Artikel Popular

Thursday, June 2, 2011

Ketidaksamaan Semakin Melebar

JUMAAT,   3  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH



 Nicholas D. Kristof  pernah menulis melalui   kolumnya   dalam The New York Times tentang  sesuatu yang memeranjatkan berlaku di Amerika Syarikat:  “Our Banana Republic.”  Ketika membuat pemberitaan, tulis beliau, “saya secara tetap bepergian ke republik pisang yang terkenal dengan ketidaksamaan.  Di sesetengah negara yang diperintah oleh hartawan ini, golongan terkaya yang terdiri satu peratus daripada jumlah penduduk menguasai dengan rakus 20 peratus kekayaan negara.”  Pastinya, yang menarik perhatian ialah apabila beliau menulis, “Anda tidak tidak perlu bepergian ke negara yang jauh dan bahaya untuk memerhatikan ketidaksamaan yang serakah tersebut.  Kita boleh melihatnya di negara kita sendiri, dan akibat pilihan raya hari Selasa (Pilihan Raya Separuh Penggal 2010), keadaan mungkin semakin teruk.  Salah satu ciri republik pisang, menurut Kristof, ialah ketidaksamaan pendapatan, meningkat daripada hampir sembilan peratus pada tahun 1976.
Salah satu ciri  republik pisang, seperti yang dibahaskan oleh Kristof,  ialah  ketidaksamaan pendapatan.  Satu  peratus golongan terkaya di Amerika kini menguasai hampir 24 peratus pendapatan, meningkat daripada hampir sembilan peratus pada tahun 1976. Beliau merujuk siri yang sungguh baik tentang ketidaksamaan  yang ditulis oleh Timothy Noah yang menulis dalam Slate bahawa Amerika Syarikat kini boleh dibahaskan mempunyai agihan kekayaan yang tidak seimbang berbanding dengan republik pisang tradisional, seperti Nicaragua, Venezuela, dan Guyana.  Sepuluh siri tentang ketidaksamaan itu memenangi 2011 Hillman Prize for Magazine Journalism.  Pada akhir tahun 1970-an, trend setengah abad ke arah kesamaan pendapatan yang semakin membesar, terbalik dengan sendirinya.  Pernah sejak itu, pendapatan Amerika Syarikat berkembang menjadi lebih tidak seimbang.  Pekerja berpendapatan sederhana tidak lagi menikmati faedah kenaikan produktiviti, dan mobiliti ke atas, lamanya keanggunan simpanan ekonomi Amerika, goyah.
Di Amerika, seperti yang diperdebatkan,  ketidaksamaan pendapatan  diperburukkan lagi kerana sektor kewangan mempunyai kuasa politik.   Golongan kaya menulis peraturan kewangan mereka sendiri dan menjadi semakin kaya lagi. Presiden Barack Obama melalui beberapa ucapannya berusaha mengurangkan ketidaksamaan yang semakin menjadi-jadi.  
Namun, seperti yang dibahaskan oleh Jacob Weisberg, jika Obama mengisytiharkan peperangan terhadap ketidaksamaan, ketidaksamaan kelihatan muncul sebagai pemenang.  Obama wajar dipersalahkan kerana gagal menyatakan dengan jelas ancaman abstrak ini dengan cara orang biasa dapat menghargainya.  “Sebagaimana defisit,” tulis Weisberg, “ketidaksamaan pendapatan tidak membunuh sesiapa sahaja – hanya berpotensi melemahkan seluruh keteguhan  dan semangat negara.  Bergerak ke arah agihan pendapatan, seperti Brazil mengancam kegembiraan individu, keamanan sosial, dan nilai Amerika.  Akan tetapi, setakat ini, Presiden Obama tidak memperlihatkan bagaimana untuk mendapatkan orang ramai untuk mengaitkan isu tersebut. Meskipun beliau pernah mengatakan tidak ada garis pemisah antara Main Street dengan Wall Street, tetapi  garis itu wujud dan terus melebar setiap tahun.”  Dave Gilson dan Carolyn Perot  dalam “It’s the Inequality, Stupid” mengemukakan data dan carta bahawa  bahagian besar pertumbuhan ekonomi Amerika sepanjang 30 tahun lalu dikuasai oleh 0.01 peratus atas top one-hundredth of one percent yang kini yang menguasai purata AS$27 juta per isi rumah.  Pendapatan purata untuk 90 peratus di bawah ialah AS$31,244.
