AHAD, 8 Mei 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sebaik-baik memperoleh berita daripada Internet dan beberapa akhbar antarabangsa pada tengah hari 2 Mei lalu (waktu Malaysia) bahawa Osama bin Laden mati dibunuh di kediamannya yang terletak di Abbottabad, Pakistan, fikiran saya terus teringat akan pembunuhan Che Guevara di Bolivia 9 Oktober 1967. Kedua-duanya, iaitu Che dan Osama sedikit sebanyak mempunyai persamaan. Che pejuang revolusioner, manakala Osama jihadis. Kedua-duanya yang menjadikan Amerika Syarikat sasaran mereka, tetapi dengan alasan yang berbeza: Che antiimperialis, manakala Osama antikerajaan kafir dan rangkaiannya merentas benua, terutamanya Asia, Amerika Utara, dan Eropah.
Selepas kemenangan Revolusi Cuba pada 1 Januari 1959, dalam banyak penulisannya, Che sentiasa mengulangi mesej yang sama, "apa yang dilakukan di Cuba boleh dilaksanakan di tempat-tempat lain, apa-apa jua kemungkinan, di Amerika Latin, Afrika, dan Asia." Selepas menghabiskan masa beberapa tahun dengan tekun dan bersungguh-sungguh membina sosialisme dan membentuk "lelaki dan wanita baru" di Cuba, Guevara begitu ghairah untuk menerapkan pengajaran Revolusi Cuba di "Amerika kita" sebagai tentangan terhadap "Amerika orang lain" atau Amerika Syarikat.
Namun, antara Che Guevara dengan Osama bin Laden juga perbezaan: Che tidak pernah bersahabat, sebaliknya sentiasa berseteru dengan Amerika, dan tidak juga pro-Kesatuan Soviet. Beliau yakin bahawa laluan keganasan perang gerila dan konfrontasi langsung imperialilsme Amerika Syarikat adalah kedua-duanya, iaitu lebih jujur dan lebih berkesan jika dibandingkan dengan tolak ansur politik tanpa keganasan yang ketika itu disokong oleh Kesatuan Soviet dan dan dipatuhi dengan penuh kesetiaan oleh parti-parti komunis Amerika Latin.
Dalam perisytiharan awam akhirnya pada April 1967 dari hutan Bolivia, tulis Eric Luther dengan Ted Henken, M.A. dalam The Life and Work of Che Guevara, Che secara terbuka menolak dasar "kewujudan bersama aman damai" Soviet yang dikenali perpaduan Dunia Ketiga, dan secara tegas memperjuangkan pewujudan "dua, tiga ... banyak Vietnam." Guevara hidup dan mati untuk menegakkan keyakinannya bahawa "tanggungjawab setiap revolusioner adalah untuk mewujudkan revolusi." Keyakinan inilah tulis Luther dan Henken, yang mendorong Guevara akhirnya meninggalkan Cuba baru yang beliau terlalu instrumental untuk mewujudkannya dan memperhambakan seluruh hidupnya mencetuskan revolusi bersenjata ke seluruh benua itu - untuk mengubah Andes kepada Sierra Maestra Amerika Latin.
Sementara Osama, menurut John K. Cooley dalam bukunya, Unholy Wars: Afghanistan, America and International Terrosism, pernah bersahabat dengan Amerika (juga Arab Saudi, dan Pakistan) dalam menentang Kesatuan Soviet di Afghanistan. "Untuk memahami fenomena Osama bin Laden dan rangkaian antarabangsanya, tulis Cooley, "seseorang perlu meneliti hubungannya dengan Presiden Pakistan, Zia al-Haq dan pengganti beliau. Hubungan ini juga terjalin dengan tempat dinasti Bin Laden di Arab Saudi, khususnya dengan Putera Turki bin Faisal, ketua perisikan Saudi ketika hampir sepanjang perang Afghanistan dan tempoh pascajihad." Apabila Soviet menceroboh Afghanistan pada Disember 1979, tambah Cooley, "Putera Turki menghantar Osama bin Laden ke Peshwar untuk meninjau-ninjau kemungkinan mengumpulkan tentera sukarela Arab."
Beroperasi dari Karachi dan secara langsung dari kubunya di Afghanistan, empayar kewangan dan pembinaan Osama membina pangkalan dan kem latihan, dan landasan pendaratan di Afghanisan dan Pakistan untuk jet peribadi hulubalang jihad , dan untuk melawat pembesar Muslim dan Arab. Cooley juga menyatakan bahawa lama sebelum tamatnya perang di Afghanistan, Osama dan pengikutnya membuat persediaan untuk jihad yang lebih besar untuk dilancarkan terhadap kerajaan Arab yang tidak beriman yang Osama berpendapat, yang terhutang budi kepada Amerika Syarika yang korup dan Iblis, yang pada masa itu dia bekerjasama untuk mengusir Kesatuan Soviet.
