Artikel Popular

Wednesday, May 18, 2011

Ideologi Sosialis, Gaya Hidup Kapitalis


RABU,  18  Mei  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Pada 13 Mei lalu, guardian.co.uk menerbitkan tulisan Melissa Bounoua yang memperlihatkan keterbukaan para pengundi Perancis yang dapat memisahkan skandal daripada politik.  Kehidupan seks Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tulis Melissa dengan begitu yakin,  telah bergerak ke dalam budaya rakyat (folklore), tetapi ini tidak menghentikan kaum wanita mengundi untuk dia dalam mana-mana kempen presiden.  Strauss-Kahn yang dikenali secara meluas sebagai DSK, mempunyai hubungan sulit dengan Piroska Nagy, ahli ekonomi Hungary, ketika berkhidmat di IMF pada tahun 2008.  Kedua-duanya, iaitu IMF dan firma undang-undang menjalankan penyiasatan dan merumuskan bahawa Strauss-Kahn tidak pernah menggunakan kuasanya untuk tidur dengan rakan usaha samanya,  Pada masa itu, dia masih berkahwin dengan Anne Sinclair, pengacara televisyen Perancis yang terkenal.

Akhbar Perancis secara sopan memanggil Strauss-Kahn, “penggoda hebat.”  Anne Sinclaire, isterinya selama 20 tahun, kelihatan berhadapan dengan reputasi Kahn dengan pragmatisme yang memeranjatkan:  “Memang penting untuk ahli politik untuk mampu menggoda.  Anne juga menulis dalam blog pada tahun 2008, selepas DSK mempunyai hubungan sulit dengan ahli ekonomi IMF itu, mengatakan kejadian seperti ini boleh berlaku pada pasangan dan mereka masih mencintai antara satu sama lain, seperti pada peringkat permulaan.

Kemudian, Melissa beralih kepada  politik DSK yang ingin mencuba nasib untuk jawatan Presiden Perancis. “Dia pesaing yang serius, khabar angin akan membebani kempennya. Saya tidak terperanjat jika sesetengah rakan usaha samanya cuba meyakinkan dia jangan bertanding, takut akan tajuk berita yang menggemparkan.”  Setiap perincian kehidupan peribadinya, tambah Melissa, telah pun diteliti rapi, iaitu fotograf  terbaharu yang menunjukkan dia memasuki kereta Porsche yang berharga 100,000 euro yang mendorong media menyebut Porschegate.  Hal itu mewujudkan gambaran  yang membawa kecelakaan terhadap pendapat awam, dalam keadaan kuasa beli yang rendah dan kekejangan ekonomi.

Meskipun DSK terkenal dengan “kaki perempuan,”  tetapi Melissa nampaknya begitu yakin bahawa dia tetap diterima oleh pengundi.  “Pengundi Perancis cenderung untuk menilai ahli politik menurut projek mereka.  Apa yang kita fikirkan mereka sebagai lelaki adalah cerita lain. Pada tahun 2007, tiada siapa pun mengedip-ngedipkan kegagalan perkahwinan Sarkozy.  Tidak juga kita peduli tentang Chirac yang dituduh menipu isterinya, Bernadette.”

Hanya Strauss-Kahn dianggap mampu menewaskan Nicolas Sarkozy, yang pastinya pulang ke Perancis untuk pertandingan Pilihan Raya Presiden 2012.  Pertemuan sulit di Perancis baru-baru ini menggerakkan pasukan kempen akan datang Strauss-Kahn.  Namun, seperti yang diperhatikan  oleh  Angelique Chrisafis, Porschegate memeningkan kepala bagi lelaki yang cabaran utamanya meyakinkan para pengundi bahawa dia bukannya sosialis champagne yang akuh. “Sebelum skandal terbaharu terdedah,” tulis Robert Kutter, “Strauss-Kahn tidak kelihatan terlalu banyak sosialis.”

“Dari Washington,” tulis Angelique, “Strauss-Kahn menghabiskan masa berbulan-bulan untuk menyampaikan mesej kepada para pengundi Perancis bahawa dia bukannya suara kucing gemuk diglobalisasikan dan teknokrat yang bergaji lumayan, tetapi intelektual sayap kiri sebenar yang dapat menyelamatkan model sosial Perancis. Menyelinap ke dalam kereta sport di luar empernya di Paris yang bernilai empat juta euro bersama-sama isteri jutawannya adalah melanggar tatasusila, meskipun jika kenderaan itu bukan miliknya, tetapi milik penasihat yang bekerja dengan seorang yang terkaya di Perancis.”

Tinjauan pendapat terus menunjukkan bahawa dia mendahului Sarkozy.  Tinjauan terbaharu untuk LH2 mendapati Strauss-Kahn memperoleh 23 peratus undi diikuti oleh ahli politik kanan ekstrem, Marine Le Pen (17 peratus) dan Sarkozy (16 peratus).  Bukan sahaja Strausa-Kahn akan menewaskan Sarkozy, penjawat kini akan disingkirkan dalam pusingan pertama.