Kevin Drum menulis beberapa makalah dalam Mother Jones  tentang ketidaksamaan.  Dalam “Income Inequalilty and the Crash of 2008” beliau mempersoalkan keraguan  bahawa ketidaksamaan pendapatan yang meningkat ada kena mengena dengan tercerusnya krisis kewangan baru-baru ini.  Untuk itu, beliau memetik ahli sejarah ekonomi, David Moss bahawa ketidaksamaan yang meningkat adalah kerana terlalu banyak kuasa diberikan kepada Wall Street, dan dengan itu, membenarkan mereka menggalak gelombang pembatalan kawal selia dan meletakkan sistem dalam bahaya. Tulis Drum, “Kita terus hidup di dunia yang perbadanan dan golongan kaya mempunyai terlalu banyak kuasa, iaitu cara terlalu banyak wang bodoh meredah sekeliling puncak piramid kekayaan, dan kelas menengah terus beku.  Keadaan ini memang tidak sihat.”  Dalam “Income Inequality Week Continues” Drum menegaskan bahawa pada dasarnya, ekonomi secara keseluruhan berkembang agak besar sepanjang 30 tahun lalu, menjanakan banyak tambahan.  Walau bagaimanapun, golongan pertengahan kelas perolehan upah  yang besar menerima bahagian kecil daripada pertumbuhan pendapatan itu.  Kelas menengah dan kelas pekerja memperoleh pendapatan yang terlalu kurang kerana perolehan mereka tidak meningkat pada kadar yang sama seperti pertumbuhan ekonomi keseluruhan. 
Dalam “Inequality and Economic Collapses”  Kevin Drum memetik kertas kerja Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) “Inequality, Leverage and Crises” oleh  Michael Kumhof  dan  Romain Rancière yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat mengalami dua krisis ekonomi utama yang besar, iaitu Kemelesetan Besar yang bermula pada tahun 1929 dan Great Recession yang bermula pada 2007.  Kedua-dua krisis itu didahului oleh peningkatan yang ketara dalam ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan, dan peningkatan yang sama ketara dalam nisbah hutang dengan pendapatan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Apabila nisbah hutang dengan pendapatan itu mula ditanggapi sebagai tidak mapan, hal ini menjadi pencetus krisis.
Krisis tersebut, bahas Drum, digambarkan oleh kemungkiran hutang isi rumah skala besar dan penguncupan output dengan mendadak seperti dalam krisis kewangan Amerika Syarikat tahun 2007.  “Oleh sebab krisis itu memakan belanja yang besar, dasar pengagihan semula yang mencegah keberhutangan berlebihan dalam kalangan isi rumah dan mengurangkan ex-ante risiko-krisis lebih diingin dari sudut pandangan kestabilan makroekonomi berbanding dengan dasar ex-post, seperti pelan penyelamat dan penyusunan semula hutang.”  Beliau memperkukuh hujahnya dengan berkata, “Rangka kerja kita adalah pertama menyediakan mekanisme yang konsisten secara dalaman mengaitkan peningkatan yang diperhatikan secar empirik dalam ketidaksamaan pendapatan antara isi rumah  berpendapatan tinggi dengan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, peningkatan nisbah hutang dengan pendapaan dalam kumpulan kedua ini, dan risiko krisis kewangan.”
