SABTU, 21 Mei 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama 2011, seperti yang diumumkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, berkembang pada kadar 4.6 peratus. Dengan kadar ini, sekali gus membangkitkan persoalan dan keraguan apakah negara mampu mencapai sasaran pertumbuhan sekurang-kurangnya enam peratus bukan sahaja untuk tahun ini, bahkan untuk tahun-tahun seterusnya hingga 2020. Pada tahun lalu, Malaysia mencapai pertumbuhan, iaitu 7.2 peratus, tetapi pencapaian yang memberangsangkan selepas negara terjebak dalam kemelesetan pada tahun 2009, mungkin hanyalah keriangan sementara.
Seperti biasa, kerana sarat dengan psikologi penafian, orang ramai diberitahu bahawa negara masih mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 5.5 hingga enam peratus tahun ini. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dipetik sebagai berkata, pertumbuhan ekonomi agak perlahan kerana banyak projek kerajaan baru bermula dan masih belum menampakkan hasilnya lagi. Beliau juga memberitahu bahawa “saya menjangkakan keadaan yang lebih baik pada suku kedua dan seterusnya ditambah dengan projek-projek swasta dengan nilai yang lebih besar, bagaimanapun, semua ini memerlukan masa.”
Jika diteliti alasan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan Kedua itu, seseorang dapat mengesani hubungan sebab-musabab yang longgar, iaitu kebanyakan projek kerajaan dan swasta belum dilaksanakan dengan sepenuhnya. Sedangkan, tatkala ekonomi global masih lemah, meletakkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara kira-kira enam peratus, sesungguhnya suatu impian yang terlalu tinggi. Hakikatnya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, turun naik ekonomi dunia banyak mempengaruhi ekonomi Malaysia. Apabila dunia terjebak dalam kemelesetan, Malaysia turut mengalaminya pada tahun 2009. Malangnya, sesetengah orang mempunyai memori yang pendek.
Meskipun pertumbuhan berlaku semula sejak kemelesetan global, tetapi rentak atau temponya agak lemah, seperti yang dapat diperhatikan pada suku pertama 2011. Misalnya, Amerika Syarikat sekadar tumbuh 1.8 peratus kerana harga makanan dan petrol yang tinggi. Inflasi meningkat kepada 3.8 peratus, yang tertinggi sejak suku tahun 2008, selepas meningkat hanya 1.7 peratus pada suku keempat. Ahli ekonomi dikatakan berbelah bahagi tentang laluan ekonomi sepanjang enam bulan akan datang dengan sesetengahnya menegaskan angka yang suram itu mengesahkan keadaan yang lembap secara umum dalam pertumbuhan di seluruh dunia maju kerana kesan dasar rangsangan fiskal semakin lemah dan langkah jimat cermat menggantikan dasar itu.
Sementara itu, di Eropah, beberapa buah negara dalam zon euro bergelut dengan krisis hutang, iaitu PIIGS: Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol. Greece yang hutang awam akan meningkat kepada 160 peratus KDNK jelas mungkir, dan dijangkakan negara itu menjadi Lehman Brothers yang muflis pada September 2008. Negara Mediterranean itu bertungkus-lumus untuk melaksanakan pembaharuan yang diipersetujui di bawah pelan penyelamat Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang bernilai 110 bilion euro, membangkitkan kebimbangan Athens tidak mampu membayar balik hutang, yang kini berjumlah kira-kira 340 bilion euro. “Pasaran menyimpulkan dengan betul bahawa mana-mana negara,” tegas Jeremy Warner, “dengan hutang setinggi 150 peratus KDNK terlalu mustahil untuk membayar balik hutang. Pasaran, oleh itu, menjadi berkesan ditutup untuk Greece, Ireland, dan Portugal.
Pertumbuhan kebanyakan negara Eropah untuk suku pertama tahun ini boleh dikatakan masih lembap, kecuali Jerman mencatatkan 5.2 peratus. Sementara Portugal terjebak semula dalam kemelesetan, dengan 0.7 peratus kemerosotan dalam KDNK, manakala Perancis mencatatkan pertumbuhan satu peratus, Sepanyol 0.3 peratus, Italy 0.1 peratus, dan Greece 0.8 peratus. Suruhanjaya Eropah menyemak semula dengan menurunkan ramalan pertumbuhan tahun 2011 untuk negara yang terpaksa diselamatkan, iaitu Greece, Ireland, dan Portugal. Secara keseluruhan, ekonomi zon euro berkembang 0.8 peratus pada suku tahun pertama 2011, berbanding dengan tahun lalu, KDNK zon euro meningkat 2.5 peratus.
