RABU, 1 Jun 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Jangan keliru. Makalah ini bukan tentang tilam dan katil atau tilam dan bantal untuk tidur yang selesa. Bukan juga kisah tilam yang diusung ke sana ke mari semasa perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 10 tahun lalu. Tetapi, makalah ini berkait dengan memilih tempat yang selamat untuk menyimpan wang ketika krisis kewangan global. Selamat daripada kerugian, selamat daripada penipuan, dan selamat daripada kecurian.
Sejak pertengahan September lalu, pasaran saham dunia terus merudum, dan tidak dapat diingat bilakah kali terakhir pasaran saham melonjak secara berpanjangan. Dengan merujuk kepada kejatuhan pasaran saham pada 6 Oktober, sesetengah penganalisis merumuskan dengan amat tepat: “Hari ketakutan melanda pasaran. Tidak ada orang yang ingin membeli saham, dan sekali lagi, tidak ada orang yang ingin meminjamkan wang mereka.” Ketika Barack Obama “ditabalkan” sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44 pada 20 Januari lalu, indeks Purata Industri Dow Jones (Dow) jatuh sebanyak 332.13 mata (4.01 peratus), iaitu kepada 7949.09 mata, meskipun melonjak sebanyak 279.01 mata (3.51 peratus) kepada 8228.10 pada hari berikutnya.
Ribut ketakutan yang membadai Lehman Brothers tidak menunjukkan tanda akan reda. Obama dilaporkan mungkin memohon tambahan berbilion-bilion dolar daripada wang pembayar cukai untuk memperkukuh sistem perbankan Amerika Syarikat selepas beberapa penasihat penting beliau memberi amaran bahawa pakej penyelamat semasa bernilai AS$700 bilion tidak cukup untuk menyelamatkan masalah kewangan yang terus-menerus melanda negara itu. Bilangan institusi kewangan yang muflis, diselamatkan atau dimiliknegarakan oleh kerajaan masing-masing tidak terhitung banyaknya, dan yang terbaru melibatkan Lloyd Banking Group dan Royal Bank of Scotland.
Banyak yang melabur sejak beberapa tahun menanggung kerugian nilai bersih dalam sekelip mata. Dikatakan bahawa ada yang ingin merangkak ke bawah tanah, menutup pintu, dan tidak ingin keluar sehingga isyarat yang jelas kedengaran. Menurut Bloomberg.com, Profesor Nouriel Roubini dari New York University meramalkan bahawa akibat krisis kredit, institusi Amerika menanggung kerugian hampir AS$3.6 trilion, dengan separuh daripadanya terdiri daripada bank dan peniaga broker. Sejak runtuhnya pasaran gadai janji subprima pada tahun 2007, kerugian dan penurunan nilai dalam syarikat kewangan di seluruh dunia lebih daripada AS$1 trilion. Forbes.com pula melaporkan bahawa tahun 2008 sangat menakutkan orang terkaya di dunia apabila pasaran dan mata wang di seluruh dunia lintang-pukang. Lebih 300 orang daripada 1125 jutawan yang diselaraskan dalam senarai tahunan Forbes pada Mac 2008 mengalami kerugian sekurang-kurangnya AS$1 bilion; berbelas-belas jutawan kerugian lebih AS$5 bilion. Sepuluh orang terkaya dalam senarai 2008 merosot kekayaan kira-kira AS$150 bilion. Menurut laporan akhbar The Guardian, setiap pembayar cukai yang berjumlah 31 juta orang di Britain lenyap sebanyak 38,700 paun sterling sejak bermulanya kerkah kredit (credit crunch), apabila harga rumah menjunam, dan jualan drastik dalam pasaran saham telah menghapuskan 1.2 trilion paun sterling kekayaan negara itu.