Yang agak terbaharu, “The Effect of Politics on Income Inequality” Kevin Drum berhujah bahawa ketidaksamaan pendapatan dan kebekuan upah berakar umbi kedua-duanya dalam ekonomi dan politik.  Untuk perbincangan sahaja, elok dikatakan bahawa ketidaksamaan itu disebabkan separuh oleh faktor ekonomi dan separuh oleh faktor politik.  Beliau juga cuba menjelaskan peranan kesatuan sekerja bahawa bahagian ekonomi, tekaan secara sopan bahawa kesatuan sekerja bertanggungjawab bagi mungkin 15 – 20 peratus ketidaksamaan pendapatan, dan oleh sebab faktor ekonomi separuh daripada jumlah itu, bertanggungjawab kira-kira tujuh hingga 10 peratus atau lebih.  “Akan tetapi,” beliau mengingatkan,  “faktor ekonomi juga mempunyai impak terhadap bahagian ekonomi, dan di sini saya meletakkan pengaruhnya kemungkinan lebih 40 – 50 peratus.  Dalam kata lain, dari segi jumlah, 20 – 25 peratus.”

Krisis global semasa kapitalisme bermula dengan penguncupan yang teruk dalam pasaran perumahan di Amerika Syarikat pada pertengahan 2007.   Meskipun genap lima tahun dan pemulihan dikatakan sedang berlaku di banyak negara, kesan krisis itu masih lagi dirasai, sekurang-kurangnya dari segi  pengangguran yang kadarnya masih tinggi di negara itu, kira-kira sembilan peratus dan juga di negara-negara lain.  Ekonomi Amerika Syarikat, sebagaimana di banyak negara lain, dikatakan terperangkap dalam kebekuan yang serius.  “Dari segi realiti,” menurut pemerhatian Richard Wolff, “Amerika Syarikat begitu  menyerupai banyak negara yang elit yang kaya dan komospolitan mendiami bandar-bandar utama dengan besarnya penduduk pedalaman yang terpaksa bergelut untuk memenuhi keperluan mereka.” Wolff yang memerhatikan kepapakedanaan golongan kelas menengah di Amerika akibat keruntuhan itu menulis, “kelas menengah” Amerika Syarikat yang bermegah-megah yang begitu diraikan selepas Perang Dunia Kedua, bahkan merosoto perlahan-lahan, kini melenyap dengan pantas, kerana krisis ekonomi dan respons  “jimat cermat” kerajaan yang kedua-duanya memihak  golongan 10 peratus atas daripada penduduk sambil mengorbankan golongan yang lain.
Perbadanan besar dan warganegara yang kaya-raya, menurut pemerhatian Richard Wolff lagi, sejak lama dahulu belajar bahawa jika anda mahu mengekalkan agihan kekayaan dan pendapatan yang begitu tidak sama, anda memerlukan agihan kuasa politik yang sama-sama tidak sama.  Perbadanan yang menggunakan keuntungan untuk membayar gaji dan bonus yang besar kepada eksekutif mereka, membayar dividen yang besar kepada pemegang saham majoriti  mereka, dan “menyumbang” kepada politik.  “Ekonomi kapitalis yang semakin tidak sama membayar politik yang tidak demokratik yang semakin diperlukannya.”  

Pastinya,  tulisan yang menarik dan mengundang polemik  tentang ketidaksamaan pendapatan di Amerika datangnya daripada “One the 1%, by the 1%, for the 1%” oleh Joseph Stiglitz yang menulis dalam Vanity Fair pada Mei lalu. Golongan tertinggi satu peratus Amerika kini menguasai satu perempat pendapatan negara setiap tahun, bahas Penerima Hadiah Nobel Ekonomi ini. “Dari segi kekayaan dan bukannya pendapatan, golongan satu peratus atas menguasai 40 peratus kekayaan.  Kelompok mereka dalam kehidupan meningkat begitu banyak.  Dua puluh lima tahun lalu, angka yang sepadan ialah 12 peratus dan 33 peratus.”  Tambah Stiglitz, “meskipun satu peratus atas melihat pendapatan mereka meningkat 18 peratus sepanjang dekad lalu, mereka yang dalam golongan menengah sebenarnya melihat pendapatan mereka jauh.  Semua pertumbuhan dalam dekad terbaharu dan lebih, semua dinikmati oleh golongan atasan. Dari segi kesamaan pendapatan, Amerika  ketinggalan jika dibandingkan dengan mana-mana negara di Eropah lama yang beku yang Presiden George W. Bush gunakan untuk persenda.”
