pendirian Malaysia yang sentiasa menganggap  kebangkitan China bukan sebagai ancaman.  Sejak zaman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahtir Mohamad membawa kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi,  dan seterusnya, kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Malaysia boleh dikatakan sentiasa membelai dan mendakap mesra China.  

Baru-baru ini, iaitu awal bulan ini, semasa menyampaikan ucapan dasar di  "The 10th International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue"  di Singapura, Najib mengulangi pendiriannya tentang China:  Beliau berasa optimis bahawa Asean akan terus membangunkan hubungan yang penuh bermakna dan membina dengan kedua-dua negara, iaitu China dan India.  Kedua-dua negara itu berusaha meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan bentuk pertukaran lain dengan 10 buah negara anggota Asean.  Beliau menegaskan, "untuk Asean, kita tidak perlu membuat pilihan kerana kita tidak mahu ke era Perang Dingin.  Kita mesti melihat ke hadapan untuk membina hubungan yang membina dengan kedua-dua negara itu." Beliau juga berkata bahawa kebangkitan penjana ekonomi Asia, iaitu, sepatutnya tidak dilihat sebagai ancaman terhadap dunia.  Selain itu,  berkembangannya kapasiti ketenteraan China sepatutnya tidak membangkitkan perasaan bimbang dan cemas yang tidak wajar.  Dari segi ketenteraan, Najib membela China, meskipun perbelanjaannya meningkat dengan pesat, Amerika Syarikat akan terus menerusi hingga kini, kuasa tentera yang cemerlang, dan hingga kini, negara yang suka berbelanja terbesar.

Pendirian Najib terhadap China boleh dianggap sebagai di belakang keluk.  Namun,   pujian melangit beliau terhadap negara itu tidak sempat bermalam kerana Filipina menuduh  China melemahkan keamanan dan  kestabilan di Asia.  Perang kata dan saling tuduh antara Filipina dengan China  tentang  pertikaian Laut China Selatan berlaku ketika kedua-dua negara sepatutnya gembira menyambut tahun ke-36 hubungan dua hala, yang pada tahun 2005 baru sahaja mengisytiharkan mencapai "zaman keemasan perkongsian."  Rommel C.  Banlaoi dalam "Word War in South China Sea:  A Diplomatic Crisis in Philippines, China Relations?" menulis bahawa tahun ini, bagaimanapun, kelihatan tiba-tiba terjejas hubungan Filipina-China yang berpunca daripada tuntutan yang bercanggah di Laut China Selatan.  Perang kata antara Filipina dengan China berhubung dengan pertikaian Laut China Selatan mencetuskan perasaan benci yang tidak perlu di kedua-dua belah pihak yang jika tidak diredakan dengan betul boleh menyebabkan kedua-dua buah negara berasa ganjil antara satu sama lain.

Filipina dan Jepun, seperti yang dilaporkan oleh Fred Hiatt, memohon bantuan Amerika Syarikat dalam  menghadapi  keagresifan China.  Tuntutan yang bercita-cita  tinggi China di Laut China Selatan, yang membangkitkan kebimbangan bukan sahaja Filipina, tetapi juga Jepun dan Vietnam dan negara Asia Tenggara lain. Albert F. del Rosario, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina dipetik sebagai berkata, "Pencerobohan semakin agresif.  China semakin meningkatkan cabarannya di kawasan yang baru-baru ini didapati mengandungi deposit gas asli yang sangat banyak.  Daripada melepaskan tembakan ke arah bot nelayan, mereka mengganggu bot  cari gali  untuk membawa pelantar dan pos kawalan."

Demikian juga dengan Vietnam yang tidak dapat bertolak ansur dengan keagresifan China di Laut China Selatan, terpaksa mengadakan latihan tentera laut.  Latihan tersebut diadakan selepas Hanoi dan Beijing saling tuduh menuduh berhubung dengan dua perkelahian terbaharu yang melibatkan kapal cari gali minyak dan gas Vietnam beroperasi di perairan yang dituntut oleh kedua-dua buah negara.  Vietnama mendakwa bahawa kapal China memotong kabel yang diletakkan pada bot yang menjalankan kajian seismos di pesisir pantainya, manakala China pula mendakwa menceroboh perairarannya dan meletakkan nyawa nelayan dalam bahaya.

China dan Vietnam telah beberapa kali bersengketa berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan, yang disebut oleh Ishaan Tharoor, perebutan gugusan kepulauan.    Pertikaian geopolitikn ini melibatkan Kepulauan Paracel yang tandus. Dituntut oleh kedua-dua buah negara, iaitu China dan Vietnam, gugusan itu mengandungi kira-kira 30 tetanjung kecil tanah di tengah Laut China Selatan dengan nama yang tidak berbahaya, seperti Woody Island dan Antelope Reef.  Tidak  ada manusia yang tinggal di sana, tidak juga wujud mana-mana bukti bahawa  sumber asli yang menguntungkan  terdapat di bawah lagun dan terumbunya.  Tharoor memetik pakar bahawa pada masa apabila ekonomi serantau melambung, dan sentimen nasionalis berkobar-kobar, Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan masih tahap meledak di bahagian dunia ini apabila keseimbangan kuasa  lebih condong ke arah China.