Di tengah-tengah “raksasa yang makan Wall Street”, pada pertengahan Disember lalu komuniti pelaburan khususnya dan masyarakat umumnya dikejutkan dengan skim Ponzi Amerika Syarikat yang dikendalikan oleh Bernard Madoff, bekas Pengerusi Pasaran Saham Nasdaq. Senarai pelabur yang terlibat dalam skim ini terdiri institusi perbankan besar di dunia dan dana lindung nilai, golongan kaya dan terkenal, pesara, dan pertubuhan amal. Antara mangsa yang tertipu dalam skim pelaburan ini ialah usahawan ulung hartanah, Mortimer Zuckerman, yayasan pemenang Nobel, Elie Wiesel, dan pengarah filem Steven Spielberg. Dalam kalangan institusi perbankan terbesar pula ialah HSBC Holdings, Royal Bank of Scotland, dan Man Group (ketiga-tiganya dari Britain), Grupo Santander SA (Sepanyol), BNP Paribas (Perancis), dan Nomura Holdings (Jepun), semuanya dilaporkan menjadi mangsa skim Ponzi Madoff yang dikatakan bernilai AS$50 bilion.
Sesetengah pelabur mengatakan bahawa mereka telah dilesapkan, manakala yang lain bersedia untuk muncul memberikan keterangan. “Ramai orang yang canggih yang terpedaya,” kata Harvey Pitt, bekas pengerusi Securities and Exchange Commission, badan kawal selia yang bertanggungjawab memantau dana pelaburan seperti yang dikendalikan oleh Madoff.
Pelabur, baik institusi mahupun individu mencurahkan berbilion-bilion dolar ke dalam dana pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan, iaitu digit berganda tahunan. Memang menakjubkan kerana banyak orang yang berakal dan bukannya naif, yang menjadi mangsa Madoff. Jika pelabur yang bijak, termasuk jutawan tertipu, apatah lagi pelabur kecil yang ingin mencuba nasib dalam pasaran. Kegagalan pihak kawal selia mengesan skim ini lebih awal mungkin mendorong orang ramai bertanya kepada siapa lagi mereka boleh menaruhkan kepercayaan bahawa pelaburan atau simpanan mereka terjamin. “Ini menjadikan penguatkuasaan undang-undang agensi kawal selia di Amerika kelihatan tidak masuk akal sama sekali,” kata Bradley Simon, peguam New York yang mengkhusus dalam jenayah kolar putih.
Pada umumnya, bank tempat yang paling selamat untuk menyimpan wang jika dibandingkan dengan tempat lain. Lagipun, menyimpan wang di bank lebih produktif, iaitu “wang menghasilkan wang” berbanding dengan menyimpan wang di bawah tilam. Namun, timbul ketakutan yang diperkukuhkan oleh masalah baru dalam kalangan bank Amerika, Eropah, dan di negara-negara lain seolah-olahnya bank akan lenyap. Sejak berlakunya krisis kewangan, banyak bank yang muflis, dan ini melahirkan tanggapan bahawa bank bukan lagi tempat yang selamat untuk menyimpan wang.
Kini, bank tidak percaya bahawa penghutang, seperti syarikat dan individu akan membayar balik pinjaman. Oleh itu, bank berhenti daripada memberikan pinjaman. Para pelabur pula tidak percaya bahawa syarikat berupaya menghasilkan keuntungan dalam masa terdekat, dan oleh itu, mereka berhenti melabur. Orang biasa tidak percaya bahawa rumah yang mereka beli akan bernilai seperti yang mereka bayar untuk membelinya dalam tempoh setahun, malah dalam beberapa bulan. Maka, mereka keberatan untuk membeli rumah.
Dalam hubungan ini, Linda Chavez, pengerusi Center for Equal Opportunity, organisasi penyelidikan dasar awam di Sterling, Amerika, mencadangkan supaya kepercayaan dipulihkan. “Kelunturan kepercayaan merebak dengan sendiri. Kesangsian menjadi pengabadian sendiri dan berjangkit. Cabaran sekarang bagaimana cara terbaik memulihkan kepercayaan, dan melakukannya dengan cara tidak menjejaskan kebebasan atau kecekapan pasaran.”
Apabila pasaran saham lintang-pukang seperti yang berlaku sejak beberapa bulan lalu, para pelabur ingin keluar dari pasaran. Mereka tidak tahan lagi menanggung kesakitan. Mereka tidak ingin mengetahui apa-apa tentang sama ada pelaburan berisiko atau tidak. Para pelabur dihantui oleh sesuatu yang sedang berlaku, iaitu kemelesetan, meskipun mungkin tidak seburuk Kemelesetan Besar. Alan Greenspan, bekas pengerusi Lembaga Rizab Persekutuan menyebut bahawa keadaan panik dalam pasaran diibaratkan nitrogen cecair yang berupaya membawa kemusnahan dengan pantas.