Osama dan pengikut apabila diserbu oleh Navy SEALs, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar antarabangsa tidak melawan, bahkan Osama sendiri dibunuh dalam keadaan tanpa senjata. Dia, meskipun menurut beberapa ulasan, gagal dalam perjuangannya dan al-Qaeda dikatakan tidak lagi bersatu kerana pertikaian kepimpinan – sada ada dipimpin oleh orang Arab Saudi ataupun Mesir, tetapi dia masih memerintahkan rangkaiannya itu untuk merancang serangan terhadap kepentingan Amerika. Hanya pada pandangan umum, apabila diberitahu bahawa Osama tinggal di mansionnya yang agak besar itu bertahun-tahun seolah-olahnya dia hidup selesa, sedangkan pengikutnya terpaksa berjuang di sana sini.
Sebaliknya, Che Guevara jelas mati dalam perjuangannya, meskipun dia dan pengikut semakin terdesak kerana diburu oleh tentera Bolivia: Pada awal Oktober, mereka dalam pusingan terakhir. Pada 7 Oktober 1967, dengan pasukan yang terdiri 15 orang atau lebih (yang lain, meninggalkan perjuangan, ditawan, atau terkorban), mereka mendapati diri mereka berada di bahagian bawah Churo Gorge, yang tidak bernasib berhampiran dengan bandar Vallegrande dan La Higuera di Gunung Andean, tempat tentera Bolivia membina kubu kuat mereka. Pada barisan hadapan tentera itu ialah anggota Batalion Renjer Kedua yang disokong oleh Amerika. Berbeza dengan pembunuhan Osama apabila Amerika bertindak sendirian, meskipun dalam berlaku dalam wilayah Pakistan yang terletaknya kira-kira 70 batu dari Islamabad.
“Pada 8 Oktober,” tulis Luther dan Henken, “kini dalam situasi terdesak, Che dan pengikutnya hanya ada satu peluang untuk melarikan diri keluar dari tempat persembunyian yang mungkin menjadi kubur mereka.” Dalam tembak-menembak berikutnya, Che ditembak di labu betis kirinya (satu lagi peluru menusuk beretnya). Ketika dia ditawan ketika itu, dia memberitahu penawanya, “Jangan tembak. Saya Che Guevara yang bernilai untuk awak jika saya hidup daripada saya mati.” Semasa disoal siasat oleh pegawai tentera Bolivia, meskipun dalam keadaan berlumuran darah, Che masih gigih mempertahankan kepercayaannya terhadap revolusi dan sosialisme.
Memo dihantar kepada Presiden Johnson (bertarikh 9 Oktober 1967) menyatakan bahawa “Bolivia mendapat Che Guevara.” Pada sebelah petang, perintah dikeluarkan: Che dihapuskan. Menurut laporan mereka yang hadir seperti yang dicatatkan oleh Luther dan Henken, “menyatakan bahawa hasrat pada pihak Amerika Syarikat supaya Che terus hidup, takut bahawa bahkan lebih berbahaya jika dia mati daripada dia terus hidup ... mati syahid dalam perjuangannya. Tindakan itu dianggap ‘bodoh’ dalam satu memo.” Sebaliknya, bagi Osama bin Laden, Panglima Besar, iaitu Presiden Barack Obama memerintah dibunuh.
Walau bagaimanapun, bagi kerajaan Bolivia, mempenjarakan Che adalah terlalu berisiko. Akan tetapi, untuk menyerahkannya kepada Amerika Syarikat kelihatan satu nasihat yang tidak betul: mengikut telunjuk imperialisme. “Selepas hujanan peluru dan gumpalan debu” tulis Luther dan Henken, “Che Guevara yang berusia 39 tahun, tidak hidup lagi, tetapi ceritanya belum berakhir lagi.”
Selepas kematian Osama bin Laden diumumkan oleh Presiden Obama, ada usaha untuk menyamakannya dengan Che, sekurang-kurangnya dari segi pengebumian, “No Grave for Osama bin Laden, Just Like Che Guevara Four Decades Earlier,” demikian tajuk tulisan Luisa Yanez. “Bukan kali pertama Amerika Syarikat atau negara lain terpaksa bergelut dengan isu penuh duri dan ranjau apakah yang perlu dilakukan dengan mayat orang yang menerima balasan yang sangat terkenal yang bertemu takat keganasan, tetapi dianggap orang yang mati syahid oleh sesetengah orang, manakala orang jahat bagi yang lain."
