SABTU, 14 Mei 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bayang-bayang ngeri keruntuhan Lehman Brothers pada September 2008 terus menghantui PIGS, iaitu Portugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol. Anggota zon euro dibenarkan meminjam sesuka hati dan berbelanja seolah-olah tiada hari esok, sentiasa menyembunyikan akibat elok-elok. Sebagaimana banyak negara, kerajaan Greece bergantung pada wang yang dipinjam untuk belanjawannya. Namun begitu, kemelesetan menyukarkan usaha tersebut kerana hasil cukai merosot, sedangkan bayaran kebajikan mula meningkat. Krisis hutang Greece menjadi hal kepada semua negara kerana jika Greece mungkir atau menghempaskan euro, nescaya ini akan menghantar kejutan yang sungguh besar dalam seluruh pasaran modal global.
Keadaan mula semakin terus-menerus tidak terkawal apabila agensi penarafan kredit Standard and Poor’s pada tahun lalu menurunkan gred hutang kerajaan Greece kepada taraf junk. Penurunan gred itu mencetuskan panik dalam pasaran. Standard and Poor’s juga menyatakan bahawa nilai euro KDNK Greece mungkin tidak kembali pada tahap tahap 2008 hingga 2017, bermakna negara ini tidak mempunyai harapan untuk keluar daripada kesusahannya. Takut jatuh muflis, Greece terpaksa memohon bantuan Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 110 bilion euro. Apabila Kesatuan Eropah dan IMF mula-mula berbincang pakej penyelamat AS$60 bilion untuk Greece, ini dianggap mungkin cukup untuk meredakan pasaran Eropah yang panik. Kemudian, Jerman “buat hal” dengan melengah-lengahkannya, dan para pelabur berebut-rebut mencampakkan bon Greek dan bon dari negara yang menghadapi masalah kewangan, iaitu Portugal dan Sepanyol.
Pada pertengahan Mei tahun lalu, demi mencegah negara anggota yang lemah dalam zon euro daripada mungkir menjelaskan hutang mereka, Greece menerima sebahagian pinjaman daripada pakej pelan penyelamat yang berjumlah 110 bilion euro. Kesatuan Eropah secara rasmi memberikan pinjaman kepada Greece sebanyak 14.5 bilion euro, manakala IMF sebanyak 5.5 bilion euro. Dengan pinjaman 20 bilion euro membolehkan Greece membayar balik 8.5 bilion euro bon kerajaan yang matang. Pinjaman 110 bilion euro yang dipersetujui pada bulan April yang juga bermakna memberi perlindungan kepada Greece yang terpaksa melaksanakan langkah jimat cermat dalam usaha memotong defisit. Negara itu mempunyai jumlah hutang negara kira-kira 300 bilion euro, dan defisitnya pada tahun 2009 dianggarkan 13.6 peratus Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK).
Kemungkiran hutang kedaulatan, Perdana Menteri Greece, George Papandreou memberitahu Bloomberg pada akhir September lalu, merupakan “tragedi.” Beliau dilaporkan memberitahu bahawa Greece menolak mana-mana rancangan untuk menyusun semula hutang dan mengulangi bahawa negara itu merancang untuk kembali semula ke pasaran modal antarabangsa seberapa segera. Beliau menegaskan bahawa, “Kami tidak akan mungkir. Kemungkiran merupakan satu strategi. Jika kami ingin mungkir, pastinya kami memutuskannya beberapa bulan lalu.” Beliau juga dilaporkan berkata dengan yakin jika Greece mungkir: “Ini silap untuk ekonomi Greece, silap untuk ekonomi Eropah, ini menjadikan keadaan semakin buruk akhirnya. Itulah sebabnya kami rela menanggung kesakitan ini dan melakukan pembaharuan struktur ini, dan kami adalah pada sasaran.” Tambah Papandreou, “Pada akhir tahun 2011, menurut program yang dirancang, jika segala-galanya berjalan lancar, kami akan menikmati pertumbuhan.”
Walau bagaimanapun, Nouriel Roubini, Profesor di New York University yang pernah meramalkan krisis kewangan global, dipetik sebagai berkata bahawa penyusunan semula secara teratur hutang awam Greece adalah diperlukan demi mengelak kemungkiran yang pasti berlaku.