Pelabur dan jutawan terkenal, Warren Buffett dalam wawancara “Dateline NBC” berkata bahawa Amerika Syarikat terjerumus dalam “Pearl Harbor ekonomi”. “Penduduk Amerika,” menurut Buffett, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway Inc., “dalam kitaran ketakutan yang menyebabkan orang ramai enggan berbelanja dan enggan melabur, dan menyebabkan semakin takut. Kita akan mengatasinya, tetapi memerlukan masa.” Nasihat beliau yang sering dipetik, iaitu “seseorang itu patut berasa takut ketika orang lain tamak, dan dia patut tamak ketika mereka takut” tidak lagi dapat meyakinkan para pelabur.
Di manakah bahagian paling bawah? Soalan yang sering dikemukakan oleh para pelabur yang mencari kepastian untuk melabur apabila pasaran saham merudum, tetapi soalan ini sukar dijawab. Kalaupun ada yang memberikan jawapan hanya sekadar ramalan dengan andaian tertentu. Tetapi, para pelabur diingatkan supaya berhati-hati dengan ramalan pasaran, malahan ramalan yang dibuat oleh pakar. Seperti yang pernah dilaporkan, apabila tahun 2008 bermula, ahli strategi daripada 12 buah firma besar Wall Street meramalkan tahap penutup dan perolehan indeks Standard and Poor’s 500 (S&P). Secara purata, ramalan untuk harga tahun berakhir 1640 dan perolehan AS$97. Realitinya, S&P menutup tahun 2008 pada 903, dan perolehan dianggarkan pada AS$50. Ahli strategi tidak selalunya silap, tetapi mereka secara tekal bertaruh tahun demi tahun bahawa pasaran meningkat, biasanya kira-kira 10 peratus, dan ini tidak selalunya tepat.
Christine Benz dalam Morningstar.com menyatakan: “Apabila wang anda menghadapi risiko dalam pasaran saham, maka ada teori, dan kemudian ada realiti. Dari segi teori, lebih baik menjadi pembeli ketika pasaran jatuh kerana anda mampu membeli lebih banyak ketika harga rendah. Tetapi, apabila harga saham kian jatuh hari demi hari, seperti akhir-akhir ini, lebih mudah melihat nilai yang merosot dalam portfolio kita dan mahu mencampakkan teori itu.”
Untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan para pelabur, Jon Birger dan rakan-rakannya dalam Fortune Special Issue: Investor’s Guide 2009 menasihatkan: “Jangan tunggu bahawa detik sempurna apabila pasaran tenggelam hingga ke paras mutlak. Ini kerana pada masa itu anda pasti harga mencecah kedudukan itu, detik telah berlalu, dan anda terlepas lantunan yang dramatik.” Sejak Perang Dunia Kedua, indeks S&P melambung secara purata 32 peratus ketika sembilan bulan berikutan pasaran beruang (bear market): “Ini bermakna bahawa jika anda berkecuali daripada melabur, kemungkinan besar anda akan terlepas peluang untuk memperoleh laba yang besar. Dalam kebanyakan keadaan, lebih baik membeli saham awal sedikit, dan menanggung beberapa kerugian kertas daripada melabur terlalu lewat.” Ada yang mencadangkan supaya para pelabur melupakan sekejap kacau-bilau dalam dunia perniagaan. Sebaliknya, dengan melihat masa dan sabar, mereka mungkin mahu mempertimbangkan pasaran dengan teliti.
Ketika riang dan penuh semangat tidak rasional, para pelabur berlumba-lumba memasuki pasaran. Ketika kebimbangan dan ketakutan yang rasional, seperti yang berlaku kini, mereka berlumba-lumba meninggalkan pasaran. Ini kerana, bagi mereka, pasaran bukan tempat yang selamat untuk menaruh wang mereka. Risiko kerugian serta penipuan terlalu tinggi. Sebagai alternatif, mereka mengutamakan wang tunai di tangan atau dengan kata lain, menyimpannya di bawah tilam, meskipun mungkin berlaku kecurian dan kebakaran. Lebih baik wang musnah di tangan sendiri daripada dibiarkan musnah di tangan orang lain.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Mac 2009.)
No comments:
Post a Comment