Stiglitz menarik perhatian bahawa dari segi ketidakseimbangan pendapatan, Amerika setaraf dengan Rusia dan Iran.  Sementara pusat lama ketidakseimbangan di Amerika Latin, seperti Brazil, berusaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini, agak berjaya, untuk membela nasib golongan miskin dan mengurangkan jurang pendapatan, Amerika pula membiarkan ketidaksamaan terus melebar. Beliau cuba membetulkan hujah bahawa bukannya bagaimana pai dibahagikan, tetapi saiz pai. Beliau mengingatkan bahawa ekonomi yang kebanyakan warganya teruk tahun demi tahun, iaitu ekonomi seperti Amerika, sememangnya mustahil melakukan yang baik sepanjang perjalanan yang jauh.  Pertama, ketidaksamaan yang berkembang merupakan bahagian sambil lewa sesuatu yang lain, iaitu penyusutan peluang.  Bila-bila sahaja kita mengurangkan kesamaan peluang, ini bermakna bahawa kita tidak menggunakan beberapa aset kita yang paling berharga, iaitu orang kita dalam cara paling produktif yang mungkin. Kedua, banyak putar belit  yang membawa kepada ketidaksamaan, seperti yang berkait dengan kuasa monopoli dan layanan cukai utama demi kepetingan istimewa, melemahkan kecekapan ekonomi.  Ketidaksamaan baru ini berkembang untuk mewujudkan putar belit baru, melemahkan lagi kecekapan. Ketiga, mungkin yang paling penting, tegas Stiglitz, ekonomi moden memerlukan “tindakan kolektif,” iaitu perlunya kerajaan melabur dalam infrastruktur, pendidikan, dan teknologi. Amerika Syarikat dan dunia menikmati faedah yang sangat besar daripada penyelidikan yang dibiayai kerajaan yang membawa kepada Internet, untuk memajukan kesihatan awam, dan seterusnya.  Akan tetapi, Amerika telah lama sengsara kurangnya  pelaburan dalam infrastruktur (lihat keadaan lebuh raya dan jambatan kita, landasan dan lapangan terbang kita), dalam penyelidikan asas, dalam pendidikan pada semua peringkat.
Meskipun  ahli ekonomi tidak pasti bagaimana untuk menjelaskan sepenuhnya ketidaksamaan yang berkembang di Amerika, antaranya dinamik biasa penawaran dan permintaan yang pastinya memainkan peranan dan perubahan sosial, kemerosotan kesatuan sekerja yang pernah satu pertiga pekerja Amerika dan kini hanya mewakili kira-kira 12 peratus pekerja, Stiglitz menegaskan bahawa alasan utama ketidaksamaan yang kian teruk ialah golongan satu peratus atas mahukannya cara itu, contohnya melibatkan dasar cukai. “Kadar cukai yang rendah terhadap laba modal, yang bagaimana golongan kaya menerima bahagian besar pendapatan mereka, memberi rakyat Amerika yang kaya-raya hampir kepada menumpang percuma.  Monopoli dan hampir monopoli selalunya merupakan sumber kuasa ekonomi, daripada John D. Rockefeller pada permulaan abad lalu kepada  Bill Gates pada akhir abad.”
Stiglitz mengakhiri tulisan dengan sesuatu yang amat berharga untuk dihayati oleh para pemimpin, ahli politik,  penggubal dasar, dan mereka yang tidak pernah puas dengan kekayaan yang dimiliki, seperti yang berlaku di negara kita sekarang:  “Satu peratus atas memiliki rumah yang paling baik, pendidikan yang paling baik, doktor yang paling baik, dan gaya hidup yang paling baik, tetapi ada satu perkara bahawa wang dianggap tidak boleh beli, iaitu kefahaman bahawa nasib merka terikat erat dengan bagaimana 99 peratus golongan lain hidup.  Sepanjang sejarah, ini sesuatu yang satu peratus atas akhirnya  pelajari.  Terlalu lewat.