Walau bagaimanapun, Nouriel Roubini, Profesor di New York University yang pernah meramalkan krisis kewangan global, dipetik sebagai berkata bahawa penyusunan semula secara teratur hutang awam Greece adalah diperlukan demi mengelak kemungkiran yang pasti berlaku.
Lebih setahun kemudian, jelas bahawa pakej pelan penyelamat 110 bilion euro dan langkah jimat cermat yang mencetuskan kemarahan rakyat, tetapi Greece masih belum sembuh daripada kegeringan. Pada awal bulan ini, Greece memohon lagi bantuan. IMF dalam tinjauan ekonomi terbaharunya menyatakan zon euro masih terdedah pada risiko, manakala negara di zon itu yang menimbun hutang yang banyak dan umpilan sebelum krisis pada tahun 2008, kini terpaksa mengharungi tempoh pelarasan yang sukar. Greece, Ireland, dn Portugal terpaksa memohon semula sokongan kewangan daripada Kesatuan Eropah dan IMF. Prospek pertumbuhan dalam jangka sederhana untuk negara berkenaan masih kabur. Tinjauan itu juga menyatakan bahawa Eropah terlalu terdedah pada satu lagi krisis perbankan sistemik, dengan sendirinya dicetuskan oleh masalah hutang kedaulatan di Greece dan negara anggota dalam zon euro pinggir yang masih sengsara. IMF juga memberikan amaran bahawa krisis hutang zon euro boleh merebak ke seluruh zon itu, kecuali negara Eropah meningkatkan usaha untuk memacangkan bank-bank mereka. Krisis hutang di Greece, Portugal, dan Ireland, boleh mengancam pemberian pinjaman bank dan mencetuskan kejutan keyakinan, meskipun pakej pelan penyelamat telah pun dilaksanakan.
Baru-baru ini, agensi penarafan Standard & Poor's meningkatkan tekanan selepas agensi itu mencadangkan lebih banyak langkah radikal diperlukan untuk menjadikan hutang Greece yang menggunung yang bernilai 327 bilion euro mapan, dengan mengatakan Athens mungkin perlu memungkiri 50 peratus, bermakna kerugian besar kepada para pelabur. S&P menurunkan lagi gred penarafan kredit Greece ke dalam wilayah junk, iaitu daripada BB- kepada B, membangkitkan tikam balas yang berang daripada Menteri Kewangan Greece, yang menuduh agensi itu mengasaskan keputusan pada khabar angin pasaran “yang menimbulkan keraguan serius (kesahannya).”
Tidak berkesan. Ireland telah dilaksanakan pelan penyelamat, dan rancangan menyelamatkan Portugal dalam proses pelaksanaan. Greece semakin rapat dengan kemungkiran atau sekurang-kurangnya memerlukan hutangnya disusun semula. Tulis Charlemagne, “Bailing Out the Bail-out” dalam The Economist. Penyusunan semula hutang Greece perlu dilaksanakan kerana negara itu tidak mampu membayar balik pinjaman, atau bahkan untuk menyeimbangkan bukunya, kerana langkah jimat cermat memburukkan lagi kemelesetan di negara itu.
Bagi Hara Kouki, generasi Greece sungguh bernasib malang, setahun selepas IMF dan Kesatuan Eropah mengenakan memorandum jimat cermat yang kini dahsyat terhadap Greece, kehidupan di negara itu berubah secara radikal. “Jika anda berumur antara 18 hingga 24 tahun, perubahannya adalah bahawa anda tidak bekerja, seperti 40 peratus generasi anda. Jika anda dalam usia 30-an dan mempunyai pekerjaan, kemungkinan pekerjaan sambilan dan boleh ubah; anda kemungkinan tidak dapat bayangkan terjamin, dan anda tidak mempunyai idea berapa lama dapat bertahan.” Kouki memperincikan malapetaka yang menimpa rakyat Greece: “Orang muda tidak lagi membuat pilihan hidup yang biasa, mereka tidak dapat merancang untuk masa kini, apatah lagi masa depan. Banyak orang biasa Greece berhenti menonton berita atau memikirkan mengapa semua ini menimpa mereka. Namun, setiap orang bercakap antara satu sama lain tentang apa yang sedang berlaku, setiap orang mengatakan langkah jimat cermat ini tidak adil, tetapi setiap orang juga berasa tidak selamat dan takut, tidak ada apa-apa yang mereka dapat lakukan.”