United Kingdom yang terkebelakang jika dibandingkan dengan dua ekonomi besar Eropah, iaitu Jerman dan Perancis, hanya mencatatkan pertumbuhan 0.5 peratus untuk suku pertama 2011, berikutan kejatuhan 0.5 peratus pada suku tahun keempat 2010.
Jangan lupa, data terbaharu, Jepun secara rasmi memasuki kemelesetan baru selepas KDNK suku tahun pertama 2011 mencatatkan kadar -3.7 peratus. Bukan hanya angka KDNK tersasar jauh daripada jangkaan, iaitu -2.0 peratus yang dijangkakan oleh ahli ekonomi, tetapi juga angka itu menyusuli 3.0 peratus KDNK pada suku keempat 2010. Dengan kadar negatif terbaharu itu menandakan kemerosotan terbesar sejak mencatatkan penguncupan tertinggi, iaitu 18.3 peratus pada suku pertama 2009.
Melihat data pertumbuhan yang suram suku pertama tahun ini, eloklah para pemimpin dan penggubal dasar di negara ini berpijak di dunia nyata. Jangan asyik leka bermain dengan angka kerana orang yang hidup dengan angka, mati pun dengan angka. Jauh sekali untuk mereka-reka hubungan sebab-musabab seperti alasan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan Kedua.
Selain itu, kita tidak sepatutnya membataskan tumpuan pada angka semata-mata kerana setinggi mana pertumbuhan akan hanya memberi makna sekiranya disusuli oleh agihan pendapatan yang lebih adil. Dalam kata lain, pertumbuhan merapatkan lagi jurang ketidaksamaan dan bukannya melebarkannya lagi. Pertumbuhan sepatutnya dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, sama ada di kota ataupun di desa, baik di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.
Pertumbuhan juga sepatutnya meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Dalam membandingkan aspek berkenaan antara India dengan China, Amartya Sen, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi yang menulis dalam The New York Review of Books, mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi, pastinya dapat membantu secara sangat besar dalam memajukan taraf hidup dan menentang kemiskinan. Meskipun pertumbuhan ekonomi adalah penting untuk mempertingkat keadaan hidup, tetapi kesampaian dan impaknya terlalu bergantung pada apa yang kita lakukan dengan pendapatan yang meningkat. Hubungan antara pertumbuhan ekonomi dengan kemajuan taraf hidup bergantung pada banyak faktor, termasuk ketidaksamaan ekonomi dan sosial, dan tidak kurang pentingnya, bergantung pada apakah yang kerajaan lakukan hasil awam yang dijanakan oleh pertumbuhan ekonomi.
Aspek yang Amartya Sen ambil kira dalam membandingkan antara dua negara yang menghasilkan pertumbuhan yang pesat itu (India kira-kira sembilan peratus, manakala China lebih 10 peratus), ialah jangkaan hayat, kadar kematian bayi, kadar kematian kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun, kadar kematian ibu semasa bersalin, tempoh persekolahan, dan kadar kenal huruf orang dewasa: China mendahului India.
“Satu perkara positif tentang pertumbuhan ekonomi,” jelas Amartya Sen lagi, “adalah bahawa pertumbuhan menjanakan sumber awam yang kerajaan boleh belanjakan untuk keutamannya. Bahkan, sumber awam terlalu kerap berkembang dengan pesat jika dibandingkan dengan Keluaran Negara Kasar (KNK).”
Dalam konteks Malaysia, dengan memetik saranan Amartya Sen itu, sesungguhnya tidak memadai sekadar memberikan perhatian pertumbuhan ekonomi semata-mata. Pertumbuhan sepatutnya mampu meningkatkan kualiti hidup atau taraf hidup rakyat. Jangan terlalu asyik bermain dengan angka yang kelihatan hebat, tetapi mengabaikan kebajikan dan kesejahteraa rakyat. Lebih membimbangkan jika pertumbuhan ekonomi itu menjurus kepada “pengumpulan dan perampasan.”
No comments:
Post a Comment