Pertikaian pada tahun lalu itu berpunca daripada pengumuman kerajaan China untuk membina pusat pelancongan di beberapa tempat di Kepulauan Paracel sebagai sebahagian rancangan bercita-cita tinggi untuk menarik para pelancong di seluruh dunia ke Hainan, wilayah kepulauan China.  Walau bagaimanapun, Tharoor mengatakan bahawa pertikaian tersebut adalah kecil jika dibandingkan dengan peristiwa masa lalu, apabila dua negara terlibat dalam peperangan sempadan pada tahun 1979, dan pada 1988, peperangan di laut berhampiran Spratly mengorbankan 70 orang kelasi Vietnam.

Beberapa bulan kebelakangan ini, menurut pemerhatian Austin Ramzy dua hari lalu, menyaksikan ketegangan antara China dengan beberapa negara jirannya, terutamanya Vietnam dan Filipina berhubung dengan Laut China Selatan.  Dan sementara pertikaian dengan Jepun berhubung dengan Kepulauan Diaoyu menjadi reda sejak tahun lalu, ketegangan masih kekal, seperti yang ditunjukkan oleh reaksi waspada Jepun terhadap kehadiran kapal perang China di perairan antarabangsa berhampiran Okinawa baru-baru ini.  Punca segala pertikaian ini ialah kedaulatan kepulauan yang dipertikaikan di Laut China Timur dan Laut China Selatan.  Kemungkinan wujudnya minyak dan gas asli di dasar laut membantu meningkatkan tagan atau taruhan kerana meningkatnya kuasa ketenteraan dan sifat pendesak China.

Sebelum ini, Austin Ramzy dalam "The Drumbeats of War?  Tensions Rise in the South China Sea" menegaskan bahawa pertikaian berhubung dengan Laut China Selatan selalu mengusik perasaan deja vu.  Menteri Pertahanan Vietnam mengadu kejadian kapal China memotong kabel cari gali ketika "The 10th International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue"  di Singapura.  Protes anti-China diadakan di Hanoi dan Ho Chi Minh City, dan dalam beberapa hari lalu, beberapa laman web Vietnam dan China dilaporkan digodam dan dicacati dengan mesej nasionalis.

Dalam soal jawab yang diterbitkan oleh Foreign Affairs tentang China, Robert D. Kaplan berkata China juga sebaga kuasa yang sedang meningkat, melalui demografik, keagresifan amalan korporat, tandatangan perjanjian sempadan, dan amalan perdagangan, China memperluas zon pengaruh ke dalam zon bersempadan: ke dalam Timur Jauh Rusia, ke dalam Mongolia, ke dalam Asia Tengah, ke dalam Asia Tenggara.  Dan China membina pelabuhan atau menolong membina pelabuhan di sepanjang Lautan Hindi.  China mengambil langkah dengan tentera lautnya yang akan melindungi China sekurang-kurangnya kawalan separa Laut China Selatan dan Laut China Timur.  "Peta China adalah berkembang," kata Kaplan, dan ini membawa cabaran geopolitik kerana sebagaimana Amerika Syarikat ialah hegemon Hemisfera Barat, China muncul, dalam perjalanannya untuk muncul, sejeni hegemon di, kita akan kata, kebanyakan Hemisfera Timur."  Beliau mengakui China bukannya ancaman eksistensial, China bukannya ancaman ketenteraan terhadap Amerika Syarikat, misalnya, secara tidak langsung, menerusi percubaannya untuk mengehadkan akses Amerika ke Laut China Timur dan Laut China Selatan dan Selat Taiwan.  

Bagi Abraham M.  Denmark,  "Crowded Waters"  medan pertarungan kuasa besar untuk kekuasaan di Laut China Selatan bergelora sekali lagi.  Sejak dua tahun lalu, betul-betul bersemuka dipertunjukkan berhubung Laut China Selatan, badan perairan disempadani oleh China, Vietnam, Malaysia, Singapura, Indonesia, Bruneai, Filipina, dan Taiwan.  Badan  perairan yang kurang dikenali ini adalah kepentingan strategik yang besar:  Sekurang-kurangnya satu pertiga perdagangan maritim dunia merentasi Laut China Selatan, dan sesetengah optimis menganggarkan stor minyak dan gas aslinya yang tidak diusahakan menjadikannya tempat kedua Teluk Parsi.  Laut China Selatan juga lebuh raya utama menghubungkan telaga minyak Timur Tengah dengan kilang Asia Timur, dengan lebih 80 peratus import minyak China mengalir sepanjang perairannya.  Denmark juga memetik tulisan Robert Kaplan yang  diterbitkan dalam Foreign Affairs,  bahawa pentingnya Laut China Selatan kepada rantau ini menjadikannya "Mediterranean Asia."

"Disebabkan pentingnya perairan ini," tulis Abraham Denmark, "beberapa buah negara, iaitu Brunei, Malaysiam Filipina, dan Vietnam, menuntut kedaulatan terhadap bahagian perairan ini.  Namun, China menuntut hak kedaulatan terhadap hampir keseluruhan Laut China Selatan, seperti yang diperincikan dalam 9-dash line termasuk dalam penyerahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu."  

Sesungguhnya,  bintang merah sedang dan akan terus  bertaburan di Laut China  Selatan.  Secara keseluruhannya, disedari   wujudnya usaha  China  untuk menguasai Laut China Selatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keamanan serta kestabilan di rantau ini.  Justeru, apabila Najib berulang-ulang kali, termasuk yang terbaharu di Singapura, mengatakan China bukannya ancaman, timbul keraguan tentang kebijakan beliau.  Walau apa-apa pun alasan, antaranya kepentingan politik dalam negara, untuk mengatakan sedemikian, pastinya  sesuatu yang tidak munasabah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...