Di tengah-tengah Greece masih bergelut dengan krisis hutang dan memerlukan pakej pelan penyelamat yang baru, tersebar berita bahawa Greece mempertimbangkan untuk meninggalkan zon euro. Apabila negara itu dilanda krisis hutang pada tahun lalu, dua pilihan yang ada, iaitu mungkir terhadap hutang atau keluar dari zon euro. Ahli ekonomi Jerman, Hans-Werner Sinn, pernah mengeluarkan amaran bahawa jimat cermat yang seterusnya mungkin mengheret Greece ke kancah “perang saudara.” Mustahil untuk memotong upah sebanyak 30 peratus tanpa rusuhan yang besar. Bagi beliau, Greece mungkin jatuh muflis tanpa diselamatkan. “Semua alternatif adalah teruk, tetapi kurang teruk adalah untuk negara itu keluar dari zon ero, meskipun jika ini membunuh bank-bank Greece.”
Namun, Presiden European Central Bank (ECB), Jean-Claude Trichet menganggap keluar dari zon euro adalah opsyen Greece yang paling buruk. Trichet berkata demikian pada awal September lalu di tengah-tengah kebimbangan tentang kemampuan negara yang menanggung beban hutang itu mengeluarkan dirinya daripada krisis itu. Mendahului minggi kritikal untuk Perdana Menteri George Papandreou, lapor guardian.co.uk, dengan ancaman kekacauan sosial yang diperbaharui berhubung dengan dasar jimat cermat kerajaan menjelang ucapan dasar ekonomi tahunan pemimpin itu, Trichet menolak spekulasi bahawa hanya penyelesaian Athens adalah berbalik semula kepada drachma. “Kita mewujudkan euro untuk mencapai pasaran tunggal untuk kesejahteraan dan kestabilan Eropah,” kata Trichet dalam mesyuarat pemimpin politik dan perniagaan utama di pantai Lake Como Italy.
Kini, spekulasi Greece keluar dari zon euro bergema semula. Berita mesyuarat sulit Menteri Kewangan Eropah terpilih, termasuk Menteri Kewangan Greece George Papaconstantinou, di Luxembourg pada 6 Mei, bocor dengan cepat. Laporan daripada majalah Jerman, Der Spiegel itu dipetik secara meluas. Nota taklimat untuk Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schäuble, menyatakan dengan jelas ini menjadi bunuh diri ekonomi. Langkah ini akan memperluaskan lagi (mungkin berganda) beban hutang, merangsangkan pelarian modal, menyebabkan kekacauan bank-bank di seluruh Eropah, dan membahayakan keanggotaan Kesatuan Eropah. Greece menjelaskan laporan itu sebagai “jenayah sempadan batas.”
Sesungguhnya, idea Greece meninggalkan zon euro kini pada amnya diterima sebagai karut, tetapi bukan sebelum pergolakan lagi sekali dalam pasaran, ulas The Economist yang juga memetik berita yang bocor itu. Pandangan bahawa Greece meninggalkan zon euro adalah “bodoh,” isytihar Jean-Claude Junker, Perdana Menteri Luxembourg, selepas menjadi tuan rumah mesyuarat yang pegawainya nafi berlangsung.
Dalam “Why Greece Should Reject the Euro,” Mark Weisbrot yang juga memetik kebocoran berita itu, ada kalanya berlaku kekacauan dalam pasaran kerana kerajaan mengancam untuk melakukan apa yang difikirkan terbaik untuk warganegaranya: Kerajaan mengancam untuk menghentikan menggunakan euro. Meskipun Greece dan pegawai Kesatuan Eropah menafikan berita itu, tetapi ancaman oleh Greece untuk mencampakkan beban euro sudah terlewat, dan negara itu sepatutnya bersedia untuk melaksanakannya. Tanpa menafikan bahawa Greece menanggung kos dalam jangka pendek, Weisbrot menegaskan adalah mustahil kos tersebut akan lebih besar daripada beberapa banyak tahun dalam kemelesetan, kebekuan, dan kadar pengangguran yang tingggi yang pihak berkuasa Eropah tawarkan. Dengan mengambil pengalaman Argentina yang mengalami kemelesetan yang teruk selama tiga tahun setengah yang akhirnya bertindak memungkiri hutang asing dan memotong bebas dari dolar.