Sedih, hanya sedih, respons Michael Tomasky dalam blog setelah membaca tulisan Stiglitz itu. Tulisan tersebut mengemukakan banyak isi penting, memanaskan idea bahawa sementara ketidaksamaan pendapatan mempunyai beberapa  faktor awal, hanya satu yang mengekalkannya: proses politik yang memilik kunci, semua sekali oleh satu peratu atas.  Namun, beliau mencadangkan Stiglitz  mungkin menambahkan isi yang sangat penting bahawa majoriti kebanyakan cerdik pandai yang terkenal di Amerika, yang muncul pada kaca televisyen dan mentafsirkan semua ini untuk orang Amerika, yang menenangkan audiens mereka dengan jaminan bahawa semua ini benar-benar masuk akal, adalah dalam satu peratus atas yang bermaksud isi rumah di atas kira-kira AS$380,000 setahun.  
Suzanne Moore yang menulis tentang mobiliti sosial yang beku di Britain juga memetik Joseph Stiglitz bahawa “satu peratus teratas daripada rakyat Amerika kini menguasai hampir satu perempat pendapatan negara setiap tahun.  Dari segi kekayaan dan bukannya pendapatan, satu peratus atas menguasai 40 peratus kekayaan.”  Di Britain, tidak ada apa-apa yang mengubah kegoyahan struktur mobiliti sosial yang berlaku sepanjang 20 tahun lalu atau lebih, bahas Suzanne.  “Mekipun sesetengah orang berasa diri mereka lebih mudah bergerak pada tahu 1980-an kerana mereka membeli harta, masyarakat secara keseluruhan menjadi lebih statik.  Ringkasnya, kita kian menjadi seperti Amerika, apabila peluang seseorang yang miskin melakukannya semakin sempit,  meskipun impian Amerika.
Ketaksamaan atau dispariti pendapatan yang besar memastikan sama sekali perlahannya mobiliti sosial.  Golongan kaya tidak melihat pengorbanan yang kita tanggung, tegas Suzanne.  “Tidak juga mereka prihatin tentang pulangan yang dibuat atas pelaburan yang negara lakukannya untuk  warganegaranya.  Negara menyediakan saya pendidikan dan perumahan untuk tempoh lima tahun membolehkan saya kemudian bekerja dan membayar cukai untuk kehidupan saya yang seterusnya.”
Pastinya, tidak semua bersetuju dengan Joseph Stiglitz yang menjadikan golongan satu peratus atas sasaran kritikan,  seperti yang diperlihatkan oleh The Economist, “Inequality and Politics:  Stiglitz and the Progressive Ouroboros.”  Pendapatan median merosot hanya jika seseorang tidak memasukkan nilai faedah kesihatan (value of health benefits).  Dakwaan bahawa “semua pertumbuhan dalam dekad terbaharu dan lebih, semua dinikmati oleh golongan atasan”  jelas tidak betul. Menurut makalah itu lagi, sedikit bukti bahawa tahap ketidaksamaan yang meningkat “melemahkan kecekapan ekonomi.”
Setakat ini tumpuan diberikan terhadap ketidaksamaan pendapatan di Amerika Syarikat yang disebut oleh Kristof, “republik pisang,” seolah-olahnya menggambarkan fenomena itu hanya berlaku di negara.  Dan, pastinya andaian itu tidak tepat sama sekali kerana banyak negara maju juga menghadapi ketidaksamaan pendapatan, bahkan Sweden tidak terkecuali.     Seperti yang didedahkan dalam laporan terbaharu  Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada bulan lalu, yang dipetik seca ra meluas, antaranya oleh The Huffington Post,  bahawa sejak pertengahan tahun 1980-an, ketidaksamaan pendapatan meningkat 77 peratus, atau 17 buah daripada 22 negara yang dikaji.  Di seluruh negara OECD, laporan itu mendapati, pendapatan purata ke-10 terkaya daripada penduduk kini sembilan kali ke-10 termiskin.
