Artikel Popular

Sunday, May 29, 2011

Subsidi dan Defisit: Tiada Penyelesaian daripada Ahli Politik

AHAD,  29  Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Melihat tindak-tanduk ahli politik di negara ini, perasaan jengkel, jijik, dan meluat dalam diri saya bagaikan membuak-buak.  Namun, perasaan itu bukannya tidak rasional, dan bukan juga tentang pertarungan moral yang berkaitan dengan  video seks yang banyak menghasilkan cerita berbingkai. Sebaliknya, berhubung dengan subsidi dan defisit yang merupakan suatu isu yang berpanjangan, tetapi tidak ada  pelan tindakan yang konkrit, baik yang kini bertakhta di Putrajaya, mahupun yang merancang perarakan ke pusat pentadbiran Persekutuan itu. Kalaupun  ada rancangan, kedua-dua pihak tidak mampu keluar daripada bingkai politik dan pilihan raya umum.  Justeru,  apabila kerajaan mengumumkan tidak ada kenaikan harga untuk petrol RON95, diesel, dan gas petroleum cecair,  pihak pembangkang mengatakan kerajaan takut akan kemarahan rakyat. Inilah kegemaran  politik pembangkang, iaitu menunggu keputusan kerajaan, kemudian mereka mengemukakan komen mereka: jika kerajaan kata “A”, mereka ambil jalan mudah dengan mengatakan  “B.”  Lalu para penyokong mereka melompat bersorak keriangan. 

Setelah mengaibkan rakyat Malaysia bahawa ketagih subsidi seperti ketagih candu,  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, seperti yang dilaporkan oleh The Star semalam, “subsidi meningkat daripada RM12 bilion kepada RM20 bilion.  Seperti yang saya nyatakan dalam blog sebelum ini bahawa dalam Belanjawan 2011 kerajaan berjanji untuk memberikan subsidi kepada rakyat sebanyak  11.2 peratus atau kira-kira RM23.74 bilion daripada RM211,987 juta.  Ketika membentangkan belanjawan (bukan bajet) itu yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, Najib yang juga Menteri Kewangan Pertama, bercakap bergegar-gegar, tetapi  semalam beliau berkata dengan  nada yang lemah:  “Ini bermakna kita perlu mencari RM8 bilion yang dianggarkan, yang bukannya satu jumlah yang besar.”   

Dari segi matematik mudah, melainkan jika saya memetik sumber yang silap, maka  setakat ini, setelah digunakan RM12 bilion, peruntukan subsidi masih berbaki kira-kira RM11 bilion, dan dengan itu, tidak timbul soal untuk mencari peruntukan tambahan.  Kalaupun kerajaan perlu mencari peruntukan tambahan, Najib sebagai Perdana Menteri,  tidak sepatutnya mengeluh dengan mengatakan “yang bukannya satu jumlah yang besar.” Kenyataan seperti ini memberi gambaran bahawa beliau seorang putus asa,   sedang menempuh jalan buntu, dan bukannya seorang pemimpin yang  mampu merungkaikan masalah rakyat dan negara.  Bagaimana seseorang yang berpegang pada strategi lautan biru, tiba-tiba menjadi pesimistik: dalam mana-mana situasi, peluang dan ancaman saling wujud.  

Di sebelah pembangkang pula, jika bercakap tentang subsidi,  untuk memperlihatkan diri mereka pembela rakyat, maka sasaran mereka ialah subsidi  yang diberikan kepada  pengeluar  tenaga bebas (IPP) yang menurut mereka berjumlah RM19 bilion setahun. Inilah yang mereka canangkan ke sana ke mari, ke hulu ke hilir.  Mereka seolah-olahnya ingin menjadi jaguh pertarungan antara Main Street lawan Wall Street: rakyat melawan korporat; massa melawan modal. Juga untuk mendedahkan bahawa kerajaan memberikan subsidi kepada kroni mereka dengan sejumlah yang besar, sedangkan kerajaan pula tidak berusaha untuk menjelaskannya kepada rakyat jelata.  Akibat, makin meronta-ronta pembangkang menyerang kerajaan yang dituduh bersekongkol dengan beberapa syarikat IPP.

Terima kasih kepada Jagdev Singh Sindhu yang dalam Star BizWeek semalam mendedahkan perbelanjaan sebenar. Pada tahun lalu, subsidi yang diberikan kepada sektor tenaga ialah RM5 bilion untuk Tenaga Nasional Berhad, RM6.2 bilion untuk IPP, dan RM7.7 bilion untuk sektor bukan tenaga. 