“Pesonya dipancang pada dolar, yang sama dengan Greece mempunyai euro sebagai mata wang negara. Argentina mengambil pinjaman daripada IMF, memotong perbelanjaan kerana kemiskinan dan pengangguran meningkat. Semuanya sia-sia kerana kemelesetan semakin dalam.” Tambah Weisbrot, “laporan akhbar yang juga memberikan amaran peningkatan mendadak dalam hutang Greece daripada penurunan nilai mata wang jika negara itu keluar dari zon euro. Akan tetapi, hakikatnya, Greece tidak membayar hutang ini, seperti Argentina tidak membayar dua pertiga hutang asingnya selepas penurunan nilai mata wang dan mungkir.”
Yanis Varoufakis yang menulis dalam MRZine cuba mengupas factor yang di sebalik pendedahan berita oleh Der Spiegel yang selepas berunding dengan pihak tertentu di Jerman (terutamanya Menteri Kewangan) mahu menghantar mesej bukan sahaja kepada Canselor Jerman, tetapi juga kepada Perdana Menteri Greece. “Mesejnya, perkara yang jauh lebih buruk daripada penyusunan semula hutang, keterukan itu ialah penghapusan langkah demi langkah euro yang akan bermula dengan negara, seperti Greece yang dipaksa ke dalam situasi yang mustahil. Lebih tepat, mesej yang dihantar oleh Der Spiegel yang merupakan sebahagian rangkaian institusi autoriti dan kuasa politik Jerman, bahawa dasar pinjaman yang mahal yang baru untuk negara tidak mampu bayar, bersama-sama dengan jimat cermat yang keras pada masa kemelesetan yang dalam, tidak berkesan dan tidak berkesan.
Krisis hutang Greece yang berpanjangan ini pastinya munasabah untuk European Central Bank berasa bimbang tentang impak kemungkiran Greece terhadap sistem perbankan Eropah dan kunci kira-kiranya sendiri, dan tentang risiko kemungkiran selanjutnya di Ireland, Portugal, dan bahkan melangkaui jauh. Ulas The Economist. “Sudah tiba masanya Jerman dan IMF mengatakan European Central Bank bohong. Mereka bersama-sama sepatutnya menuntut, dan memulakan penyusunan hutang Greece. Jerman sepatutnya mendesak kerajaan Eropah lain untuk mengeluarkan wang untuk menyojong bank-bank Greece, dan jika perlu untuk menjadi seluruh European Central Bank.
Peringatan yang keras datangnya daripada Nils Pratley bahawa Greece akan runtuh, jadi bina penimbal. Kesimpulan yang jelas bahawa pelan penyelamat tidak berkesan dan bahawa hutang Greece, yang diunjurkan mencecah 160 peratus KDNK, adalah terlalu tinggi untuk membenarkan ekonomi negara itu untuk pulih. Dalam kes itu, para pemimpin zon euro sepatutnya berhenti berpura-pura bahawa lebih banyak potongan belanjawan dan lebih banyak seruan supaya Greece menswastakan aset negara akan menjadikan angka bertambah akhirnya. Tegas Pratley, “sebaliknya, mereka sepatutnya mula bercakap tentang cara untuk mengurangkan hutang Greece dan fikir tentang bagaimana untuk mengawal kerosakan yang teruk terhadap bank-bank zon euro yang memegang bon Greece.”
Krisis hutang yang melanda Greece dan beberapa buah negara lain di zon euro sekali lagi membuktikan bahawa petua IMF terutamanya menemui kegagalan. Tatkala negara dilanda kemelesetan, jangan sekali-kali mendakap mesra jimat cermat dan dengan mudah melupakan John Maynard Keynes. Kini, nasib yang akan menimpa Greece menjadi tanda tanya, dan yang jelas, negara itu tidak mudah dapat membebaskan dirinya daripada krisis hutang dan kemelesetan.
Apakah dengan Greece runtuh, zon euro akan berkecai?
Apakah dengan Greece runtuh, zon euro akan berkecai?
No comments:
Post a Comment