Namun, diakui bahawa bekas Menteri Kewangan dan Profesor Ekonomi, Strauss-Kahn akan berada di tengah-tengah perlawanan parti berhubung dengan perlumbaan awal untuk mengemukakan calonnya.  Pengalamannya dari segi politik global, perilaku presiden, memahami kewangan juga dianggap kelemahan.  Dia dikritik kerana sombong, angkuh, dan “pasaran bebas” yang teruk, dan tidak benar-benar sayap kiri.  “ Roland Dumas, bekas Menteri Luar dalam kerajaan Mitterrand dipetik sebagai berkata, “dia bukannya sosialis.”

Tiba-tiba pada hari Ahad lalu, berita tersebar secara meluas bahawa Dominique Strauss-Kahn, ketua IMF dan lelaki Sosialis Perancis yang berharap penghuni akan datang Elysée Palace ditangkap di lapangan terbang JFK,  New York, petang Sabtu atas tuduhan mencabul pembantu hotel di Hotel  Sofitel. Meskipun dia pernah berhadapan dengan khabar angin tentang hubungan sulitnya yang dikatakan tidak menjejaskan peluangnya untuk menduduki jawatan tertinggi di Perancis, tetapi penangkapan itu mengubah cita-cita masa depannya.  Walaupun dia mendakwa dirinya puak kiri politik, namun cita rasanya  terlalu mewah. Dia menyaman akhbar Perancis yang mendakwa asasi  gaya hidupnya, termasuk rumah mewah dan gemar mencari karya seni.  Dalam laporannya, France Soir juga berkata dia memiliki beberapa sut buatan tangan oleh tukang jahit Presiden Barack Obama, tetapi dakwaan itu dia nafikan dengan sekeras-kerasnya. 

Dalam laporannya, akhbar itu berkata sejak Strauss-Kahn dan isterinya yang kaya, Anne Sinclair tiba di ibu negara Amerika Syarikat itu untuk berkhidmat di IMF pada tahun 2007, mereka menikmati hidup mewah.  Pasangan itu dikatakan membeli rumah berharga 2.5 juta paun sterling di kawasan kelas tinggi daerah Georgetown Washington.  Strauss-Kahn yang didakwa memperoleh 22,000 paun sterling bersih sebulan juga mempunyai flat di Paris yang dibeli pada harga 2.2 juta paun sterling pada tahun 1990, dan satu lagi flat di Place des Vosges yang mahal yang dibeli pada tahun 2007 dengan harga 3.4 juta paun sterling.  Kehidupan mewah ini, tulis Christopher Dickey dalam The Daily Beast, “elit Parti Sosialis pada amnya, dan Strauss-Kahn khususnya, selalu disebut la gauche caviar, kiri kaviar kerana gaya hidup yang mewah.”  Tambah Dickey, “Satu perkara yang pasti:  Tuduhan yang buruk di New York akan menjadikan politik Perancis terlalu banyak bising dalam bulan-bulan yang mendatang.”  

Selain itu, didapati masalah sebenar Strauss-Kahn ialah sikapnya terhadap wanita. Dia terlalu mendesak, dekat-dekat dengan pencabulan.  Reputasinya sebagai kaki perempuan yang agresif sangat diketahui umum. Berikutan penangkapan itu. pencabulan DSK terhadap wartawan dan novelis Tristane Banon yang berlaku pada tahun 2002 didedahkan semula oleh ibunya, Anne Mansouret, melalui televisyen Perancis pada Isnin lalu.  

Tatkala Strauss-Kahn terpaksa berhadapan dengan perbicaraan mahkamah, perbicaraan media, dan pendapat awam, Bernard-Henri Levy membela kawannya selama 20 tahun. “Dan akan kekal sebagai kawan saya, menanggung tiada kesamaan dengan raksasa ini, orang zaman batu ini, haiwan yang tidak pernah puas dan berniat jahat ini sekarang digambarkan hampir di mana-mana sahaja.  Menawan, menggoda, ya, pasti; kawan kepada wanita dan pertamanya, kepada wanitanya sendiri, semula jadinya, tetapi individu yang kejam dan ganas, haiwan buas ini, primat ini, jelas sekali tidak, mengarut.”

Daripada bintang yang terang benderang, tiba-tiba berubah menjadi malap.  Demikianlah mungkin nasib malang yang menimpa Strauss-Kahn yang sedang mempersiapkan dirinya untuk mara ke  Elysée Palace.  Strauss-Kahn yang begitu gigih melaksanakan pelan penyelamat untuk negara yang dilanda krisis kewangan, tetapi dirinya tidak dibenarkan diikat jamin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...