Globalisasi, inovasi teknologi, dan persekitaran kawal selia yang lebih kendur, semuanya menyumbang kepada jurang yang kian melebar antara kaya dengan miskin. Laporan itu memberikan perhatian khusus, bagaimanapun, terhadap pembentukan keluarga yang berubah, menarik perhatian kepada penyelidikan yang menunjukkan ketidaksamaan pendapatan yang meningkat di Amerika Syarikat sebagai akibat meningkatnya bilangan ketua tunggal dalam isi rumah.  Meskipun di peringkat global, pendapatan isi rumah meningkat secara keseluruhannya 1.7 peratus setahun, OECD mendapati bahawa tidak semua tahap pendapatan menikmati faedah yang sama.  Negara yang pada suatu masa yang tahap ketidaksamaan sangat tinggi, seperti Mexico dan Chile, dalam beberapa tahun kebelakangan ini,  jurang antara golongan kaya dengan miskin semakin sempit.  Sebaliknya, memeranjatkan negara yang egalitarian dari segi sejarah, seperti Denmak, Jerman, dan Sweden, pemisahan antara golongan kaya dengan miskin adalah paling  meluas dalam dekad lalu. 
Namun, laporan OECD untuk menyatakan bahawa ini bukan hanya isu golongan miskin melawan golongan kaya.  Seperti yang dibincangkan sebelum ini, laporan berkenaan juga memaklumkan bahawa golongan kelas menengah kebanyakannya tertinggal di belakang:  “10 peratus tertinggi pekerja meninggalkan pekerja pertengahan di belakang dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan pekerja terbawah yang tersisih daripada pekerja pertengahan.  Dengan pengecualian Perancis, Jepun, dan Sepanyol, upah golongan kaya lebih berkembang jika dibandingkan dengan upah golongan miskin sejak pertengahan tahun 1980-an.  Hal ini, menurut OECD ada kena mengena dengan kemerosotan bilangan jam kerja purata oleh pekerja berupah rendah, bahkan jika dibandingkan dengan golongan yang juga merosot oleh tenaga kerja berupah tinggi.
Yang menarik, The Economist yang sebelum ini mengkritik Joseph Stiglitz, seperti yang dinyatakan di atas, turut memetik dan  membahaskan laporan OECD itu:  “Income Inequality:  Rich and poor, Growing Apart.”   Masyarakat Amerika adalah lebih tidak sama jika dibandingkan dengan masyarakat di kebanyakan negara lain dalam OECD, dan pertumbuhan dalam ketidaksamaan secara relatifnya adalah besar.  Akan tetapi, dengan sedikit pengecualian, golongan kaya melakukan lebih sepanjang 30 tahun lalu, bahkan di tempat yang terlalu egalitarian, seperti Scandinavia.  Walau bagaimanapun, majalah ini mempunyai pendirian yang tersendiri dengan menyimpulkan:  Ini menunjukkan bahawa sementara faktor nasional boleh mempengaruhi darjah pertumbuhan ketidaksamaan dan boleh mengurangkan (atau tidak) impak negatif pertumbuhan itu, kelihatan meluas, kuasa global mendesak ketidaksamaan melebar di seluruh negara.
Laporan OECD itu ditafsirkan oleh Kentaro Toyama sebagai “dunia ialah kegagalan kapitalisme.”  Pemeringkatan relatif ketidaksamaan tidak banyak berubah sepanjang dua dekad, dengan Amerika Syarikat menerajui trend.  Akan tetapi, ketidaksamaan adalah meningkat di kebanyakan negara maju, secara harfiah, menerbalikkan keluk Kuznet – satu idea yang paling dijaga dengan baik  bagi fundamentalis pasaran. Meskipun laporan itu tidak menyatakan dengan cara ini, tulis Toyama, “satu tafsiran data adalah bahawa ketidaksamaan secara semula jadi, tumbuh daripada kapitalisme yang tidak terlepas daripada belenggu.”  Tambah beliau lagi, “Marxis tidak terperanjat, tetapi laporan itu sepatutnya mengganggu puak tengah yang percaya bahawa kedua-duanya, pasaran bebas dan kesamaan sosial.  Seandainya kapitalisme pasaran bebas berfungsi dengan sangat baik untuk setiap tahap pendapatan, mengapa ada terlalu banyak orang melihat pendapatan melewati mereka dengan kapitalisme berfungsi dengan lebih cekap jika dibandingkan dengan sebelum ini?”  Agak memeranjatkan beliau menyatakan  bahawa satu kemungkinan masalah ialah asas moral yang mendasari kapitalisme: meritokrasi.  Kepercayaan kita terhadap meritokrasi dipegang begitu kukuh dan sukar dipersoalkan.  Lagipun, memberikan ganjaran kepada orang berasaskan merit adalah lebih baik daripada rasuah atau nepotisme.