Untuk lebih bersikap adil, ini bermakna bahawa bukannya IPP sahaja yang menikmati subsidi gas,  seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.  Selain subsidi gas, pastinya kerajaan juga memberikan subsidi kepada sektor lain, misalnya industri yang baru tumbuh agar industri berkenaan berdaya saing, tetapi seperti ini tidak pernah diungkitkan.    

Seperti yang diketahui, IPP wujud kira-kira  15 tahun lalu, iaitu  ketika pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih lagi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.  Namun, cara beliau “berlakon”  di hadapan orang ramai  seolah-olahnya  beliau tidak ada kena mengena langsung dengan kewujudan IPP, dan ini satu pendustaan.  Apa-apa sahaja penyelewengan yang berlaku antara 1982 hingga 1998, Anwar  tidak boleh dengan mudah cuci tangan kerana dalam tempoh itu beliau muncul  daripada Timbalan Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri (dan beberapa kali, memangku Perdana Menteri, yang terakhir tahun 1997 – yang dilihat oleh banyak orang  sebagai persiapan untuk mara setapak lagi).  Memang aneh apabila seseorang yang bertahun-tahun bergelumang dalam “telaga tahi,” tiba-tiba keluar dan mengatakan dirinya bersih!

Sebagaimana dengan subsidi, baik kerajaan mahupun pembangkang, masing-masing tidak mempunyai pelan tindakan tentang menangani defisit  yang boleh diteliti dan dinilai oleh orang ramai.  Sebenarnya, kita  tidak mempunyai individu, seperti Paul Ryan, Pengerusi Jawatankuasa Belanjawan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang sanggup mengemukakan The Path to Prosperity untuk   mengurangkan defisit yang menggunung.  Meskipun dengan langkah  itu itu beliau menjadi sasaran kritikan yang bertalu-talu,  antaranya daripada Paul Krugman, John Cassidy, dan Kevin Drum, tetapi sekurang-kurangnya beliau mempunyai perancangan yang jelas.  Perlu diingat bahawa penulisan yang jelas datangnya daripada pemikiran yang jelas, dan pastinya juga, pelaksanaan yang berkesan datangnya daripada perancangan yang konkrit yang dalam konteks Malaysia gagal dikemukakan oleh sama ada  kerajaan ataupun pembangkang.

Pada tahun 2008, defisit ialah 4.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat kepada tujuh peratus pada tahun 2009,  5.6 peratus 2010,  dan   5.4 peratus pada tahun ini.  Defisit  dalam bahasa yang mudah, bermakna kerajaan berbelanja di luar kemampuan.  Perbelanjaan defisit yang disasarkan secara berhati-hati, dapat merangsangkan ekonomi dalam jangka pendek dan memperkukuh pertumbuhan dalam jangka panjang.   Penerima Hadiah Nobel, Joseph E.  Stiglitz dalam The Roaring Nineties:  Why We’re Paying the Price for the Greediest Decade in History, mengingatkan bahawa mengurangkan defisit perkara yang mudah:  “potong perbelanjaan dan naikkan cukai.” 

Belanjawan negara terbahagi kepada perbelanjaan mengurus   (iaitu  emolumen, perbelanjaan lain, bekalan dan perkhidmatan, subsidi, bayaran khidmat hutang, pencen dan ganjaran, dan pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri), dan perbelanjaan pembangunan (iaitu perkhidmatan ekonomi, perkhidmatan sosial, keselamatan, dan pentadbiran am). Dalam Belanjawan 2011, perbelanjaan mengurus lebih 75 peratus, terlalu tinggi jika dibandingkan dengan perbelanjaan pembangunan.  

Kepada pembangkang, mungkin ramai yang ingin mengetahui pelan tindakan mereka untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan defisit, bukannya ‘balik-balik” bertempik subsidi  IPP dan  rasuah serta penyelewengan.  Adakah dengan memotong perbelanjaan mengurus atau perbelanjaan pembangunan, atau kedua-duanya.  Atau memotong  perbelanjaan bersama-sama dengan menaikkan cukai? Jangan asyik tunggu dan lihat dan mencari-cari di manakah kelemahan kerajaan.  

Meskipun kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan pembangkang memperlihatkan keprihatinan masing-masing terhadap subsidi dan defisit, namun masuk bab penyelesaian kedua-duanya “sejuk kaki,” dan mengambil jalan mudah: tuding jari.  Sesungguhnya, satu malapetaka kepada negara ini kerana mempunyai ahli politik yang banyak bercakap, tetapi gersang dengan tindakan.  Akibatnya, politik di negara ini sarat dengan pendustaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...