Dalam tulisan itu, Luisa memetik pandangan Gustavo Villoldo yang mendapati dirinya dalam kesusahan yang serupa ketika ditugaskan mengurus mayat Ernesto “Che” Guevara” 40 tahun lalu. Villoldo percaya bahawa dia menetapkan duluan yang digunakan hujung minggu ini oleh Pentadbiran Obama untuk mengurus mayat Osama dengan segera, menafikan al-Qaeda peluang menjadikan kubur pemimpin rohaniah sebagai memorial, sebagaimana Villoldo menafikan Castro untuk melakukan perkara yang sama terhadap mayat Guevara. “Saya fikir apa yang berlaku dengan Che Guevara dikemukakan sebagai contoh oleh mereka yang mereka membuat keputusan tentang Osama bin Laden di Rumah Putih. Mereka mahu penyelesaian yang serupa. Pada masa itu, saya tidak mahu Castro menjadikan tapak pengebumian Guevara tempat suci untuk menentang musuhnya. Saya fikir bahawa apa yang Presiden Obama berjaya lakukan di sini. Sesungguhnya, ini tindakan penuh kemahiran.”
Wujud beberapa analogi yang menyeramkan cerita kehidupan dan kematian Osama bin Laden dengan satu lagi penjahat politik yang berkarisma, yang pernah pada suatu masa “mengisytiharkan perang” terhadap Amerika Syarikat. Ernesto “Che” Guevara, revolusioner Argentina-Cuba dan tempat mengadu Fidel Castro, bukannya pengganas, tetapi dia pejuang ideologi Komunis yang mendukung perubahan politik keganasan, dan yang menentang Amerika dengan mencuba memulakan perang gerila di seluruh dunia. Tulis Jon Lee Anderson dalam The New Yorker selepas kematian Osama bin Laden. “Pegawai tentera keliru. Seorang berkata bahawa mayat Che dibawa oleh helikopter dan dicampakkan ke dalam hutan yang terletak jauh; yang lain mengatakan bahawa Che dibakar, dan abunya diselerakkan.” Tambah Jon Lee yang pernah menulis biografi Che Guevara, “pokoknya, seperti beberapa pegawai jelaskan kemudian adalah mereka tidak mahu tempat pengebumian yang terlalu peminat Che boleh datang dan menghormatinya. Lebih daripada itu, mereka tidak mahu pengaruh amanat Che mati bersama-samanya.”
Dengan membangkitkan apa yang terjadi pada mayat Che 30 tahun kemudian apabila mayat Che akhirnya ditemui, dihantar ke Cuba, di sana diadakan pengebumian semula dengan kehormatan negara sepenuhnya, dan legasi serta simbol Che terus hidup subur, Jon Lee mengemukakan persoalan: Dengan “pengebumian di laut” Osama bin Laden, Amerika Syarikat mungkin cuba menghalang saga yang panjang, yang dibangkitkan “di manakah dia dikebumikan?” Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tempat Osama dibunuh menjadi tempat suci, paling tidak dikunjungi oleh pengikut pelampau Osama. Mungkin Pakistan akan memusnahkan rumah tempat Osama tinggal itu, tetapi apakah yang mereka akan lakukan terhadap tapak rumah itu? Bagi Jon Lee, apa-apa sahaja dilakukan terhadap mayat Osama, pastinya tidak menghalang pemujaan: tiada kubur, tempat kediaman akan menjadi gantinya. Membandingkan apa yang dilakukan oleh kerajaan Bolivia terhadap Che, Jon Lee menegaskan kejanggalan kerana lot kosong bertembok akan selama-lamanya mengingatkan bahawa Osama bin Laden hidup hari-harinya di tengah-tengah mereka. Akan tetapi, mungkin tidak. Siapa cakap?”
Sesungguhnya, pada masa tertentu, terutamanya pada detik-detik sukar, manusia di mana-mana sahaja akan mencari penyelamat, pembebas, Messiah, al-Masih, Imam Mahadi, Ratu Adil, dan banyak lagi nama dalam banyak masyarakat dan budaya. Justeru, di mana-mana sahaja Osama bin Laden dikuburkan, seperti yang pernah dilakukan terhadap Che Guevara, pastinya tidak dapat memadamkan memori sebilangan orang. Baik faktor politik mahupun budaya, pemujaan terhadap tokoh yang pergi selama-lamanya akan terus berlaku.
No comments:
Post a Comment