“Akan tetapi, sistem yang lebih baik daripada rasuah dan nepotisme tidak semestinya sistem yang mungkin lebih baik. Apa yang kita anggap ‘merit’ adalah hasil pendidikana, dan pendidikan yang lebih baik memerlukan pendapatan yang lebih besar.  Justeru, meritokrasi, merupakan jenis pembahagi sosial.”
Berhubung dengan laporan OECD itu, Catherine Rampell cuba membahaskan bahawa  perubahan pendapatan modal yang pada dasarnya mempengaruhi orang yang kaya, menyumbang kepada ketidaksamaan yang meningkat, meskipun impak secara relatifnya, adalah sederhana jika dibandingkan dengan perubahan pendapatan buruh.  Pekerja berupah rendah melihat pendapatan mereka beku atau bahkan jatuh, sedangkan pekerja berupah sangat tinggi meningkat lebih tinggi.  Banyak factor yang menyumbang kepada meningkatnya ketidaksamaan pendapatan buruh. 
Zachary Roth cuba menarik perhatian tentang laporan OECD itu  bahawa 17 daripada 22 buah negara maju yang data diperoleh, kecuali Turki, Greece, Perancis, Hungary, dan Belgium,  koefisien Gini meningkat pada pertengahan 1980-an. OECD menggunakan sesuatu yang dikenali koefisien Gini untuk mengukur ketidaksamaan pendapatan.  Jika setiap orang di sesebuah negara mempunyai benar-benar pendapatan yang sama, koefisien Gini akan menjadi sifar.  Jika seorang mempunyai semua pendapatan, koefisien itu menjadi satu.
Pastinya juga ketidaksamaan pendapatan bukannya fenomena negara maju semata-mata.  Pada  April lalu, Bank Dunia dan IMF dilaporkan oleh The New York Times, membincangkan ketidaksamaan di Timur Tengah. Dengan memberikan tumpuan utama terhadap pertumbuhan di Tunisia,  Bank Dunia dan badan antarabangsa yang lain gagal untuk melihat ketidaksamaan.  Kini, di tengah-tengah kebangkitan revolusi yang masih menggoncangkan rantau itu, Bank Dunia berkata bahawa Tunisia boleh memainkan peranan sebagai model untuk pendekatan yang disemak semula.  Bank Dunia mengumumkan bahawa bank itu akan menyediakan AS$500 juta untuk kerajaan baru negara Afrika Utara itu sebagai pertukaran dengan pakej pembaharuan. Robert Zoellick, Presiden Bank Dunia dipetik sebagai berkata bahawa beliau berharap untuk memperluas fokus baru terhadap “pertumbuhan inklusif”  untuk negara lain di Timur Tengah, termasuk Mesir yang pusingan pembaharuan lalu juga gagal untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin.
Balik ke negara kita, kerajaan telah melaksanakan Rancangan Malaysia Kesepuluh dan memperkenalkan Model Baru Ekonomi, satu persoalan di sini:  Adakah semua dasar dan rancangan ini mampu memastikan bahawa  jurang agihan pendapatan    antara golongan kaya dengan golongan miskin menjadi kian sempit.   Melihat tuntutan kaum tertentu yang ingin segala-galanya adalah untuk kaum mereka tanpa mempedulikan golongan miskin yang tidak belum mampu bermain di padang yang sama rata, seperti Orang Asli dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak, maka  jangan terkejut bahawa suatu masa kelak, Malaysia juga terjerumus ke dalam republik pisang.  
Bagi yang memperjuangkan meritokrasi, tanpa menilai buruk baiknya, atau kadangkala menyembunyikan kebenaran, Kentaro Toyama yang dipetik di atas memberikan jawapan tepat lagi  jelas: melebarkan jurang ketidaksamaan pendapatan.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...